TEMPAT MENARIK DI TERENGGANU : RONDA-RONDA SEKITAR PULAU RAMA-RAMA, TASIK KENYIR

Assalamualaikumn w.b.t dan selamat sejahtera buat para pembaca blog saya sekalian.


Bergambar di Pulau Rama-rama, Tasik Kenyir


Terdapat 2 - 3 replika rama-rama untuk para pengunjung bergambar


Semalam (22 Ogos 2020), saya berkesempatan bersama keluarga berlibur-liburan di Tasik Kenyir. Rancangan awal saya adalah untuk membawa anak-anak mandi-manda di Kenyir Water Park. Jadi kami bertolak pada jam 8.30 pagi dari Hotel Chukai Utama melalui jalan pantai. Sengaja saya menggunakan jalan pantai kerana di sepanjang laluan ini, banyak tempat yang boleh kita singgah. Kedai makan pun banyak. Namun begitu jalan ini agak jauh berbanding jalan Jerangau - Ajil untuk ke Tasik Kenyir.


Di dalam bilik Hotel Cukai Utama, Kemaman sebelum checkout untuk bertolak ke Tasik Kenyir


Perjalanan pagi agak lancar walaupun banyak kenderaan berplat 'luar' turut sama bergerak menuju ke arah Kuala Terengganu. Ternyata cuti sekolah pertengahan penggal kedua memberi peluang kepada warga Malaysia untuk melakukan 'cuti-cuti Malaysia'. Dalam perjalanan tak sampai 15 minit dari Hotel Chukai Utama itu, saya singgah sebentar di Gerai Lemang Kijal untuk membeli lemang murah di situ. Saya membeli 7 batang lemang berharga RM20.00. Biasanya lemang di sini berharga 3 atau 4 batang RM10.00 bergantung kepada size buluh. Memang itulah harganya setiap kali saya beli sejak 10-12 tahun dahulu. Harganya tetap sama walaupun harga barang kini sudah melambung naik. 


singgah di Kijal untuk membeli Lemang Murah


Tak lengkap rasanya kalau lemang tidak dimakan bersama rendang. Jadi, saya membeli 2 bekas rendang ayam dan daging berharga RM10.00. Kemudian kami singgah pula di sebuah warung untuk sarapan pagi di Kampung Meraga Beris. 

Selesai sarapan, kami mula bergerak ke Kuala Terengganu. Harapan untuk singgah di beberapa pantai sekitar Kemaman dan Dungun terpaksa dibatalkan kerana hujan turun renyai sejak semalam. oleh itu, tidak sesuai rasanya untuk berhenti di pantai. Nanti basah semua baju anak-anak main hujan. 

Lebih kurang pukul 12.00 pagi, kami tiba di Simpang Sotong (terdapat replika sotong dan udang), Bandar Marang. Saya kemudiannya mengambil jalan Kampung Sentul Patah. Jalan itu merupakan shortcut untuk orang-orang Marang pergi ke Kuala Berang. Jalan kampung ini agak bengkang-bengkok, jadi kurang sesuai untuk memecut kereta dengan laju. Penghujung jalan ini, kita akan tiba di Simpang Wakaf Tapai iaitu jalan utama Kuala Terengganu - Kuala Berang.


TIBA DI PENGKALAN GAWI

Kami sampai di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir kira-kira jam 1.30 tengah hari. Pengkalan Gawi merupakan pintu masuk utama untuk para pengunjung untuk menjelajah Tasik Kenyir. Di situ terdapat jeti bot yang membawa pelancong-pelancong ke tempat yang diingini. Di situ juga terdapat pusat beli belah bebas cukai. Namun pusat bebas cukai itu tidaklah besar mana.


Pemandangan dari atas bukit Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir



Jeti bot di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir



Gambar 2015 : Sebenarnya kami mahu datang mandi kat sini lagi tetapi Kenyir Water Park telah lama ditutup atas isu pencemaran air disebabkan oleh sistem kumbahan taman tema ini

Tujuan kami datang ke Tasik Kenyir sebenarnya hanyalah untuk mandi-manda di Kenyir Water Park kerana pernah berkunjung dan mandi manda di situ sekitar tahun 2015. Sangkaan kami, taman tema air itu masih dibuka. Tapi hampa harapan kami terutamanya anak-anak yang ingin mandi manda setelah mendapat tahu pusat itu sudah lama ditutup. Kenyir Water Park ditutup kerana dikatakan sistem kumbahannya telah mencemari air Tasik Kenyir dan telah diarahkan tutup oleh Jabatan Alam Sekitar. Untuk maklumat pembaca sekalian, air dari Tasik Kenyir merupakan sumber air utama yang membekalkan air bersih ke rumah-rumah negeri ini. Sebab itulah faktor kebersihan air Tasik Kenyir amat dititikberatkan. Tiada sebarang kompromi atas perkara yang melibatkan pencemaran air tasik.


MENAIKI BOT KE PULAU RAMA-RAMA, TASIK KENYIR

Hampa juga anak-anak bila saya beritahu bahawa Kenyir Water Park telah ditutup. Iyalah semalam saya janji untuk bawa mereka mandi-manda tempat yang pergi kita pergi dahulu. Saya sendiri pun tidak mendapat info yang ia telah pun ditutup. Tiada sebarang berita yang saya dengar mengenai penutupannya. Tak tahulah kalau saya terlepas pandang dalam hal itu.


Menunggu bot datang untuk 'round-round' sekitar tasik


Sebagai galang ganti hajat yang tak jadi itu, kami menukar ke plan B, iaitu menaiki bot untuk meronda-ronda sekitar tasik. Saya pergi ke kaunter pentanyaan untuk bertanyakan perihal sewaan bot. Di kaunter itu sudah pun terdapat senarai harga sewaan bot berserta jumlah penumpang. Saya sempat juga bertanya kepada penjaga kaunter tentang Kenyir Water Park dan sewaan rumah bot. Bagus jugalah dapat tahu sedikit sebanyak tentang maklumat Tasik Kenyir. Sekurang-kurangnya nanti boleh ada perkara yang boleh dipertimbangkan jika ada rancangan untuk ke sini lagi.



Kita perlu melambai-lambai memanggil bot yang bergerak menuju ke jeti. Jika bot berhenti berdekatan dengan kita bolehlah nanti kita naiknya


Jenis bot yang digunakan untuk mengangkut penumpang di Tasik Kenyir


Saya melihat senarai harga yang terpapar di kaunter jika mahu naik bot hanya untuk pusing-pusing harganya RM60.00 satu bot untuk 8 penumpang. Jika mahu pusing-pusing dan melawat pulau rama-rama pula harganya ialah RM80.00 sebuah bot untuk 8 orang juga.


Sementara tunggu bot datang

Tapi kita bukan bayar di kaunter itu jika mahu guna perkhidmatan bot. Sebaliknya nanti kita terus bayar kepada pemandu bot sebaik sahaja selesai menjelajah tasik. Untuk naik bot pula, kita harus tunggu di tepi jeti. Di sini tidak ada konsep 'kau tunggu dulu, kau naik dulu'. Sebaliknya sewaktu bot datang kita harus melambai-lambai memanggil bot. Jika bot berhenti di hadapan kita maksudnya kitalah yang boleh naik bot itu. Jadi ia bergantung kepada nasib kita pada hari itu. Pun begitu lambat laun dapat juga naik bot itu juga nanti.


MELAWAT PULAU RAMA-RAMA

Setelah dapat menaiki bot yang saya rasa panjangnya antara 18 - 20 kaki. Saya memberitahu pemandu bot untuk melawat Pulau Rama-rama. Penuh juga bot itu kerana muatannya pada masa itu melebihi 8 orang. Walaupun lebih muatan, tapi semua penumpang dalam bot itu termasuk kanak-kanak dapat memakai jaket keselamatan.


memegang tali bot sewaktu penumpang sediaada mahu turun

Enjin bot yang digunakan juga adalah berkuasa tinggi kerana mampu bergerak dengan laju. Seronok juga saya dapat naik bot laju ni. Kali terakhir menaikinya ialah pada tahun 2013 sewaktu mengikuti lawatan sekolah ke Pulau Perhentian. Tapi bot ke Pulau Perhentian itu lagi power kuasa kudanya hinggakan saya rasa pada masa itu seperti akan tercampak ke dalam laut. kelajuannya pula macam body bot tak tersentuh air sewaktu meluncur laju. Tapi bot di Tasik Kenyir ini boleh tahan jugalah lajunya.


Berswafoto sewaktu bot bergerak



Layan pemandangan Tasik Kenyir dari atas bot yang bergerak


Atas bot 1


Atas bot 2



menuruni bot sewaktu sampai di Pulau Rama-Rama


Dalam perjalanan menaiki bot itu, kita boleh lihat keindahan tumbuhan yang menghijau mengelilingi tasik. Terdapat banyak pulau yang dulunya merupakan puncak bukit di kawasan itu. Air tasik pula kehijauan hasil biasan dari pokok-pokok hutan itu tadi. 


Pemandangan tasik dari Pulau Rama-Rama, Tasik Kenyir

Perjalanan dari Jeti Pengkalan Gawi ke Pulau Rama-rama memakan masa kira-kira 10 minit. Kami bertolak dari jeti pada pukul 2.00 petang. Kemudian sampai pada jam 2.10 petang. Sewaktu sampai dan menuruni bot, kita perlu mendaki anak tangga untuk ke Taman Rama-rama sebelum tiba di bangunan Taman Rama-rama. Bayaran masuk yang dikenakan untuk pengunjung adalah sebanyak RM3.00 seorang.


Taman Rama-Rama


Pintu Masuk


Kaunter tiket di pintu masuk


kita bingkaikan kenangan di sini


Tiket masuk ke Taman Rama-rama berharga RM3.00

Sebenarnya tak banyak rama-rama hidup yang boleh kita lihat dalam taman ini. Mungkin kami datang tak kena musim pembiakan kot. Tapi saya rasa rama-rama dalam ni perlu di tambah sesuailah dengan nama pulau ini. Mungkin spesis rama-rama dari tempat lain perlu dibawa masuk dan dibiakkan di sini. 


Permulaan masuk anda akan di sambut biri-biri hijau tiga beranak ni


Gambar 1 di replika


Gambar 2 di replika

Info mengenai spesis rama-rama yang terdapat di sini

Permulaan masuk taman ini, kita akan pergi ke laman snap gambar terlebih dahulu. Di laman ini terdapat beberapa replika rama-rama besar di letakkan di beberapa tempat tertentu bagi membolehkan pengunjung mengabadikan kenangan mereka di pulau itu. 


Replika biri-biri hijau tiga beranak ini seolah-olah menyambut ketibaan anda sebaik sahaja masuk ke dalam taman


Replika gergasi rama-rama hitam putih


Replika gergasi rama-rama biru

Selepas melepasi kawasan replika, barulah kita akan masuk laman rama-rama. Laman ini tertutup dengan jaring supaya rama-rama di dalamnya tidak terbang keluar. Dalam laman ini, kita boleh melihat rama-rama terbang ke sana dan ke mari. Saya lihat rama-rama yang terbang itu daripada spesis yang sama iaitu yang berwarna hitam oren.

Kura-kura jinak ini akan mengekori pengunjung yang datang untuk bermanja-manja



Berat juga kura-kura ni yang saya anggarkan kira-kira 20 ke 25 kg

Di dalam taman rama-rama itu juga terdapat seekor kura-kura besar dan jinak. Kura-kura itu berwarna coklat muda dan dianggarkan seberat 20 - 25 kilogram sewaktu saya mengangkatnya. Jinaknya kura-kura ini, sehinggakan dia akan mengikut kita berjalan-jalan. Mungkin ia mahu kita belai atau memberinya makanan. Tapi saya rasa kura-kura itu kesunyian kerana tiada teman satu spesis dengannya. Tambahan suasana pulau itu sendiri yang terpencil dan jauh daripada kehidupan manusia. Sebab itu bila ada pelawat, ia mengekori kita seolah-olah mahu bermanja.


Masuk ke dalam terowong yang seakan-akan masuk dalam perut seekor naga


Hud yang menangis ketakutan setelah diekori kura-kura tadi

Setelah selesai berhadapan dengan kura-kura tadi, kita akann masuk pula di dalam sebuah terowong seakan-akan kita masuk dalam perut naga. Di dalam terowong itu, kita perlu memasang torch light agar kita dapat melihat bahan pameran di dalamnya. Saya tak pasti apa bahan pamerannya kerana pada masa itu sibuk melayani anak saya Hud yang menangis ketakutan dan terkejut dikejar kura-kura tadi. Mungkin didalamnya dipamerkan spesis ular dan serangga yang sudah diawet. Namun saya sempat juga melihat info dan pameran sebelum keluar terowong. Di situ diletakkan spesis rama-rama dan kumbang yang telah mati kemudian diawet digantungkan dalam frame pada dinding.


Spesis kumbang awet yang dipamerkan dalam terowong

Spesis rama-rama awet yang turut menjadi bahan pameran


Anak-anak membaca dan melihat info pameran


Tidak melepaskan peluang untuk berswafoto juga di sini


Selfie ramai-ramai di pintu keluar terowong

Sampai sahaja pintu keluar taman, tepat habis masa 30 minit masa yang diberikan oleh pemandu bot untuk melawat taman rama-rama itu. Sewaktu kami keluar itu, terdapat pengunjung daripada dua buah bot lain yang turut sama mahu melawat pulau itu. Setelah selesai mengambil beberapa keping gambar, kami kemudiannya menaiki bot semula untuk balik ke Pengkalan Gawi. Sesampainya di Jeti Pengkalan Gawi saya bertanyakan dulu harga sewa bot tadi. Pemandu itu meminta RM70.00. RM10.00 lebih murah dari harga yang terpapar di kaunter pertanyaan tadi.


MELAWAT SEKEJAP KEDAI BEBAS CUKAI SEBELUM BERGERAK KE RHU SEPULUH

Sebagaimana yang saya beritahu awal tadi, Tasik Kenyir kini menerima deklarasi sebagai pusat bebas cukai. Jadi saya mengambil kesempatan untuk melawat kedai bebas cukai yang beroperasi di situ. Tujuannya bukanlah untuk membeli belah tapi hanya sekadar untuk kelih-kelih sahaja.

Kedai bebas cukai yang beroperasi di Tasik Kenyir


Tengok-tengok barang-barang yang dijual di premis ini

Pada pemerhatian saya, kedai bebas cukai di tasik ini tidaklah sebesar yang terdapat di Rantau panjang atau Pengkalan Kubur atau Bukit Kayu Hitam mahupun Padang Besar. Barang-barang jualan dalamnya pun agak sedikit jumlahnya sebab tu kedai bebas cukai di Tasik Kenyir tidak berapa meriah. Mungkin lokasinya yang jauh dari sempadan antarabangsa menjadi faktor.

Setelah puas melihat, kami pun masuk dalam kereta untuk pergi pula ke Rhu Sepuluh untuk makan ICT. Lagi pun perut dah lapar. Iyalah dah pukul 3.30 petang...

oklah. Setakat ini sahaja coretan untuk kali ini. Terima kasih kerana meluangkan banyak masa untuk membaca artikel ini....

Sekian, wassalam...





Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA