GARIS MASA


Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kerana sudi berkongsi gambar-gambar lama bagi membolehkan saya mengenang kembali kenangan indah lalu. Sayangnya saya tidak mempunyai gambar sekitar tahun 1975 hingga 1983.

TAHUN 1984

Saya (bertanda) bersama rakan sekelas Tahun 3A2 SK Paya Bunga, Kuala Terengganu

TAHUN 1986

Saya (bertanda) bersama rakan sekelas Tahun 5A2 SK Paya Bunga, Kuala Terengganu

TAHUN 1986

 
Bergambar di tepi Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu ketika mengikuti rombongan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Saya masih ingat emak memberi saya $1.00 (dulu nilai bukan RM tapi $) sebagai bekalan untuk lawatan ini. Saya membeli nasi kuning berharga 30 sen untuk dimakan masa lawatan itu. Pada masa ini, saya tinggal di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu.

TAHUN 1987

 
Saya (bertanda) ketika dalam tahun enam (Kelas 6A2). Al-fatihah buat Almarhumah Cikgu Napisah, semoga rohnya dicucuri rahmat.

TAHUN 1987

Kenangan bersama rakan kumpulan dalam kelas.
Belakang kiri Tengku Roslan, Arwah Shukri, Syarizan, saya
Depan kiri Jenny, Arwah Cikgu Napisah, Noralaili

TAHUN 1990

Bergambar di batuan Pantai Pandak, Chendering bersama arwah nenek (Tok Sariah ibu kepada ibu saya) dan Pak Su Isa (berbaju pink tak nampak kepala) ketika mereka berkunjung ke rumah kami. Nenek dan Pak Su Isa menetap di Pulau Pangkor, Perak.

TAHUN 1991

Rakaman bersama rakan sekelas Tingkatan 4A2 aliran kesusasteraan, Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Terengganu. Cikgu Kelas kami Ustazah Azizah. Saya menduduki Peperiksaan SPM Tahun 1992.

 TAHUN 1995


Saya nampak terlalu kurus ketika menuntut di Institut Berakan, Kuala Terengganu. Pada masa ini saya mengambil STPM. Sebenarnya pada masa ini, saya mencatu makanan kerana kekurangan wang. Saya tinggal di rumah sewa (sebenarnya percuma) bersama rakan di Jalan Hiliran (sebelah Jambatan Sultan Mahmud). Saya diberi wang saku oleh ayah sebanyak RM15.00 untuk 5 hari. Seringgit saya belanjakan di kantin Institut. Makakala di waktu petang ke malam saya membeli nasi bungkus lauk daging di kedai mamak berharga RM1.80. Begitulah rutin saya sepanjang tahun 1995. Saya menduduki STPM pada tahun 1995.

Nota : Saya memasuki 6 Rendah institut ini pada 1994. Tahun 1993 merupakan tahun gelap hidup saya kerana saya tak dapat melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi selepas mendapat keputusan SPM 1992. Saya hanya membantu ayah berniaga buah-buahan di Pasar Maghrib Bukit Besar, Kuala Terengganu.

TAHUN 1996

Gambar ini dirakam bersama kontinjen Terengganu ketika penyampaian pingat acara bola sepak Sukan Tahunan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia di Padang Seri Gelam, Johor Bahru. Kami kehilangan rakan sekerja setengah jam selepas itu iaitu Arwah Mustafar (atas paling kiri) akibat serangan jantung di dalam pajero yang kami naiki ketika mahu pulang ke Hotel Plaza Crown. Ketika ini saya baru sebulan bekerja dengan Jabatan Pilihan Raya Negeri Terengganu.

TAHUN 1996

Menunggu bersama kakak sulung dan adik di Taman Rekreasi berhampiran Jeti Lumut setelah turun dari bas Nini Ekspres. Kami menunggu bapa sàudara datang mengambil kami untuk ke Pulau Pangkor

TAHUN 1996

Makan tengah hari di Restoran Nara, Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu ketika meràikan kedatangan Setiausaha SPR, Dato' Mohamadiah bin Moner brrkunjung ke Jabatan Pilihan Raya Terengganu.

TAHUN 1997


Gambar dirakam di dalam pejabat Pilihan Raya Negeri Terengganu pada waktu malam. Pada ketika ini saya melakukan kerja lebih masa untuk menyiapkan kemasukan data daftar pemilih bagi kawasan Paralimen P037 Marang

TAHUN 1997


Bersama rakan sekerja, Zulkifli membuka kaunter Unit Bergerak Pendaftaran Pemilih 1997 di Pasar Chukai, Kemaman, Terengganu.

TAHUN 1997

Saya dan Zulkifli membuka kaunter pendaftaran bergerak Pendaftaran Pemilih di sebuah pasar yang lokasinya saya lupa. Sebenarnya kami bertiga iaitu Shahrin Abd. Ghani. Dahulu proses pendaftaran pemilih hanya dibuka sekali setahun (kira-kira sebulan) jika anda terlepas peluang mendaftar, anda perlu menunggu setahun kemudian untuk mendaftar kembali.

TAHUN 1998

Bergambar bersama Datuk Harun Din, Pengerusi SPR yang mengunjungi kaunter Pendaftaran Bergerak SPR Terengganu di Pasar Pagi Manir. Dari kiri Bakri, Zulkifli, Datuk Harun Din, saya dan Shahrin.

TAHUN 1998

Saya melakukan kerja-kerja mengemas kini dokumen dan peralatan sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-10 di Stor SPR Terengganu Wisma Kokitab, Kuala Terengganu.

TAHUN 1999

Bergambar di sebelah kenderaan Rasmi SPR Terengganu. Saya tidak pasti di mana, biasanya di perkarangan salah satu Pejabat Daerah di Terengganu.

TAHUN 1999


Di Foyer Pejabat Daerah Besut, Kampung Raja. Pada ketika ini, saya dan rakan-rakan menghantar senarai daftar pemilih untuk PRU ke-10 tahun 1999

TAHUN 1999


Menyiapkan peralatan untuk taklimat persiapan PRU10 kepada pegawai pilihan raya di Pejabat Daerah Marang. Taklimat disampaikan oleh bos saya Tuan Haji Nordin bin Ahmad. Saya pada ketika ini ditugaskan untuk 'incharge' urusan pilihan raya untuk Parlimen P037 Marang.

TAHUN 1999


Ramai yang tidak tahu sebelum ini saya melanjutkan pengajian jarak jauh Universiti Utara Malaysia dalam bidang Pengurusàn Awam atas pembiayaan sendiri. Gambar ini diambil semasa menginap di Kolej Kediaman Eon, UUM dan bersiap untuk ke dewan kuliah. Dalam berjalan kaki ke dewan kuliah, kira-kira 2 kilometer dari kolej ini, saya menitiskan air mata kerana inilah peluang saya untuk mengubah nasib hidup di masa akan datang.

Tahun 1999

Gambar di Kolej Kediaman Eon, UUM selepas selesai kuliah bagi pelajar PJJ

TAHUN 2000

Saya bersama rakan sekerja SPR Terengganu, berkunjung ke rumah arwah Kak Noorohani, rakan sekerja juga untuk majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri. Untuk pengetahuan semua saya bekerja dengan SPR Terengganu pada tahun 1996 hingga 2000.

TAHUN 2000

Ketika berumur 25 tahun di Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu

TAHUN 2000


Pada bulan Jun Tahun 2000, saya bekerja di Pejabat Perangkaan Terengganu sebagai Penyelia Gred N6 untuk Projek Penilaian Liputan Banci Tahun 2000. Masa ini terdapat dua orang lagi penyelia iaitu Risman dan Khamsiah. Manakala yang lain Pembantu Tadbir (operasi) N9. Gambar dirakam di Pejabat Penilaian Liputan Banci, Aras 2 Bangunan Tabung Haji, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Bersama rakan sekerja di Pejabat Perangkaan Negeri Terengganu menyambut hari lahir salah seorang daripada kami. Saya bekerja di Pejabat Perangkaan Terengganu pada Julai 2000 untuk projek Penilaian Liputan Banci Tahun 2000. Parti hari jadi ini diadakan di Pantai Batu Burok.

TAHUN 2000

Saya bersama rakan kerja Pejabat Perangkaan, bercuti di Merang Chalet, Setiu, Terengganu.
Dari kiri Risman (kini Inspektor Polis), Shamsol (bekerja di Maybank Kuala Terengganu), saya yang bertuala

TAHUN 2001

Saya bergambar bersama rakan sekerja dan barisan pentadbir Pejabat Perangkaan Negeri Terengganu. Duduk di tengah ialah Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia. Saya ketika ini menjawat jawatan Penyelia Gred N6.(prosesan data banci Tahun 2000) Gambar diambil di Sutra Beach Resort, Merang, Setiu, Terengganu.

TAHUN 2001

 
Saya mengambil keputusan untuk bekerja kerja (hanya jawatan kontrak/sambilan) dan berhenti belajar secara pengajian jarak jauh untuk melanjutkan pelajaran sepenuh masa di UUM bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian (BPM Hons). Berat saya ketika ini adalah kira-kira 45 kilogram. Saya kekurangan zat kerana mencatu makanan kesan daripada tidak mendapat pinjaman pendidikan selama 1 tahun setengah. Duit yang saya dari simpanan semasa kerja dan wang ehsan RM1000.00 yang diterima dari UMNO saya gunakan dalam tempoh 18 bulan itu. Saya membeli nasi bungkus berlauk bilis berharga RM1.50 dan membahagikannya kepada dua iaitu satu untuk siang dan satu untuk malam. Saya tidak meminta duit daripada ayah di kampung kerana tidak mahu menambahkan beban beliau menanggung adik yang ramai.

TAHUN 2001


Saya bersama rakan Kolej Kediaman Proton menyambut Malam Ambang Merdeka 2001 di Kompleks Sukan UUM. Mereka dari dua kelompok, yang perempuan berasal dari Sabah manakala rakan lelaki yang lima orang itu berasal dari Kelantan.

TAHUN 2004


Perempuan cantik di sebelah saya itu bukanlah awek saya, sebenarnya kami sedang menunggu giliran untuk masuk ke Dewan Sultan Badlishah UUM untuk Majlis Konvokesyen Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian (BPM Hons). Kebetulan kami mendapat keputusan kelas kedua atas dan mempunyai nama berabjad huruf A. Sampai sekarang saya tak tahu namanya walaupun sering berjumpa di dewan kuliah selama 6 semester. Kalau dah bukan jodoh.

TAHUN 2004


Bersama Hayati Othman (tengah) orang Taiping merupakan rakan baik saya sepanjang tiga tahun pengajian di UUM, Sintok. Kami seringkali juga berbincang dalam subjek yang diambil. Gambar diambil setelah selesai majlis konvokesyen di luar Dewan Sultan Badlishah, UUM.

TAHUN 2007


Selepas tamat pengajian di UUM Sintok, saya bekerja di dua organisasi lain tetapi tiada kenangan bergambar untuk saya pamerkan iaitu Perodua Sg.Choh, Rawang (April - Julai 2004) dan Pejabat Pelajaran Daerah Gombak, Selangor (Januari 2005 - Jun 2006).

Manakala gambar di atas dirakam di hadapan Kedai Naza Bikes, Lundang, Kota Bharu, Kelantan Saya bekerja sebagai Admin Assistant dengan Naza Bikes Kota Bharu selama dua tahun iaitu pada 2006 hingga Disember 2007. Saya, Shahrul Amir (Manager) dan Pok Nik Machang (pomen) bersama-sama ditugaskan untuk menubuhkan kedai ini oleh pihak Naza Bikes Shah Alam. Gambar ini dirakam sewaktu Program Konvoi Motosikal Naza melalui Jajahan Kota Bharu, Machang dan Pasir Putih.

TAHUN 2007


Saya berkahwin dengan isteri pada 18 Oktober 2007. Pada waktu ini saya masih bekerja sebagai Admin Assistant Naza Bikes Kota Bharu manakala isteri tidak bekerja. Allah sahaja yang tahu betapa kecut dan takutnya saya dengan pendapatan yang tak seberapa ditambah isteri yang tidak bekerja untuk mengharungi bahtera rumah tangga. Gaji saya pada ketika ini adalah RM1180.00 sebulan belum ditolak EPF. Setelah berkahwin, baru saya menyedari Allah cetuskan ilham kepada Naza Bikes menghantar saya ke Kota Bharu untuk saya bertemu jodoh. Sedangkan saya sebenarnya menjalani temuduga di Ibu Pejabat Naza Bikes, Shah Alam.

TAHUN 2008


Alhamdulillah pada Januari 2008, saya diterima masuk ke IPG Sultan Mizan, Besut, Terengganu. Penantian sejak tahun 1996 (12 tahun) setelah melihat rakan-rakan serumah Institut Berakan dulu majoriti dapat memasuki maktab perguruan. Gambar diambil ketika berlangsung Karnival Sukan KPLI IPGSM 2008.

TAHUN 2008


Sebenarnya kereta Iswara saya ni roadtax dah mati 2 bulan tetapi masih memberanikan diri bergerak dari IPG Sultan Mizan, Besut hingga ke Felda Jerangau Barat yang jaraknya kira-kira 160km Masa ni roadtax kereta saya dua bulan mati. Instalment pun tersangkut juga. Elaun yang dapat tak mampu untuk menampung.

 TAHUN 2008


Bersama murid kelas 4 Zuhal SK Telaga, Kuala Berang, Hulu Terengganu ketika menjalani praktikum selama 10 minggu.

TAHUN 2008


Bergambar bersama rakan satu kelas Kajian Sosial 2 Institut Perguruan Sultan Mizan sewaktu kursus KISSM

TAHUN 2008


Bersantai di Lata Belantan sebagai meraikan perpisahan setelah tamat pengajian KPLI 2008

TAHUN 2009


Bergambar dengan rakan guru lelaki yang sama 'posting' di SK Kota Masai di dalam bilik guru. Manakala itu, Isteri saya telah berjaya memasuki IPGM Kota Bharu untuk latihan KPLI opsyen Bahasa Melayu. Ternyata saya dikurniakan rezeki yang melimpah ruah setelah kelahiran anak sulung Wafiy Ilyas. Alhamdulillah


Guru sesi petang merakamkan kenangan di akhir tahun 2009
 

Bergambar di RnR Pagoh dalam perjalanan ke Lawatan Penanda Aras PPDa sekolah-sekolah daerah Muar


Hubungan jarak jauh kerana saya di SK Kota Masai dan Isteri di IPGM Kota Bharu tidak menghalang kami menyambut Hari Raya 2009 di Kampung Marak, Kota Bharu, Kelantan


Bergambar bersama Cikgu Iskandar Bukit Panau (kiri) dan Cikgu Zaidi Jeli (Kanan) selepas Majlis Konvokesyen IPGM di Dewan HUSM, Kubang Kerian


Gambar dirakam ketika berada di tepian Pantai Irama, Bachok, Kelantan sewaktu cuti sekolah tahun 2009.
TAHUN 2010


Gambar kenangan bersama guru dan PK Petang SK Kota Masai, Pn. Norhaliza bt. Taha


Meraikan kejayaan Rumah Biru menjadi Johan Keseluruhan Sukan Tahunan Sekolah 2010


 Bergambar bersama isteri yang turut berkhidmat di sekolah yang sama pada 2010.


Menjadi Pengurus Pasukan Sofbol SK Kota Masai Tahun 2010. Dua orang cikgu lagi adalah sahabat karib sehidup semati iaitu Cikgu Rahimin Ali dan Saiful Nizam Bokhairi.


Tahun kedua menyertai Kontijen Sofbol MSSD Pasir Gudang ke Kejohanan Sofbol MSSJ 2010

TAHUN 2011


Saya adalah peminat pasukan bola sepak Terengganu sejak sekian lama. Sudah 18 tahun saya tidak berpeluang menonton perlawanan domestik  di Kuala Terengganu. Gambar ini dirakam sewaktu aksi final Piala Malaysia antara Terengganu menentang Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam.

TAHUN 2012


Sambutan Hari Guru Peringkat SK Kota Masai 2012. Sebahagian guru dalam gambar ini telah berpindah sekolah sama ada dalam daerah atau pun luar daerah atau negeri.

TAHUN 2013


Majlis Sambut Hari Raya Peringkat SK Kota Masai 2013. Program makan-makan dalam Bilik Mesyuarat SKKM. Dari kiri Cikgu Suffian Kulim, saya, Cikgu Roslan Mali, Ustaz Baihaiki dan Cikgu Zap.


Sesi bergambar setelah selesai Perkhemahan Tahun 6 2013 yang diadakan di Kg Johor Lama, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor. Masa ini saya menjadi Setiausaha Kokurikulum SKKM.

Nota : Saya menjadi Setiausaha Kokurikulum SK Kota Masai pada 2012 hingga 2015
\
TAHUN 2014


Gambar sempena acara kelayakan Kejohanan Balapan dan Padang SK Kota Masai 2014 


SK Kota Masai berjaya menjadi Johan Keseluruhan peringkat Negeri Johor dalam Pertandingan Pendidikan Lalulintas Anjuran Shell dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Piala yang saya julang ini kekal berada di SKKM setelah pertandingan ini tidak lagi diadakan.


Saya dan anak-anak bersiap sedia untuk menaiki feri untuk ke Pulau Pangkor bagi menghadiri majlis perkahwinan sepupu.

Bergambar bersama-sama adik-adik serta ipar duai di hadapan Jeti Lumut sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

TAHUN 2015


Saya dan rakan cikgu lain membeli-belah kasut jenama Adidas di JPO. Biasa Butik Adidas menawarkan diskaun 50% ke atas pembelian 5 barang. Jadi kami membeli beberapa pasang kasut dan membayarnya dalam satu bil




\Bergambar selepas Kejohanan Balapan dan Padang SKKM 2015 sambil memperagakan kasut Adidas yang dibeli dibutik Johore Premium Outlet (JPO)



Gambar ini diambil selepas selesai Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014. Majlis ini diadakan di Dewan Sekolah Seni Malaysia, di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor


Irdeena memenangi pingat tempat ke-10 acara individu dan ke-2 acara berpasukan P12 Kejohanan Catur MSSJ 2015 yang diadakan di Segamat, Johor. MSSD Pasir Gudang menjadi juara keseluruhan kejohanan.


Bergambar bersama-sama Pengakap Kanak-kanak SKKM serta barisan guru pemimpin dan juga pentadbir SKKM.
TAHUN 2016


"Pantang mundur kecuali bini panggil balik". Tema Hari Guru SKKM 2016, Zaman Kesultanan Melayu Melaka.


Membuat analisis permainan pemain Johor selepas perlawanan dalam Kejohanan Catur MSSM 2016 yang diadakan di Universiti Malaysia Kelantan. Guru yang berdiri adalah Sifu Zahid dari Kluang (Ketua Jurulatih Catur MSSM Johor)


Membawa budak-budak ni menyertai Pertandingan Catur Terbuka SJKC Johor Jaya. Sabreena mendapat tempat pertama bawah 10 tahun.

TAHUN 2017


Berbuka puasa di hadapan Tasik Air Masin Masjid Tengku Intan Zaharah, Kuala Ibai, Kuala Terengganu (Masjid Terapung)


Terpahat dalam sejarah catur SKKM 4 orang memenangi medal dalam Catur MSSD 2018. Lawan agak sukar kerana sekolah-sekolah SJKC daerah Pasir Gudang antara sekolah terkuat dalam catur Negeri Johor. 

Nota : Cikgu perempuan tu dah bertunang dan bakal kahwin.

MSSD Pasir Gudang muncul Johan Keseluruhan Kejohanan Catur MSS Johor 2017


Menjadi Ketua Jurulatih Catur MSSD Pasir Gudang bersama Hisham (Pengurus Pasukan) dari SK Taman Daya 3. Dua murid SKKM (Hanna Alia dan Sabreena) mewakili MSSD Pasir Gudang dan Sabreena mendapat tempat ketiga serta dapat mewakili Johor ke MSSM.


Guru-guru SKKM membuat bulatan berbentuk hati. Gambar diambil dari aras 3. Sebenarnya masih ramai guru yang tidak mengambil bahagian dalam sesi menggambar ini.

TAHUN 2018


Mengajar Bahasa Malaysia kelas 5 Setia. Hari ini merupakan tahun ke-10 saya mengajar di SK Kota Masai.

Sebagai Ketua Panitia, terlibat secara langsung dalam merancang dan mentadbir ujian SEGAK peringkat sekolah tahun 2018.

Kenangan berswafoto bersama murid-murid kelas 4 Bestari tahun 2018

KENANGAN YANG TAK DAPAT LUPA

 1. Tinggal bersama datuk dan nenek pada 1982-83 di Kampung Fikri sedangkan ayah dan ibu tinggal di Kuala Terengganu. Saya dan kakak (Kak Dah) diberi duit belanja 20 sen sehari. Waktu malam rumah menggunakan pelita.

2. Tinggal di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu (1984-86). Zaman kanak-kanak terasa begitu seronok kerana dapat meneroka sekitar bandar Kuala Terengganu yang diumpamakan sebagai pekan kecil.

3. Rumah di hanyut ke Laut China Selatan (1986)
 

-  




Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA