TEMPAT MAKAN SEDAP DI KUALA TERENGGANU : NASI AYAM NURUL IMAN



Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera buat pembaca blog saya sekalian..


RESTORAN NURUL IMAN

Pada kali ini saya ingin berkongsi satu Warung nasi ayam 'rare' yang patut anda singgah jika berkunjung ke Kuala Terengganu. Warung yang saya maksudkan itu ialah Restoran Nurul Iman.

Restoran Nurul Iman merupakan warung nasi ayam paling 'rare' di Kuala Terengganu

Restoran Nurul Iman terletak di Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk. Kedudukan setentang dengan Stesen Minyak Shell iaitu di seberang jalan sana. Saya tidak tahu sejak bila restoran ini memulakan perniagaannya. Yang saya tahu, ketika umur saya belasan tahun lagi restoran ini telah pun ada. Kini umur saya sudah menginjak 45 tahun. Pada hemat saya ia mungkin telah tertubuh lebih dari 30 tahun.

Keistimewaan yang ada di Restoran ini ialah menu nasi ayamnya. Selain itu, ia juga menjual rojak ayam (bahasa standard) atau masyarakat Terengganu memanggilnya dengan nama 'rojak keling'. Kedua-dua makanan ini merupakan menu kegemaran saya. Adakalanya saya dalam dilema untuk memilih yang mana satu untuk di makan.

Nasi Ayam di Restoran Nurul Iman. Nampak biasa tapi rasanya luar biasa.

Nasi ayam bukanlah satu makanan yang eksklusif bagi satu-satu negeri di Malaysia. Boleh dikatakan hampir  di semua negeri ada menu nasi ayam yang di jual. Cuma berdasarkan pengalaman saya, rasa nasi ayam bagi setiap negeri rasanya sedikit berbeza. Contohnya nasi ayam Kedah, sambal cilinya seperti di masak. Warna sambalnya merah gelap. Manakala kicapnya hasil campuran rebusan ayam. Nasi ayam di Johor juga begitu.

NASI AYAM STAIL TERENGGANU

Tapi nasi ayam di Terengganu, rasa dan cara penyediaannya mirip nasi ayam Hainan. Cuma beza Hainan ayamnya rebus. Manakala nasi ayam Terengganu ayamnya digoreng sama seperti di negeri-negeri lain. Sambal ladanya menggunakan lada hidup merah. Ia tidak di masak. Saya tak pasti bagaimana cara penyediaan serta bahan-bahan yang digunakan. Tapi bila memakannya akan rasa cengih lada hidupnya dan halia (saya rasa lada besar di blend bersama halia). Manakala kicapnya menggunakan kicap cair masin. Kombinasi sambal lada dan kicap ini adalah persamaan yang saya maksudkan dengan nasi ayam Hainan tadi. Begitu juga dengan nasi, bila makan akan rasa aroma halia dan majerin pada nasi ayam stail Terengganu ini, sama seperti nasi ayam Hainan yang pernah saya makan. Manakalanya supnya ialah hasil rebusan ayam ditaburi hirisan daun bawang dan lobak masin cincang.

Bagi saya nasi ayam yang enak mesti punya rasa halia dan majerin yang secukup rasa. Supnya pula mesti ada daun bawang dan lobak masin.

Berbalik pada Restoran Nurul Iman tadi, pertama kali saya makan di sini sekitar awal tahun 90-an bersama ayah ketika membantunya berniaga buah-buahan dahulu. Sejak hari itu, nasi ayam menjadi antara makanan kegemaran saya. Pada 10 Disember 2019, saya berpeluang untuk singgah makan di Restoran ini. Saya rasa kali terakhir saya makan di sini pada 2013 bersama isteri. Ketika itu, saya dan isteri mahu berkunjung ke rumah pengasuh anak-anak saya yang meninggal dunia beberapa bulan sebelum itu. Rumahnya terletak tidak jauh dari warung ini.

BERPELUANG SINGGAH MAKAN TENGAH HARI

Tiba pada jam 1.00 tengah hari. Pada waktu itu, sudah terdapat ramai pelanggan yang dah dan baru datang. Mujur juga saya datang seorang diri. Boleh menyelit di kerusi kosong. Saya meng'order' nasi ayam dan fresh oren. Makan nasi ayam kalau tak minum air fresh oren macam tak lengkap kalau berkunjung ke kedai ini.

Hubungan yang signifikan antara nasi ayam dan jus oren di Restoran Nurul Iman.


Lada dan kicap perlu ditaruh sendiri pelanggan

Tak lama kemudian sampailah nasi ayam. Benda yang dah siapkan memanglah cepat sampai. Kalau datang waktu begini, makan tak boleh lama-lama sebab ada orang menuggu kita habis makan sebab nak ambil tempat duduk. Hidup kenalah bertolak ansur. Kalau kita mudahkan urusan orang, mudah-mudahan Allah akan mudahkan urusan kita.

Pelanggan yang datang. Meja yang saya duduk ini baru sahaja kosong. Kemudian diduduki oleh satu keluarga cikgu dari Pasir Gudang jugak.

Ingat nak makan rojak keling tapi perut dah kenyang. Lepas asar nak jumpa kawan-kawan di Laksa Beseng Che Ros lagi. Tentu akan makan lagi. Terkilan juga tak dapat mskan rojak keling. Ye lah, lama benar saya tak makan rojak ayam ni. Kalau tempat lain ada rojak mee. Yang ada cuma mee, cucur, mentimun. Kalau kat Kelantan tambah keropok keping satu. Kalau makan kat Kedai Mamak di Johor ni, tambah ayam kena tambah duit. Manakala rojak keling di Terengganu ramuannya ada mee, kentang tebus goreng, telur ayam sebelah, ayam goreng, mentimun, sengkuang dan cucur.


Dari dalam restoran

Rasa nasi ayam di Restoran Nurul Iman ni antara yang tersedap di Kuala Terengganu. Namanya pun sudah tersohor sejak begitu lama sehinggakan rasanya menjadi benchmark sama ada rasa nasi ayam sedap atau tidak. Cuma saya nak pesan, bila tuang kicap tu jangan banyak sebab ayam akan jadi terlalu masin. Cukuplah sekadar 2-3 renjis. Keenakan sebenar nasi ayam Nurul Iman terletak pada kelembutan dan aroma rasa nasinya yang makan begitu sahaja pun sudah enak.


Resit bayaran

Setelah selesai makan, saya ke kaunter membuat pembayaran. Harga nasi ayam dan fresh oren yang saya makan tadi tu berjumlah RM8.00 iaitu RM5.50 untuk nasi ayam dan RM2.50 untuk jus oren yang saya minum. Bila dah kenyang saya bergerak ke Masjid Raja di Chendering dan Pulau Kekabu di Marang.

Sekian, wassalam.....

Nota : tak banyak gambar yang diambil sebab malu dengan ramai pelanggan yang datang. 

#Harap tokey Restoran Nurul Iman akan belanja saya makan rojak keling bila dia baca artikel ni.

Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA