ITINERARI MUSIM CUTI SEKOLAH BULAN OGOS 2018 (TRIP KE CAMERON HIGHLAND)

PASIR GUDANG - KOTA BHARU
Khamis, 16 Ogos 2018.

Pada cuti sekolah pertengahan penggal kedua 2018 iaitu pada 17 hingga 25 Ogos 2018, seperti biasa saya dan keluarga tidak melepaskan peluang untuk pulang ke Kota Bharu. Jika tahun-tahun sudah, dalam perjalanan pulang saya akan singgah rumah ayah di Taman Permint Permai, Kuala Terengganu untuk tidur sekejap sebelum bertolak semula pada lewat pagi (antara pukul 10.00 hingga 11.00 pagi). Akan tetapi untuk tahun ini saya lebih selesa untuk terus bergerak ke Kota Bharu. Cuti persekolahan pertengahan penggal kedua pada tahun ini juga agak istimewa kerana di dalam cuti tersebut umat Islam menyambut Hari Raya Qurban iaitu pada hari Rabu 22 Ogos 2018.

I Love KT di Simpang Jalan Paya Keladi - Pasar Payang

Saya bertolak dari Kota Masai pada jam 6.45 petang, Khamis 16 Ogos 2018 setelah isteri pulang dari kerja pada pukul 6.25 petang. Saya memilih jalan 'belakang' iaitu jalan Masai- Kong Kong - Loji Air SAJ - Ulu Tiram untuk bergerak keluar dari Pasir Gudang. Setibanya di Stesen Minyak Petronas Ulu Tiram, saya mengisi petrol sebanyak RM100.00. Selepas itu saya bergerak ke Kuantan melalui Jalan Persekutuan Johor Bahru - Pekan. Jarak antara Pasir Gudang ke Kuantan lebih kurang 325 kilometer dan kebiasaannya saya mengambil masa 4 jam setengah hingga 5 jam untuk tiba di Kuantan. Perjalanan dari Pasir Gudang ke Kuantan ini agak perlahan kerana di pertengahan hujan turun agak lebat. Saya tiba di Kuantan pada jam 11.30 malam kemudian menopap petrol di Stesen Petronas Jln Sg. Lembing sebanyak RM50.00 Kemudian saya meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu dengan memasuki LPT2 melalui Plaza Tol Kuantan. 

HENTIAN BAS KUALA TERENGGANU

Sebaik memasuki lebuhraya kaki saya agak gatal untuk menekan pedal minyak makin ke bawah. Akibatnya kereta yang saya pandu menerima flash cahaya paparazi JPJ (kamera AES) Perasing - Chukai (tetapi bernasib baik apabila menteri pengangkutan membantalkan semua saman AES hingga 31 Ogos 2018). Kemudian, saya memandu keluar kereta di Plaza Tol Telemung untuk masuk ke Kuala Terengganu melewati Pekan Bukit Payong, Marang. Saya bercadang untuk membeli Nasi Lemak Bawah Rumah yang terletak di Bukit Bayas tetapi tidak beroperasi pada pagi itu. Kemudian saya menuju ke bandar Kuala Terengganu untuk makan malam kerana perut saya agak lapar. Saya berhenti di Stesen Bas Kuala Terengganu sebabnya disitu terdapat beberapa warung yang beroperasi hingga ke siang. Tibanya di situ, hanya saya seorang yang turun dari kereta manakala isteri dan anak-anak masih tidur nyenyak.


Saya singgah Stesen Bas Kuala Terengganu untuk makan pada jam 1.30 pagi 17 Ogos 2018. Saya dan stesen bas ini mempunyai hubungan yang signifikan kerana banyak nostalgia terkumpul di sini antaranya rakan sekelas SK Paya Bunga yang comel Faradila rumahnya adalah tapak stesen bas ini. Saya selalu melintasi rumahnya ketika pulang sekolah untuk ke stesen bas lama (saya naik bas Rhu Muda balik rumah di Pantai Pandak, Chendering)

Pekena nasi lemak dan teh tarik di Stesen Bas Kuala Terengganu sebelum bertolak ke Kota Bharu

Selepas makan, saya membeli 3 bungkus roti john kecil untuk anak-anak dalam kereta. Saya meneruskan perjalanan pada pukul 2.00 pagi dengan memilih jalan pantai untuk ke Kota Bharu. Perjalanannya amat lancar kerana kenderaan yang kurang. Saya kemudiannya kembali menambah minyak kereta di Stesen Shell Merang, Setiu sebanyak RM50.00. Kemudian saya bergerak semula menyelusuri jalan-jalan sunyi Pantai Penarek, Kampung Saujana, Kampung Fikri, Pengkalan Gelap seterusnya ke Kampung Raja, Besut. Kemudian saya melalui jalan Kuala Besut - Tok Bali - Jelawat. Saya sampai di rumah lebih kurang pada pukul 4.15 pagi.


Suasana gelap dan sunyi. Gambaran Kuala Besut pada 3.15 minit pagi 17 Ogos 2018, hari Jumaat

Kos dikeluarkan Pasir Gudang - Kota Bharu
Petrol Petronas Ulu Tiram, Johor - RM100.00
Petrol Petronas Jln Sg.Lembing    - RM50.00
Petrol Shell Merang, Setiu, Trg     - RM50.00
Tol LPT2 Kuantan - Telemung      - RM23.00
Makan Malam/pagi                         - RM11.50
                                   JUMLAH        - RM234.50


KOTA BHARU - KUALA KRAI
Jumaat, 17 Ogos 2018.

Kalau diikutkan rancangan awal, saya ingin memandu terus dari Pasir Gudang ke Kuala Krai. Tetapi bila barang yang dibawa balik terlalu banyak, jadi saya balik ke rumah Kota Bharu dulu untuk memunggah barang tambahan pula pada hari itu kakak ipar mengada majlis akikah untuk cucunya yang baru lahir 2 minggu sebelum itu. Selain itu, dapat juga saya merehatkan diri setelah memandu hampir 10 jam dari Pasir Gudang.


Jagung yang ditanam pada hari raya ketiga ( Aidilfitri) yang lalu di halaman rumah mula membesar dan berbuah

Jagung yang ditanam di halaman rumah sebulan sebelum itu sudah berbuah dan ada yang sudah boleh dituai

Pada hari Jumaat itu, saya tidak dapat membantu kakak ipar dan anak saudara dalam membuat persediaan juadah untuk majlis akikah kerana rasa letih belum hilang. Pada pagi itu, saya hanya mengambil peluang untuk tidur di dalam bilik memandang petang nanti akan bertolak pula ke Kuala Krai. Selepas solat asar, saya dan keluarga bersama ibu mertua, adik ipar serta dua orang anaknya bertolak ke Kuala Krai. Keadaan trafik pada masa itu masih berjalan lancar walaupun terdapat pertambahan kenderaan apabila makin ramai yang sudah pulang ke kampung halaman di Kelantan.

Saya memandu kereta pada kelajuan biasa kerana ingin menjimatkan bahan api. Paparan pada meter petrol menunjukkan jentera saya itu boleh bergerak sehingga 350 kilometer jika memandu dalam halaju 80-100 kmj. Itu bermakna, kereta saya boleh sampai ke Bandar Gua Musang (jarak 185km dengan Kota Bharu) tanpa perlu singgah di Stesen Petrol. Dalam perjalanan itu, hujan turun renyai-renyai hingga Machang. Selepas itu, keadaan mula kering. Saya singgah di Bandar Kuala Krai kerana isteri mahu membeli barang-barang untuk masakan bekalan ke Cameron Highland.


Singgah di Bandar Kuala Krai untuk membeli barang dapur di Pasaraya PKT dan solat maghrib di Masjid al-Jauhar Guchil, Kuala Krai (menara masjid kelihatan dalam gambar). Gambar tersebut diambil di tempat letak kereta Pasaraya PKT.

Pasaraya PKT Kuala Krai yang saya singgah kerana isteri ingin membeli barang basah untuk dimasak sebagai bekalan ke Cameron Highland

Setelah isteri selesai membeli dan menunaikan solat, saya menyambung kembali pemanduan ke Chuchoh Puteri yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Kuala Krai. Sebelum itu, kami singgah makan sate yang agak terkenal di kawasan ini iaitu sate kampung Pahi. Saya memesan sate dan nasi himpit berharga RM30.00 berserta 4 gelas air. Jumlah keseluruhan yang saya bayar untuk makan di situ adalah RM34.50. Tak lama selepas itu, kami bertolak semula meneruskan perjalanan. Kami tiba di Chuchoh puteri pada jam 9.00. Oleh kerana terlalu letih, saya terus tidur selepas menjamah beberapa ulas durian yang dikutip adik ipar pada dua hari sebelum itu.

Kos yang digunakan sepanjang hari ini
Makan Sate Kampung Pahi - RM34.50
Barangan dapur                    -  tidak dapat dipastikan (duit isteri)
                             Jumlah       - RM34.50



CHUCHOH PUTERI - CAMERON HIGHLAND
Sabtu, 18 Julai 2018.

Saya dan keluarga bangun awal pada pagi ini kerana misi kami untuk pergi ke Cameron Highland melalui Jalan Gua Musang. Percutian ke Cameron Highland pada kali ini turut disertai oleh kakak ipar dan juga adik ipar lelaki. Jadi pergerakan kami pada hari ini adalah secara konvoi tiga buah kenderaan. Sebelum bertolak saya sempat menjamah beberapa ulas durian lagi yang diambil dari kebun getah isteri. Kemudian pada pukul 8.30 pagi kami mula bertolak menuju Gua Musang.

Jalan Kuala Krai - Gua Musang yang saya lalui untuk ke Cameron Highland adalah berliku-liku serta permukaan jalan yang tidak rata. Setiap masa kita akan melalui atau menemui jalan yang berselekoh. Kenderaan berat juga banyak kita jumpa menggunakan laluan ini. Jadi amatlah penting untuk kita memandu dengan sabar kerana amat jarang sekali kita berpeluang untuk memotong kenderaan di hadapan. Jalan di sini agak sempit serta hanya mempunyai dua lorong. Sebahagian besar laluan jalan ini adalah bergarisan dua (double line) dan ia merupakan kawasan larangan memotong. Sebab itu kita sering terbaca berita kemalangan maut yang berlaku di jalan ini.

MASJID TENGKU MUHAMMAD FAIZ PETRA

Saya tiba di Gua Musang lebih kurang jam 10.30 pagi. Tetapi kereta kakak ipar dan adik ipar belum lagi tiba kerana mereka berhenti di satu stesen minyak selepas Felda Chiku. Jadi saya mengambil keputusan untuk berehat dan menunggu di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang. Setengah jam kemudian, kenderaan mereka berdua memasuki perkarangan masjid. Kami berehat sambil makan-makan bekalan yang dibawa. Pada waktu itu, kelihatan ramai juga para musafir dari luar berhenti berehat di situ.


Saya memarkir kereta di ruang tempat letak kereta. Di hadapan kereta saya terdapat bangku konkrit yang disediakan pengurusan masjid untuk para musafir berjemaah. Boleh dikategorikan masjid ini sebagai mesra musafir kerana banyak kemudahan disediakan.

Berehat sambil menjamu selera di Perkarangan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang, Kelantan.

Anak-anak bersama sepupunya membeli air yang dijual di gerai masjid bagi menghilangkan haus dan dahaga.

Along dan Qayyum (sepupu) main gelongsor di sisi belakang masjid. Gelongsor ini dibina daripada simen konkrit

Bergambar bahagian sisi belakang Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang, Kelantan

Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang, kelantan - Ogos 2018


Lebih kurang 30 minit berehat di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, kami beredar keluar dari situ menuju ke Stesen Minyak Petronas yang terletak di seberang jalan sahaja dari masjid ini. Ketiga-tiga kenderaan kami mengisi penuh petrol. Saya mengisi petrol full tank dengan nilai RM91.00. Kemudian, kami mula bergerak ke lebuhraya Gua Musang - Lojing.

Stesen Minyak Petronas Gua Musang, tempat kami berhenti mengisi minyak sebelum memasuki Lebuhraya Gua Musang - Lojing. Anda perlu mengisi minyak di sini jika mahu ke Cameron Highland kerana di Lebuhraya Gua Musang - Lojing tiada stesen minyak beroperasi.

BRINCHANG DAN BEREHAT DI KHM STRAWBERRY

Pemandangan di sepanjang lebuhraya sunyi ini penuh kehijauan pokok-pokok hutan tetapi bila jalan semakin hampir dengan Lojing, kelihatan bukit bukau yang botak dan kawasan kosong itu ditanam dengan kelapa sawit. Terdapat juga ladang durian Musang King yang diusahakan secara komersial di laluan ini. Tidak ketinggalan sekali sekala kita akan melihat rumah-rumah yang didiami oleh masyarakat orang asli. Di kiri jalan sebelum tiba di Lojing kita boleh melihat SK Post Brooke sebuah sekolah orang asli.

Kira-kira jam 12.45 tengah hari, kami tiba di Pekan Brincang. Oleh kerana waktu untuk check-in tempat penginapan pada pukul 2.00 petang, kami membuat keputusan untuk ke mana-mana tempat yang boleh dilawati. Dengan mengguna panduan google maps kami pergi ke KHM Strawberry Tanah Rata. Di sini dikatakan syurga bagi peminat scones dan aiskrim strawberry. Tetapi kami tak beli pun menu tersebut. Kalau beli sudah tentu terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak kerana rombongan 'anak wek' kami ramai. Jadi kami hanya membeli aiskrim malaysia berperisa strawberi berharga RM1.50 sebatang tetapi jika membeli 4 batang kita hanya perlu membayar RM5.00. Saya membeli 2 kotak buah strawberi dengan harga RM14.00 dan aiskrim strawberi RM5.00.

Sempat bergambar di Pekan Brinchang, Cameron Highland, Pahang. Di belakang saya adalah Masjid Kayangan Brinchang. Kedudukannya di tengah-tengah Pekan Brinchang.


Bergambar di kebun strawberi KHM Strawberry. Yang duduk adalah kakak ipar dan anaknya

Adik ipar dan anak-anak saudara ketika berehat di KHM Strawberry, Tanah Rata

Tempat letak kereta dengan bayaran RM5.00 per entry dikenakan kepada kenderaan yang masuk


Kubis yang ditanam atas tanah rizab perkuburan Islam di sini. Di Camaeron Highland boleh dikatakan sukar untuk kita lihat tanah dibiarkan kosong.

Gambar kolaj sekitar lawatan ke KHM Strawberry, Tanah Rata, Cameron Highland, Pahang

MENGINAP DI ROYAL LILY APARTMENT

Jam 2.00 petang, kami bergerak pula ke tempat penginapan di Apartment Royal Lily, Tanah Rata. Apartment ini terletak di jalan belakang selepas Maybank Tanah Rata. Sebenarnya kakak ipar saya telah menempah apartment ini secara dalam talian seminggu lebih awal dengan membayar deposit terlebih dahulu. Kadar sewanya saya tak pasti tetapi saya anggarkan lebih kurang RM250.00 sehari.

Setelah mendaftar masuk ke dalam apartment, rombongan kami makan nasi yang kami bawa dari Chuchoh Puteri sebagai bekalan. Oleh kerana rombongan kami seramai 22 orang, sudah tentu jika makan di kedai memakan kos yang tinggi apatah lagi ketika berada di pusat peranginan seperti Cameron Highland. Selepas menjamah makanan serta solat jamak Zohor dan Asar. Kami keluar semula dari apartment untuk ke Big Red Strawberry Farm di Brinchang serta Pasar Malam Brinchang.


Royal Lily Apartment, Tanah Rata tempat kami menginap semasa berada di Cameron Highland


BIG RED STRAWBERRY FARM, BRINCANG

Sebelum ke mari, isteri saya telah pun membuat research tempat-tempat yang ingin dilawati semasa berkunjung ke sini. Salah satu tempat yang tersenarai adalah Big Red Strawberry Farm yang terletak di Brinchang. Dengan menggunakan panduan google maps saya mencari tempat tersebut. Ternyata tempat itu tidaklah sukar dicari kerana terletak di bukit bahagian belakang Pekan Brinchang. Apabila tiba di situ, saya membawa kereta mendaki bukit Big Red Strawberry itu tanpa prejudis. Jalannya agak aempit serta ramai pejalan kaki di kiri dan kanan jalan. Saya terus membawa kereta hingga ke puncak bukit kerana ruang tempat letak kereta penuh. Di puncak bukit memanglah banyak parking kosong tetapi kedai atau ruang pamer bahagian ini tidak semeriah di bahagian lereng bukit tadi. Jadi aaya mengambil keputusan untuk turun semula dan mencari parking bahagian bawah. Semasa menuruni bukit inilah baru perasaan takut datang kerana terpaksa membawa kereta menuruni bukit dengan kecerunan lebih 45 darjah. Ia kelihatan seperti 50 darjah. Sudahlah jalan yang dibina menggunakan simen itu sempit. Namun begitu, kami berjaya juga turun dengan selamat.

Setelah membuat pusingan semula, kami meletak kereta di kaki bukit tepi bangunan kemudian mendaki bukit dengan berjalan kaki. Ibu mertua yang turut hadir tidak turut serta sebaliknya hanya duduk di dalam kereta. Suasana di sini menyeronokkan juga kerana banyak ruang pamer seperti tanaman strawberi, sayur-sayuran, kedai jualan makanan dan cenderamata terdapat di sini.

Sempat merakàm kenangan bersama keluarga ketika mengunjungi Big Red Strawberry Farm

Swafoto beramai-ramai ketika melawat ruang pamer kebun sayur-sayuran menggunakan sistem hidroponik di Big Red Strawberry Farm, Cameron Highland

Antara momen yang sempat dirakam ketika menjejak kaki ke Big Red Strawberry Farm

Momen-momen lain turut terakam sebagai kenangan bersama di suatu masa nanti


PASAR MALAM CAMERON HIGHLAND (BRINCHANG)


Dalam perjalanan pulang dari Big Red Strawberry Farm ke Tanah Rata, terdapat simpang di sebelah kanan terdapat papan tanda menunjukkan lokasi arah pasar malam. Jadi kami pun tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki ke pasar malam ini. Sewaktu dulu tapak pasar malam ini terletak di Pekan Brinchang tetapi kini sudah beralih ke tapak baru di Jalan Sungai Ruil.

Setibanya di situ, saya meletakkan kereta di ruang tempat letak kereta berbayar dengan kadar sekali masuk RM3.00. Kemudian kami menjelajah pasar malam itu mencari apa yang boleh dibeli. Saya membeli 2 biji jagung susu berharga RM10.00. Saya turut membeli cucur sayur-sayuran yang dijual 3 bungkus RM10.00. Isteri pula membeli buah strawberi 6 peket RM30.00. Isteri juga membeli sayur-sayuran berharga 6 peket RM10.00 untuk dibawa pulang ke apartmen.


Saya sempat berswafoto membelakangi gerai-gerai jualan di Pasar Malam Cameron Highland

Rupa jagung susu yang saya beli pada harga RM5.00 sebiji

Buah strawberi yang dijual pada harga RM30.00 satu bakul. Pasar malam ini juga menjual pelbagai jenis sayuran dan juadah

Setelah semua orang selesai membeli belah, kami bertolak pulang ke rumah. Setibanya di Pekan Tanah Rata, saya singgah di kedai runcit untuk membeli sardin, gula, telur, ikan kering dan air mineral water untuk dimasak isteri di apartment. Kesemua barangan yang saya beli itu berharga lebih kurang RM23.00.

Pada malam itu, saya meminta isteri untuk masak sup sayur dari sayuran yang dibeli di Pasar Malam Cameron Highland. Hanya saya, adik ipar dan ibu mertua sahaja yang makan nasi pada malam itu. Manakala yang lain makan maggi yang dimasak oleh kakak ipar. Selepas makan malam, saya solat jamak maghrib dan Isyak. Kemudian saya terus baring di katil untuk tidur. Yang saya rasa suhu di Cameron Highland dah tak sesejuk ketika saya datang ke sini pada tahun 2008.  Kini, tanpa menggunakan selimut saya masih boleh tidur dengan nyenyak.

Kos yang dibelanjakan pada hari ini
Petrol di Stesen Petronas Gua Musang   - RM91.00
Minuman di Masjid Tengku Muhd Faiz - RM5.00
Strawberi dan aiskrim di KHM                - RM19.00
Parking Pasar Malam                                 - RM3.00
Parking KHM Strawberry Tanah Rata    - RM5.00
Belanja di Pasar Malam                             - RM15.00
Beli barangan runcit di Tanah Rata        - RM23.00
                                        JUMLAH               - RM161.00

TIBA MASA PULANG
Ahad, 19 Ogos 2018

Oleh kerana saya terbiasa bangun awal pada hari-hari biasa waktu persekolahan, pada hari ini saya bangun tidur dalam 4.30 pagi. Pagi di Cameron Highland juga rasa dah tak sesejuk dahulu. Kalau 10 tahun dulu, di waktu- waktu begini, rasa sejuk akan terasa mencengkam hingga ke tulang sum-sum walaupun sudah memakai baju sejuk. Tetapi keadaan itu sudah tidak rasa sebegitu. Sejuknya adalah sejuk-sejuk biasa dan masih boleh bertahan kerana pada waktu ini saya langsung tak pakai baju sejuk. Mungkin inilah yang dikatakan bahawa Cameron Highland makin mengalami peningkatan suhu.

Lepas solat Subuh, saya memilih untuk mandi lebih awal kerana tidak mahu berebut dengan orang lain. Walaupun saya kata sebelum ini, suhu di Cameron Highland dah tak sejuk macam dahulu, tetapi air paip masih tetap sejuk dan memerlukan sistem pemanas air untuk mandi di waktu pagi. Apartment ini mempunyai dua toilet dan hanya satu sahaja yang mempunyai sistem pemanasan air untuk mandi. Jadi saya mandi menggunakan mode suam-suam kuku.

Dalam pukul 6.00 pagi hingga menghampiri pukul 7.00 pagi, boleh dikatakan hampir semua ahli rombongan kami sudah bangun untuk solat Subuh dan mandi. Isteri bersama adik-beradik bertungkus lumus menyiapkan makanan dengan memasak sardin dan telur yang saya beli di kedai runcit pada malam sebelum itu. Di dapur apartment ini, pemiliknya sudah menyediakan dapur gas serta alatan masakan yang lain seperti periuk (tiada periuk nasi elektrik), kuali, pinggang mangkuk dan cawan. Jika anda datang dalam kumpulan yang ramai, anda memerlukan tambahan pinggan mangkuk kerana yang disediakan tidak mencukupi. Kami sendiri menggunakan pinggan mangkuk tambahan yang dibawa dari rumah.

Selepas semua ahli siap makan, kami mula menurunkan peralatan dan beg yang kami bawa untuk dimuatkan semula ke dalam kereta. Lebih kurang pukul 8.15 pagi, kami semua bergerak meninggalkan Royal Lily Apartment menuju ke jalan pulang. Kami bergerak lebih awal untuk mengelakkan kesesakan yang sering berlaku kerana hari ini adalah hari Ahad cuti penggal persekolahan. Dalam perjalanan meninggalkan Tanah Rata, kami singgah di bahu jalan I Love Cameron Highland untuk merakam kenangan menjejak kaki ke sini pada tahun 2018.

Ahli rombongan kami dari tiga buah kereta sudah bersiap untuk bergerak pulang

Bonet kereta saya penuh dengan barang-barang yang dibawa dan dibeli

Umpama cop mohor mengesahkan kami pernah tiba di Cameron Highland. Itulah fokus utama saya bergambar di sini. Di hadapan kami sudah ramai yang menunggu giliran untuk mengambil gambar.

Gambar dalam bentuk kolaj, gambar-gambar yang di 'snap' ketika singgah di sini

SINGGAH DI KEA GARDEN

Kami bergerak semula ke arah jalan pulang. Sasaran kami sebelum bergerak adalah singgah di Pasar KEA Garden. Tempat ini adalah persinggahan wajib jika kami berkunjung ke Cameron Highland kerana kita boleh membeli sayuran dan buahan segar untuk dibawa pulang. Oleh kerana saya menggunakan laluan Lojing-Gua Musang sudah tentu tempat ini lokasi wajib yang perlu saya tempuhi. Pada masa sekarang, kita tidak lagi risau akan ruang tempat letak kereta kerana di seberang jalan sudah dibina ruang letak bertar berbayar dengan RM3.00 sekali masuk. Jadi ia mampu memuatkan banyak kereta dalam satu-satu masa. Kalau dahulu jika mahu singgah di sini, kita perlu mencari ruang kosong di sepanjang bahu jalan. Semasa di sini, saya ada juga membeli beberapa perkara seperti sayur dengan harga RM10.00 sebakul, saya juga membeli cucur brokoli yang dijual RM4.00 sebekas. Malah saya turut membeli aiskrim Malaysia berperisa strawberi berharga RM1.50 sebatang kerana ingin mengetahui rasanya. Manakala anakanda Aimy meminta duit RM10.00 untuk membeli ayam gunting (harga ayam gunting agak mahal di sini).


Ruang tempat letak kereta sudah bertar memberi kemudahan kepada pengunjung untuk singgah di KEA Garden (seberang jalan)

Saya bersama anakanda Hud Naufal yang nyenyak tidur di KEA Garden

Gambar-gambar sekitar KEA Garden yang sempat diambil oleh saya

Lagi gambar yang sempat saya ambil di KEA Garden, Cameron Highland

Rasa meleleh air liur apabila terkenang kembali strawberi segar yang dijual di KEA Garden. Selonggok strawberi dalam gambar berharga RM25.00

Setelah puas membeli-belah, tiba masa untuk kami pulang. Laluan pulang kami lebih mudah kerana kenderaan kami dalam mode menuruni bukit jadi ia tidak begitu memberi tekanan kepada kereta. Dalam pada itu, kami ketinggalan dengan kereta adik ipar yang masih belum keluar dari KEA Garden. Oleh itu saya membawa kereta dalam kelajuan kurang 60 kmj sementara menunggu kereta adik ipar kelihatan pada cermin sisi kereta. Bila melepasi simpang ke Gua Musang, saya memberhentikan kenderaan di tepi jalan sementara menunggu dua lagi kenderaan tiba.

Tiba di simpang tiga yang menghubungkan Simpang Pulai, Perak dan Gua Musang, Kelantan

Lebih kurang 10 minit menunggu, akhirnya dua kenderaan itu tiba. Saya pun bergerak semula tetapi pada masa itu perut mula meragam kerana pelbagai jenis makanan yang masuk didalamnya sejak kami sampai di Cameron. Tidak jauh dari simpang tadi terdapat sebuah masjid yang gah berdiri di tepi lebuhraya. Masjid itu terletak di Lojing iaitu di bawah pentadbiran negeri Kelantan. Jadi kami berhenti di masjid itu untuk melepaskan hajat sebentar. Selepas itu, saya mengambil peluang untuk bergambar di beberapa sudut perkarangan masjid.


Berdiri berlatarbelakangkan Masjid Long Tan, Lojing, Gua Musang

Pemandangan Lebuhraya Lojing - Gua Musang membelah gunung-ganang yang tampak berbalam-balam di sepanjang laluan. Gambar diambil dari perkarangan Masjid Long Tan, Lojing
Gambar di sekitar Masjid Long Tan yang turut mempunyai kuarters untuk pegawai masjid dan pegawai agama yang bertugas di kawasan orang asli ini

Bila selesai semuanya, kami menyambung kembali perjalanan. Pada mulanya kereta berkonvoi bertiga-tiga, lama kelamaan kereta berpisah agak jauh. Saya pun tidak sedar tiada kelibat kereta ipar di belakang. Jadi saya memandu santai hingga ke Bandar Gua Musang. Tiba di situ, saya menunggu beberapa ketika kenderaan mereka tetapi tidak juga muncul. Jadi isteri telefon bertanya khabar. Info yang diberi jarak mereka masih jauh kecuali adik ipar yang sudah kelihatan. Jadi saya meneruskan perjalanan ke Chuchoh Puteri.

Saya tiba di persimpangan Jalan Gua Musang - Lipis pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari

Pemandangan sekitar Gua Musang yang saya ambil dari dalam kereta

Laluan trafik Gua Musang - Kuala Krai pada waktu ini makin perlahan apabila kenderaan semakin banyak di jalan raya kerana perantau mula pulang bagi menyambut Hari Raya Haji pada hari Rabu nanti. Jadi saya memandu secara berhemah dengan membawa kereta pada kelajuan 60 hingga 80 kmj. Sekali sekala saya menekan juga minyak hingga mencapai 100 kmj. Setelah memandu sejam setengah, saya tiba di Persimpangan Kg. Laloh - Lata Rek. Isteri meminta saya membeli pisang goreng di kedai warung hujung simpang tersebut. Jadi saya pun membeli goreng pisang RM5.00 dan juga cempedak goreng RM5.00. Cempedak goreng di sini agak murah kerana dengan hanya RM5.00 saya dapat 1 plastik cempedak goreng.

Jarak antara Simpang Laloh ke Chuchoh Puteri lebih kurang 13 kilometer. Jadi masa yang diperlukan untuk sampai ke rumah memakan masa antara 15 - 20 minit untuk sampai. Melalui jalan ini, kita akan berjumpa tempat berkelah yang agak cantik iaitu Lata Rek. Sudah lama juga saya tak mandi di Lata ini yang mempunyai pemandangan yang cantik kerana air sungai yang mengalir deras di celah-celah batuan. Airnya juga jernih dan sejuk serta tiada pencemaran memandangkan ini merupakan kawasan hulu bagi cabang Sungai Kelantan.

SINGGAH DI KEBUN GETAH MENCARI DURIAN

Lebih kurang 4 kilometer sebelum sampai di Chuchoh puteri, saya memasuki kebun getah milik isteri di sebelah kiri jalan. Kebun getah seluas 6 ekar ini dibeli secara berkongsi bersama kakaknya dengan harga RM160,000.00 kira-kira 5 - 6 tahun dahulu (saya pun lupa bilakah tahun dibelinya). Di dalam kebun ini terdapat beberapa pokok durian dan cempedak. Itulah tujuan saya memasuki kebun ini adalah untuk mencari buah durian yang gugur. Lagi pun musim durian belum lagi habis.

Pada musim kering, kenderaan onroad masih boleh masuk ke kawasan kebun kerana jalan tidak lecah tetapi masih perlu berhati-hati kerana permukaan laluan yang tidak rata. Pada masa ini hanya kenderaan saya sahaja yang masuk ke kebun kerana kereta lain masih belum sampai.

Pokok cempedak yang sedang berbuah dan berbau harum ketika lalu berdekatannya

Alhamdulillah, masih ada rezeki untuk saya menikmati buah durian tangkal panjang ini

BERTOLAK PULANG KE KOTA BHARU

Bila mendapati tiada lagi durian yang gugur, saya bergerak keluar dari kebun untuk pulang ke rumah. Beberapa minit kemudian saya sampai ke rumah ibu mertua di Chuchoh Puteri. Saya hanya mahu berehat di Chuchoh Puteri ini hanya untuk sejam dua sahaja kerana ingin terus pulang ke rumah di Kota Bharu. Lebih kurang pukul 4.00 petang, kami (dua buah kereta) bergersk pulang. Sebelum itu, sempat juga membawa pulang petai, rambutan, durian dan juga manggis yang dikait berhampiran rumah. Kereta saya penuh dengan barang-barang hingga mencecah bumbung kereta.

Sewaktu perjalanan pulang, hujan turun dengan lebat manakala perut pula terasa lapar yang amat. Jadi kami singgah di Kampung Pahi untuk makan masakan panas. Saya memesan nasi putih bersama sup tulang manakala isteri makan nasi kerabu ala Siam yang masih panas. Anak-anak pula makan nasi dan maggi sup. Harga makanan tersebut saya tidak mengetahuinya kerana isteri yang menanggung semua bayaran tersebut.

Perut sudah kenyang dan jam pun sudah menghampiri 7 malam. Kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu tetapi masih ada satu tempat yang akan disinggah iaitu kedai kosmetik murah di Kuala Krai. Selepas isteri membeli beberapa barangan di kedai itu, kami singgah pula di Masjid Al-Jauhar, Guchil, Kuala Krai untuk solat Maghrib.


Kereta penuh dengan barang termasuk petai yang baru dipetik di kebun ibu mertua untuk dibawa pulang ke Kota Bharu

Lebih kurang pukul 8.15 malam, kami bergegas pulang ke Kota Bharu. Keadaan trafik pada masa itu agak slow ditambah dengan hujan yang turun. Saya sampai ke rumah lebih kurang pukul 10.00 malam.


Meter minyak yang diambil selepas tiba di rumah (keesokkan hari) menunjukkan kereta masih boleh bergerak hingga 230 kilometer.
Kos yang dikeluarkan sepanjang hari ini.
Parking kereta KEA Garden          - RM3.00
Beli sayur-sayuran                          - RM10.00
Aiskrim Strawberi                          - RM1.50
Ayam Gunting                                 - RM10.00
Cucur Brokoli                                  - RM4.00
                             JUMLAH             - RM28.50


STAY RUMAH DI KOTA BHARU
Isnin - Khamis, 20 - 23 Ogos 2018

Dalam tempoh empat hari, baru hari ini saya berpeluang untuk rehat bagi memulihkan tubuh yang masih keletihan. Namun begitu, saya masih berkesempatan untuk melakukan beberapa aktiviti atau pergi ke beberapa tempat yang saya suka di sekitar Kota Bharu dan Bachok. Saya tidak gemar masuk ke Bandar Kota Bharu pada musim cuti perayaan kerana ia memerangkapkan diri dalam kesesakan dan que yang panjang di lampu isyarat. Jadi saya memilih lokasi yang mempunyai risiko rendah untuk sesak seperti di jalan-jalan pantai sekitar Bachok.


Saya bersantai sambil makan-makan di Pantai Senok, Bachok pada 20 Ogos 2018. Pantai ini dipenuhi dengan rimbunan Pokok Rhu yang meneduhkan kawasan. Cuma yang menyedihkan banyak sampah sarap dari bekas makanan ditinggalkan para pengunjung yang tidak bertanggungjawab mencemarkan pemandangan. 

SAMBUTAN RAYA QURBAN 2018

Dalam 2 - 3 tahun kebelakangan ini, saya dan keluarga amat bernasib baik kerana dapat menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung kerana cuti yang agak panjang. Kebiasaannya sebelum itu, saya tidak berpeluang untuk pulang kerana cuti raya haji di Johor cuma sehari. Jadi lebih praktikal sambutan raya diadakan di Pasir Gudang. Pada tahun ini, isteri menjalankan ibadah qurban dengan mengambil 1 bahagian lembu. Kebiasaannya pula biras saya yang melakukan penyembelihan ibadah itu berdekatan rumah kami.


Hud Naufal turut teruja menyaksikan ibadah qurban yang bakal dilaksanakan pada hari itu

Persediaan untuk melakukan penyembelihan oleh pemegang-pemegang bahagian. Penyembelihan dilakukan di belakang rumah saya

Corat-coret sepanjang ibadah qurban dijalankan pada Hari Raya Haji tahun 2018

KOTA BHARU - KUALA TERENGGANU
Jumaat, 24 Ogos 2018

Seperti kebiasaan Jumaat terakhir cuti sekolah, pada petangnya saya pasti akan bertolak ke rumah ayah saya di Kuala Terengganu. Pada hari ini, saya bertolak pada pukul 4.30 petang. Jangkaan saya adalah untuk sampai di Kuala Terengganu pada 7.00 malam. Keinginan saya pada masa ini untuk makan nasi dagang dan laksa kuah masak di sebuah warung berdekatan dengan Hotel Permai Park Inn berhadapan dengan Hospital KTS baru di Batu Buruk. Rasa nasi dagang di situ memang kena dengan selera saya berbanding dengan nasi dagang tempat-tempat lain.


Gambar sebelum bertolak ke Kuala Terengganu. Rumah sudah siap berkunci bersedia untuk ditinggalkan selama 3 bulan

Jadi saya bertolak pada pukul 4.30 petang dari rumah melalui jalan Pauh Lima dan Jelawat seterusnya melalui jalan Kampung Seneng menuju ke Tok Bali. Tetapi setibanya di Jambatan Tok Bali, kesesakan teruk telah berlaku. Saya terkandas di situ agak lama juga. Sesudah melepasi jambatan itu, keadaan trafik agak berjalan lancar hingga ke Kuala Besut.

Tiba di Kampung Raja, saya menambah petrol dalam kereta sebanyak RM100.00 di Stesen Petronas Kampung Raja, Besut. Kemudian saya memilih jalan kampung Pengkalan Gelap untuk ke Kuala Terengganu (jalan pantai)


Gambar diambil semasa menunggu ibu budak-budak ini pergi toilet di Stesen Petronas Kampung Raja

Perjalanan kami dari Kampung Raja berjalan lancar sehingga ke Kampung Saujana, Setiu. Tetapi sebaik sahaja memasuki bulatan ke Kampung Penarek kesesakan yang teruk telah berlaku kerana berlaku kemalangan di Kem Bari. Kesesakan berlaku hampir 7 - 8 kilometer dan saya terperangkap di situ hampir satu jam. Bagi meredakan stres kesesakan saya berhenti di Warung ICT Pantai Rhu Sepuloh untuk makan sotong dan ikan celup tepung berserta air kelapa. Kos makanan yang saya makan itu adalah sebanyak RM20.00. Pada masa ini jam sudah pun menunjukkan pukul 8.00 malam. Impian saya untuk makan nasi dagang agak menghampakan kerana biasanya nasi dagang di warung itu akan habis jika pergi melebihi pukul 8.00 malam.

Pada malam itu juga saya ada temu janji dengan Encik Arshad, seorang koordinator catur yang aktif untuk mengambil board catur keluaran khas Kejohanan MSSM yang berlangsung di Kuala Terengganu. Saya memasuki Bandar Kuala Terengganu kira-kira jam 9.20 minit malam. Kemudian menunggu En.Arsyad sehingga beliau tiba. Selepas mengambil board catur yang di order, saya terus beredar. Lupa pulak untuk mengambil gambar kami berdua. Saya tiba di rumah ayah di Taman Permint Permai kira-kira jam 10.30 malam. Setibanya di situ kami terus solat dan tidur.


Saya tiba dan menunggu En.Arsyad di Bukit Tunggal depan Kampus OUM Kuala Terengganu

Board Catur Edisi khas MSSM 2018 yang saya beli dengan En.Arsyad

Kos yang dikeluarkan pada hari ini
Isi petrol di Stesen Petronas Kampung Raja         - RM100.00
Ikan kembung dan sotong celup tepung               - RM20.00
Papan catur MSSM 2018                                           - RM100.00
                                                  JUMLAH                    -  RM220.00   


KUALA TERENGGANU - PASIR GUDANG
Sabtu, 25 Ogos 2018

Saya bangun pada 5.30 pagi kemudian terus mandi sebagai persiapan untuk bertolak awal. Isteri juga mandi awal dan berkemas-kemas untuk pulang ke Pasir Gudang. Manakala anak-anak masih nyenyak dibuai mimpi. Hanya anak yang kecil iaitu Hud Naufal yang bangun. Saya mandikan hud sementara yang lain hanya kejutkan sahaja tanpa mandi. Anak-anak terus sambung tidur di dalam kereta. Dalam pukul 6.30 pagi, kami terus bergerak melalui Jalan Kampung Mak Kemas untuk memasuki LPT2.

Saya jarang membawa kereta dengan laju kecuali apabila memasuki lebuhraya. Di LPT2 saya memecut kenderaan dengan kelajuan 180 - 200 kmj kecuali di kawasan yang mempunyai kamera perangkap laju. Apabila membawa kenderaan dengan kelajuan begini sudah tentu penggunaan bahan api meningkat dengan mendadak. Mata saya sering melihat meter minyak yang turun dengan pantas. Hati berdebar juga kalau-kalau minyak habis di tengah-tengah jalan.

Tiba di RNR Bukit Besi, saya 'menopup' semula petrol di Stesen Mini Petron sebanyak RM50.00. Bila melihat meter minyak naik semula barulah hati tidak gusar. Jadi perjalanan saya pun semakin lancar. Saya meneruskan perjalanan hingga exit dekat Plaza Tol Kuantan kemudian membayar tol sebanyak RM23.00. Sebaik sahaja keluar dari plaza tol, perut pula terasa lapar. Kami singgah di sebuah foodcourt tepi Jalan Sungai Lembing. Di situ kami makan sebungkus nasi lemak ayam, 2 keping roti canai kosong dan 1 roti canai telur, 1sebiji lempeng kelapa berserta tiga gelas tea O ais yang kesemuanya berharga RM19.50. Selepas kenyang kami meneruskan perjalanan.

Oleh kerana anak belum mandi pagi, jadi dalam fikiran saya ingin mencari tempat yang sesuai sambil untuk rehat-rehat. Saya teringat masjid di Jalan Permatang Badak yang pernah saya singgah kira-kira 7 tahun yang lalu iaitu Masjid Bukit Rangin (Masjid Saidina Othman). Saya memasuki perkarangan masjid kira-kira jam 9.00 pagi. Sementara menunggu anak-anak dimandikan, saya berehat di bawah wakaf di perkarangan masjid. Saya juga sempat membeli seekor ayam berharga RM14.00 yang dijual di gerai sewaan masjid.


Berhenti di Masjid Saidina Othman, Bukit Rangin, Kuantan untuk anak mandi dan berehat

Gambar-gambar sekitar Masjid Saidina Othman, Bukit Rangin, Kuantan

Setelah selesai mandi, anak-anak pun dah segar dan cergas. Saya meneruskan momentum pemanduan memasuki jalan Kuantan - Pekan. Saya suka memandu di jalan ini kerana kelebaran jalannya serta lurus hingga betul-betul sampai ke Bandar Diraja Pekan walaupun terdapat banyak lampu isyarat terutamanya di Zon Perindustrian Automotif Semambu. Sebaik memasuki Pekan kita boleh berehat menikmati cendol di tepian Sungai Pahang ataupun berhenti Melawat Muzium Diraja Sultan Abu Bakar. Sebenarnya Muzium Sultan Abu Bakar ini merupakan view wajib bagi mereka yang menggunakan Jalan Pekan untuk ke Johor Bahru.


Bekas Helikopter TUDM yang di'replika'kan di perkarangan Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan

Gambar Hiasan - Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Gambar Hiasan - Patung binatang itu sebenarnya daripada cantuman akar dan batang kayu pokok. Dari jauh saya menyangkakan arca binatang itu diperbuat daripada keluli.

Sepanjang saya tinggal di Johor dan sering berulang-alik ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu, belum pernah saya bertukar-tukar pemandu dengan isteri melainkan hanya saya seorang. Tidak kiralah sama ada bertravel waktu siang atau malam. Cergas atau mengantuk. Jika saya rasa keletihan atau mengantuk saya akan berhenti di tempat selamat untuk berehat selama 15 atau 20 minit kemudian menyambung kembali pemandusn. Begitulah saya pada ketika ini meneruskan pemanduan ke arah Johor Bahru. Kalau boleh perlu melepasi Bulatan Mersing sebelum Zohor. Jika tidak trafik akan menjadi sesak tika musim perayaan tamat apabila kenderaan dari Pantai Timur mula membanjiri Mersing selepas makan tengah hari ataupun solat Zohor di tempat lain sebelum itu.

Memandu sambil melihat-lihat meter minyak kerana ingin memastikan bahan api jentera saya ini cukup untuk sampai ke Pasir Gudang tanpa berhenti di mana-mana stesen minyak. Jadi saya memandu pada kelajuan 80 hingga 100 kmj bagi menjimatkan minyak. Saya sampai di Bulatan Mersing kira-kira jam 12.00 tengah hari dan tiba di Simpang Empat Kota Tinggi pada jam hampir 2.00 petang. Kemudian dalam perjalanan ke Pasir Gudang kami sempat singgah di sebuah kedai makan di Sungai Tiram. Saya mengambil seketul pari asam pedas, seekor kembung asam pedas, dua ketul ayam goreng, semangkuk kecil kari kambing, 3 pinggan nasi putih, sepinggan rojak nenas dan 3 gelas tea o ais dengan harga RM24.00. Sudah kenyang. Saya memandu terus ke rumah di Kota Masai pada jam 3.30 petang.

Kos yang dikeluarkan pada hari ini
Tol kuala Telemung - Kuantan                 - RM23.00
Petrol Stesen Petron RNR Bukit Besi      - RM50.00
Ayam proses Masjid Bukit Rangin          - RM14.00
Sarapan Pagi di Jln.Sg.Lembing              - RM19.50
Makan tengah hari di Sg.Tiram              - RM24.00
                                          JUMLAH            - RM130.50


Saya tiba di Simpang Kota Tinggi Jam 3.00 petang

Sepanjang itinerari pada cuti seminggu persekolahan ini, saya telah membelanjakan kira-kira RM441.00 untuk bahan api kereta. Itu belum termasuk makan dan perkara-perkara lain. Sebenarnya penggunaan bahan api sama ada jimat atau tidak bergantung kepada cara pemanduan dan beban yang dibawa. Dari segi sikap pemanduan pula, janganlah kita memandu kereta dengan laju dengan membabi buta. Ada tempat yang boleh kita memecut contohnya ketika berada di lebuhraya. Ada masa kita perlu memandu secara sederhana contohnya ketika berada di jalsn persekutuan dan adakala kita memandu dengan perlahan terutamanya di jalan negeri atau kampung atau jalan yang mempunyai simpang 100 meter di hadapan. Ini kerana di jalan negeri atau kampung terdapat rumah yang hampir dengan jalan berkemungkinan terdapat budak bermain yang melintas secara tiba-tiba. Di jalan negeri dan kampung juga terdapat budak-budak remaja yang baru nak up yang ghairah dengan motosikal atau kereta yang baru dimilki. Kita perlu berhati-hati dengan mereka ini. Di jalanraya tiada siapa yang cekap kerana kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Hari ini, hari esok, hari lusa mungkin kita selalu bernasib baik kerana memandu laju di tempat yang tidak sesuai atau memotong ketika di selekoh tetapi tidak bermakna setahun, dua tahun kita akan terus bernasib baik. Ingat, kita tidak berlumba dengan sesiapa pun atas jalan raya kerana masing-masing mempunyai destinasi berbeza.

Selain itu, adab berkonvoi juga perlu kita jaga. Pastikan kita tidak terlalu laju atau perlahan dengan kereta yang lain. Pastikan di cermin pandang belakang atau pandangan hadapan selalu ada mereka. Jika terputus juga, perlu dapatkan maklumat sama ada ok atau tidak. Satu lagi jika terlalu jauh tunggu kenderaan itu di bahu jalan sehingga mereka tiba. Sekian, terima kasih.


Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA