PENGEMBARAAN HUD KE SERATA JOHOR 2021 : HARI PERTAMA; AZHAR FOOD RENGIT - MEE RACUN TULANG BATU PAHAT - DATARAN PENGGARAM

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera. 

Apa khabar pembaca blog saya sekalian. Agak lama juga saya tidak memuat naik cerita terbaru dalam blog saya ini. Entri terakhir saya sebelum ini ialah pada bulan September 2020 yang lepas tentang Pantai Batu Hitam. 


PENGENALAN

Kali ini saya mahu ceritakan pengalaman travel ke hampir seluruh negeri Johor pada  28 hingga 31 Mac 2021 kecuali ada dua daerah yang saya tidak saya kunjungi iaitu Kulai dan Mersing. Ini Kerana dua daerah tersebut yang tidak termasuk dalam garisan jajaran perjalanan kami.


Kami sudah mengembara di semua negeri di Semenanjung dengan bersama. Keseronokan datang bukan hanya disebabkan destinasi yang hendak dituju tetapi juga melalui pengalaman dan dugaan yang dilalui di sepanjang perjalanan itu....  


Tajuk Kembara kali ini saya memilih Pengembaraan Hud ke Serata Johor 2021. Saya memilih tajuk ini kerana sempena nama anak saya yang paling kecil iaitu Hud.

Sempena cuti pertengahan penggal pertama selama sembilan hari bermula 26 Mac 2021 hingga 3 April 2021, saya tidak mempunyai planning back up apabila kerajaan masih melarang rentas negeri. Beberapa minggu sebelum itu memang saya merancang untuk melakukan siri penjelajahan ke pelusuk negeri kelahiran saya sendiri iaitu Terengganu pada cuti kali ini. Namun hasrat itu terbantut dengan keputusan MKN yang masih bertegas dengan larangan rentas sempadan negeri. 

Kalau kebiasaan cuti-cuti penggal sekolah yang lalu, saya akan mengambil peluang untuk pulang ke rumah di Kota Bharu, Namun bila keadaan masih begini, pilihan hanya ada dua sahaja iaitu duduk di rumah menghabiskan cuti yang ada atau pun melancong ke dalam negeri. Tapi persoalannya ke mana nak pergi? Buntu juga memikirkannya. Nak bercamping sekarang cuaca sering hujan. Nak duduk di hotel mewah atau yang mempunyai star rating rasa tak berbaloi kerana menghabiskan duit yang banyak hanya untuk sehari dua. Jadi pada hari Sabtu 27 Mac, saya meminta isteri menyediakan tiga bag pakaian dan satu bag pakaian mandi kerana saya mahu melakukan trip esok pagi (28 Mac 2021). Destinasinya saya tak pasti, saya hanya berserah pada Allah dan ilham yang datang sewaktu memandu. Tiada itenirari (jadual perjalanan) disediakan, hanya pengalaman sewaktu terlibat dalam kontinjen catur dan sofbol daerah sebagai panduan untuk mengatur jajaran laluan kelak.


Bag pakaian cuma 4 sahaja, selebihnya barang-barang camping dan basikal. Dalam box kat bumbung juga penuh dengan barang camping. Padahal tak pergi camping pun. 


Malam itu, saya mengisi semua bag dalam kereta. Peralatan camping juga saya masukkan semua selain basikal lipat dan skate board. Ruang kargo kereta saya pada malam itu memang penuh termasuk roof box sekali. Peralatan camping cuma opsyen jika sewaktu perjalanan terdapat port menarik bolehlah berkhemah di situ.


Hari Pertama : 28 Mac 2021

Saya mempunyai dua opsyen untuk memulakan trip sama ada memilih laluan Johor Timur iaitu Kota Tinggi - Mersing ataupun Johor Barat iaitu Pontian - Batu Pahat - Muar. Manakala Johor Tengah (Segamat - Kluang) saya akan lalu sewaktu dalam perjalanan pulang.


Laluan hari pertama : Johor Bahru - Nusajaya - Pontian - Batu Pahat. Laluan ini merupakan laluan bebas tol.


Jadi pagi itu, saya memilih laluan barat kerana laluan tersebut mempunyai banyak tempat-tempat yang boleh disinggahi. Port-port makan pun banyak di laluan tersebut. Sebelum memulakan perjalanan lebih jauh, saya mengisi petrol sebanyak RM60.00 dan top up Tounch n Go sebanyak RM50.00. Walaupun saya tiada rancangan pun nak menggunakan laluan bertol, tapi saya topup juga sebagai standby.

Saya bergerak pada pukul 9.10 pagi dari Stesen Petronas Kota Masai menuju jalan ke Johor Bahru terlebih dahulu kerana ada sedikit urusan di Pejabat KWSP. Namun sebaik sahaja sampai di depan bangunan KWSP, kelihatan ramai pelanggan yang menunggu Q. Mungkin bila hari Ahad, orang ramai mengambil peluang untuk datang terutamanya pekerja swasta yang cuti hujung minggu pada hari tersebut. Saya membatalkan hasrat untuk masuk ke pejabat KWSP kerana tidak mahu mengganggu mood travel akibat menunggu terlalu lama.

Jadi meneruskan perjalanan dengan mengikuti laluan Danga Bay menuju ke Nusajaya dan Gelang Patah. Saya pun tidak begitu familiar dengan jalan ini. Saya cuma mengikut arah papan tanda yang menunjukkan Daerah Pontian.  Dalam perjalanan itu, anak-anak ternampak Legoland di sebelah kiri Jalan sewaktu sampai di Nusajaya. Mereka minta untuk masuk di situ. Saya beritahu mereka, nanti bila dah dapat pindah pulang kampung baru kita masuk dalam tu.

Sebaik tiba di Gelang Patah, barulah saya mengecam jalan yang biasa dilalui untuk ke Pekan Nenas. Pekan Nenas merupakan salah satu pekan dalam daerah Pontian. Dari Pekan Nenas itu kita boleh ke Taman Negara Tanjung Piai dan Pontian Kechil. Pada hari itu, cuaca agak panas terik seperti waktu tengah hari sedangkan jam waktu itu baru menunjukkan pukul 10 setengah pagi.


Bandar Pontian Kechil yang kami lalui ini mengingatkan saya sewaktu membawa pemain catur MSSD Pasir Gudang pada 2017. Dua malam juga saya bermalam di sini pada waktu itu.

Atas faktor cuaca yang panas itu, saya memilih untuk tidak ke Tanjung Piai tapi terus ke Pontian Kechil. Dari Pontian Kechil terdapat satu jalan jajaran pantai yang menghubungkan terus hingga ke Bandar Batu Pahat. Kita akan menemui banyak perkampungan penduduk yang dikenali dengan nama parit-parit. Selain itu, kita juga akan menempuh pekan-pekan dalam daerah Pontian dan Batu Pahat seperti Pontian Kechil, Pontian Besar, Ayer Baloi, Benut, Rengit dan Senggarang sebelum masuk ke Bandar Batu Pahat.


SINGGAH DI AZHAR FOOD RENGIT

Bila melalui jalan ini, tidak sah kalau tak singgah di Azhar Food yang terletak di Rengit. Kedudukannya kira-kira 40 kilometer sebelum Bandar Batu Pahat. Azhar Food merupakan sebuah gudang yang menjual pelbagai jenis kerepek dan makanan tradisional jenis kering. Biasanya makanan yang dijual di sini diusahakan oleh penduduk berdekatan. Ini tidak menghairankan kerana Pontian dan Batu Pahat memang terkenal industri pembuatan kerepek dan makanan ringan tradisional lain.

Azhar Food : Destinasi wajib singgah bila sampai di Rengit, Batu Pahat.

Kami singgah di Azhar Food pada jam 12.25 tengah hari. Isteri membeli beberapa bungkus kerepek pisang dan ubi. Manakala saya pula mengambil 4 bungkus kuih penderam dan sebungkus jeruk pelbagai jenis. Anak-anak pula membeli jajan pilihan mereka sendiri. Di Azhar Food ni kalau waktu musim perayaan memang penuh dengan para pelanggan datang membeli kerepek dan biskut raya.


Bukan sahaja asyik membeli, malah leka melihat pelbagai jenis kerepek, biskut dan jajan dijual di Gudang Azhar Food ini. Kebanyakan produk datang dari perusahaan IKS setempat.

Isteri membuat bayaran di kaunter Azhar Food manakala dua anak saya ni asyik mengikut setiap kali kami turun kereta. Dua yang besar lagi duduk dalam kereta...hmmm apa lagi main phone lah


Kami keluar dari Gedung Azhar Food lebih kurang setengah jam kemudian. Perut rasa lapar pulak. Rasa nak makan nasi asam pedas ikan merah. Lapan bulan lepas, kami pernah singgah di sini juga. Saya telah makan asam pedas ikan merah ni di warung sebelah Azhar Food ni sahaja. Asam pedasnya agak istimewa kerana dimasak dan dihidangkan dalam claypot. Masa saya makan hari tu kuahnya masih menggelegak. Tambah pulak dengan pedasnya yang amat dan makan pulak waktu tengah hari memang mereciklah air peluh bila makan. Tapi sayangnya kedai tersebut rasanya sudah tidak beroperasi.

Bila dah tak beroperasi, terpaksalah saya meneruskan perjalanan dan mencari kedai makan lain di sepanjang jalan. Setibanya di Kampung Bukit Batu berdekatan dengan Sungai Lurus, Senggarang terdapat satu warung makan di kiri jalan. Warung ini memang kami pernah singgah makan dua tahun lepas sewaktu pulang dari Muar. Harganya okay lah juga... tak mahal dan tak murah tapi rasanya ok.


Gambar Lama : Warung Che Yah Sg. Lurus, Senggarang sudah dua kali kami singgah di sini. 

Warung itu dikenali dengan Warung Che Yah Sg Lurus. Saya lihat menunya turut menyediakan masakan dari Pantai Timur seperti nasi kerabu dan laksam untuk sarapan pagi. Waktu tengah hari pula, ia menyediakan menu utama asam pedas. Seperti biasalah kalau datang ke daerah-daerah sebelah sini, saya akan memilih masakan asam pedas. Prinsip saya dan isteri ketika travel dalam bab makan, kita harus mencuba makanan tempatan paling sedap. Kami akan cuba mengelak makan makanan yang sudah biasa kami makan di negeri asal kami. 


Warung Che Yah Sg Lurus : Asam pedas ikan pari berharga RM5.00 dan ikan merah berharga RM8.00. Rasa kuah asam pedas akan berbeza bergantung jenis ikan yang menjadi lauknya.

Saya mengambil asam pedas ikan pari dan ikan merah. Untuk kedua-kedua lauk ini saya membayarnya dengan RM13.00. Rasa semua sekali kos makan tengah hari dalam RM28.00 kot saya ingat-ingat lupa. Itu termasuk nasi, sayur, ikan goreng, ayam goreng, telur dadar dan air minuman kami anak beranak.


SURVEY HOTEL MENGINAP

Pada masa yang sama ketika makan tadi, saya melakukan tinjauan dalam beberapa apps tempahan hotel di sekitar Batu Pahat. Hari itu saya merancang untuk lodging sahaja di bandar itu. Tinjauan tempat-tempat yang boleh dikunjungi juga dilakukan oleh isteri. Terdapat dua hotel dalam apps OYO yang menarik minat saya iaitu Hotel De Perdana Hill terletak 3 km dari Bandar Batu Pahat berharga RM81.00 dan Hotel Hazris terletak 9 km dari Batu Pahat berharga RM67.00. Kedua-duanya bilik jenis Suite Family.


Membuat tempahan dalam apps OYO. Pada mulanya saya memilih bilik suite triple berharga RM58.00 kemudian menukarnya ke Bilik Premium Family berharga RM67.00

Saya tidak terus membuat booking tapi sebaliknya pergi melihat dulu keadaan fizikal hotel tersebut seperti demografi penduduk sekitar, kedudukan bangunan, harga bilik dan tempat letak kereta. Jika berpuashati barulah saya akan membuat tempahan. Untuk itu saya memilih untuk menginap di Hotel Hazris yang terletak di Sri Gading. Walaupun kedudukan agak jauh dari Bandar Batu Pahat, tetapi segi keselesaan dan harga Hotel Hazris mempunyai kelebihan.


Hotel Hazris terletak di Sri Gading kira-kira 9 km ke Batu Pahat.


Nasihat saya buat anda, jika mahu menempah hotel sebaiknya melalui aplikasi kerana harganya lebih murah dan mendapat diskaun berbanding dengan dengan menempahnya di kaunter. Harga di kaunter biasanya akan dikenakan berdasarkan yang tertulis pada jadual yang terpapar di meja kaunter dan tiada diskaun diberikan. Terdapat beberapa aplikasi yang boleh digunakan seperti Agoda, Trivago, Booking.com dan OYO. Untuk hotel bajet bolehlah memilih OYO.


Hotel Hazris Sri Gading : Selalunya saya memilih bilik famili yang mempunyai dua katil bersaiz queen untuk kami 6 beranak tanpa ada yang perlu tidur di lantai.

Kami Check-in di Hotel Hazris pada pukul 2.00 petang. Kami berehat dan solat dalam bilik hingga ke waktu Maghrib. Anak-anak pula sewaktu dalam bilik mengisi perut mereka dengan makan maggi rendam. Sememangnya banyak makanan sampingan yang isteri bawa sebagai bekalan. Saya pula memakan jeruk buah dan kuih penderam yang dibeli di Azhar Food tengah hari tadi.


MENCUBA MEE RACUN TULANG POPULAR DI BATU PAHAT

Selepas siap mandi dan solat Maghrib dalam bilik di Hotel Hazris, pada pukul 7.40 malam kami bergerak ke sebuah warung mee racun yang terkenal di Bandar Batu Pahat. Warung mee racun itu terletak di Taman Sri Jaya. Perjalanan mengambil masa 17 minit dari hotel untuk sampai ke sini.


Warung Mee Racun Tulang yang terletak di Taman Sri Jaya, Batu Pahat masih ramai pelanggan ketika kami tiba walaupun lauk untuk mee sudah kehabisan.

Melihat kepada gambar-gambar yang dikongsi oleh para pelanggan sebelumnya dalam google, nampak mengiurkan juga. Iya lah mana tahan tengok mee berkuah kemerah-merah sambil diatasnya terdapat ketulan tulang.


Sementara menunggu mee racun tiba

Tapi sayangnya sewaktu kami datang, bahan-bahan lauk untuk mee racun sudah kehabisan. Yang ada cuma mee racun basic iaitu mee tauhu dan telur sahaja. Pun begitu tak mengapalah. Alang-alang dah sampai, baik rasa sahaja apa yang ada. Sekurang-kurangnya ada juga pengalaman merasai mee racun Batu Pahat ni. Manalah tahu ada rezeki dapat pindah ke Terengganu Jun ini tak ada lah peluang nak makan makanan Johor lagi.


Mee Racun kosong hanya mempunyai tauhu, telur dan ubi kentang berharga RM5.00. Sayangnya saya tak dapat mencuba set lengkap dengan lauknya. Jadi saya tak dapat menilai rasa mee racun tulang dengan sempurna.


Saya dan isteri menempah dua mangkuk mee racun berserta dua cawan teh O ais. makanan kami kongsi-kongsikan bersama-sama anak-anak. Selalunya memang begitu. Bila makan di kedai, kami tak tempah seorang satu menu. Sebaliknya 3-4 menu untuk berkongsi dengan enam orang ahli keluarga. Minuman juga begitu, minum secara berkongsi. Biasanya kami mengambil minuman paling murah iaitu teh O ais dalam 2-3 cawan. Prinsip saya mudah, kita datang sebab nak rasa makanan sedap bukan minuman yang mahal. Melainkan minuman tersebut special dan jarang kita lihat di mana-mana.


Saya dan isteri berkongsi makan mee racun Batu Pahat ini.

Rasa mee racun tulang Batu Pahat ni seperti rasa mee bandung versi Terengganu. Tu kalau anda pernah rasa mee bandung versi Terengganu lah. Manakala mee bandung versi Terengganu sangat berbeza dengan mee bandung versi Johor atau Muar. Mee bandung Johor atau Muar ni kita akan rasa udang baring (udang buat belacan) atau udang kering dalam kuahnya. Manakala mee bandung Terengganu tiada rasa udang tersebut.

Berbalik kepada mee racun tulang tadi pulak rasanya hampir sama tapi tak serupa pula dengan mee bandung Terengganu. Berbeza di sini sebab mee racun di letak ubi kentang dan tauhu di dalamnya menyebabkan rasanya ada rasa ubi kentang sedikit.

Keistimewaan mee racun tulang di warung ini ialah terletak pada rasanya. Walaupun bahan-bahan lauk seperti ayam, daging dan tulang sudah kehabisan tapi rasanya original mee ini masih boleh dinikmati. Rasa daging dan tulang sudah meresap ke dalam kuah serta sebati di dalamnya. Mee yang dihidangkan dalam mangkuk juga banyak. Berbaloi dengan harga untuk mee racun basic iaitu RM5.00 semangkuk.

Mengapa mee ini dinamakan sebagai mee racun? menurut cerita yang saya dengarlah sedapnya mee racun tidak dapat kita gambarkan dengan perkataan dan bagaikan kita diracun-racun. Betul ke tak cerita ni saya pun tak tahu.


Ismah mencuba Mee Racun Batu Pahat

Keseluruhan jumlah bayaran yang kami makan malam itu sebanyak RM13.00 iaitu RM10.00 untuk dua mangkuk mee. Dan RM3.00 untuk dua gelas teh o ais.


BERSANTAIAN DI DATARAN PENGGARAM

Kalau datang bermalam di Bandar Batu Pahat memang tak sah kalau tak datang lepaking kat Dataran Penggaram ni. Kedudukannya di tengah-tengah bandar. Ia juga berada di laluan utama untuk ke Muar melalui jalan pantai.


Ikonik Batu Pahat dibina di Dataran Penggaram yang terletak di tengah-tengah Bandar Batu pahat.


Di dataran ini terdapat satu tugu ikonik Daerah Batu Pahat iaitu 'Sepasang Tangan yang Memegang Tukul dan Pahat sedang Memahat Batu'. Jadi kita boleh mengambil gambar kenang-kenangan sebagai tanda kita pernah menjejakkan kaki ke bandar dan daerah ini.


Kami bersantai-santaian di Dataran Penggaram

Sebaik sahaja makan di Warung Mee Racun Tulang tadi, saya membawa keluarga pula ke sini. Jarak antara warung mee racun dengan dataran ini tidaklah begitu jauh hanya kira-kira 3.5 km sahaja.

Ramai juga yang datang untuk bersantai di sini. Di Belakang dataran ini terdapat sebuah padang yang mempunyai ruang grandstand penonton. Di sekeliling padang pula terdapat beberapa buaian. Malam itu kelihatan ramai pengunjung yang datang sama ada bersama keluarga, suami, isteri, rakan-rakan serta pasangan kekasih.


Mengayuh basikal lipat di Dataran Penggaram. Dapat juga mengeluarkan peluh setitik dua pada malam itu.


Saya mengambil peluang ini mengeluarkan basikal lipat buatan China yang saya beli di Kota Bharu berharga RM480.00. Sempat juga saya pusing-pusing sekitar dataran dan padang berkali-kali sambil Hud membonceng di bahagian belakang. Anak-anak perempuan saya juga mengambil peluang itu dengan mengayuh sama basikal itu. Hud dan Aimy juga leka bermain skate board di pentas dataran.


Aimy galak mengayuh basikal manakala Hud ralit bermain sabun bubble tu

Seronok juga bila kita datang travel kita melakukan aktiviti sebegitu. Anak sulung saya pula asyik bermain-main dengan henfon nya sahaja. Banyak aktiviti sudah tidak mahu dilakukan olehnya. Inilah akibatnya kesan daripada pelaksanaan PKP yang terlalu lama hinggakan sekolah ditutup dalam tempoh yang panjang. Bayangkan sudah lebih 5 bulan dalam keadaan begitu. Belajar pun sangat minimum. Kalau pergi sekolah tu, adalah gap 5-6 jam waktu siang bebas daripada telefon tu. Bila malam pula kena tidur awal sebab esok pagi dan sekolah.


Abadikan kenangan di Dataran Penggaram

Berbalik kepada cerita di Dataran Penggaram tadi, anak saya Si Hud ni amat pantang kalau orang jual belon buih bubble tu. Pasti dia akan mintak saya belikannya. Alahai...minta beli yang mahal pula tu...yang lima ringgit satu. kalau di kedai eco tu harganya cuma RM2.10.... Aimy juga turut mahu satu. Tapi saya bagi yang kecil sahaja.. tu pun harganya dah RM3.00. Semasa travel walaupun perkara-perkara sebegini nilainya kecil tapi bila dikumpul-kumpul atau dijumlahkan nilai menjadi besar yang meningkatkan kos travel.. sama juga membeli jajan-jajan setiap kali berhenti kat mana-mana seperti di stesen minyak ke... kedai ke... kedai dobi layan diri ke... ataupun di ruang lobi hotel.

Cuaca malam itu pun sangat baik dengan bulan bersinar cerah. Rupa-rupanya tugu pahat dan batu ni nampak hidup di waktu malam. Bila diambil gambar seakan-akan nampak seperti sebuah lukisan.

Bila jam sudah menghampiri 11.00 malam, kami pun pulang ke hotel di Senggarang. Aliran trafik sewaktu balik sudah ok.. tidak seperti waktu siang tadi jalan agak jammed dan kereta bergerak perlahan agak lama di jalan menuju BP Mall.


Membeli 5 biji burger berharga RM15.00 berhampiran hotel sebagai bekalan kot-kot lapar masa dalam bilik hotel

Sesudah sampai di Hotel Hazris, kami semua agak keletihan. Sebelum itu bersihkan badan terlebih dahulu sebelum tidur dengan lenanya...


KOS HARI PERTAMA

1. Petrol RM60.00

2. TnG RM50.00

3. Kerepek dan Jajan Azhar Food RM50.00

4. Makan tengah hari RM28.00

5. Mee Racun RM13.00

6. Otak-otak RM4.00

7. Bubble RM8.00

8. Air mineral dan air lain2 RM 6.00

9. Hotel Hazris RM67.00

10. Burger RM15.00


JUMLAH RM351.00




  






Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA