Sempena cuti bertindan antara perayaan kemerdekaan negara dan sambutan Maal Hijrah pada hujung minggu ini membuatkan anak-anak dan isteri tertanya-tanya ke mana destinasi Saya hendak saya bawa. Rasa penat balik bercuti pada raya haji yang lalu masih lagi belum hilang.
|
Bergambar di tempat letak kereta Gunung Lambak Water Park |
Rasa sakit sakit bahagian belakang badan berpunca dari slip disc sejak tahun lepas kembali menyerang. Tidak dengan itu Kepala rasa seperti terhuyung-hayang. Berdiri rasa mahu rebah. Saya tidak tahu adakah ini tanda simptom-simptom penyakit darah tinggi. Tapi beberapa tahun lepas doktor klinik ada menyatakan saya mempunyai penyakit darah rendah. Mungkin Itulah agaknya.
Semalam pada 31 Ogos saya memberitahu anak-anak yang akan membawa mereka mandi manda di Gunung Lambak Water Park yang terletak di Kluang. Mengikut pengiraan Google Maps untuk saya sampai ke sana memakan masa hampir dua jam. Untuk tahun ini saya telah beberapa kali pergi ke Kluang melalui jalan Kota Tinggi - Kluang. Dengan sedikit pengetahuan berkenaan jalan tersebut maka perjalanan saya menjadi lebih mudah dan cepat.
BERTOLAK KE KLUANG
1 SEPTEMBER 2019, 7.45 PAGI
Saya bangun seawal jam 5 pagi. Seperti biasa memang Itulah waktu yang saya lakukan pada setiap hari sebelum pergi bekerja pada jam 7 pagi. Selepas solat subuh saya keluar ke Jalan tembikai untuk membeli sarapan. Saya membeli lima bungkus nasi lemak berharga RM1.00 dan 5 biji roti canai. Sebaik tiba di rumah saya terus mengenakan roti canai telur yang saya beli. Perut agak Lapar pada pagi kerana pada malam Sebelum itu saya tidak makan.
|
Isi minyak RM80.00 di Stesen Petronas Kota Masai 2 sebelum bertolak ke Kluang (7.45 pagi) |
Pada 7.45 pagi bila semua ahli keluarga siap bersiap, kami bertolak dari Kota Masai ke Kluang melalui jalan loji air Sungai Tiram. Jalan ini merupakan jalan pintas Pasir Gudang ke Ulu Tiram. Sebelum itu saya mengisi minyak di stesen minyak Petronas Kota Masai sebanyak RM80.00.
Perjalanan diteruskan dengan saya melalui Jalan Kota Tinggi - Kulai kemudian mengambil Jalan Felda Sg. Sayong menuju ke Kluang. Suasana jalan ini agak sunyi walaupun pada siang hari kerana kawasan ini di kelilingi ladang sawit dan ia sebahagian daripada gugusan Felda Taib Andak. Bila tiba di Kampung Sayong barulah kelihatan keadaan nampak seperti wujudnya petempatan di kawasan ini. Kampung Sayong merupakan sebuah pekan kecil yang mempunyai pelbagai kemudahan.
SAMPAI DI GUNUNG LAMBAK BUAT PERTAMA KALI
Kami tiba di Gunung Lambak Waterpark pada jam 9.40 pagi. Kedudukan pusat rekreaksi ini tidak jauh dari Bandar Kluang. Sebab itulah sewaktu saya tiba, ramai para pengunjung sudah pun ramai. Tiada ruang tempat letak kereta yang kosong. Jadi saya parking kereta di kawasan perumahan yang terletak tidak jauh dari pusat rekreasi ini (100 meter).
|
Pintu masuk Utama Gunung Lambak Water Park |
|
Letak kereta di kawasan perumahan penduduk di Gunung Lambak Water Park |
BAYARAN MASUK
Untuk masuk ke waterpark ini, kita perlu membeli tiket masuk dan bayarannya boleh dikatakan agak rendah sesuai dengan keluasan dan kemudahan yang disediakan oleh Majlis Daerah Kluang. Bayaran untuk orang dewasa adalah RM5.00 manakala RM3.00 bagi kanak-kanak. Jadi saya membayar RM19.00 untuk bayaran masuk kami 6 beranak.
|
Kaunter Tiket Taman Air Gunung Lambak, Kluang, Johor |
MEMILIH TEMPAT LEPAK
Bilangan pengunjung pada hari itu agak ramai menyebabkan semua bangku dan meja di taman air ini penuh diduduki. Kawasan lapang juga penuh dengan hamparan tikar pelawat yang datang dengan keluarga masing-masing. Saya dan isteri memilih di kawasan tengah antara dua kolam mandi utama. Di situ agak teduh kerana terdapat beberapa batang pokok besar yang menjadi kanopi semulajadi.
|
Port yang kami pilih. Sebaiknya bawalah tikar dan makanan sendiri |
KEMUDAHAN YANG TERSEDIA
Taman Air Gunung Lambak ini saya rasa milik Kerajaan Negeri Johor kerana pengurusan kawal selia pusat rekreasi ini di bawah Majlis Daerah Kluang (MPK). Pihak MPK telah membina beberapa kemudahan seperti bilik persalinan, wakaf, meja berbangku, gerai jualan makanan, dua kolam besar dan tiga golongsor air.
|
Gerai makanan turut tersedia di dalam kawasan taman air |
|
Kalau nak lepak di wakaf kenalah datang awal. Kalau tak memang tak dapatlah |
|
Bilik persalinan dan tandas yang agak besar |
|
Dua kolam besar. Satu di atas dan satu di bawah |
ANAK-ANAK GEMBIRA BERMAIN-MAIN AIR
Jiwa kanak-kanak dengan aktiviti air memang tidak dapat dipisahkan. Mereka akan berasa seronok hingga susah untuk diajak pulang. Begitu juga dengan anak-anak saya yang 4 orang itu. Sebelum inkisaya pernah berjanji dengan mereka mandi kolam pada cuti hujung minggu. Biasanya saya akan bawa mereka ke Taman Air Hutan Bandar MBJB (
klik TAMAN AIR HUTAN BANDAR MBJB) kerana di situ bayaran masuk adalah percuma. Tapi kali ini saya mahu membawa mereka ke tempat baharu (Gunung Lambak Waterpark).
|
Gambar dari sudut paling utara taman air. |
|
Hud dan Aimy |
|
Hud makan aiskrim RM2.00 |
|
Wafiy dan Ismah melepaskan lelah buat seketika setelah lama menyelam dan berenang |
Anak-anak berasa teruja sewaktu mandi-manda di sini. Paras air kolam ini tidak dalam memboleh anak gadis saya yang genit (Aimy) mampu mengharungi air di segenap penjuru kolam. Begitu juga dengan Hud anak kecil saya tidak mahu naik ke 'darat' sebaik sahaja berada di dalam air. Ismah pula saya tugaskan untuk menjaga keselamatan dan mandi bersama-sama Hud. Wafiy anak sulung saya pula orang paling lambat naik. Di saat kami sudah siap-siap menyalin pakaian untuk pulang, dia masih lagi mandi-mandi dan main di gelongsor air.
TIBA WAKTU PULANG
Jam lebih kurang pukul 12.00 tengah hari, saya meminta anak-anak untuk naik dari kolam dan membilas badan dengan air di bilik mandi. Cuaca pun pada hari itu makin panas. Tempat yang kami duduk makin terdedah dengan cahaya matahari. Cuma Wafiy yang lambat naik walaupun sudah berkali-kali saya memanggilnya naik. Kerap juga dia meminta untuk mandi lebih lama sedikit. Sementara menunggu Wafiy siap, saya mengangkut barang-barang bekalan ke kereta. Tepat jam 1.00 tengah hari, kami bergerak keluar dari tempat itu.
|
Memulakan perjalanan pulang pada jam 1.00 tengah hari |
SINGGAH MAKAN TENGAH HARI WARUNG ALI SHAH BULATAN MARDI JALAN KLUANG - KOTA TINGGI
Dalam perjalanan pulang, saya singgah di warung Bulatan Mardi Jalan Kluang - Kota Tinggi. Kedudukan Bulatan Mardi dengan Gunung Lambak Waterpark kira-kira 12 kilometer. Sewaktu datang pagi itu, saya dan isteri sudah target untuk makan tengah hari sewaktu pulang nanti. Seperti biasa saya memilih menu nasi putih dan asam pedas (ikan kaci). Manakala isteri pula mee bandung. Manakala anak-anak lain menjamah nasi putih dan sup ayam. Oleh kerana saya penggemar asam pedas dan sudah merasai banyak di warung-warung serata daerah negeri Johor, saya mengkategorikan rasa asam pedas kedai ini sebagai 'bolehlah'. Kuahnya agak cair sama seperti yang saya makan di Jeti Nelayan Parit Jawa. Manakala rasa mee bandung pula seakan-akan rasa mee rebus Johor kerana rasa ubi kentangnya yang agak banyak.
|
Warung Ali Shah dekat Bulatan Mardi Jalan Kluang - Kota Tinggi |
|
Menunggu makanan tiba |
|
Asam pedas ikan kaci dan mee bandung |
SINGGAH SOLAT DI MASJID KAMPUNG FELDA SG. SAYONG (GUGUSAN TAIB ANDAK)
Setelah selesai makan, lebih kurang jam 1.50 tengah hari, kami meneruskan perjalanan menuju ke Pasir Gudang. Melalui jalan Kluang - Kota Tinggi ini, kita akan melawati beberapa petempatan penduduk antaranya Bandar Tenggara. Bandar Tenggara merupakan kawasan persinggahan bag mereka yang melalui jalan ini. Di sini terdapat sebuah Hentian Rehat dan Stesen Minyak.
|
Masjid Kampung Felda Sg Sayong merupakan masjid yang indah dan punyai banyak kemudahan |
Saya tidak singgah di sini, sebaliknya meneruskan perjalanan dengan niat untuk berhenti rehat di Kampung Felda Sg. Sayong. Di situ terdapat sebuah masjid berada di atas bukit tepi jalan utama. Jarak dari Bulatan Mardi untuk sampai di Kampung Sayong ini memakan masa 30 minit. Kami berhenti di Masjid kampung ini pada jam 2.20 petang untuk solat Zohor.
|
Dalam Masjid Jamek Sg Sayong |
|
Luar masjid |
Masjid ini agak besar dan luas. Di sebelah masjid terdapat sekolah agama untuk anak-anak kariah kawasan ini. Jam 2.50 petang, kami bergegas pulang dan sampai di Kota Masai sejam kemudian...
Sekian, terima kerana berkunjung ke blog saya...
#mood_malas_menulis
Review : ⭐⭐⭐ Sesuai bagi yang mencari tempat perkelahan bajet dan ia sesuai juga dengan bayaran dikenakan. Kalau nak yang 5 bintang anda seharusnya pergi ke taman tema yang fees nya RM35.00 ke atas
NOTA : SEDIKIT MASA LAGI SAYA ATTACH VIDEO SETELAH SELESAI UPLOAD DI YOUTUBE
what
ReplyDelete#makesureit'strue