Pembalasan Awang Hitam

PEMBALASAN AWANG HITAM

(Cerita Jenaka Rakyat)


oleh : Amizam Mohamed



Di sebuah kampung kecil yang damai, seorang lelaki bernama Awang sering diejek kerana warna kulitnya yang gelap. Kanak-kanak dan orang kampung tidak pernah berhenti memanggilnya dengan gelaran "Awang Hitam," seolah-olah itu satu bentuk hiburan bagi mereka.

Setiap kali dia lalu di hadapan mereka, ejekan berderai keluar dari mulut orang-orang kampung.

"Awang Hitam! Awang Hitam!" laung seorang budak lelaki sambil tertawa.




Muka Awang Hitam merah padam. Namun dia terus menahan perasaan marah yang berkocak di dalam dadanya. Hari demi hari, ejekan yang diterimanya semakin menusuk hati. Sehinggalah pada satu hari, Awang Hitam tekad untuk meninggalkan kampung tersebut dan menuntut ilmu, berharap suatu hari nanti dia akan membalas dendam.

Setelah berkelana selama bertahun-tahun, Awang Hitam menemui seorang Maha Guru yang hebat. Dia belajar ilmu yang luar biasa di bawah bimbingan guru tersebut. Setelah tamat menuntut ilmu, Maha Guru memberi pesanan terakhir kepadanya.

“Jangan khuatir lagi, Awang. Mulai hari ini, sesiapa yang memanggilmu dengan gelaran itu akan berak serta merta. Namun ingat, jangan terlalu sombong dengan ilmu ini,” pesan Maha Guru dengan suara tenang.

Awang Hitam tersenyum lebar, merasa puas. Dia pulang ke kampungnya dengan hati yang lapang, yakin dia kini boleh membalas dendam terhadap ejekan yang diterimanya selama ini.

Setibanya di kampung, seorang penduduk kampung melihatnya dari jauh.

“Eh, Awang Hitam dah balik!” katanya kuat.

Sejurus selepas kata-kata itu keluar dari mulutnya, penduduk tersebut tiba-tiba merasakan perutnya memulas. Mukanya pucat dan tanpa amaran, dia berak di tempat berdiri. Orang-orang kampung yang lain terkejut dan ketawa melihat kejadian itu.

Awang Hitam terus berjalan dengan senyuman sinis di bibirnya. Setiap orang yang menyebut "Awang Hitam" akan mengalami nasib yang sama. Dalam perjalanan menuju ke rumahnya, keadaan menjadi huru-hara. Kampung yang biasanya tenang kini dipenuhi dengan orang berak di merata tempat.

Tidak lama kemudian, Penghulu kampung mula risau melihat kekacauan yang berlaku.

“Apa sudah jadi ni? Semua orang asyik berak sana sini!” keluh Penghulu sambil mengelap peluh di dahinya.

Dia segera menghadap Raja untuk mengadu tentang perkara itu.

“Tuanku, ada masalah besar di kampung patik. Sesiapa yang menyebut nama Awang Hitam, akan terus berak. Kampung sudah jadi huru-hara,” kata Penghulu dengan wajah cemas. Sejurus menyebut nama itu, penghulu juga berak serta merta.

Raja termenung sejenak sebelum membuat keputusan.

“Panggil Awang menghadap beta di istana,” titah Raja sambil menutup hidung baginda.

Penghulu segera kembali ke kampung dan membawa Awang Hitam ke istana. Namun, Penghulu sudah diingatkan oleh Raja bahawa sesiapa di istana tidak boleh menyebut nama Awang Hitam, kerana mereka tidak mahu kejadian yang sama berlaku di dalam istana yang indah itu.

Setibanya di istana, Penghulu dengan cemas cuba memberi isyarat kepada Raja bahawa Awang Hitam telah tiba. Dia menggerak-gerakkan tangannya secara tidak tentu, cuba menyampaikan mesej tanpa menggunakan kata-kata. Namun, Raja yang keliru melihat isyarat itu berkata dengan nada tidak sabar.

“Apa yang kau cuba katakan ini? Beritahu beta apa yang berlaku!” bentak Raja.

Dalam keadaan terpaksa, Penghulu pun mendekati Raja dan berbisik perlahan, “Awang Hitam dah datang, Tuanku.”

Sejurus selepas menyebut nama itu, Penghulu tiba-tiba merasa perutnya memulas. Mukanya berubah pucat, dan tanpa sempat mengawal dirinya. Tiba-tiba terdengar bunyi "prett". Penghulu terkucil dalam seluarnya. Penghulu fikir tindakannya berbisik akan mengelaknya dari terkena sumpahan. Raja yang melihat kejadian itu tergamam dan cuba menahan ketawa.

"Baiklah, Awang, apa maksud semua ini?" tanya Raja sambil mengerling ke arah Penghulu yang berdiri kaku dengan muka merah.

Awang Hitam tersenyum lebar. "Tuanku, patik telah lama dihina oleh penduduk kampung. Sekarang, patik hanya mengajar mereka sedikit pelajaran."

Raja termenung sejenak, sebelum bersuara, "Walaupun mereka salah, menghukum mereka begini tidak akan menyelesaikan masalah. Kemaafan lebih besar daripada balasan dendam."

Mendengar nasihat Raja, Awang Hitam mula merenung tindakan yang dilakukannya. Dia menarik nafas dalam-dalam, lalu berkata, "Tuanku, patik faham. Patik akan menarik balik sumpahan ini."

Dengan itu, Awang Hitam mengangkat sumpah yang diberi oleh gurunya. Serta-merta, kampung yang huru-hara kembali tenang, dan penduduk kampung tidak lagi berak sembarangan.

Sejak hari itu, Awang Hitam tidak lagi diejek. Penduduk kampung kini menghormatinya, dan dia pun hidup dengan aman di kampung tersebut, tidak lagi menyimpan dendam.

Comments

Popular posts from this blog

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA