TEMPAT MENARIK DI GERIK, PERAK : HENTIAN PUNCAK TITIWANGSA, GERIK, PERAK

OLEH : AMIZAM BIN MOHAMED

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat rakan pembaca sekalian.

Sudah hampir lima bulan juga saya tidak publish post baru walaupun sebenarnya sudah banyak artikel dalam bentuk draft dalam simpanan. Cuma rasa sedikit kemalasan untuk menyambung lagi cerita serta memasukkan beberapa gambar yang berkait rapat dengan artikel-artikel itu. Bukan apa jenuh dan skrol beribu-ribu gambar dalam phone untuk memilih gambar yang perlu ditempel pada artikel.

Terima kasih buat seorang kakak bersama anak menantunya kerana membantu saya mengambil gambar lengkap bersama ahli keluarga.

KEDUDUKANNYA BERHAMPIRAN SEMPADAN PERAK - KELANTAN.

Oklah berbalik kepada tajuk, saya ingin menceritakan pengalaman dan suasana yang boleh kita lihat sewaktu singgah di Hentian Puncak Titiwangsa. Hentian Titiwangsa ini terletak di laluan Timur - Barat yang menghubungkan negeri Pantai Barat di Gerik, Perak serta negeri Pantai Timur iaitu Jeli, Kelantan. Kedudukannya tidak jauh dari sempadan kedua-dua negeri tetapi ia terletak dalam kawasan negeri Perak.


Hentian Titiwangsa, Gerik, Perak Darul Ridzuan

Hentian Puncak Titiwangsa di Laluan Timur - Barat berhampiran sempadan Kelantan - Perak tetapi ia berada dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Grik, Perak

Bagi pengguna jalan raya yang melalui laluan ini pasti akan memilih untuk berhenti seketika di hentian ini bagi merehatkan diri dan keluarga. Disamping itu perberhentian itu penting bagi meredakan suhu injin kereta yang panas setelah mendaki beberapa buah gunung di Banjaran Titiwangsa itu.

Sewaktu saya melalui laluan ini pun terdapat beberapa buah kenderaan di birai jalan sambil membuka bonet kereta. Tahulah saya, kemungkinan kenderaan tersebut temperaturenya naik  akibat dari tangki air sudah kering. Saya sendiri sudah mempunyai pengalaman head enjin bengkok setelah air dari tangki masuk ke dalam akibat suhu enjin terlalu panas sewaktu kereta menyelusuri jalan Gunung Inas untuk ke Pengkalan Hulu pada tahun 2004. Dan kejadian terbaharu yang terjadi kepada kereta Avanza kakak ipar pada 2017 yang mana tangki airnya pecah sewaktu memandu di laluan Timur - Barat ini.

LALUAN TIMUR - BARAT KEMBALIKAN NOSTALGIA LAMA

Bila saya melalui jalan ini, pasti memori lama terngiang-ngiang diminda saya. Kenangan pertama pastinya bersama keluarga sewaktu pulang ke Pulau Pangkor pada tahun 1987. Pada waktu itu, ayah memiliki kereta Toyota Wagon dan kami ayah mak dan 7 beradik sambil ditemani sepupu saya iaitu Abang Hamdan.

Dari Kuala Terengganu ayah mengambil Abang Hamdan di Kampung Fikri kemudian menuju ke Bandar Jerteh. Kemudian melalui Simpang ke Machang. Yang paling rare bila sampai di Tanah Merah, kereta perlu melalui satu jambatan keretapi untuk menyeberangi Sungai Kelantan. Tapi kereta kena tunggu turnlah. Ada tiga turn iaitu pertama sudah tentu kena tunggu keretapi lalu. Yang kedua kereta dari arah Machang jalan. Dan yang ketiga ialah turn kereta dari arah Jeli.

Jambatan Pulau Banding merupakan satu jambatan panjang yang penting di Tasik Temenggor, laluan timur-barat

Dari Tanah Merah kemudian kita perlu meneruskan perjalanan ke Jeli. Sesampainya di Batu Melintang, Jeli kita akan melintasi satu sekatan jalanraya oleh tentera. Tentera akan menyoal pemandu terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat penting. Setelah berpuas hati barulah pihak tentera membenarkan kita melalui jalan Timur - Barat. Untuk pengetahuan semua, pada masa itu laluan ini hanya boleh dilalui setakat jam 5.00 petang sahaja. Ini kerana pada masa itu sepanjang laluan ini merupakan sarang komunis untuk melakukan aktiviti subversif yang mengancam keselamatan negara. Di sepanjang laluan terdapat banyak post-post tentera di kiri dan kanan jalan hinggalah ke Gerik, Perak.

Terdapat dua jambatan yang menghubungkan Pulau Banding di Tasik Temenggor. Satu jambatan pendek dan satu jambatan panjang. Gambar ini merupakan bahagian bawah jambatan pendek. (Pendek tak pendek jugalah)

Oleh kerana dalam kereta terlalu padat, suasana dalam kereta agak hangat. Iyalah ada 10 orang di dalamnya. Sistem penghawa dingin kereta dulu-dulu tidak sesejuk kereta moden sekarang. Keadaan yang hangat itu, ayah memberhentikan kereta di satu tempat yang mana di situ terdapat satu mata air yang mengalir. Kami semua mandi menyejukkan badan dengan mata air gunung itu. Rasanya sejuk hingga menggetarkan badan hingga ke tulang sum-sum. Pada waktu itu belum ada lagi hentian untuk kenderaan lalu-lalang berhenti apa lagi Hentian Titiwangsa sudah barang tentu ia belum lagi wujud.

Di bawah Jambatan Pulau Banding terdapat satu chalet persendirian yang menawarkan pakej meneroka Tasik Pulau Banding ini.

Chalet Tasik Pulau Banding (Pulau Banding di sebelah daratan sana)

Kami tak menginap di sini pun. Cuma berhenti untuk bertanyakan ikan tasik

Jarak Pulau Banding dengan Hentian Titiwangsa tidaklah begitu jauh.

Satu lagi kenangan adalah ketika 3 tahun belajar di Universiti Utara Malaysia. Mahasiswa-mahasiswa universiti ini dari Kelantan dan Terengganu pasti akan menggunakan laluan ini. Tidak kiralah sama ada menaiki bas, kereta atau pun motosikal. Namun tidak banyak pemandangan yang dapat dilihat kerana ketika melalui jalan ini keadaannya kelam dan gelap gelita. Biasanya jika menaiki bas, kita akan tiba sampai di kawasan ini dalam pukul 12.00 - 1.00 pagi. Yang selalu nampak ialah kelibat kumpulan-kumpulan kecil gajah yang melintas jalan terutamanya selepas melintasi Jambatan Tasik Banding.

Pernah satu ketika sewaktu pulang berhari raya menggunakan bas charter dikendalikan oleh seorang rakan saya, bas itu tayarnya pancit pada jam 6.00 pagi. Penumpang bas terkandas hampir tiga jam di lebuh raya timur barat ini. Tapi kedudukannya sudah tidak jauh dari Batu Melintang iaitu dalam jarak kira-kira 7 - 8 kilometer. Bosan kerana 2-3 jam berada di situ, kami pelajar-pelajar ni pakat berjalan beramai-ramai hingga ke Batu Melintang.  Bila dapat tahu ramai yang berjalan kaki,  pihak polis memarahi kami kerana membahayakan keselamatan. Katanya kawasan ini agak bahaya kerana banyak harimau berkeliaran. Dalam pukul 12.00 tengah hari, barulah bas siap dibaik pulih dan bersedia untuk meneruskan perjalanan.

AMBIL PELUANG BERHENTI DI HENTIAN PUNCAK TITIWANGSA

Jika anda berkesempatan melalui Lebuh Raya Timur-Barat jangan lupa untuk singgah di Hentian Titiwangsa. Anda berpeluang menyaksikan satu pemandangan indah di belakang hentian dengan deretan gunung - ganang yang menghijau dan belum tercemar. Sekali-kali muka anda akan disapa oleh hembusan bayu gunung yang sejuk seperti wap sejuk yang keluar dari peti ais sewaktu dibuka.

Pemandangan Lembah Belum dapat dilihat di Hentian Puncak Titiwangsa

Selfie 
Lain sudut

Saya dan keluarga sempat singgah di sini sewaktu dalam perjalanan ke Kedah pada 13.12.2019. Kami tiba di puncak ini kira-kira jam 10.30 pagi. Kelihatan banyak kenderaan turut sama berhenti. Tidak kiralah dari arah Gerik mahu pun arah Jeli. Ruang parkirnya tidak begitu cantik kerana terdapat banyak lopak air. Namun begitu ia bukan penghalang untuk kami berhenti. Selepas turun dari kereta, lokasi tumpuan utama sudah tentulah tandas. Kami secara bergilir-gilir masuk. Iyalah anak-anak masih kecil belum mampu menjaga keselamatan diri sendiri. Jadi inilah caranya untuk memastikan keselamatan terjamin.


Tandas dan surau di Hentian Titiwangsa

Selepas itu, kami meronda di kawasan belakang hentian. Di situ terdapat ramai pengunjung yang mengambil peluang untuk snap gambar pemandangan bersama ahli keluarga atau rakan-rakan. Bila perhatikan pemandangan di bawah Lembah  Belum dengan deretan gunung-ganang yang berbalam-balam, pasti kita akan kagum dengan kebesaran Allah S.W.T yang menciptakannya. 


Kedamaian dan ketenangan

Kita boleh lihat satu lembah indah yang diliputi hutan tebal yang belum terusik oleh tangan-tangan manusia. Hembusan bayu gunung yang tak henti-henti menerjah pipi sungguh mengasyikkan. Semoga tempat ini terus dilindungi dari arus pembangunan yang merosakkan ekosistemnya. 

Saya melihat terdapat ramai juga pengunjung yang membawa bekalan makanan sendiri makan di sini seolah-olah seperti pusat perkelahan. Mereka menghamparkan tikar di kawasan lapang dan makan beramai-ramai bersama ahli keluarga. 


Bahagian hujung hentian

Bagi yang tidak membawa bekalan, mereka boleh membeli di kafe makanan yang terdapat di situ. Harganya biasalah mahal seringgit dua dari harga di 'bawah' sana. Pun begitu saya lihat penuh juga tempat duduk pelanggan-pelanggan yang makan. Anak-anak turut sama mahu membeli makanan bagi mengalas perut sebelum sampai ke Kedah. Saya membeli beberapa biji roti pau berperisa coklat dan kari ayam untuk mereka. Sambil itu, mereka turut mencapai air tin milo sebagai penghilang dahaga.


Anak-anak mahu makan pau


Suasana di kafeteria

SNAP BEBERAPA KEPING GAMBAR SEBELUM BEREDAR

Kami mengambil peluang merakam beberapa keping gambar. Mujur juga ada seorang kakak yang membantu saya mengambil gambar penuh kami sekeluarga. Rasanya dia berasal dari Terengganu berdasarkan lenggok perbualannya bersama anak menantunya.


Potretkan kenangan


Mereka

Anak-anak mengambil peluang menikmati panorama alam

Ramai juga yang bergambar

Terdapat dua tiga keluarga yang menunggu giliran untuk mengambil gambar di tempat kami ambil itu. Selepas selesai semuanya, kami menaiki kereta dan beredar bagi meneruskan perjalanan ke negeri Kedah.

Sekian, Wassalam....




Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR