GE14 - Dari kaca mata rakyat kecil

Assalamualaikum semua, PRU14 baru sahaja selesai dan kira-kira 9.30 malam tadi (10 Mei 2018) Tun Dr. Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7. Saya agak terkejut dengan kekalahan teruk BN di semua negeri kecuali di Perlis, Sabah, Pahang dan Sarawak tetapi menerima keputusan yang telah dibuat rakyat ini. Bagi saya mungkin inilah masanya bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa bukan hanya BN yang mampu dan pandai memerintah. Selepas ini Pakatan Harapan bukan lagi dalam posisi pengkritik dasar kerajaan tetapi sebaliknya sebagai pihak yang menjawab kritikan seperti mana yang mereka lakukan terhadap pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Saya singgah di Masjid Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Rusila Marang dalam perjalanan pulang dari Pasir Gudang ke  Kota Bharu.

Penulisan saya pada kali ini, ingin mengutarakan pandangan saya faktor mengapa Kerajaan Barisan Nasional tumbang pada PRU14.

1. Pelaksanaan GST

Ini adalah faktor utama mengapa kerajaan BN pimpinan DS Najib kalah dalam pru kali ini. Pelaksanaan GST telah menyebabkan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan. Faktor ini dimanipulasi semaksimum mungkin oleh pihak lawan untuk menarik sokongan rakyat mengundi mereka.

2. Penyampaian idea-idea (dasar) kerajaan melalui media lapuk.

Saya melihat jentera kerajaan dan parti Barisan Nasional menggunakan media tradisional seperti televisyen dan radio dalam menyampaikan mesej kepada rakyat sedangkan majoriti rakyat Malaysia sudah jarang menonton televisyen sebaliknya mereka banyak menghabiskan masa di medium media sosial seperti Facebook, Whatsapps, telegram dan sebagainya.

3. Pengabaian kuasa 'likes', 'sponsored' dan 'viewed'

Saya melihat kelemahan jentera Barisan Nasional yang gagal mengambil peluang sejak PRU13. Kuasa 'likes' di facebook menjadi gambaran 'imej baik' digunakan oleh pihak lawan terutamanya parti DAP pada pru13. Pada PRU13, saya melihat setiap artikel atau berita berkaitan Pakatan Rakyat mendapat jumlah 'Likes' beribu-ribu diselangi oleh komen-komen positif dari penyokong dan siber trooper. Ini memberi imej bahawa PR mendapat sokongan ramai sehingga menarik pengundi-pengundi baru dan pengundi BN memberi undi kepada PR. Pada pru14 disamping kuasa 'likes' terdapat elemen tambahan di facebook iaitu 'viewed' bagi menunjukkan ramai yang menonton video dan 'sponsored' dalam menyebarkan pages mereka secara meluas ke pengguna alam maya. Saya melihat BN dan PAS tidak mengambil peluang ini untuk berkempen. Sebenar facebook dan juga pihak lain memberi ruang kepada pengguna facebook untuk membeli pakej menambahkan likes, viewed dan menyebar luas pages melalui sponsored. Sebenarnya ini adalah strategi baru dalam berkempen selain cara tradisional melalui tv, radio, banner, pacak bendera dan sebagainya.

4. Pertikaian DS Najib dengan Mukhriz dan Tun Mahathir

Dalam kedudukan kerajaan yang lemah, DS Najib mengambil keputusan yang radikal ketika timbul pertikaian antara beliau dan Tun Mahathir. Ini membawa kepada perlucutan jawatan Menteri Besar Kedah yang disandang oleh anak Tun Mahathir iaitu Mukhriz. Umum tahu, Tun Mahathir masih mempunyai pengaruh kuat dikalangan rakyat Malaysia dan juga di Kedah. Disaat kerajaan BN hilang kekuatan di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, sedikit di Perak dan Terengganu. Mengambil tindakan menentang Mahathir dan Mukhriz menyebabkan BN juga hilang pengaruh di Kedah.

5. Pertembungan DS Najib dengan TS Muhyidin Yassin

Seperti pertikaian dengan Tun M dan Mukhtiz, DS Najib mengambil pendekatan yang sama terhadap TS Muhyidin Yassin apabila timbul pertikaian antara mereka. Mungkin DS Najib tersilap percaturan bahawa pengaruh TS Muhyidin di Johor adalah kurang disebabkan faktor Johor kubu kuat UMNO. Ternyata tindakan ini menyebabkan UMNO dan BN hilang penguasaan kerusi Parlimen dan DUN di Johor.

6. Pertembungan DS Najib - Shafie Apdal, hilang 'deposit tetap' BN di Sabah.

DS Shafie Apdal dan TS Muhyidin disingkirkan dari UMNO pada masa yang sama. Penyingkiran DS Shafie Apdal dari UMNO menyebabkan DS Syafie melakukan 'pemberontakan' di Sabah dengan menubuhkan Parti Warisan. Kewujudan Parti Warisan Sabah berjaya  memberi saingan serta menyebabkan BN kehilangan banyak undi Parlimen dan DUN Sabah.

7. Perselisihan DS Najib dengan DS Ahmad Said (Mantan MB Terengganu)

Selepas menang PRU13, berlaku perselisihan antara DS Najib dan DS Ahmad Said sehingga membawa kepada perlucutan DS Ahmad Said dari jawatan MB Terengganu. Untuk pengetahuan semua, DS Ahmad Said sangat berpengaruh di Terengganu Selatan (Kemaman) manakala DS Idris Jusoh berkuasa di Terengganu Utara (Besut) manakala lain-lain pemimpin di Terengganu adalah proksi mereka berdua. Hubungan kedua-dua pemimpin ini tidak begitu baik. Apabila DS Najib menggugurkan DS Ahmad Said dari jawatan MB, kedudukan UMNO Terengganu begitu goyah. Terdapat khabar angin mengatakan nama DS Ahmad Said tiada dalam senarai calon untuk PRU14 namun dimasukkan saat-saat akhir setelah mendengar desas-desus beliau bertanding sebagai calon bebas.

8. Pola pengundi Kaum Melayu dan Cina

Pola pengundi Melayu pada PRU14 berpecah kepada 3 iaitu kepada BN, Pas dan PKR manakala boleh dikatakan Kaum Cina memberi undi 'solid' kepada PKR (PH) iaitu antara 95%-99%. Ini tidak memberi kelebihan kepada BN atau pun Pas jika bertanding di kawasan yang mempunyai komposisi kaum Cina melebihi 20%. 


Saya mengundi di SK Chendering Daerah Mengundi Chendering Pantai, DUN N16 Batu Buruk, Parlimen P037 Kuala Terengganu.

Saya mengundi di saluran 4 peti undi Chendering Pantai


Kawasan perayu undi di hadapan SK Chendering Pantai. Di bawah 'kanopi' bendera Pas terdapat perayu undi dari Pas dan BN yang merayu undi dari pengundi yang melintasi mereka. Saya tidak nampak kelibat perayu undi dari PKR.

Bendera parti bertanding yang terpasang di Jalan Paya Keladi berhampiran Pasar Kedai Payang menuju ke stesen Bas Kuala Terengganu.


Saya bergambar di sebelah bunting Calon Parlimen P021 Kota Bharu dan N017 Dun Salor


NOTA : Segala keterangan dan catatan dalam artikel ini hanyalah pandangan peribadi saya. Lagi pun blog saya bukanlah blog politik. Jika anda mempunyai mempunyai pandangan berbeza luahkan dalam blog anda sendiri. Terima kasih kerana membaca.



Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA