MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

Jika anda berada di Kuala Terengganu, jangan lupa untuk untuk mencuba makan nasi lemak bawah rumah. 

Nasi lemak bawah rumah mendapat nama kerana pemilik perniagaan itu menjual nasi lemak di bawah rumahnya (kolong rumah).


Rumah Limas Terengganu : Nasi Lemak Bawah Rumah terletak di Kampung Gelong Bilal, Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Beroperasi pada awal pagi hingga ke subuh setiap hari. 

Kedudukan terletak betul-betul di persimpangan lampu isyarat Kampung Gelong Bilal. Bagi orang bukan dari Kuala Terengganu, untuk ke sini anda perlu mengambil jalan ke Kampung Bukit Besar seterusnya ke Kampung Pasir Panjang. Kedudukannya atas sedikit dari Pasir Panjang. Bagi yang mengetahui selok - belok jalan sekitar Kuala Terengganu boleh juga melalui Jalan Gong Kapas - Panji Alam - Gong Tok Nasek - Bukit Bayas. Sebenarnya jalan ini merupakan jalan lingkaran seperti kuih pau. Boleh menembusi antara satu sama lain. 

Ia beroperasi pada larut malam hingga ke waktu subuh. Saya rasa ia beroperasi jam 12.00 malam hingga 5.00 pagi. Tapi saya tak pernah tanya pun tuan punya kedai. Lagi pun saya tak pernah membeli sebelum pukul 12.00 malam. Saya rasa sebelum jam itu, tuan kedai menggunakan masa tersebut untuk memasak lauk-pauk dan menanak nasi.


Saya parking kereta betul-betul dekat simpang traffic light Gelong Bilal ketika mahu membeli nasi lemak womoh jam 2.15 pagi setelah memandu 7 jam dari Pasir Gudang

Saya sering kali membeli nasi lemak di sini jika kena pada waktu pulang ke rumah ayah di Taman Permint Permai, yang jaraknya kira-kira 5 km dari tempat menjual nasi lemak ini. Kalau dari Kuala Terengganu, jaraknya pula lebih kurang 6 km. Tak jauh mana pun.


Ramai pelanggan yang beratur menanti giliran membeli nasi lemak. Saya menunggu lebih dari 30 minit. Kira oklah tu kan.

Setiap kali saya pulang ke Kuala Terengganu pada bulan puasa, saya akan bangun jam 3.30 pagi datang ke sini membeli nasi lemak untuk sahur.

Keistimewaan nasi lemak ini terletak pada sambal dan nasinya seperti bau asap yang rasa seakan-akan dimasak menggunakan dapur kayu. Terdapat 2 jenis lauk disediakan. Bagi orang Terengganu seperti saya lebih menggemari lauk ikan aya putih (kat Johor dipanggil tongkol hitam).

Hati-hati...jangan sampai terhantuk kepala. Kolongnya agak rendah. Macam rumah sewa Kassim Selamat dalam Filem Ibu Mertuaku.

Bagi orang Terengganu, sudah tentu tidak begitu menggemari ikan tongkol, bolehlah membeli nasi lemak lauk ayam. Kalau tidak suka juga lauk ayam, boleh membeli nasi lemak kosong (basic + ikan bilis + kacang). Tapi harga nasi lemak kosong ini sama dengan nasik lemak lauk ikan RM3.00. Harga nasi lemak lauk ayam RM6.00.

Harga nasi lemak mengikut kehendak anda

Untuk review nasi lemak ni, saya bagi 4.5 bintang dari segi rasanya. Memang kenalah dengan selera saya. Bagi anda saya tak tahulah sebab hal selera ni sangat subjektif. Bagi servis pula, saya bagi 4 bintang. Agak lambat jugalah nak tunggu turn sebab pelanggan agak ramai. Yang terbaru saya membeli pada 25 Oktober jam 2.15 pagi, masa yang diambil untuk turn saya lebih kurang 35 minit menunggu.

Boleh makan di sini jika anda mahu. Tapi ramai pelanggan yang bungkus

Nasi lemak dikukus menggunakan periuk besar. Kemudian dimasukkan sedikit-sedikit didalam bekas ketika dijual.

Nasik Lemok Womoh dalam loghat Terengganu. Dalam dialek Johor - Riau (BM Standard), Nasi Lemak Bawah Rumah


Saya makan nasi lemak ketika berada di rumah saya di Kota Bharu, Kelantan pada jam 6.00 pagi.

Ok. Itu sajalah nota saya untuk kali ini. Selamat mencuba NASI LEMOK WOMOH.....

Sekian....terima kasih kerana membaca dan berkunjung ke blog saya. Jangan lupa selongkar cerita saya yang lain dalam blog ni...

Comments

Popular posts from this blog

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR