BERCUTI DI PEKAN GOLOK, TAKBAI SERTA MAKAN MEE UDANG GUA IKAN

Alhamdulillah cuti persekolahan akhir tahun 2018 masih dinikmati seperti tahun-tahun sudah. Setiap kali muncul bulan Disember ramai guru seperti saya menunggu peluang untuk bercuti panjang. Saya dan keluarga seperti biasa pantang ada cuti, kami mengambil peluang untuk pulang ke rumah di Kota Bharu. Bagi kami pulang ke rumah Kota Bharu sama seperti melancong ke tempat lain kerana perjalanannya memakan jarak lebih 700 kilometer dan menghabiskan masa selama 11 jam untuk sampai.

Berehat di kaki lima Pasar Pekan Tak Bai bersama Aisyah, Aimy dan Hud Naufal

Tidak banyak aktiviti yang dilakukan pada cuti kali ini, hanya beberapa majlis kecil dan juga berkunjung ke tempat yang berdekatan. Keadaan ekonomi yang tidak berapa bagus adalah lebih baik meminimalkan aktiviti yang tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak tambahan pula perbelanjaan perlu diagihkan untuk membeli kelengkapan persekolahan tiga orang anak saya. Kebiasaan cuti panjang ini, saya menghantar tiga anak saya pergi mengaji al-Quran di Pasti Gong Dermin yang diuruskan oleh kakak ipar. 

HUD NAUFAL TELINGA BERNANAH

Budak kecil yang selalunya akan mempunyai masalah pada hidung berhingus dan telinga bernanah. Ini mungkin disebabkan oleh air yang masuk ke dalam rongga itu sewaktu mandi. Begitu juga anak kecil saya, Hud Naufal yang mengalami telinga bernanah hampir dua minggu. Dia akan selalu mengorek-ngorek telinganya seolah-olah telinganya berdengung. Apabila saya atau isteri menyentuh telinga tersebut, dia akan menangis. Jadi saya pergi ke beberapa farmasi sekitar Binjai dan Pasir Tumboh untuk membeli ubat sakit telinga. Tetapi semua farmasi yang ada hanya menjual anti biotik sahaja kerana menurut mereka telinga yang sudah bernanah tidak boleh dirawat mengguna ubat titik. Oleh itu, saya membawa anak berjumpa doktor. Doktor juga menyatakan perkara yang sama. Pada saya mungkin sakit bahagian telinga bukan kepakaran doktor ini. Bukan apa, saya pernah mendapatkan rawatan sakit yang sama untuk anak perempuan saya Aimy pada tahun lepas di Klinik Venka, Kuala Terengganu. Hanya sehari menerima ubat, sakit telinganya sudah hilang.

Saya melakukan pencarian google tentang info klinik pakar telinga di sekitar Kota Bharu tetapi tidak menjumpainya. Jadi nak tak nak saya terpaksa pergi ke Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan di Klinik Venka. Klinik Venka merupakan Klinik Pakar Telinga, Hidung dan Mulut yang terletak di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. Jadi pada 3 Disember, jam 6.30 pagi saya dan keluarga bersama ibu mertua serta. Perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kota Bharu memakan masa 2 jam setengah hingga 3 jam. Saya tiba di Kuala Terengganu hampir jam 10.00 pagi. Dr. Venka merupakan seorang doktor pakar telinga, hidung dan mulut berbangsa India. Beliau saya anggarkan berumur dalam lingkungan 70-75 tahun. Hanya beliau yang bertugas di klinik ini. Saya pasti klinik ini tiada penganti jika beliau tiada. Dr.Venka memberi rawatan kepada Hud Naufal dengan menyedut nanah dalam telinga menggunakan alat khas. Beliau kemudian melukis gambar dalam telinga dan sakit yang dihadapi sewaktu memberi penerangan.


Image result for klinik venka
Klinik Venka, Jalan Tok Lam Kuala Terengganu merupakan klinik terbaik bagi mereka yang mempunyai masalah telinga. hidung dan mulut. Gambar saya pinjam sekejap dari blog www.Eltajino.com. Dalam masa terdekat saya akan menukarnya dengan gambar yang saya ambil sendiri

Dalam pada itu, Isteri turut mendapatkan rawatan kerana sudah dua minggu mengalami selsema. Apabila membuat pemeriksaan, Dr.Venka mengesan terdapat benjolan kecil dalam hidung isteri dan ia merupakan simptom resdung. Bayaran yang dikenakan bagi rawatan isteri dan anak saya ini sebanyak RM210.00. Walaupun rawatan ini agak mahal tetapi ia sangat imbuh (dialek Terengganu bermaksud berbaloi) kerana pesakit akan pulih dalam masa 1 hingga 2 hari.

kami pelanggan pertama yang datang ke Klinik Venka, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan

Setelah selesai mendapatkan rawatan dengan Dr. Venka, saya dan keluarga pergi ke Pasar Payang untuk sarapan dan membeli-belah. Kedudukan klinik ini dengan Pasar Payang tidaklah jauh hanya lebih kurang 200-300 meter sahaja. Kami makan di atas Pasar Kedai Payang dan kemudian isteri membeli beberapa pasang kain sutera batik berharga RM180.00 sepasang. Saya turut membeli kain pelikat saiz kanak-kanak berharga RM40.00 untuk 3 helai. Kain pelikat ini untuk kegunaan along sewaktu bersunat hujung minggu nanti.

Along dan Hud Naufal duduk menunggu ibunya memilih dan membeli kain batik sutera di Pasar Payang

PERTAMA KALI KE PEKAN SUNGAI KOLOK (GOLOK) DAN TAK BAI

Walaupun sudah 11 tahun sering pulang ke Kota Bharu, saya belum pernah rasa teringin untuk ke seberang Siam. Saya hanya pergi setakat Pekan Rantau Panjang ataupun Pengkalan Kubor. Pernah juga saya ke Munduk pada 2010 menggunakan perahu. Tetapi pada waktu itu saya memasuki tidak menggunakan dokumen rasmi.

Surat kelulusan jabatan untuk ke Thailand. Di dalamnya terkandung pelindungan insurans perjalanan ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

Rancangan awal kami adalah untuk ke Hatyai. Malah saya sudah pun membuat permohonan kepada jabatan untuk ke Thailand pada 2-7 Disember. Akan tetapi orang Siam yang ingin membawa kami itu mempunyai masalah dan tidak jadi mengikuti kami. Jadi kami membatalkan rancangan untuk ke Hatyai.

Meletak kereta di hadapan Sungai Kolok Municipal Market, Thailand

Pada 5 Disember, saya dan keluarga bersama kakak ipar serta keluarganya bertolak ke Rantau Panjang untuk menyeberangi Sungai Golok. Oleh kerana keempat-empat anak saya tidak mempunyai passport, saya terlebih dahulu ke Pejabat Imigresen di UTC Kota Bharu untuk membuat Borderpass untuk mereka. Untuk membuat passport memerlukan kos sebanyak RM400.00 berbanding RM60.00 bagi membuat pas sempadan iaitu RM10.00 untuk dokumen pas dan RM10.00 setiap seorang untuk gambar anak-anak dan isteri. Syarat untuk membuat pas sempadan ini ialah mesti lahir di Kelantan atau pun mempunyai alamat kelantan dalam MyKad. Jadi saya tidak layak membuat pas sempadan kerana bukan asal Kelantan. Jika saya ingin membuat juga saya perlu mengemaskini alamat Kelantan dalam MyKad terlebih dahulu.

Melayan ragam anak-anak sementara menunggu Pas Sempadan Siap dalam masa 1 jam di Pejabat Imgresen Kelantan

Selepas siap, kami bergegas terus ke Pekan Rantau Panjang. Sementara kakak ipar dan keluarganya bertolak secara berasingan dari rumahnya. Kami bergerak menggunakan 2 buah kenderaan. Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari kami tiba di pintu masuk CIQ Rantau Panjang.


Hujan renyai menyambut kami di Pintu Keluar Kompleks CIQ Rantau Panjang

Sebaik melepasi pintu keluar CIQ Rantau Panjang, kita akan hadapi pula Kompleks CIQ Thailand di Sungai Kolok. Pada waktu ini kita perlu parking kereta dan masuk ke dalam kompleks untuk mengecop passport. Pegawai Imigresen Thailand akan mencatat maklumat passport dalam satu dokumen kecil dengan tulisan tangan.

Berhenti dan parking di kawasan yang disediakan dan semua orang perlu turun ke kompleks kaunter imigresen Thailand untuk pengesahan passport dan pas sempadan

Hanya seorang pegawai imigresen Thailand yang mencatat maklumat passport pelawat. Agak ramai juga yang beratur menunggu giliran.

Selepas pegawai Siam itu siap menulis, kita akan membayar sebanyak RM2.00 bagi setiap passport yang diberi. Kemudian kita akan ke kaunter di luar bilik ini untuk mengecop passport.

Tunggu Q untuk mencop passport di Kaunter Imgresen Thailand

Selesai semua urusan di kaunter Imigresen Thailand, kami bergegas masuk ke kenderaan kemudian bergerak ke laluan masuk Thailand. Setiap kenderaan yang masuk akan dicaj sebanyak RM3.00 oleh pihak berkuasa Thailand. Hanya satu lorong sahaja dibuka untuk kereta dan kenderaan pick-up.

PEKAN SUNGAI KOLOK

Tidak jauh dari kompleks CIQ Thailand, terletak Pekan Sungai Kolok. Kita boleh singgah di situ jika ingin membeli-belah. Isteri saya sendiri dan kakaknya banyak juga memborong ketika singgah di sini. Di Sungai Kolok, para peniaganya menggunakan tanda harga Bhat dalam urusniaganya. Namun kita masih boleh membuat bayaran menggunakan Ringgit. Sebenarnya harga barangan hanya murah dalam beberapa ringgit sahaja jika dibeli di Rantau Panjang ataupun Kota Bharu. Ini kerana nilai matawang ringgit tidak stabil dan dalam aliran menurun. Jadi peniaga-peniaga di Sungai Kolok ini lebih selesa menggunakan nilai Bhat.

Saya menukar wang sebanyak RM400.00 dan saya peroleh sebanyak 3,100.00 Bhat. Nilai wang kita semakin mengecil


Salah sebuah kedai menjual selipar dan kasut yang saya masuk di Pekan Sungai Kolok


Kami singgah di Kedai biskut dan makanan ringan di Sungai Kolok. Saya membeli 1 tin kecil biskut bear seberat 1.2kg  berharga 120 bhat lebih kurang RM15.00

Saya suka berjalan dan memerhati di akhirnya saya akan membuat perbandingan. Harga telur di Sungai Kolok. Di Malaysia sekarang sudah pun melepasi RM13.00 satu sarang. Ia merupakan rekod tertinggi sepanjang saya membeli telur sejak 10 tahun yang lalu. Harga telur biasanya dalam RM6.00-RM11.20 dari telur gred F hingga gred AA. Ni bukan MALAYSIA BARU tapi MALAYSIA BARU TAHU agaknya.


Penat berjalan dan meninjau kawasan sekitar sempadan ini, perut pulak terasa lapar. Jadi kami pergi ke Taman Ruea Arun kerana di situ terdapat beberapa warung masakan panas di birai jalan.Taman ini berdekatan juga dengan Stadium Mini Sungai Kolok.

Terdapat deretan warung masakan panas untuk makan tengah hari di Taman Ruen Arun. Belakang warung ini terdapat sebuah stadium mini. Kami memilih Warung Ya Ya untuk merarau.

Isteri membuat order siakap stim limau, kerabu mangga dan colek sosej. Manakala anak-anak yang lain saya tidak tahu mereka order apa kerana makan bersana sepupu-sepupunya.


Siakap stim limau, kerabu mangga, sosej colek serta air berharga 400 bhat  yang kami makan di Warung Ya Ya


Sosej colek yang enak tapi pedas. Harganya RM10.00


Menu di Warung Ya Ya dalam Bahasa Siam. Sepatah haram saya tak faham cuma tunjuk-tunjuk menu yang kita nak. Tapi pelayan tetap bertutur Bahasa Melayu Dialek Pattani

Semasa di Pekan Sungai Kolok juga, kami sempat solat di sebuah masjid kecil terletak antara deretan bangunan lain. Kami singgah untuk solat jamak Zohor dan Asar.

Singgah solat di Masjid Al-Jumeyah Pekan Sungai Kolok


SELIPA DAN KASUK. Papan tanda amaran di Masjid Al-Jumeyah Sungai Kolok


Tepi jalan Masjid Al-Jameyah memang sentiasa sibuk dengan. Penunggang motosikal yang lalu lalang


PEKAN TAK BAI

Kedudukan Pekan Tak Bai terletak kira-kira 35 km dari Pekan Sungai Kolok. Di situ juga terdapat Kompleks Imigresen kedua-dua negara tetapi tidaklah besar kerana pintu masuk ini menggunakan jalan air dengan menggunakan perahu atau bot untuk menyeberang. Jadi pengunjung tidaklah ramai seperti di pintu masuk Rantau Panjang - Sungai Golok. Kami memandu ke Pekan Tak bai lebih kurang 40 minit. Walaupun internet tidak berfungsi untuk menggunakan google maps tetapi jalan ke sana amat mudah kerana jalannya lurus dan kurang kenderaan besar seperti kereta dan lori.


Bot penambang yang digunakan oleh penduduk di kedua-dua negara untuk menyeberangi Muara Bang Nara. Bangunan kuning di seberang sungai sana adalah Kompleks Imigresen dan Kastam Malaysia, Pengkalan Kubor. Manakala saya mengambil gambar ini di Jeti Pekan Tak Bai, Thailand.

Jalan-jalan yang menghubungkan bandar-bandar di Selatan Thailand saya perhatikan adalah jalan berkembar. Manakala jalan yang menghubungkan kampung-kampung adalah jalan satu lorong. Jadi amat mudah sebenarnya jika kita ingin memandu ke bandar-bandar lain seperti Narathiwat, Pattani dan Hatyai. Kita hanya perlu berada di jalan yang mempunyai dua lorong. Adakala kita perhatikan banyak papan tanda berbahasa Thailand tanpa terjemahan English tetapi bila tiba di persimpangan penting akan ada papan tanda dwi bahasa.


Jalanraya di Selatan Thailand agak lengang dengan kereta dan lori. Penduduk di sini lebih suka menggunakan motosikal untuk ke mana-mana. Adapun kenderaan pick-up menjadi pilihan mereka ingin mengangkut barang-barang, Saya rasa mungkin harga petrol di sini lebih mahal sebab itu rakyat lebih menyukai motosikal.

Lebih kurang 30 kilometer memandu, kita akan sampai di persimpangan jalan. Sebelah kiri menuju ke Narathiwat dan Pattani manakala sebelah kanan ke Tak Bai.


Sebelum tiba di Pekan Tak Bai, kami berhenti di satu tempat. Nama tempat tersebut saya saya tidak pasti kerana papan tanda bertulis dalam Bahasa Siam. Mengikut pencarian saya dalam google maps tempat ini disebut sebagai Cheche. Di situ terdapat beberapa gerai yang menjual makanan. Kami makan mee celup dan juga sosej colek bakar. Harganya agak berpatutan kerana di sini bukan kawasan tumpuan pelancong. Mee Celup berharga antara RM3.00-4.00 manakala sosej bakar berharga 50 sen bagi yang kecil dan RM1.00 bagi yang besar. Rasa sosnya pun lebih sedap.

Bergambar di sebuah dataran tepi sungai. Mengikut google tempat ini dikenali dengan nama Cheche salah sebuah kawasan di Tak Bai

Di Cheche ini terdapat sebuah jambatan motosikal yang agak panjang. Jambatan ini menghubungkan daratan di Cheche ini dengan sebuah perkampungan di Lagun Tak Bai. Saya bertanyakan kepada peniaga makanan di situ bagaimanakah caranya kenderaan lain mahu ke lagun sana. Peniaga memaklumkan saya perlu pergi ke Pekan Tak Bai kerana di sana terdapat jalan yang boleh di lalui oleh kereta.


Gerai-gerai yang menjual makanan di Cheche sebuah kampung dalam daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwat, Thailand.


Mee Celup yang saya makan di Dataran Cheche mempunyai banyak lauk. Rasanya sungguh sedap serta harganya murah


Sosej bakar berharga 50 sen satu. Kalau di Pekan Tak Bai harganya sekali ganda mahal.

Jambatan motosikal yang menghubungkan Cheche dengan perkampungan lagun Tak Bai. Kerajaan Thailand mungkin hanya membina jambatan motosikal kerana majoriti penduduk Selatan Thailand menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama.


Saya berdiri di jambatan lama Cheche. Jambatan ini telah ditutup dan tidak boleh digunakan. Mungkin ia sudah tidak selamat untuk beroperasi.

Untuk ke Pekan Tak Bai, kita perlu berpatah balik dari Dataran Cheche ini lebih kurang 300 meter terdapat sebuah jalan di sebelah kiri. Jarak antara simpang ini dengan Pekan Tak Bai lebih kurang 4 Kilometer. Sepanjang perjalanan kita akan melihat perkampungan Melayu di kiri dan kanan jalan. Tak Bai saya rasa sebuah pusat perikanan penting di Selatan Thailand kerana terdapat banyak bot-bot nelayan di sini. Tak Bai juga berkembang sebagai pusat pelancongan kerana menerima banyak kunjungan dari pelancong-pelancong Malaysia yang masuk melalui Pengkalan Kubor.


Saya bebas meletak kenderaan di birai jalan. Di Thailand saya dapati kenderaan boleh di letak sesuka hati asalkan tidak mengganggu trafik. Tiada polis trafik, tiada penguasa PBT, tiada bayaran parking, tiada ulat parking, tiada saman-menyaman dan tiada nak kunci-kunci tayar.


Di Selatan Thailand tiada pasaraya besar-besar, tiada mall besar-besar. Yang ada cuma kedai-kedai dan juga pasar-pasar jalanan seperti ini. Saya membeli 2 bag sekolah jenama Fila anak-anak berharga RM38.00 setiap satu tetapi saya membayarnya dalam nilai Bhat sebanyak 580.


Suasana sekitar jalan utama Pasar Tak Bai. Di tepi jalan kebanyakkannya peniaga-peniaga makanan dan buah-buahan. Manakala peniaga pakaian dan barangan dapur di sebelah dalam. Sewaktu saya tiba di sini, hujan turun renyai kadangkala lebat.

Para peniaga di Pasar Tak Bai ini lebih selesa berurusniaga menggunakan Ringgit Malaysia. Label pada barang jualan pun diletak harga ringgit. Ini berbeza dengan Sungai Kolok yang lebih mengutamakan matawang Bhat. Ini mungkin kerana kedudukan Ringgit yang tidak stabil menyebabkan peniaga yang menyimpan ringgit mengalami kerugian akibat penurunan nilai wang.


Mieng Kham - Makanan tradisi Thai yang saya beli sekadar untuk mencuba


Sekadar beli tapi saya tak tahu nama makanan ni apa. Mungkin sejenis salad


Saya bukanlah street food hunter tetapi suka mencuba sesuatu yang eksotik seperti ini. Ni pung ambo tok tahu gapo namo rima. Makanan stail orang Jepun-Korea tapi jual di kaki lima.

Kalau sireh kita sebut sekapur sireh. Kalau Mieng Kham penjodoh bilangannya apa pula? Saya makan tiga set mieng kham seperti ini. Rasa daun kaduknya terlalu kuat. Biasanya daun kaduk ni salah satu bahan dalam bubur lambuk arwah ibu.


Selepas puas meronda di Pasar Tak Bai, kami mula bergerak kembali ke Sungai Kolok. Dalam perjalanan kami sempat singgah di beberapa tempat samada untuk membeli sesuatu ataupun singgah untuk membuang air.

Singgah di tepi jalan untuk membeli colek asam dengan harga 3  jenis RM5.00


Stesen minyak Thailand agak lengang kerana harganya lebih mahal tambahan pula penunggang motosikal lebih suka membeli petrol yang dijual ditepi jalan. Mungkin petrol tersebut lebih murah kerana di seludup dari Malaysia.


TIBA MASA PULANG

Bila jam sudah hampir pukul 6.00 petang, kami bersiap untuk pulang. Kami tidak bercadang untuk bermalam di Sungai Kolok atau mana-mana tempat. Jadi kami menuju ke CIQ Sungai Kolok untuk mendaftar keluar. Sekali lagi apa tiba di kompleks ini, kita perlu memberhentikan kenderaan dan turun berjalan ke kaunter untuk mengecop passport.


Sebaik kereta melintasi lorong keluar CIQ Sungai Kolok, Letak kenderaan di sini kemudian berjalan ke kaunter untuk mengecop passport. Adakalanya pihak imigresen Thailand akan mengimbas muka terlebih dahulu.


Saya dan keluarga beratur di kaunter Imigresen Thailand untuk mengecop passport menandakan kami telah keluar dari negara Gajah Perang itu.

Setelah mendaftar keluar serta melepasi CIQ Malaysia di Rantau Panjang, saya singgah di Masjid Beijing untuk solat Maghrib. Lagi pun saya tidak pernah melawat masjid ini walaupun seringkali datang ke Rantau Panjang. Kedudukan masjid ini tidak jauh dari CIQ Rantau Panjang. Jadi kita perlu memperlahankan kenderaan agar tidak terlajak.


Masjid Beijing Rantau Panjang yang Indah senibinanya. Namun kita harus berhati-hati ketika musim hujan kerana lantainya sungguh licin dan membahayakan orang yang berjalan di atasnya.

ALONG DAH BERKHATAN


Anak sulung saya Muhammad Wafiy Ilyas atau saya panggil Along telah bersunat pada minggu kedua cuti iaitu pada 7 Disember. Majlis berkhatan diadakan secara beramai-ramai yang dianjurkan oleh ADUN Demit di salah sebuah sekolah agama di Binjai dengan bayaran RM40.00. Perasaan saya ketika along disunat sangat mendebarkan sama seperti perasaan saya meneman isteri sewaktu melahirkan anak.

Along mengenakan kain pelikat sementara menunggu giliran ke-15 untuk bersunat dalam Program Khatan Perdana DUN Demit, Kota Bharu. Hampir 150 orang kanak-kanak menyertai program ini. Seramai 10 orang doktor turut terlibat menjayakannya. Untunglah along sunat dengan doktor, zaman saya dulu bersunat dengan Tok Mudin. Rasanya lagi sakit.


Ibu bapa menunggu giliran anak mereka disunatkan


Bagi budak yang baru bersunat. mereka juga perlu berpantang bagi mengelakkan kemaluan mereka bernanah atau lambat baik. Sama seperti perempuan yang baru melahirkan anak, mereka hanya boleh makan nasi kosong berlaukkan ikan kunyit bakar. Ikan pula tidak boleh sebarangan. Hanya ikan selar dan cencaru sahaja yang boleh dimakan/ Ikan lain boleh menyebabkan kegatalan pada alat sulit mereka. Selain itu, budak yang baru bersunat tidak boleh minum air kelapa. Menurut orang tua-tua ia boleh menyebabkan kemaluan menjadi balau.

Bagi menjaga pemakanan along ketika berpantang kecil ini, saya telah membeli tiga ekor ikan haruan yang berharga RM5.00 di Pasar Pagi Kedai Lalat yang diadakan pada setiap hari Jumaat. Ikan Haruan dikatakan mampu menjadikan luka di dalam dan di luar badan sembuh dengan cepat.


Ikan haruan kunyit yang saya beli di Pasar Pagi Kedai Lalat berharga RM5.00 setompok

Syukur Alhamdulillah dalam tempoh 5 hari along telah pulih dan sudah boleh memakai seluar serta membonceng motosikal. Proses penyembuhan luka bergantung kekentalan along berpantang dan rela menepis segala godaan makanan yang di makan oleh orang sekelilingnya. Kalau saya masa kecil dahulu, adakala saya melanggar pantang kerana tidak mampu bertahan dengan godaan. Sebab itu proses penyembuhan saya ketika sunat agak lama iaitu hampir 2 minggu.


PEKAN LALOH, KUALA KRAI, KELANTAN

Setiap kali pergi ke Chuchoh Puteri, saya tidak akan melepaskan peluang untuk ke Pekan Laloh. Pekan Laloh merupakan pekan kecil dalam Daerah Dabong yang turut menerima kesan teruk akibat banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 2014. Kedudukan pekan ini terletak kira-kira 110 kilometer dari Kota Bharu. Pada setiap Jumaat, para peniaga dari setiap pelosok daerah akan berkumpul di sini untuk menjual barangan masing-masing kepada penduduk setempat. Ada juga para peniaga yang terdiri daripada pekebun-pekebun, penangkap ikan sungai dan pencari hasil hutan dari kawasan sekitar menjual hasil yang mereka dapat.


Suasana dalam Pasar Pekan Laloh, Di dalam pasar ini terdiri daripada peniaga-peniaga tetap. Manakala di bahagian luar terdiri daripada peniaga yang datang seminggu sekali

Tak tahu nama apa tapi seringkali dijual di Pasar Laloh. Salah satu makanan eksotik di sini

Ciku kampung berharga RM3.00 sekilogram. Saya turut membelinya. Rasanya manis

Bunga kantan 3 kuntum seringgit. Murah betulkan


RM1.00 satu. Yang bulat-bulat bertangkai itu adalah buah ara. Masyarakat di Ulu Kelantan menjadikan buah ara dalam menu masakan gulai daging kawah sewaktu kenduri kendara. Ia bertujuan untuk memperbanyakkan lauk dalam majlis supaya dapat di nikmati oleh seramai mungkin tetamu.

Ikan sungai yang dijual RM5.00 satu plastik

Ikan sungai seperti ikan selat, baung dan patin yang dijual. Saya rasa harganya tidak mahal

Buah kantan yang turut dijual. Penjual ada memberitahu kepada saya cara masakan untuk memakannya


MENIKMATI MEE UDANG GALAH DI WARUNG CHE DA GUA IKAN, DABONG


Sudah dua hari saya dan keluarga bermalam di rumah adik ipar di Chuchoh Puteri. Along pun dah semakin pulih setelah berkhatan pada Jumaat lepas. Lagi pun pada hari Khamis malam saya telah membawanya makan KFC di Bandar Kuala Krai yang terletak 30 km dari Chuchoh Puteri. Pagi ini Jumaat 14 Disember 2018 setelah pulang dari Pasar Pagi Pekan Laloh, kami merancang untuk ke Gua Ikan di Dabong untuk merasai mee udang yang menjadi tular beberapa bulan dahulu.


Che Da Mee Udang Dabong di Gua Ikan, Dabong. Jika anda mahu datang adalah lebih baik menelefon pengusahanya terlebih dahulu agar tuan puan tidak pulang dengan hampa.

Saya membuat pencarian maklumat dalam Google dan Facebook tentang mee udang ini. Dalam Facebook misalnya, pengusaha warung ini sentiasa mengemaskini maklumat tentang operasi yang dijalankan pada hari tersebut. Sebenarnya kami merancang untuk pergi pada hari Khamis. Saya meminta isteri untuk menelefon pengusaha terbabit dan dia memaklumkan warung ditutup pada hari Khamis kerana tiada stok udang dan hanya dibuka semula pada hari Jumaat.


Image may contain: 2 people, people sitting, table and indoor
Gambar diambil oleh Che Da, Pengusaha Mee Udang sewaktu kami menikmati hidangan

Setelah pulang dari Pasar Laloh, isteri gegas mengemas barang-barang dan mempersiapkan anak-anak. Sementara itu saya membuat pencari dalam Google Maps tentang lokasi, jarak dan masa Warung Che Da. Info memaparkan jarak Chuchoh Puteri ke Gua Ikan adalah 63 kilometer dan masa yang diambil sebanyak 59 minit. Bila semua siap, pada jam 10.00 pagi kami bertolak ke Gua Ikan. Untuk ke sana kita perlu masuk ke Simpang Sungai Sam di Jalan Kuala Krai - Gua Musang. Dari simpang tersebut kita hanya perlu terus ke Dabong. Jalan ini agak sunyi dan kenderaan agak jarang melaluinya. Jarak dari Simpang Sungai Sam ke Warung Che Da Mee Udang ini kira-kira 40 kilometer.


Sampai di Warung Che Da pada pukul 11.15 pagi

Saya memandu agak berhati-hati kerana jalan licin diwaktu musim hujan sekarang. Kami tiba di Taman Rekreasi Gua Ikan pada pukul 11.15 pagi. Warung Che Da betul-betul berada di dalam kawasan Taman Rekreasi Gua Ikan. Waktu kami tiba warung ini baru dibuka dan terdapat dua orang pelanggan yang sedang menunggu makanan yang diorder. Saya melihat kedai baru sahaja menyiapkan segala menu untuk operasi hari itu. Terdapat satu bakul udang galah yang kemerah-merahan yang sudah direbus. Kami menempah 6 mangkuk mee udang biasa yang berharga RM15.00 semangkuk.


Mee Udang Standard di Warung Che Da. Di dalamnya terdapat 4 ekor udang galah. Harga semangkuk untuk yang regular ini adalah RM15.00 semangkuk. Jika mahu lebih udang atau tambahan ketam harganya antara RM25.00-RM35.00 semangkuk.

Saya bukanlah suka makan mee udang tetapi hanya sekadar untuk rasa. Bagi saya rasa mee udang ini agak sedap. Saya pernah makan rasa mee sebegini di Jalan Lundang, Kota Bharu sewaktu bekerja di Naza Bikes Kota Bharu Jalan Yahaya Petra (Gdex sekarang). Tapi mee tersebut adalah mee kuah (warnanya agak pink) didalamnya terdapat lauk daging. Jika mahu dinilai dari segi markah untuk rasa mee udang ini saya meletaknya dalam julat pemarkahan 78-83 peratus.


Mee Udang Si Sepit Biru lepas makan rasa gatal-gatal hidung kerana resdung

Isteri dan anak saya Aimy menunjukkan udang galah dalam meenya

Lebih kurang jam 12.30 tengah hari kami selesai makan. Saya membuat bayaran di kaunter yang dikenakan sebanyak RM97.00 bagi semua makanan dan air minuman. Saya mengambil kesempatan untuk meninjau kawasan sekitar Taman Rekreasi Gua Ikan ini.


Saya berada di hadapan Gua Ikan. Airnya keruh pada musim hujan. Saya rasa di musim panas airnya jernih dan boleh mandi manda

Air mengalir dari dalam gua


Meninjau kawasan

Peserta rombongan terdiri daripada anok-anok wek (bermaksud budak-budak kecil)


Latar belakang hutan


KEDAI KOSMETIK MURAH KUALA KRAI

Dari Gua Ikan kami berpatah balik ke Sungai Sam untuk pulang ke Kota Bharu. Kalau nak terus ke Dabong pun boleh tetapi kita harus menuju ke Jeli yang jaraknya kira-kira 70 kilometer dari Gua Ikan ditambah pula dengan jarak Jeli ke Kota Bharu sejauh 95 kilometer. Jadi jauhnya dalam 20-30 kilometer berbanding jika berpatah balik melalui Sungai Sam. Dalam perjalanan pulang setibanya di Bandar Kuala Krai, isteri meminta untuk singgah di kedai kosmetik murah. Di kedai ini kita boleh membeli barang kosmetik secara runcit pada harga borong iaitu 40-70% lebih murah daripada yang dijual di toko-toko kosmetik.


Jika melalui Bandar Kuala Krai isteri pasti singgah di kedai kosmetik ini

Pelbagai jenis minyak wangi dijual pada harga RM6.00 sebotol

Budak kecik tu sibuk nak borong jugak

Macam-macam

Barang kegemaran isteri. Nak bersenam malas cuma harap benda ni nak bakar lemak

Lain-lain rak

Buat bayaran di kaunter

Selepas membuat bayaran, kami naik kereta dan terus pulang ke Kota Bharu yang memakan masa 1 jam dari Bandar Kuala Krai ini.


RANGKUMAN LAIN

1. PANTAI BUKIT KELUANG, BESUT

Pantai Bukit Keluang mengadap Pulau Paus dan Pulau Perhentian. Datang sini sebab isteri mengambil ikan bilis yang ditempah dengan rakannya di Kampung Semerak, Pair Puteh.


Tiga Sepupu : Emma, Solehah dan Ismah

Budok darat pertama kali pergi pantai

2. PANTAI IRAMA, BACHOK


Pantai Irama : Si Hitam pelepas rindu pada Si Merah

Pentas Budaya Pantai Irama : Aimy, Ismah, Ainun, Hud dan Solehah

3. KOTA BHARU


Merempit di Kota Bharu

Sempat merakam view Pasar Siti Khadijah

Sekian sahaja catatan cuti sekolah 2018. Saya akan pulang ke Pasir Gudang 21 Disember kerana 22-23 Aimy Wajihah perlu hadir program orientasi sekolah agama. Kalau ada catatan lain, saya akan buat penambahan dalam entry ini.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya.




Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA