Road Trip Pasca PKP Utara Semenanjung 2021 : Hari Pertama, Dari Kota Bharu ke Kuala Perlis

Assalamualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera Semua,

Agak buntu juga untuk memulakan penulisan setelah lama meninggalkan arena penulisan blog. Sukar untuk memerah otak yang agak tumpul agar dapat menyusun kata-kata menjadi sebuah cerita.


Kincir Angin Puncak Banjaran Titiwangsa, Jalan Timur - Barat


Baiklah kita fokus pada cerita yang mahu saya sampaikan. Pada 20 - 24 Disember 2021 yang lalu, saya sekeluarga berserta kakak ipar telah melakukan satu road trip ke Utara Negeri-negeri Semenanjung selama 5 hari 4 malam dengan jarak keseluruhan berjumlah 1360 kilometer. Rombongan kami seramai 14 orang (4 dewasa dan 10 kanak-kanak) dengan menggunakan dua buah kereta. Pada road trip kali ini saya memilih beberapa laluan sunyi dan jarang dilalui oleh kenderaan lain. Namun tak semua laluan yang saya lalu itu merupakan laluan sunyi malah terdapat juga laluan sesak yang kami lalui. Saya namakan road trip kali ini dengan nama Road Trip Pasca PKP Ke Utara Semenanjung 2021.

Hari Pertama (20.12.2021) : Kota Bharu - Jeli - Gerik - Pengkalan Hulu - Baling - Yan - Kota Setar - Kuala Perlis.

Saya memulakan perjalanan pada jam 7.15 pagi dari rumah dengan memilih jalan Kota Bharu - Machang - Tanah Merah memandangkan sekarang musim hujan dan jalan ini bukan merupakan kawasan hotspot banjir. Alhamdulillah.. cuaca pada hari ini ok dan cerah. Tak seperti sehari dan hari-hari sebelum itu yang mana hujan turun dengan agak lebat. Perjalanan kami pun berjalan lancar.

Laluan road trip pada hari pertama dari Kota Bharu ke Kuala Perlis yang jaraknya lebih kurang 420 kilometer

Checkpoint 1 : Mengisi Petrol di Petronas Jeli

Kami sampai di Stesen Petronas Jeli pada jam 8.40 pagi. Kami berhenti di situ untuk menambah petrol kereta serta untuk ahli rombongan kami melepaskan hajat masing-masing di situ. Saya mengisi fulltank petrol yang nilainya sebanyak RM90.00. Sempat juga saya membeli beberapa jajan untuk dijadikan bekalan santapan kami dalam kereta. Pada pukul 9.15 pagi, kami meneruskan semula perjalanan menuju Laluan Timur - Barat (Jeli - Gerik). Perlu diingat, anda perlu mengisi petrol di Jeli sebelum naik ke Jalan Timur - Barat kerana laluan sejauh lebih kurang 100 km itu tiada stesen minyak.


Mengisi petrol di Stesen Petronas Jeli sebelum masuk ke Jalan Timur - Barat Jeli - Gerik


Isi dulu petrol sebelum naik Bukit Gerik (Jalan Timur-Barat) kerana tiada petrol pam di sepanjang laluan 100km itu.

Melalui Jalan Timur - Barat

Tak sah kalau kenderaan yang datang dari Kelantan dan sebahagian Terengganu kalau mahu ke utara tidak melalui Jalan Timur - Barat Jeli - Gerik ini. Jadi laluan inilah yang saya lalui dalam road trip ini. Saya memang suka laluan ini. Walaupun jalannya tak berapa elok. Banyak lubang-lubang di kebanyakan jalan, namun saya suka pemandangannya. Saya sukakan hijau-kehijauan hutan belantara yang pernah menjadi sarang anggota komunis ini. Gunung-gunung yang berbanang-banang itu sungguh mengasyikkan sehinggakan tidak sedar yang laluan itu sudah tamat. Tubuh langsung tak merasa letih kerana otak telah dimanipulasikan oleh keindahan-keindahan yang tertangkap oleh bola mata.


Gunung Reng di Batu Melintang menyambut pengembara yang mahu menerjah Banjaran Titiwangsa di Jalan Timur - Barat


Permulaan pendakian kawasan pergunungan Jalan Timur - Barat. Pastikan kenderaan dalam kondisi yang baik sebelum masuk ke jalan ini.

 Tambak anti tanah runtuh di Laluan Timur - Barat

Checkpoint 2 : Indahnya Hentian Puncak Titiwangsa

Bila melalui Jalan Timur - Barat ini jangan lupa untuk singgah dan merakam kenangan di sini. Bukan selalu mendapat peluang untuk datang ke sini. Jadi kita optimumkan sebaik mungkin. Kami berhenti di sini pada jam 10.00 pagi dan saya mengambil beberapa keping gambar di tempat yang menjadi mercu tanda kawasan ini iaitu kincir angin dan ruang pemandangan gunung-ganang. Hari itu, tidak ramai yang singgah di situ mungkin kerana kafe makanan tidak beroperasi. Namun begitu, kemudahan-kemudahan lain seperti surau dan tandas masih dibuka seperti biasa.


Pemandangan hamparan gunung-ganang yang boleh kita lihat di Hentian Puncak Titiwangsa

Deretan Gunung-ganang di Banjaran Titiwangsa mengunjur hingga ke Thailand


Pagi yang cerah di bawah awan membiru


 Indah nian view Puncak Titiwangsa

Meneruskan Perjalanan di Bahagian Negeri Perak.

Hentian Puncak Titiwangsa merupakan kawasan sempadan Perak - Kelantan. Kalau sebelum tiba di Hentian Puncak Titiwangsa, Laluan Timur - Barat adalah sebelah Kelantan. Kini kami lalui pula laluan di sebelah Negeri Perak. Di bahagian ini, kita dapat melihat keindahan Tasik Banding nun jauh dari bawah jambatan. Di situ juga terdapat hentian rehat jika anda mahu berhenti. Kalau bernasib baik, kita akan menemui kumpulan gajah yang melintas jalan. Situasi itu berlaku biasanya jika anda melalui pada waktu lewat petang hingga ke awal pagi iaitu sekitar jam 6.00 petang ke atas. Saya pernah beberapa kali terserempak dengan gajah-gajah sewaktu naik bas yang melalui kawasan ini.


 Jambatan yang merentas Tasik Banding di Laluan Timur - Barat

Checkpoint 3 : Makan Tengah Hari di Hentian Perak, Gerik


Berhenti rehat dan makan tengah hari di Hentian Perah, Gerik. Bagi enjin kereta rehat dulu setelah 2 jam 'hiking' kawasan pergunungan Titiwangsa.

Ini pengalaman pertama saya singgah di Hentian Perah. Ia merupakan penamat kepada Jalan Timur - Barat ini jika kita dari Timur. Hentian ini agak besar juga. Terdapat kafe-kafe yang menjual makanan tengah hari dan masakan panas. Saya memilih menu masakan kampung iaitu nasi berserta sayur lemak dan ikan cencaru sumbat. Rasanya bolehlah. Harganya pula nak kata murah tak..nak kata mahal pun tak. 2 pinggan nasi campur, 4 mangkuk bakso dan 6 air semuanya berharga RM61.00.


 Berhenti untuk sejukkan enjin.. sambil-sambil tu boleh makan tengah hari

Dalam pada itu, sempat juga saya beli jambu bertih asam potong berharga RM3.00 sebekas buat pencerah mata ketika memandu kerana rasanya yang masam dan masin. Saya juga membeli jambu bertih yang belum dipotong sebagai bekalan perjalanan nanti.


Hentian Perah 20.12.2021

Meneruskan Perjalanan Dari Gerik ke Pengkalan Hulu dan Seterusnya Ke Baling, Kedah.

Saya sengaja memilih jalan lama untuk ke Alor Setar melalui Jalan Gerik - Pengkalan Hulu - Baling. Jalan ini kalau anda semua nak tahu 'agak keras' kalau melaluinya pada waktu malam. Terdapat banyak cerita-cerita angker yang boleh kita 'google'. Saya memang menggemari kisah-kisah seram ni walaupun saya sendiri merupakan seorang penakut.


Simpang dari Jalan Timur - Barat nak ke Bandar Gerik dan Pengkalan Hulu. Saya mengambil jalan ke kanan untuk melalui Jalan Pengkalan Hulu

Selepas makan di Hentian Perah tadi, lebih kurang jam 12.10 tengah hari, kami meneruskan perjalanan melalui jalan yang saya nyatakan tadi. Jarak simpang ke Pengkalan Hulu ini tidaklah begitu jauh dengan Hentian Sempah yang kami berhenti tadi iaitu sekitar 2-3 kilometer sahaja. Sebenarnya sudah ada laluan baru iaitu Jalan Baling - Gerik yang lebih dekat tanpa perlu melintasi Pengkalan Hulu dan Bandar Baling. Akan tetapi jalan lama lebih tersimpan kenangan sewaktu belajar di uum jadi sudah tentu ia menjadi pilihan saya dalam trip perjalanan kali ini.

Sewaktu memandu di jalan ini, saya tercari-cari juga masjid tempat saya solat bersama Padlishah dan Zulkifli sewaktu kereta kancil 660 yang saya pandu mengalami 'over heating' enjinnya pada tahun 2004. Pada masa itu kami terpaksa berkampung di situ selama 3 hari 2 malam sementara menunggu kereta siap dibaiki Abang Din. Saya juga tercari-cari rumah Abang Din di sebelah kanan jalan kalau-kalau masih cam. Abang Din ni lah menumpangkan kami di rumahnya. Abang Din merupakan seorang bekas tentera dan pada masa itu bekerja sebagai pemandu lori balak. Beliau mempunyai kemahiran membaiki kereta.  


Saya pernah terkandas di kampung ini selama 3 hari 2 malam setelah kancil 660 mengalami overheating. Ye lah pergi redah jalan pergunungan lepas tu tak cek kondisi kereta... itulah makan dia... 

Terpaksa melalui jalan lencongan apabila berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan berbukit Pengkalan Hulu.

Kira-kira dalam 20 km lebih lagi nak sampai Pengkalan Hulu, kami diarahkan oleh pengawal jalan supaya melalui satu jalan alternatif kerana terdapat runtuhan tanah di jalan yang biasa ke Pengkalan Hulu. Saya sempat bertanya berapa lama masa yang diambil untuk sampai ke Pekan Pengkalan Hulu sekiranya melalui jalan itu.


 Melalui jalan-jalan sunyi Pengkalan Hulu

Jauh jalan lencongan itu hampir 30 km juga yang memakan masa 30-35 minit untuk sampai ke pekan. Jalan ini agak sunyi memandang rumah-rumah penduduk hanya banyak di simpang jalan yang mula-mula saya masuk tadi. Selepas itu kita akan melihat kiri dan kanan jalan kebun-kebun getah dan kawasan hutan. Tiada kedai mahupun stesen minyak di sepanjang 30 km itu. Pada era tahun 80 an dulu, kawasan ini merupakan kawasan hitam kerana ia merupakan kawasan terdapat banyaknya aktiviti komunis (PKM). Sekarang ni pun, bekas-bekas anggota PKM dan ahli keluarganya menetap di Betong sempadan bahagian Thailand. Kebanyakan bekas anggota PKM ini datangnya daripada Rejimen ke-10 PKM iaitu Rejimen Melayu dalam PKM. Kalau nak tahu lebih pasal PKM Pengkalan Hulu ni, anda google lah sendiri.


Laluan lencongan ke Pengkalan Hulu akibat tanah runtuh hampir dengan border Malaysia - Thailand

Penghujung jalan lencongan ini ialah kampung Bukit Serdang. Di sebelah kanan simpang merupakan Pintu masuk Thailand iaitu Imigresen Bukit Berapit. Jadi saya mengambil jalan sebelah kiri menuju ke Pengkalan Hulu seterusnya ke Baling. Namun begitu, saya tidak juga memasuki kawasan pekan sebaliknya mengambil jalan bypass MRSM Pengkalan Hulu.


Persimpangan jalan ke Pengkalan Hulu dan Baling. Untuk ke Alor Setar kita perlu mengambil jalan ke Baling

Kawasan itu merupakan kawasan sempadan Perak - Kedah yang mana terdapat satu Kem Pasukan Gerak Am (PGA) di situ.

RnR Gunung Inas

Sebaik sahaja melepasi Kem PGA di Sempadan Pengkalan Hulu tadi, lebih kurang 2-3 kilometer selepas itu, terdapat sebuah RnR yang sinonim dengan kejadian-kejadian mistik seperti penampakan cik ponti pada waktu malam dan lain-lain lagi. RnR tersebut ialah RnR Gunung Inas. Kalau dahululah, saya rasa terdapat satu pemandangan indah yang boleh kita lihat dari situ. Viewnya sama seperti di Hentian Puncak Titiwangsa iaitu kita akan lihat gunung-ganang yang berbalam-balam hingga ke kawasan Thailand. Tapi kami tak berhenti pun di Gunung Inas tu. Meriah juga masa kami lalu dengan kumpulan anak-anak muda bermotosikal sedang mengambil gambar berlatar belakangkan gunung-ganang di puncak Inas itu.


RnR Gunung Inas terdapat juga cerita-cerita mistik mengenainya


Memasuki Pekan Baling

Sebelum adanya Jalan Gerik - Baling, kenderaan yang datang dari Pantai Timur dan Alor Setar akan masuk ke Bandar Kecil Baling, sebuah bandar yang terletak di bawah bukit batu kapur yang cantik. Pabila wujudnya jalan baru itu, sudah ada opsyen bagi penggunjung luar untuk tidak memasuki Bandar Baling tersebut. Sebaik tiba di pekan itu pada jam 1 lebih tengah hari, datang memori lama sewaktu menjadi mahasiswa selalu melihat Pekan Baling dari tetingkap bas. Bandar ini masih indah dan tenang seperti dahulu. Cuma kami tak singgah di sini. Cukup sekadar memandu perlahan sambil mata melihat panorama kawasan sekitarnya.  


Memasuki Bandar kecil Baling

Melintasi Pekan Baling mengingatkan saya zaman menuntut ilmu di UUM, Sintok
 

Checkpoint 4 : Masjid Kampung Tupai, Sik, Kedah

Pada pukul 1.50 tengah hari, kami berhenti solat di sebuah masjid dalam Daerah Sik, Kedah. Masjid ini terletaknya betul-betul di laluan utama Sik - Baling. 


Terima kasih kepada hamba Allah yang memberi kami nasi kari kambing sempena majlis akikah cucunya di Masjid Kampung Tupai, Sik, Kedah


Berhenti solat di Masjid Kampung Tupai, Sik


 Sejarah Masjid Kampung Tupai


Kebetulan waktu kami berhenti itu terdapat satu keluarga baru selesai mengadakan majlis akikah. Jadi mereka memberikan kepada kami 3 bekas nasi kari kambing akikah. Terima kasih... alhamdulillah atas pemberian itu. Saya ada terbaca info mengenai masjid dan kampung ini dinamai sebagai Tupai. Tupai bukanlah bermaksud binatang tupai tetapi ia datangnya dari dialek tempatan iaitu tupe atau tumpang atau dalam kata lain tempat persinggahan atau berhenti. Masjid dan kampung ini dahulu hingga sekarang menjadi tempat persinggahan para pengembara terutamanya dari pantai timur.


Masjid Kariah Kampung Tupai, Sik, Kedah


Berlindung daripada terikan matahari sesudah menunaikan kewajipan


Menuju ke Jeniang, Gurun

Untuk ke Alor Setar melalui jalan persekutuan atau jalan biasa, seharusnya kita akan melalui Jeniang dan Gurun. Saya pernah tinggal 5-6 hari di Gurun pada 2006 sewaktu mengikuti latihan di Naza Automotif Gurun. Namun tak banyak yang saya tahu mengenai Gurun ni kecuali dahulu terdapat kilang Perwaja Steel yang sangat besar di situ. Saya pun tak tahu kilang tersebut masih ada atau pun tidak kerana saya tidak melalui kawasan kilang itu pada kali ini. Selepas Gurun, kita memasuki Daerah Yan pula.


Memasuki Gurun sebelum ke Yan dan Alor Setar

 Gurun, Kedah

Checkpoint 5 : Goreng Pisang Sambal Kicap di Batu 14, Sg. Daun, Yan.


Layan goreng pisang sambal kicap pun layan jugak petang-petang ni...



 Interview akak jual goreng pisang sikit... gorpis akak memang mantop... saya tak cicah sambal kicap tu sebab makan dalam kereta. Nanti tumpang terkena baju la... seat la...

Dalam perjalanan selalunya kita merasa mudah lapar walaupun sebelum itu dah pun makan. Biasalah tu. Dalam trip tiga kos utama yang sering kita keluarkan ialah makanan, petrol dan penginapan. Petrol memang kos yang kita tidak boleh cut. Lagi banyak kita bergerak lagi banyaklah petrol yang digunakan. Manakala penginapan pula, ia bergantung pada nasib. Kalau bernasib baik, kita akan dalam bilik yang murah. Biasanya paling mahal pun dalam RM150.00 bagi bilik famili iaitu bilik yang mempunyai 2 katil saiz queen atau 1 saiz queen dan 1 saiz single. Pernah saya dapat bilik berharga RM67.00 untuk bilik famili itu. Manakala makanan pula, kita boleh adjust-adjust kosnya sebab kita banyak pilihan. Biasanya bila travel ni saya suka makan makanan tempatan. Saya ingin mencuba menu kegemaran warga tempatan tempat yang kita lawat.


Membeli Gorpis Sambal Kicap di Batu 14, Sg. Daun, Guar Chempedak


 Crunchy dan manis gorpis akak Sg. Daun ni... sting molek

Berbalik pada tajuk tadi, sewaktu melalui Jalan Guar Chempedak di sekitar Sungai Daun. Terdapat sebuah gerai yang menjual pisang goreng sambal kicap. Sebenarnya saya sudah biasa makan pisang goreng sambal kicap ni sebab sudah popular di Johor dan ia memang sinonim dengan Johor. Sewaktu melalui Jalan Batu 14 Sungai Daun itu, isteri ternampaklah satu gerai jual goreng pisang. Jadi saya pun berhentilah dan membelinya. Sempat juga bersembang-sembang dengan akak jual tentang pisang goreng kicap ni sama seperti di Johor.


Menuju ke Kota Setar

Sebenarnya jalan Guar Chempedak tadi tu adalah jalan utama nak ke Alor Setar. Cuma jalan di sini agak sibuk dan banyak benar traficlight nya. Saya rasa macam menempuh berbelas-belas lampu isyarat sebelum masuk ke Bandar Alor Setar. Cuma kalau tak sanggup menghadapi lampu isyarat yang banyak ni, kita boleh masuk highway PLUS di Gurun tadi terus ke Alor Setar. Itu yang biasa orang lakukan.

Melalui Jalan Guar Chempedak - Alor Setar

Checkpoint 6 : Singgah di Masjid Zaher, Alor Setar

Tak lengkap rasanya kalau ke Alor Setar tidak singgah di Masjid Zaher. Sebuah masjid unik dan mempunyai sejarah yang agak lama. Senibina yang klasik serta kombinasi warna putih dan hitam amat memukau apabila dilihat dari jauh. Saya pernah sekali solat Jumaat di sini sekitar tahun 2002-2003. Maksudnya hari ini merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki di sini.


Mungkin di lain waktu wajah sudah berbeza... sama ada saya atau Masjid Zaher Alor Setar Ini.. tak rugi pun snap gambar... datang pun mungkin 3-4 tahun akan datang pulak..


Masjid Zaher Alor Setar dibina pada tahun 1912

Beristirahat di ruang tambahan Masjid Zaher


Ruang belakang Masjid Zaher Alor Setar

Masjid Zaher wide screen

Kami tiba di perkarangan Masjid Zaher Alor Setar sekitar jam 3.40 petang. Selesai mengambil beberapa gambar di sudut angle yang berlainan, kami ke destinasi yang seterusnya di Bandar Alor Setar ini.


Checkpoint 7 : Pekan Rabu


Pekan Rabu hanya beroperasi pada hari Rabu sahaja....tak lah hari-hari lain pun bukak... cuma nama sahaja Pekan Rabu

Melengkapkan journey kami semasa di Alor Setar ialah menjejakkan kaki di Pekan Rabu. Dua tahun lepas, saya dan isteri datang ke Pekan Rabu ini. Pada masa itu isteri telah membeli sebalang bahulu. Rasa bahulu itu sungguh enak dan sedap. Sebab itu kedatangan kami ke Pekan Rabu kali ini untuk membeli lagi bahulu itu. Saya tak masuk ke dalam pasar tapi sempat pesan kepada isteri agar beli tiga botol kuah rojak Mak Bee.


Pekan Rabu Alor Setar

 Singgah di Pekan Rabu untuk membeli bahulu dan Rojak Mak Bee

Hadir : 20.12.2021

Kali ini, saya tak park kereta dalam bangunan pasar. Sebaliknya hanya tunggu di bahagian luar bangunan. Keadaan trafik masa tu pun belum sesak kerana bukan waktu orang balik kerja. Lebih kurang setengah jam isteri dan kakak ipar masuk ke Kompleks Pekan Rabu. Katanya bahulu yang hari tu dah habis ditempah. Jadi dia beli tempat lain. Ok juga rasanya. Tapi tak sesedap hari tu.


Menuju ke Kuala Perlis

Sebenarnya saya telah booking bilik hotel sejak sebulan yang lalu lagi. Sebab itulah kami pergi juga ke sana walaupun pada masa ini keadaan cuaca tidak berapa elok. Tambahan 2-3 hari sebelum itu berlaku banjir besar melanda beberapa negeri. Sehingga saya menulis ni pun jumlah yang terkorban dalam banjir di seluruh negara mencecah 47 orang manakala 5 lagi masih hilang (26 Disember 2021 jam 2.30 petang). Sebelum bertolak pagi tadi dari Kota Bharu, saya telah merujuk ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan MET yang menyatakan cuaca negeri sebelah utara baik.  


 Memasuki negeri Perlis melalui Jalan Kuala Sanglang

Menuju ke Hotel dulu untuk letak pakaian dan sejukkan bilik
 

Oleh itu, selepas berada di Pekan Rabu selama 10 minit, kami terus ke Kuala Perlis melalui Jalan Alor Setar - Kangar. Kita akan melintasi beberapa perkampungan bendang padi seperti Kuala Sanglang. Jarak antara Alor Setar dengan Kangar kira-kira 40 kilometer. Walaupun dekat perjalanannya memakan masa 1 jam juga kerana banyak kenderaan berada di atas jalan raya.


Checkpoint 8 : Noor Boutique Hotel, Kuala Perlis

Pertama sekali bila sampai ke Kuala Perlis, kami terus menuju ke hotel penginapan. Dua buah bilik family telah saya tempah sejak sebulan lalu itu berharga RM150.00 bagi sebuah bilik. Bilik ini mempunyai 1 katil queen dan 1 katil single. Saya tak berani nak main langgar jer datang ke sini tanpa ada bilik sudah tersedia. Ye lah datang ke negeri paling jauh di Malaysia ni. Buatnya semua bilik dah penuh, jenuhlah nak patah balik Alor Setar atau pun Jitra.


Menginap di Noor Boutique Hotel Kuala Perlis.

Check-in bilik di Noor Boutique Hotel Kuala Perlis

Setelah check-in bilik masing-masing, kami turun semula untuk aktiviti yang seterusnya iaitu makan malam.


Checkpoint 9 : Ikan Bakar Sedap di Kuala Perlis


Laluan masuk ke Medan Selera dan Jeti Kuala Perlis

Kedudukan Noor Boutique Hotel dengan Jeti Kuala Perlis tidak jauh. Kadarnya cuma lebih kurang 3 km gitu jer. Jadi tiada guna kalau datang Kuala Perlis sekadar makan nasi lemak jer. Sudah tentulah menu wajib dekat sini yang berasaskan makanan laut. Isteri dan kakaknya telah menempah dua ekor ikan siakap bakar berharga RM48.00 seekor yang saya anggarkan berat 1 kg seekor. Kemudian memesan sekilo sotong cabai berharga RM50.00. Dua mangkuk tomyam seafood dan dua jag tea o ais berharga RM10.00 sebalang.


Nikmati pemandangan senja Pulau Langkawi di Medan Selera Kuala Perlis.

Pindah ke meja dalam setelah hujan mula turun

Ikan siakap bakar Kuala Perlis berharga RM48.00 seekor. Rasanya sedap dan lazat. Harganya lebih murah daripada siakap langkawi katanya. 

Sumpah, rasa siakap bakar Kuala Perlis memang sedap dan lazat. Pertama, sedap kerana ikannya yang segar. Saya rasa ia siakap laut dan bukan ikan siakap kolam. Kedua, sedap kerana menu ikan bakarnya berbeza dengan lain-lain tempat yang pernah saya rasa. Rempah ramuannya agak berlainanlah dengan tempat lain.


 Banyak menu makanan laut yang segar boleh didapati di Medan Selera Kuala Perlis


 Ikan bakar istimewa Kuala Perlis. Rasanya enak dan lazat. Harganya bolehlah.. tak mahal.. tak murah

Sementara menunggu makanan siap, saya sempat merakam beberapa detik waktu matahari terbenam di sebalik Pulau Langkawi. Ini merupakan kali ketiga saya datang ke Jeti Kuala Perlis dengan ketiga-tiganya berwajah yang berbeza.


 Senja di Kuala Perlis

Checkpoint 10 : Masjid Al-Hussain dan Jeti Feri Kuala Perlis.

Ini merupakan checkpoint terakhir untuk hari pertama road trip kami. Waktu saya datang ni, air sedang surut di kawasan sekitar masjid. Untuk pengetahuan anda, masjid ini berkonsepkan masjid terapung. Kedudukannya berada di pinggir laut mengadap Pulau Langkawi. Masjid ini juga berada di sebelah jeti feri Kuala Perlis untuk ke Pulau Langkawi.


Masjid Al-Hussain Kuala Perlis merupakan sebuah masjid terapung berdekatan dengan Jeti Kuala Perlis

 Masjid Al-Hussain Kuala Perlis berdekatan Jeti Feri Kuala Perlis ke Langkawi

Selesai di sini kami pulang semula ke Noor Boutique Hotel untuk rehatkan badan bagi menghilangkan sengal-sengal setelah 14 jam berada di jalanan hari ini.


Kos Melepas :-

Petrol RM90.00

Jajan RM20.00

Makan Tengah Hari RM30.00

Jambu Bertih RM6.00

Bahulu RM20.00

Pisang Goreng RM5.00

Hotel RM150.00

Makan Malam Ikan Bakar RM90.00

JUMLAH : RM410.00







Comments

  1. randxeprob-do Julie Ritter download
    ringhandsoma

    ReplyDelete
  2. seronok baca kisah saudara... saya cadang pusing semenanjung minggu depan... dr JB - kuantan - terengganu - kota bharu - alor setar penang - perak-melaka - JB

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA