Solo Ride Terengganu : Wawa Tour : Dari Pangkal ke Hujung (Part 1)
Assalamualaikum w.b.t agak lama juga saya tak update entri terbaharu. Hari ini terbuka pintu hati untuk menukilkan kisah pengembaraan solo bermotosikal semalam.
![]() |
Grid Permulaan Wawa Tour : Dari Pangkal ke Hujung |
Semalam saya telah melakukan solo ride menggunakan motosikal lama iaitu Honda cub C70 keluaran 1978 dengan nombor pendaftaran WA8529.
Pengembaraan bermotosikal secara solo ini saya namakan sebagai
Wawa Tour : Dari pangkal ke hujung.
Mengapa Wawa? Siapa Wawa tu? Sebenarnya Wawa ialah motosikal yang saya gunakan untuk jelajah kali ini sempena mengambil nombor pendaftaran motosikal tersebut yang bermula dengan huruf WA. Jadi saya namakan motosikal ini dengan nama Wawa.
Apa pula dari pangkal ke hujung tu? Sebenarnya dalam jelajah kali ini, penjelajahan bermula dari pintu masuk negeri Terengganu melalui pintu gerbang Terengganu di Kuala Besut iaitu bahagian utara Terengganu. Manakala pengakhiran jelajah ini berakhir di pintu keluar iaitu pintu gerbang Terengganu di Chukai Kemaman iaitu di Kampung Paya Berenjut yang merupakan bahagian selatan negeri Terengganu.
Permulaan jelajah agak lewat juga saya mulakan iaitu kira-kira jam 10 pagi memandangkan banyak kerja yang perlu saya selesaikan terutamanya pada masa sekarang agak sibuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembinaan homestay dan juga pembesaran rumah.
![]() |
Bertolak dari rumah pada jam 10.10 pagi |
Pada jam 10 pagi, saya mula beredar dari rumah setelah siap kerja kerja packing barang di atas motosikal. Beberapa peralatan penting yang saya bawa sebagai backup sekiranya berlaku breakdown ke atas motosikal saya ini. Antara peralatan yang saya bawa ialah seperti set sepanar, screwdriver, khemah, cable tide. Saya juga membawa beberapa pasang pakaian walaupun tiada niat untuk singgah di mana-mana. Ia cumalah standby sekiranya saya terpaksa bermalam di pertengahan jalan sewaktu jelajah nanti.
Alhamdulillah cuaca pada hari itu sungguh baik dan cerah. Nasib baik tidak hujan kerana saya terlupa mengambil baju hujan yang telah saya lipat dalam rumah. Kalau hujan habislah saya basah lencun.
Perjalanan dari rumah untuk ke pintu gerbang Terengganu Kuala Besut memakan masa satu jam 40 minit. Yalah jaraknya dari rumah lebih kurang 60 km juga.
![]() |
Snap beberapa keping gambar di replika kapal batu Tok Bali sebagai tanda hadir. |
Setibanya di Tok Bali saya snap beberapa gambar di replika kapal batu Tok Bali sebagai tanda hadir di tempat ini.
GRID PERMULAAN PINTU GERBANG KUALA BESUT.
Saya memulakan XPDC Wawa Tour Dari Pangkal ke Hujung di pintu gerbang ini yang menandakan kita telah memasuki kawasan Terengganu melalui Kelantan di sebelah pantai.
![]() |
Mengepam tayar motosikal yang kempis di Kuala Besut |
Sebelum kita melintasi pintu gerbang, kita akan melihat deretan kedai-kedai yang menjual hasilan laut seperti keropok dan ikan kering. Setelah melintasi pintu gerbang menandakan kita telah memasuki Kuala Besut, Terengganu. Kawasan disini agak padat penduduknya. Kita boleh lihat banyak rumah-rumah dan kedai-kedai di birai jalan. Kawasan Kuala Besut juga boleh dikatakan sebuah pekan yang pesat membangun kerana kemajuan dalam sektor perikanan dan juga pelancongan kerana di sini terdapat sebuah pelabuhan perikanan dan juga jeti untuk para pelancong pergi ke Pulau Perhentian.
BERHENTI MENGISI PETROL DI STESEN PETRONAS KAMPUNG RAJA
Motor Honda cup C70 mempunyai ruang tangki minyak yang agak kecil. Setangki penuh hanya boleh memuatkan petrol kurang dari RM5.00. jadi untuk XPDC ini saya acapkali berhenti untuk mengisi petrol. Tambahan pula untuk motosikal model ini kita tidak boleh melihat kadar petrol pada pada meter motor.
![]() |
Stesen Minyak Petronas Kg. Raja, Besut |
![]() |
Mengisi Minyak RM3.00 |
Lebih kurang 6-7 kilometer dari pekan Kuala Besut, kita akan tiba di Kampung raja. Kampung Raja boleh dikatakan sebagai pusat pentadbiran kerajaan untuk daerah Besut memandangkan di situ terdapat Pejabat Daerah Besut. Bila kita melalui kawasan ini kita dapat melihat pembangunan yang agak pesat jugalah. Sebaik tiba di Kampung Raja ini saya telah mengisi minyak di Stesen Petronas Kampung Raja.
MELALUI JALAN KG. RAJA - KG SAUJANA
Jalan Kampung Raja - Kampung Saujana dulu hanya merupakan jalan alternatif dari Kota Bharu hendak ke Kuala Terengganu. Kini Jalan tersebut sudah menjadi pilihan bagi warga Kelantan yang melalui jalan ini untuk ke Pantai Rhu Sepuluh kerana di situ terkenal dengan warung-warung ICT (Ikan Celup Tepung). Saya memilih route ini kerana sudah terbiasa menggunakan jalan ini. Jaraknya kira-kira 45 kilometer. Laluan ini boleh dikatakan agak terpencil yang mana jarak antara Kampung agak jauh dan dipisahkan dengan tanah kosong semak samun dan juga sebahagian kecilnya kebun-kebun pertanian.
Sepanjang laluan ini kita akan melintasi beberapa buah kampung seperti Tembila, Benting Lintang, Kuala Setiu Pengkalan Gelap, Kampung Fikri sebelum sampai ke kampung Saujana.
Setibanya di bulatan Kampung Benting Lintang motor saya tiba-tiba menghadapi masalah dan enjin mati secara tiba-tiba. Saya rasa agak cemas jugalah pada waktu itu. Yalah tak cemas apa, perjalanan masih jauh lagi. Nak patah balik pun agak jauh jugalah. Dalam fikiran saya mungkin kalau motor betul betul menghadapi masalah agaknya saya terpaksa bermalam di Kampung Benting Lintang.
![]() |
Sebaik tiba di Bulatan Kg Benting Lintang, Besut ini, enjin motor mati dengan tiba-tiba |
![]() |
Jalan Pengkalan Gelap, Kuala Setiu merupakan jalan lurus yang panjang. Saya rehatkan seketika motor yang mati secara tiba-tiba sebelum itu |
Mungkin dalam perjalanan tadi saya akan memberi tekanan kepada motor tua ini. Kali ini saya bawa lebih slow dan tenang. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada enjin motor. Saya bawa slow and steady lebih kurang kira-kiranya kelajuannya antara 30 hingga 50 kmj.
![]() |
Ketika di Kuala Setiu. P/s : Cermin mata saya tak senget. Mata awak tu yg senget. |
KAMPUNG FIKRI KAMPUNG KELAHIRAN
Detik yang mengimbau kenangan waktu kecil bersama arwah Tokki Ali dan Tok Hajar akan secara automatik datang bila melalui Kampung Fikri. Di sinilah tempat Saya dilahirkan. Saya juga pernah bersekolah di Sekolah kebangsaan Kampung Fikri selama dua tahun iaitu pada 1982 dan 1983. Rasa tersentuh hati apabila melihat bekas tanah arwah Tok Ki yang dinaiki semak samun. Tak nak itu sebenarnya telah dijual pada satu masa dulu dan buku dengan harga RM20,000.00.
![]() |
Melewati kampung kelahiran Kampung Fikri, Setiu. Sebelah kanan itu SK Fikri yang pernah saya sekolah pada tahun 1982-83 |
Lebih kurang 5 km dari Kampung Fikri kita akan sampai ke Kampung Saujana. Kampung Saujana merupakan kawasan penempatan penduduk yang agak ramai juga dalam daerah Setiu. Di sini juga terdapat sebuah warung air buah yang terkenal dan menjadi viral seluruh negara tidak lama dulu iaitu DFlora.
MELALUI JALAN KAMPUNG BANGGOL MENUJU KE BANDAR PERMAISURI
Tanpa menghiraukan kewujudan warung tersebut saya meneruskan perjalanan setibanya di Bulatan Kampung Beris Tokku, Saya memilih laluan Kampung Banggol iaitu jalan terus ke Bandar Permaisuri Setiu.
![]() |
Jiwa rasa harmoni bila melalui Jalan Kg Banggol ke Permaisuri |
![]() |
Motor perlu sentiasa diperiksa kondisinya |
MEMASUKI BANDAR PERMAISURI
Perjalanan pada masa ini sudah pun mencecah 100 km, namun tidak sedikit pun tubuh saya merasa letih. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti cara tunggangan secara slow and steady sambil menikmati suasana sekeliling. Selain itu, faktor seat motor Honda Cub C70 yang rata membolehkan postur badan saya sentiasa tegak. Jadi rasa letih dan sakit pinggang dapat diminimumkan.
Memasuki Bandar Permaisuri sedikit melegakan kerana ia menandakan fasa laluan baru iaitu Bandar Permaisuri - Sg. Tong. Perasaan was-was sama ada nak patah balik atau pun meneruskan misi jelajah sudah pun tiada. Perjalanan kini telah menghampiri 1/3 jarak yang perlu saya tempuhi.
![]() |
Bandar Permaisuri atau Kg. Buluh ini tersemat kenangan saya bersama Arwah Tokki Ali |
Bandar Permaisuri adalah bandar kecil yang pasti dilalui oleh pemandu terutamanya dari Kelantan, Perak atau Kedah yang ingin ke Kuala Terengganu atau yang menggunakan LPT2. Penduduk tempatan menyebut Bandar Permaisuri sebagai Kampung Buluh. Maka jangan hairan bila mana anda melihat replika buluh di tepi jalan ketika melewati tempat ini kerana ia simbolik kepada nama asal tempat ini. |
NOSTALGIA KG BULUH YANG TAK PERNAH PUDAR
Di saat putaran roda tayar motosikal ketika di Bandar Permaisuri, kotak fikiran saya diterjah kenangan bersama arwah Tokki Ali pada 1983. Pada masa itu, Tokki Ali mengajak saya dan dah (kakak) ke Kg Buluh untuk menjual ikan bilis. Ikan bilis merupakan sumber pendapatan utama penduduk Kg Fikri. Kg Fikri juga terdapat industri membuat budu mentah. Tokki membeli ikan bilis di Gong Bawah (kawasan budu dan bilis Kg. Fikri) kemudian akan menjualnya. Salah satu tempat jualan ialah di Kg. Buluh. Masa pergi jual tu seronok lah sebab naik prebet sapu. Tapi habis jer jual, kena balik jalan kaki. Bayangkan jalan kaki dari Kg Buluh ke Kg Fikri bukannya dekat. Pada masa itu, Kg Saujana belum lagi wujud. Kawasan itu pada masa itu hanyalah semak samun yang banyak ditumbuhi pokok jambu golok. Malah jalan Kg. Saujana tu pun belum lagi wujud.
![]() |
Terukir ingatan bersama arwah Tokki Ali pabila menggolekkan tayar di Kampung Buluh (Bandar Permaisuri) |
Lenguh kaki tak terkira. Yalah masa itu, saya masih kecil. Berjalan 1 km pun sudah lenguh apatah lagi sejauh 15-20 km tu.
BERHENTI MAKAN DI PEKAN CHALOK
Lima minit perjalanan selepas Bandar Permaisuri, kita akan berjumpa dengan Pekan Chalok. Pada masa ini jam sudah pun menunjukkan pukul 2.00 petang. Perut pun terasa lapar. Saya berhenti makan di sebuah warung Pekan Chalok.
![]() |
Berhenti makan di Warung D'Chalok Jelira Rasa |
Saya mengambil nasi kari ikan ebek berserta ikan kering. Minuman pula tea o ais. Kesemua hidangan yang saya ambil ini berharga RM12.00.
![]() |
Menu tengah hari berupa nasi kari ikan ebek bersama ikan kering anak gelama berharga RM12.00 |
BERHENTI ISI PETROL DAN SOLAT DI PEKAN SG TONG
Bak baris kata pantun klasik,
"Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati".
Saya meneruskan tunggangan bersama Wawa dengan hati yang tenang setelah menikmati makanan tengah hari tadi. Kini tiba masa untuk Wawa pula. Last time saya mengisi minyak sewaktu di Kg. Raja tadi. Jaraknya sudah menjangkau lebih 70 km. Dengan Wawa yang tidak mempunyai tanda sukat petrol, saya perlu sentiasa mencongak jarak perjalanan setelah pengisian dibuat. Ruang tangki yang kecil memerlukan saya acap kali berhenti untuk memeriksa dan 'menopup' minyak.
![]() |
Berhenti mengisi minyak dan solat di Caltex Sg. Tong |
Comments
Post a Comment