7 PERKARA YANG PERLU ANDA LAKUKAN KETIKA BERLAKU KEMALANGAN JALAN RAYA DI KAWASAN TERPENCIL

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera buat para pembaca blog saya sekalian.

Kali ini saya akan berkongsi tentang satu perkara penting yang anda perlu lakukan sekiranya kenderaan yang anda bawa terlibat dalam kemalangan jalan raya. Perkongsian yang saya tulis ini adalah berdasarkan pengalaman yang tempuhi sewaktu terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang ke Pasir Gudang dari Kuala Terengganu. Kemalangan itu berlaku pada jam 9.30 pagi, 24 Ogos 2020 iaitu baru semalam (ketika saya menulis artikel ini) di Kampung Serol, Nenasi, Pekan, Pahang. Kereta yang saya pandu itu telah melanggar seekor babi hutan yang secara tiba-tiba keluar dari semak. Kemudian meluru ke arah hadapan kereta lalu merempuh bumper hadapan kereta.


Kemalangan yang menimpa kami pada 24 Ogos 2020 di Kampung Serol, Nenasi, Pekan, Pahang

Bumper hadapan kereta pecah dan kabel minyak gear bocor. Kondeser dan radiator aircond juga sedikit bengkok. Ini menyebabkan kereta saya mengalami masalah gear dan sistem penghawa dingin kereta tidak berfungsi dengan baik (keluar angin panas). Tidak jauh dari tempat kemalangan, terdapat sebuah bengkel kereta. Saya singgah di bengkel itu dan meminta supaya mekanik yang dikenali sebagai Abang Yusri memeriksa kereta sama ada masih boleh berjalan atau tidak. Beliau memotong kabel gear yang bocor dan menyambungkannya kembali supaya minyak gear tidak tertumpah. Beliau beritahu saya yang kereta masih boleh bergerak hingga ke Pasir Gudang jika saya mahu. Beliau berpesan jika gear tiba-tiba menjadi sendu itu adalah akibat daripada kekurangan minyak gear. Bengkel beliau tidak mempunyai minyak gear yang sesuai untuk kereta saya. Jadi beliau tidak menambah minyak tersebut kerana tidak mahu mengambil risiko. Saya memberi wang RM20.00 kepada anak perempuan kecilnya apabila Abang Yusri enggan mengambil upah.


Berhenti di bengkel kereta Abang Yusri untuk membuat pemeriksaan awal kerosakan kereta

Saya meneruskan perjalanan untuk ke Balai Polis berhampiran untuk membuat laporan. Saya lihat dalam google maps jauh balai polis tersebut kira-kira 7 km dari Bengkel Abang Yusri. Lebih kurang 4 km memandu tiba-tiba gear saya menjadi sendu. Sah!! seperti yang dikatakan oleh abang Yusri tadi simptom tersebut disebabkan oleh kekurangan minyak gear. Saya berhentikan kereta kerana tidak mahu mengambil risiko gearbox rosak. Saya menahan sebuah motosikal yang ditunggang seorang abang yang berusia dalam lingkungan lewat 50-an yang bertutur dalam loghat pantai (loghat Terengganu dituturkan oleh penduduk dari Pantai Terengganu hingga Mersing). Saya meminta abang tersebut menghantar saya ke bengkel abang Yusri. Saya membonceng motornya mendapatkan abang Yusri tadi. Abang Yusri cakap dia pun tak boleh buat apa-apa dan meminta anaknya menghantar saya ke Balai Polis Nenasi. Anak lelaki (berusia dalam 19-20 tahun) menghantar saya ke Balai Polis Nenasi menggunakan kereta Iswara lama. Sebelum ke Balai polis, saya meminta pemuda tersebut mengambil isteri dan anak-anak terlebih dahulu untuk sama-sama ke balai.

Setibanya di Balai Polis, saya memberikan wang RM20.00 lalu mengucapkan terima kasih kepada anak lelaki abang Yusri itu. Lalu saya masuk ke balai polis untuk membuat laporan tentang kemalangan itu.


membuat laporan kemalangan di Balai Polis Nenasi

Oklah panjang sangat intronya... Di sini saya nyatakan TUJUH PERKARA yang perlu anda lakukan sekiranya anda terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan terpencil.


1. AMBIL GAMBAR KENDERAAN DAN KAWASAN KEMALANGAN

Sebaik sahaja anda eksiden, berhentikan kereta di bahu jalan. Kemudian ambil gambar keadaan kenderaan anda yang kemalangan itu. Ambil juga gambar kenderaan lain yang turut terlibat dengan kemalangan itu. Jika anda kemalangan dengan binatang tidak kiralah babi atau pun lembu ambil juga gambar binatang tersebut bersama kenderaan anda (jika mati) atau ambil gambar objek yang anda langgar seperti tiang elektrik, tembok, pagar dan sebagainya. Dalam kes ini, saya telah mengambil gambar tempat kemalangan dan juga babi hutan yang mati di tepi jalan. Gambar ini penting sebagai pembuktian anda ketika sesi soalsiasat dengan bahagian polis trafik.


Bumper depan pecah serta komponen dalam bonet kereta seperti tiub gear, radiator dan kondeser bengkok kesan daripada impak rempuhan babi hutan



EH, babi betullah!!.....



Mangsa kemalangan


2. PERIKSA DAN KENAL PASTI KOMPONEN ATAU PARTS KENDERAAN ANDA YANG ROSAK

Pada masa yang sama sewaktu mengambil gambar, periksa komponen-komponen kenderaan anda yang rosak kesan dari kemalangan yang berlaku. Lihat kerosakan yang boleh dilihat seperti pada body kereta dan juga kesan fizikal dalam bonet hadapan kereta seperti radiator, kabel-kabel dan sebagainya. Dalam kemalangan yang berlaku semalam, saya mendapati bumper depan bahagian kiri pecah. Lampu sport juga rosak. Kabel gear bocor. Radiator aircond juga bengkok. Pengetahuan ini penting sewaktu anda membuat laporan polis kerana butiran-butiran kerosakan akan dimasukkan. Untuk menyelamatkan lagi keadaan minta pegawai polis yang menerima laporan masukkan ayat '....DAN LAIN-LAIN KEROSAKAN YANG BELUM DIKETAHUI'... Kandungan laporan polis penting ketika anda ingin membuat tuntutan insurans.


Remuk hatiku.....


3. PASTIKAN NAMA DAN LOKASI ANDA KEMALANGAN

Anda juga perlu mengetahui lokasi tempat kemalangan seperti nama kampung dan yang PALING PENTING kilometer berapa tempat anda kemalangan. Dalam kes saya semalam mujur juga saya mengambil gambar yang di dalamnya terdapat batu KM yang menunjukkan kilometer 51 Pekan. KM berapa ini juga sebahagian daripada maklumat yang perlu dimasukkan dalam laporan polis.


Nasib baik ada gambar ni yang menunjukkan KM 51 Pekan sebab ia diperlukan dalam mengisi maklumat laporan 

Nama kampung pula saya ketahui bila bertanyakan abang Yusri sewaktu memintanya memeriksa kenderaan saya. Dia yang beritahu kampung tersebut ialah Serol.


4. HUBUNGI SYARIKAT INSURANS ANDA UNTUK MENUNDA KERETA

Ok... selepas melakukan tiga perkara di atas, hubungilah syarikat insurans kereta anda untuk perkhidmatan towing kereta. Ini kerana jika kita mengambil insuran first party, kita boleh menggunakan perkhidmatan trak penunda dari pihak insurans. Biasanya pihak insurans akan menanggung kos menunda sebanyak RM200. Sekiranya anda kemalangan di lokasi yang agak jauh dari bengkel panel, anda perlu menanggung kos selebihnya. 


Naik towing truck


Abadikan kenangan


Mereka pun naik juga trak penunda ni...


Macam seronok je naik kereta atas trak ni..Pengalaman baru buat mereka

Dalam kes saya semalam, sekiranya saya mahu membawa balik kereta ke Pasir Gudang, saya perlu membayar kos tambahan sebanyak RM650.00 kerana kos keseluruhannya adalah RM850. Sebenarnya kos tersebut masih murah berbanding jika kita menggunakan trak penunda bukan di bawah insurans. Saya rasa kosnya dalam dua ribu lebih. Pun begitu, sewaktu berbincang dengan operator insurans tersebut, dia cakap kereta saya masih dalam warranty 2 tahun. Lebih baik hantar ke Nissan Tan Chong, Kuantan. Towing ke situ pun percuma. Nissan Tan Chong Kuantan adalah panel Takaful Malaysia juga. Tapi Nissan Tan Chong JB tiada dalam list bengkel panel insurans.


Waktu ni dah sampai di Tan Chong Auto Services, Kuantan

Setelah buat comfirmation dengan syarikat insurans, mereka akan berhubung dengan syarikat trak penunda. Kemudian syarikat trak penunda akan menghubungi kita untuk bertanyakan lokasi anda. Dalam kes saya, saya meminta pemandu trak mengambil saya di Balai Polis Nenasi. Sejam lebih juga menunggu sebelum trak datang. Kemudian dalam pukul 12.00 tengah hari saya pergi ambik kereta naik trak. Saya duduk bersama pemandu. Manakala isteri dan anak-anak masuk dalam kereta atas trak penunda. 


Terima kasih buat brader towing truck atas bantuan yang diberikan

Bagaimana jika saya lupa syarikat insurans kereta?

Yang ini pun satu masalah sebab ramai antara kita tak letak polisi dalam kereta. Kita pun adakala lupa syarikat insurans yang kita ambil. Dalam kes saya, setiap kali saya memperbaharui roadtax kereta, saya akan menampal perekat plastik roadtax yang diberi ejen sewaktu memperbaharui insurans. Di perekat tersebut terdapat no talian yang boleh dihubungi untuk mendapatkan perkhidmatan trak penunda insurans. Saya hanya menghubungi nombor tersebut selepas berlakunya kemalangan. Jadi selepas ini, saya syorkan kepada anda tampallah perekat insurans tersebut sekali dengan roadtax. Nanti diwaktu kecemasan ia sangat berguna untuk anda.


Perekat roadtax ni menjadi penyelamat saya diwaktu kecemasan kerana di situlah bermulanya saya meminta bantuan. Jadi saya nasihatkan anda supaya gunakan perekat ini setiap kali menukar roadtax baharu.


5. BUAT LAPORAN POLIS TENTANG KEMALANGAN ITU DI BALAI POLIS PALING HAMPIR DENGAN KAWASAN KEMALANGAN

Sementara menunggu trak tunda sampai, jangan buang masa. Kerana trak penunda insurans ni nak datang ambil masa lama juga. Mungkin lebih dari sejam. Ye lah kemalangan pun kawasan rural area memang lamalah ambil masa. Biasanya trak penunda insurans datangnya dari bandar ibu negeri. Contohnya Kuantan, JB dan sebagainya. Oleh itu, jangan lengahkan masa. Bawa isteri dan anak-anak sekali ke balai polis. Kereta tu, tinggallah kat situ. Jangan lupa bawa dokumen-dokumen penting. Minta pertolongan penduduk tempatan untuk hantar anda ke balai polis. Jangan lupa hulur-hulur la sikit duit minyak tu.

Rehat sebentar sementara menunggu kedatangan trak penunda di halaman Balai Polis Nenasi sebaik sahaja selesai membuat laporan kemalangan

Laporan polis di balai paling hampir dengan lokasi kemalangan ini penting kerana ia merupakan dokumen penting untuk membuat tuntutan insurans. Ia perlu dibuat dalam tempoh 24 selepas kemalangan berlaku. Polis yang menerima laporan akan bertanyakan butiran kemalangan. Jadi jika anda sudah lakukan perkara 1-3 di atas, tiada masalahlah untuk membuat laporan. Jika pegawai tersebut bertanyakan anda mahu buat laporan di balai tersebut atau di cawangan trafik. Anda cakap mahu buat di situ kerana pihak insurans mahukan laporan di balai paling hampir dengan lokasi kemalangan. Dalam kes saya, pegawai kaunter itu minta saya buat laporan ke Cawangan Trafik Pekan kerana nanti saya perlu ke sana juga. Tapi saya cakap nanti saya takut ada masalah nak tuntut insurans. Jadi pegawai tersebut akur dan menerima laporan saya.

Bila dah buat laporan, jangan lupa AMBIL SALINAN LAPORAN POLIS tu. Bayar RM2.00 anda akan dapat salinannya. Simpan elok-elok laporan tu. Sebab nanti anda kena bagi laporan tu kepada bengkel panel insurans. Satu lagi pastikan nama anda ada dalam polisi insurans kerana nama pelapor dan nama dalam polisi perlu match untuk claim insurans.


Jangan lupa dapatkan salinan report polis ni. Ia dokumen penting untuk buat tuntutan insurans

Selepas itu anda perlu untuk ke cawangan trafik juga untuk disoalsiasat. Dalam kes ini, saya pergi dengan trak penunda ke Balai Polis Pekan untuk berjumpa dengan Sarjan Hanif pegawai penyiasat kemalangan. Nanti pegawai itu akan tanya beberapa perkara tentang situasi kemalangan seperti kenderaan lain, kelajuan pemanduan anda dan dia akan minta gambar yang anda ambil.


6. BAWA KERETA ANDA KE BENGKEL PANEL INSURANS

Pihak insurans akan bertanyakan anda pilihan lokasi bengkel yang anda mahu kereta dibaikpulih. Jika anda mahu di lokasi berhampiran rumah, kita perlu menangung kos selebihnya untuk membawa kereta kita ke situ. Perlu diingat sekiranya kereta anda masih dalam tempoh warranty sebaiknya kita memilih pusat yang diiktiraf oleh pengeluar kereta anda. Biasanya pusat servis syarikat itu sendiri. Jika anda memilih bengkel lain, Syarat sah warranty kereta anda mungkin terbatal. Jadi adalah lebih elok anda bertanyakan kepada operator insurans anda, bengkel panel yang mempunyai link dengan syarikat pengeluar kereta anda.


Tiba di Nissan Auto Servis Kuantan pada jam 3.30 petang

Urusan dokumentasi tuntutan insurans di Kaunter Nissan Customer Service



Minum air untuk melepaskan dahaga di Nissan Kuantan



Jangan stres.... semua masalah ada jalan penyelesaiannya



Tunggu sebulan lebih untuk dibaikpulih

Dalam kes saya, kereta saya masih mempunyai baki warantty 2 tahun lagi. Jika saya hantar ke bengkel selain daripada Tan Chong ia akan menjejaskan kesahan warranty tersebut. Manakala panel insurans Tan Chong hanya untuk cawangan Kuantan sahaja dan tidak di JB. Jadi saya memilih Tan Chong Kuantan sebagai bengkel  kereta saya untuk dibaikpulih.

Jika anda memilih untuk menghantar ke bengkel yang jauh dari kediaman anda, pilihlah bengkel yang mudah di akses contohnya berdekatan dengan stesen bas atau dalam bandar. Nanti senang anda nak pergi ke sana menggunakan pengangkutan awam.


7. SEDIAKAN DOKUMEN SOKONGAN TUNTUTAN INSURANS

Sewaktu di bengkel panel kereta, pihak sana akan meminta anda beberapa dokumen seperti dibawah.

a. Salinan kad pengenalan dan lesen pemilik kenderaan

b. Salinan Kad pengenalan dan lesen pemandu kereta

c. Laporan polis asal

d. Salinan Geran kereta

e. Salinan Covernote polisi insurans

Kalau anda tak ada salinan geran dan polisi insurans, kita boleh imel atau whatapps sahaja dokumen tersebut setelah sampai rumah nanti. 

Ok.... itu sahaja tujuh perkara yang perlu anda lakukan jika berlaku kemalangan di kawasan terpencil. Jika anda tak buat perkara itu anda mungkin akan berserabut kepala. Yelah tempat orang lagi... Pergerakan terbatas lagi... serabut dengan line internet yang tak ada pulak. Beteri telefon yang mengurang. Saya nak pesan ketika ini, jangan bazirkan beteri phone anda kerana nanti banyak pihak yang anda nak hubung. Seperti syarikat insurans, pemandu trak, pegawai polis dan lain-lain lagi.


PULANG MENAIKI BAS

Sejak dari waktu kemalangan berlaku pada yang 9.30 pagi. Kemudian ke bengkel abang Yusri jam hingga 10.00 pagi. Kemudian ke Balai Polis Nenasi jam 10.30 pagi buat laporan. Naik trak penunda jam 12.30 tengah hari ke Kuantan. Singgah pula di Balai Polis Pekan dan 2.00 petang. Hinggalah sampai di Tan Chong Kuantan jam 3.15 petang. Setelah selesai di Tan Chong Kuantan pergi pula ke Kuantan Sentral pada jam 4.00 petang untuk pulang ke Pasir Gudang. Saya merasakan urusan saya begitu mudah sehinggakan tiada langsung perasaan stres. Saya rasa bernasib baik dapat berjumpa dengan manusia-manusia ini ketika saya dan keluarga ditimpa musibah.


Beli tiket bas balik Pasir Gudang di Kaunter Kuantan Sentral

Masih ada tiga jam sebelum bas bertolak


Di Foyer Kuantan Sentral


Seronok benar mereka ni....


Menunggu bas datang di Gate 1,Kuantan Sentral


6 tiket bas balik Pasir Gudang berharga RM184.00


Checkout sebelum masuk dalam bas 


Bas Prisma ke JB melalui Jalan Segamat


Dah naik bas...

Saya ingin merakamkan terima kasih kepada pihak-pihak dibawah kerana membantu memudahkan urusan saya semalam iaitu :-

1. Abang Yusri dan anaknya - pomen Kampung Serol Nenasi.

2. Abang motosikal yang menumpangkan saya ke bengkel abang Yusri.

3. Staf perempuan operator Takaful Malaysia.

4. Pegawai Kaunter Perempuan Balai Polis Nenasi yang menerima laporan saya.

5. En. Syafiq Nissan Auto Servis Plentong yang beri quotation harga baikpulih

6. Sarjan Hanif pegawai trafik Balai Polis Pekan

7. Pemandu trak penunda

8. Staf Tan Chong Auto servis Kuantan

9. Bos Tan Chong Kuantan yang hantar kami ke Kuantan Sentral untuk pulang ke Pasir Gudang.

10. Staf Pintu Masuk Kuantan Sentral

11. Pemandu bas Prisma Holiday 

12. Abang Teksi Hentian Bas Pasir Gudang jam 2.30 pagi

12. Bos Haji Zainuddin yang luluskan CRK

Setelah tiba di Kuantan Sentral pada jam 4.00 petang, saya pergi ke kaunter untuk membeli tiket bas 2 dewasa dan 4 kanak-kanak berharga RM184.00. Kami menaiki bas pada pukul 7.00 malam dan tiba di Hentian bas pada jam 2.30 pagi. Mujur ada sebuah teksi pada waktu itu yang menghantar kami ke Kota Masai dengan Bayaran RM18.00. Jam 3.00 pagi kami sampai ke rumah dalam keletihan.....

Sekian, Wassalam........



Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA