PENGEMBARAAN HUD KE SERATA JOHOR : HARI KEDUA; MEDAN ASAM PEDAS PARIT JAWA - KEDAI KOPI 434 - KEDAI ECO MUAR - HOTEL ELITE - MOSO KITCHEN - TAMAN RIADAH TANJUNG AGAS

SRI GADING, Isnin, 29 Mac 2021 -  Pada hari kedua kami menyambung semula trip kami dengan bergerak ke arah Utara menuju ke Muar. Tiga tahun kebelakangan ini saya kerap berkunjung ke Muar. Jadi tiada masalah bagi saya memahami selok-belok jalan ke tempat tersebut.


Makan malam di Moso Kitchen Muar

Seperti biasa, kami check out dari Hotel tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat. Kami ingin memastikan anak-anak cukup rehat dan bertenaga untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Sebelum keluar Hotel Hazris, kami dan anak-anak sempat makan makanan ringan yang dibawa dalam bilik seperti kerepek, roti dan biasalah anak-anak makan maggi rendam. Pada malam itu, sempat juga rakan-rakan berasal dari Batu Pahat menyarankan agar saya singgah di dua tiga warung nasi beriani gam terkenal. 


Restoran Kari Kambing 40 Hari merupakan salah sebuah restoran nasi beriani terkenal di Batu Pahat 


Untuk pengetahuan pembaca sekalian, Batu Pahat terkenal dengan keenakan nasi beriani gamnya. Tiada tempat yang dapat challenge keenakan nasi beriani daerah ini. Jadi bila kita berkunjung ke Batu Pahat cubalah rasa nasi berianinya. 

Oleh kerana saya ingin menjaga stamina pemanduan saya pada hari itu, saya mengelak untuk mengambil makanan berat seperti nasi beriani di waktu pagi. Bukan apa nanti mata akan jadi kuyu kerana mengantuk. Hilanglah fokus pemanduan saya nanti.


CHECK OUT DARI HOTEL HAZRIS

Apalah sembang punya panjang tadi rupa-rupanya baru mukadimah..hahaha.. tak cerita pasal check out lagi rupanya.

Okaylah, kami check-out dari Hotel Hazris pada pukul 9.40 pagi. Setelah berhempas pulas mengejutkan anak-anak dari tidur dan mempersiapkan mereka. Saya minta mereka makan dahulu dalam bilik kerana saya tidak mahu singgah di mana-mana kedai makan. Fokus saya hanya untuk makan di Parit Jawa, Muar iaitu kira-kira sejam lebih perjalanan dari Sri Gading ini.

Kemudian kami keluar dari bilik. Saya menyerahkan kunci bilik di kaunter dan mengambil semula wang deposit sebanyak RM50.00 yang dibayar bersama harga bilik hotel semalam. 


Keluar dari  Hotel Hazris Sri Gading Jam 9.40 pagi

Saya meneruskan pemanduan di hari kedua melalui jalan Bagan Laut menuju ke Muar. Seperti Jalan Pontian Kechil - Senggarang semalam, laluan ini juga merupakan laluan pantai. Di laluan ini juga kita akan jumpa banyak perkampungan yang dinamakan dengan parit-parit juga seperti Parit Hj Ibrahim, Parit Besar Bagan, Parit Moin, Parit Tengah, Parit Yusof, Parit Jawa dan banyak lagi.


Laluan trip kami pada hari kedua melalui jalan pantai Batu Pahat - Muar. Pergi sampai Sg Mati tu mula-mula ingat nak duduk homestay situ tapi tak jadi. Dalam masa yang sama nak cari durian tapi durian tak ada,

Di sepanjang laluan ini juga unik dengan rumah-rumah penduduk yang kelihatan bersih dan cantik dengan hiasan pokok-pokok bunga di halaman rumah. Saya rasa kagum dengan sikap pemilik dan penghuni rumah yang membentuk imej baik seperti ini. 

Satu lagi keunikan laluan ini ialah di sepanjang jalan di kiri dan kanan terdapat pokok-pokok besar yang menutupi jalan menjadikan jalan teduh walaupun diwaktu tengah hari. Saya berasa seolah-olah memandu di dalam terowong pokok-pokok. Batang pokok-pokok ini juga agak besar dan di tengah-tengah  dicat dengan warna putih.


Bila melalui Jalan Bagan Laut menuju ke Muar seolah-olah memasuki sebuah terowong pokok rendang

Saya rasa tujuan semua batang pokok itu dicat berwarna putih untuk dijadikan sebagai panduan kepada pemandu pada waktu malam. Mungkin cahaya putih akan bersinar apabila terpancar oleh lampu kenderaan. Saya agak sahaja sebab tak pernah pun memandu pada waktu malam di kawasan ini.


MAKAN ASAM PEDAS MEDAN SELERA PARIT JAWA

Setelah satu jam sebelas minit memandu, kami tiba di pekan kecil Parit Jawa. Langkas saya mengambil jalan simpang ke kiri menuju ke Kampung Nelayan Parit Jawa. Di situ terdapat Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa. Di hadapannya terdapat jeti nelayan tempat banyak bot-bot kecil berlabuh.


Berhenti sarapan plus makan tengah hari di Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa, Muar

Saya rasa di situ juga menjadi tempat pendaratan ikan walaupun tak melihat sebarang aktiviti pemunggahan ikan dilakukan. Ini kerana saya sampai di situ di waktu matahari sudahpun meninggi. Biasanya kegiatan jual beli ikan berjalan pada waktu pagi.


Medan Selera Parit Jawa terletak di hadapan jeti nelayan yang mana terdapat banyak bot-bot kecil berlabuh. Sebab itu makan di sini boleh rasa kelazatan ikannya yang segar.

Sebenarnya hari itu sudah kali ketiga kami menjejakkan kaki di Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa ini. Kali pertama ia sudah tutup kerana pada waktu itu sudah pukul 5 petang. Kali kedua pula kami datang pada pukul 1.00 tengah hari dan sempat menikmati asam pedas di Warung Pak Yahya. Kali ini yang ketiga, kami ingin mencuba asam pedas di Warung Mak Pon pula.


Ikan yang segar mempengaruhi rasa kuah asam pedas Parit Jawa

Isteri mengambil asam pedas ikan pari dan asam pedas kepala ikan merah. Selain itu kami menambah telur dadar, kubis goreng dan teh O ais.  Oleh kerana pagi-pagi tadi kami cuma makan jajan sebagai pengalas perut sahaja, memang sewaktu di Parit Jawa itu kami rasa lapar teramat sangat. Waktu tu pun jam sudah menunjukkan pukul 10.50 pagi. Jadi agak berseleralah kami makan.


Lapar yang amat sebab pagi itu kami hanya beralaskan jajan sahaja sebelum sampai ke Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa. 

Rasa asam pedas Parit Jawa ni amat berbeza lain-lain tempat di Johor. Malah dengan lain-lain tempat di Muar itu sendiri juga berbeza. Saya pernah makan di Tanjung Emas, Muar rasanya sama seperti saya makan di daerah lain. Asam pedas Parit Jawa rasanya pedas dan masam asli tanpa ada pengaruh rasa daripada daun kesom atau serai. Keenakannya terletak pada rasa ikannya yang segar kerana Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa ini kedudukannya yang berhampiran dengan jeti nelayan. Rasa ikan yang segar itu mempengaruhi kelazatan kuah asam pedas yang kami makan.

Harga keseluruhan yang kami makan hari itu adalah sebanyak RM48.00 berdasarkan menu-menu berikut :-

1. Asam pedas kepala ikan merah

2. Asam pedas ikan pari potong

3. Telur dadar

4. Kubis goreng

5. Teh O ais 2 gelas

6. Teh O ais limau 1 gelas

7. Nasi 4 pinggan


TAMAN TANJUNG EMAS DITUTUP

Dalam pukul 11.15 kami selesai makan di Medan Selera Parit Jawa. Kami mula bergerak ke destinasi yang seterusnya iaitu Taman Rekreasi Tanjung Emas. Kedudukannya dari Parit Jawa itu tidaklah begitu jauh lebih kurang 7 - 8 kilometer. Sebenarnya Taman Tanjung Emas itu pun sudah tidak berapa jauh dengan Pusat Bandar Muar. Tujuan kami ke situ adalah untuk rehat-rehat sementara menunggu hotel di buka untuk check in jam 2.00 petang. Sebab itu saya belum membuat tempahan hotel lagi pada waktu itu.


Pusing-pusing Bandar Muar setelah Taman Tanjung Emas ditutup

Tapi sayang, sebaik hampir tiba di Tanjung Emas, semua jalan masuk ke situ telah ditutup. Mungkin di sepanjang PKP ini, Taman itu ditutup buat para pengunjung bagi membendung penularan virus covid-19. Oleh kerana itu terpaksalah kami melencong ke pusat bandar yang jaraknya lebih kurang 2 km dari Tanjung Emas.


MENCUBA KOPI 434

Setiap kali ke Muar, sudah pasti saya akan membeli 1 bungkus plastik kopi 434. Kopi ini merupakan antara kopi terlazat di Johor. Satu plastik mengandung 5 bungkus kecil kopi uncang yang dijual dengan harga RM24.00. Kedudukan Kedai Kopi 434 ini adalah di tengah-tengah bandar berhadapan dengan Stesen Bas Muar.


Kalau datang ke Muar saya tidak melepaskan peluang untuk membeli Kopi 434 untuk dibawa pulang 

Isteri memilih menu coffee yang ditawarkan

Tidak lengkap secawan kopi tanpa roti bakar di Kedai Kopi 434 

Saya sebenarnya lebih sukakan kopi O biasa sahaja. Ni saja mencuba yang ada creamer


Koleksi cawan-cawan kopi dipamerkan dan serbuk kopi yang dijual di Kedai Kopi 434 Muar

Terjumpa pulak colleagues SK Kota Masai kat 434 ni waktu kami dah keluar dan mereka baru sampai


Pada hari itu, agak ramai juga orang yang ingin masuk ke dalam kedai bukan sahaja untuk membeli malah untuk merasai terus kopi di dalam kedai tersebut. Saya sendiri mencuba air kopi special (lupa nama apa) dan roti bakar. Manakala isteri mencuba kopi O ais. Pelbagai jenis kopi mengikut gred dijual di dalam kedai tersebut. Akan tetapi saya lebih menggemari kopi biasa. Kerana itu di hari-hari biasa sebelum pergi kerja saya akan mengenakan kopi O panas terlebih dahulu.


BOOKING HOTEL ELITE

Setiap kali datang ke Muar, tempat menginap yang selalu menjadi pilihan kami ialah Hotel Elite. Kedudukan hotel ini memang dalam Bandar Muar juga tapi tidaklah di berada dalam kawasan yang sibuk. Dalam apps memang ada beberapa hotel yang lebih murah bawah daripada RM100 tapi oleh kerana saya sudah biasa dengan Hotel Elite, saya memilihnya. Tempat parking kereta pun senang dan banyak di depan hotel.


Hotel Elite tempat kami inap ketika di Muar




Pemandangan waktu senja dari jendela bilik Hotel Elite yang kami inap


Harga bilik yang saya sewa ialah sebanyak RM115.00 untuk bilik suite triple. Bilik jenis ini untuk 3 orang kerana ruang katilnya sememangnya untuk tiga orang samada 1 katil bersaiz queen dan 1 katil single ataupun 3 katil single. Oleh kerana kami 6 orang, tidak muat untuk semuanya tidur di atas katil. Jadi Wafiy anak saya yang sulunglah kena tidur di bawah beralaskan sleeping bag yang kami bawa.


Hud dalam bilik Hotel Elite 

Ini merupakan kali keempat kami menyewa bilik di hotel ini. Tapi ada sekali, aircondnya tak berapa sejuk. Jadi sewaktu saya booking, saya memberitahu penyambut tetamu hotel tentang masalah penghawa dingin bilik dahulu. Jadi solusinya, dia telah memberikan saya dua kad acces bilik. Jadi saya tak perlu tanggalkan kad suiz elektrik bila kami keluar bilik nanti. Kami boleh sentiasa on aircond.


MEMBELI BARANG-BARANG DI KEDAI ECO RM2.10 MUAR

Isteri saya ni peminat no.1 kedai eco. Boleh dikatakan sudah banyak kedai eco yang telah kami masuk. Mana-mana tempat yang kami pergi pastinya salah satu tempat yang wajib kami kunjungi ialah kedai dua ringgit tu. Ini kerana setiap kedai eco pasti ada barang-barang yang dijualnya berlainan bagi setiap cawangan. 


Pergi meruncit di kedai Eco Muar sebelum masuk bilik hotel

Semasa mendaftar hotel tadi, kami tak terus masuk ke dalam bilik. Sebaliknya isteri dan anak-anak mahu membeli beberapa barang terlebih dahulu. Jadi kedai eco lah pilihan kami. Kedai Eco Muar agak jauh juga dari hotel iaitu kira-kira 6 km. Saya ada pengalaman pergi ke situ pada Mac tahun lepas dengan beberapa rakan guru catur Pasir Gudang sewaktu berlangsung Kejohanan Catur MSSJ 2020. Jadi saya mempunyai sedikit pengetahuan tentang lokasi kedai tersebut yang kedudukannya dipinggir Bandar Muar.

Selesai membeli barangan yang diperlukan, kami pulang ke hotel jam 2.30 petang untuk rehat-rehat sambil makan makanan ringan yang dibeli.


BERBASIKAL DI SEKITAR BANDAR MUAR

Lepas waktu Asar, saya mengambil peluang meronda-ronda Bandar Muar dengan basikal lipat yang dibawa. Dengan ini, saya dapat melihat sekitar kawasan dengan lebih dekat. Jarak hotel dengan pusat tumpuan bandar juga tidak begitu jau iaitu sekitar 1-2 km sahaja.


Bergambar kenangan di KM0 Muar hadapan pejabat Pos Muar 

Apa yang boleh saya gambarkan Bandar Muar ini dipenuhi dengan bangunan-bangunan lama seperti era 70-an dan 80-an. Malah ada juga bangunan yang wujud itu sejak zaman kolonial lagi.



Terdapat satu tempat 'rare' yang telah saya lewati sewaktu berbasikal iaitu batu penanda KM0 Muar. Ia terletak betul-betul di hadapan pagar Pejabat Pos Muar. Yang 'rare'nya itu adalah batu penanda tersebut adalah yang model lama berwarna putih bertulisan hitam. Saya sempat merakam beberapa gambar untuk disimpan sebagai kenangan. Saya perhatikan kebanyakan batu penanda KM0 yang lama-lama di semenanjung ni kebanyakannya terletak berhampiran dengan pejabat pos. Contoh nya KM0 JB, KM0 Kuala Lipis dan KM0 Muar. 




Saya mengambil kesempatan juga berkayuh ke jalan menuju Tanjung Emas. Laluan ini agak tenang dan relaks kerana kenderaan kurang lalu lalang. Bunyi bising juga tiada samada suara dari orang ramai ataupun bunyi kenderaan. Rumah-rumah penduduk kawasan ini juga tenang kerana kebanyakannya diduduki oleh pegawai-pegawai atasan kerajaan. 


Melintasi salah satu bangunan bersejarah di Muar

Walaupun Taman Tanjung Emas ini ditutup kepada para pelawat, Medan Makan Tanjung Emas masih beroperasi seperti biasa. Jika anda ingin merasai Mee Bandung Muar, Asam Pedas Muar dan rojak petis bolehlah datang ke sini ketika berkunjung ke Muar. Sebelum ini pun pernah dua tiga kali saya singgah makan di sini.


MAKAN MALAM DI MOSO KITCHEN

Di waktu petang tadi, kami cuma makan makanan ringan seperti kerepek, jajan, biskut dan roti dalam hotel. Perut agak lapar jugalah. Anak-anak ajak makan di McD tapi difikir-fikirkan malas pulak nak masuk The Store Muar kerana dalam bangunan itu ada McD kecil di tingkat atas. Nak park kereta tu yang susah. Sebenarnya tak jauh pun The Store tu dengan hotel dalam 200 - 300 meter jer.

Malam ni makan ala-ala western sikit di Moso Kitchen Muar


Sebagai ganti, saya berniat untuk membawa mereka makan di Ajak Burger yang terletak di Jalan Temenggung Ahmad. Jalan ni jalan menghala ke Parit Jawa dan Batu Pahat. Dulu pernah dua kali kami makan di situ. Cari punya cari Kedai Ajak Burger tu sudah tiada. Tapak kedai pun turut hilang. Mungkin kedai tu telah ditutup atau berpindah ke tempat lain. 


Isteri mengagihkan makanan ke pinggan anak-anak

Sewaktu kami berpatah balik, ada sebuah lagi kedai makan yang cukup meriah. Ramai pelanggan memenuhi ruang meja. Dari jauh nampak seperti sebuah restoran yang menyediakan makanan ala-ala barat. Kami masuk ke dalam restoran.

Konsep deco dan menu restoran tersebut sama seperti Ajak Burger yang pernah kami pergi dulu. Saya rasa towkeynya orang yang sama. Mungkin nama Ajak Burger ditukar kepada Moso Kitchen. Saya pun tak tanya pekerja-pekerja situ. Yelah malam itu pelanggan ramai dan mereka sibuk ke sana ke mari.

Set yang kami order berharga RM60.00 tidak termasuk air. Anda rasa harga okay ke tak?

Kami mengambil makanan dalam set. Set yang kami ambil itu berharga RM60.00. Kemudian anak-anak meng'order' 2 gelas minuman jus. Pada sayalah yang pernah makan set hampir serupa di Kuala Selangor 2 tahun lepas, set di Moso kitchen agak tinggi harganya. Set di Warung Atok Cendol Kuala Selangor tu cuma berharga RM35.00.


Saya menggemari ayam panggang ni. 

Pada saya set yang kami makan malam tu nilai yang patut mungkin dalam sekitar RM50.00 sahaja. Apa pun dari segi rasa, ia ok. Set tersebut mengandungi 2 ketul ayam panggang, 2 ketul ayam goreng, kentang goreng, sosej, french fries dan sayur yang dimakan bersama sos lada hitam dan mayonis.


LEPAK-LEPAK DI TAMAN REKREASI TANJUNG AGAS

Bila sudah kekeyangan setelah makan di Moso Kitchen, nak balik hotel masih terlalu awal. Jadi saya mencari port lepak yang sesuai. Oleh kerana Taman Tanjung Emas ditutup, kami beralih arah ke Tangkak. Daerah Muar dan Tangkak hanya dipisahkan dengan Sungai Muar sahaja.


Pemandangan cantik lampu berwarna warni Bandar Muar yang dilihat dari Tanjung Agas, Tangkak


Untuk ke Tangkak hanya perlu menyeberangi Jambatan Muar sahaja. Di Sebelah Tangkak sana, kita boleh lepak dan bersantai di Tanjung Agas. Di waktu malam, kita boleh melihat panorama indah dengan kerdipan lampu-lampu neon di sepanjang Sungai Muar samada di sebelah Muar ataupun di sebelah Tangkak.   


Taman Tanjung Agas, Tangkak ni sememangnya cahaya berwarna warni pada waktu malam 


Taman Rekreasi Tanjung Agas ni menjadi tumpuan penduduk Muar dan Tangkak pada waktu malam. Mereka datang bersama keluarga, kawan-kawan dan juga pasangan. Sebenarnya kebanyakan masyarakat Johor suka berkumpul di tempat-tempat seperti ini pada waktu malam. Contohnya di Dataran Penggaram Batu Pahat, Dangga Bay JB, Tanjung Emas Muar dan di sini iaitu Tanjung Agas Tangkak.


Di Dataran Tanjung Agas, Tangkak



Anak-anak saya yang tiga orang tu, asyik bermain buaian dan gelongsor yang disediakan di taman ini. Hud dengan Aimy lah yang paling excited. Tambahan pula, ramai kanak-kanak lain yang turut bermain di kawasan playground Tanjung Agas. Sampai puas saya pujuk ajak pulang ke hotel tapi mereka tidak mahu. Kami pulang semula ke Hotel pada jam 10.30 malam...


PERBELANJAAN HARI KEDUA

1. Asam Pedas Parit Jawa RM48.00

2. Barang-barang Eco RM50.00

3. 4 helai Baju tshirt RM100.00

4. Kopi 434 RM40.00

5. Hotel RM115.00

6. Moso Kitchen RM66.00

JUMLAH RM419.00


 Sekian, bersambung hari ketiga.....

Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA