TEMPAT MENARIK DI BESUT : AIR TERJUN HUTAN LIPUR LATA TEMBAKAH

Pada 25 Mac 2019 saya dan beberapa ahli keluarga sebelah isteri telah pergi berkelah di Lata Tembakah, Besut, Terengganu. Lata tembakah merupakan satu tempat perkelahan yang popular di Negeri Terengganu dan juga popular bagi penduduk kawasan sekitar sempadan Terengganu - Kelantan. Ia terletak di Hulu Besut itu kira-kira 25 km dari bandar Jerteh. Manakala 66 km dari Kota Bharu dan dan 110 km dari Kuala Terengganu.

Sudah lebih 20 tahun saya tidak menjejakkan kaki di Lata Tembakah. Ternyata kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa semakin baik

Saya sendiri sudah lupa sudah berapa kali saya datang ke sini tetapi kali terakhir saya menjejak kaki di Lata tembakah pada tahun 1998 ketika itu saya bekerja di Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Terengganu. Sudah tugas tahunan ketika bekerja di SPR melakukan kempen dan lawatan ke pelusuk negeri Terengganu bagi menggalakkan orang ramai supaya mendaftar pengundi. Pada waktu tersebut pendaftaran pengundi dibuat setahun sekali dalam tempoh 30 hari. Pusat-pusat pendaftaran pengundi akan dibuka dan pegawai yang dilantik Biasanya membuka kaunter pendaftaran pengundi di balairaya -balairaya seluruh kampung di setiap daerah. Jadi ketika kami membuat lawatan ke Hulu Besut di waktu terluang kami singgah di Lata Tembakah.

Barang-barang perkelahan siap diletakkan dalam bonet kereta pada jam 6.30 pagi

Port berkumpul di hadapan rumah Tan Sri Annuar Musa sebelum bertolak ke Besut

Berhenti untuk membeli air batu di Kampung Bukit Yong, Pasir Putih

Saya dan keluarga memulakan perjalanan pada jam 7.00 pagi dengan bergerak empat buah kereta di Kampung Marak, Kota Bharu. Kami memilih laluan Kampung Gunong - Gedombak - Pasir Puteh. Seterusnya menggunakan Jalan Pasir Puteh - Jerteh kemudian menghala ke Hulu Besut untuk ke Lata Tembakah. Kami tiba di Lata Tembakah pada jam 8.50 pagi. Keadaan pada masa itu masih sunyi kerana hari masih awal. Hanya terdapat sebuah kereta wish pengunjung yang parking di kawasan tempat letak kereta.


Pintu masuk Lata Tembakah yang menyambut kedatangan kami pagi itu

Kami tiba di Lata Tembakah pada jam 8.50 pagi

Untuk masuk ke kawasan latar pembakar kita perlu melaporkan diri di kaunter masuk dengan bayaran RM2 bagi dewasa dan satu bagi kanak-kanak. Saya tidak pasti Sejak bila bayaran masuk dikenakan kalau 20 tahun dahulu masuk ke sini adalah percuma. Mungkin kerana kawasan ini dinaiktaraf dengan beberapa kemudahan disediakan oleh pihak pengurusan kawasan air terjun ini.

Tiket masuk ke Hutan Lipur Lata Tembakah

Papan tanda kadar sewa chalet. Saya rasa papan pemberitahu itu pada kadar lama

Chalet-chalet yang disediakan bagi pengunjung yang sukakan kehidupan di kawasan hutan yang sunyi

Saya tak pasti bangunan apa tapi saya rasa itu adalah asrama 14 katil

Tugu sejarah Lata Tembakah

Kita perlu menyeberang jambatan gantung untuk ke tempat perkelahan air terjun

Papan tanda makluman dan amaran tentang kejadian lemas akibat fenomena kepala air

Lata Tembakah merupakan satu kawasan hutan simpan kekal negeri Terengganu

Setelah membuat bayaran kita perlu berjalan kaki lebih kurang 500 meter untuk ke kawasan air terjun aras bawah. Sebenarnya Lata Tembakah mempunyai lima tingkat air terjun. Oleh kerana rombongan kami mempunyai ramai kanak-kanak berserta orang tua tambahan pula banyak bekalan makanan yang kami bawa yang perlu diangkut adalah lebih sesuai kami memilih kawasan yang paling hampir ataupun aras paling bawah.

Sebelum menyeberang jambatan gantung untuk ke tempat perkelahan kita akan melalui kawasan chalet yang boleh disewa oleh pengunjung. Saya melihat terdapat 7 hingga 8 buah chalet disediakan. Chalet ini boleh disewa pada harga RM80 bagi yang berhawa dingin manakala RM60 bagi bilik biasa. Terdapat juga asrama 14 katil dengan kadar sewa RM200.00 satu malam.

Tapak khemah yang dibina di seberang jambatan gantung. Tapak perkhemahan ini hanya sesuai untuk aktiviti dalam kumpulan. Kawasan ini agak sunyi untuk perkhemahan individu

Bagi pengunjung yang gemar berkhemah dalam suasana hutan, Lata Tembakah merupakan tempat yang sesuai. Tapak-tapak khemah disewa dengan kadar RM1.00 seorang bagi 1 malam. Khemah perlu dibawa sendiri dan tiada perkhidmatan sewa khemah disediakan. Saya lihat pihak pengurusan hutan lipur ini menyediakan kemudahan di tapak khemah seperti tandas, tempat solat, meja barbeku, laluan tapak gajah dan banyak lagi.

Tempat barbeku disediakan di dua tiga tempat kawasan Hutan Lipur Lata Tembakah

Wakaf menjadi tempat berteduh sekiranya hujan lebat turun

Tandas dan tempat persalinan pakaian berhampiran tapak perkhemahan

BERKELAH DI TEPI SUNGAI YANG MENGALIR JERNIH

Oleh kerana kami datang agak awal, ia membantu kami memilih tempat yang dekat dengan kawasan keluar. Tetapi untuk view yang lebih menarik seharusnya perlu naik ke tingkat air terjun yang atas-atas. Sebagaimana yang saya katakan tadi, rombongan kami sebahagian besar ialah kanak-kanak dan ibu mertua yang berumur hampir 70 tahun. Jadi tidak sesuai dengan keupayaan dan tenaga mereka untuk mendaki lebih jauh.

Kami memilih satu tempat yang agak landai serta airnya mengalir perlahan dan tenang. Biras dan kakak ipar memasang khemah kanvas askar yang dibawanya. Manakala anak-anak bersama-sama sepupu-sepupunya tidak sabar untuk mandi manda. View di situ agak cantik juga. Airnya yang sejuk dan jernih. Banyak ikan berenang-renang di dalam air. Saya mengambil peluang untuk snap beberapa gambar sebelum melakukan aktiviti lain. Manakala isteri dan beberapa yang lain sibuk dengan memasak bekalan yang dibawa kerana pagi itu kami belum bersarapan.

Cuaca pada hari itu hujan turun renyai-renyai. Sejak cuti bencana hingga ke hari itu cuaca panas terik dan kering kontang. Bila hujan turun suhu kawasan agak kurang bahangnya. Berkelah di kawasan lata sememangnya memerlukan kita peka dengan perubahan cuaca dan bunyi. Hujan yang turun boleh menyebabkan fenomena kepala air berlaku. Direkodkan bahawa kawasan Lata Tembakah mencatatkan 33 kematian akibat lemas dihanyutkan kepala air. Jika hujan lebat turun kita seharusnya beredar dari sungai kerana kepala air boleh datang secara mengejut. Satu lagi walaupun hujan tidak turun bukan bermaksud kepala air tidak berlaku. Hujan mungkin tidak turun di kawasan tersebut tetapi mungkin turun di kawasan hulu yang tidak kita sedari. Biasanya kepala air jenis ini meragut banyak nyawa kerana berlaku ketika kita leka mandi manda.

Aktiviti menyusun batu-batu sungai boleh dilakukan mengikut kreativiti masing-masing

Kakak ipar dan biras memasang khemah dan memasak makanan ala tentera

Saya menyiang ikan yang dibawa untuk dipanggang tawar

Isteri menyiapkan sebahagian juadah ketika perkelahan

Adik ipar dan anak saudara bertugas di bahagian bakar-bakar

Setiap orang menjalankan tugas masing-masing

Saya mencuba masakan nasi beras bukit menggunakan messtin

Anak saudara membakar ayam dan ikan untuk santapan kami di Lata Tembakah

Best juga layan maggi kari yang dimasak menggunakan messtin

SEGARNYA MANDI AIR SUNGAI YANG SEJUK, BERSIH DAN JERNIH

Ketika musim cuti ini cuaca agak panas memandangkan sekarang musim peralihan Monsun Timur Laut ( Novembember - Mac) ke Monsun Barat Daya ( Mei - September). Dalam tempoh peralihan ini cuaca panas dan kering akan berlaku kerana hujan tidak turun dalam tempoh yang lama. Sepanjang cuti persekolahan ini, saya tidak merasai langsung kedinginan hujan. Oleh sebab itu kami memilih kawasan hutan lipur sebagai tempat beristirahat dan mandi-manda.

Pemandangan sungai dari atas laluan ke aras atas air terjun


Kejernihan, ketenangan dan kehijauan Lata Tembakah

Rumah saya menggunakan air yang diambil dari dalam tanah menggunakan telaga tiub. Air pada musim panas dan kering ini agak keruh dan berwarna coklat. Jadi sebab itulah kami datang ke Lata Tembakah. Seronok dapat mandi-manda air sungai yang sejuk mengalir jernih. Air sungai yang tidak tercemar membuatkan kami berasa segar bila membasahi ke seluruh badan.

Anak-anak dengan sepupu-sepupunya rasa seronok dapat bermain air. Pengalaman mandi-manda di lata dan pantai sungguh berbeza. Kedua-duanya mempunyai kepuasan tersendiri. Batu-batuan di sini agak licin. Saya banyak kali tergelincir sehingga membuatkan jari kaki terseliuh. Jadi berhati-hatilah ketika meniti batu-batu pastikan kita menggunakan tangan sebagai tapak sokongan tambahan agar tidak terjatuh.

Meluangkan masa berkualiti bersama isteri dan anak-anak di Lata Tembakah

Tiga sepupu sering bersama ketika kami pulang ke kampung

Seluruh badan menjadi segar walaupun dengan mencelup kaki ke dalam air

Acara berendam ke dalam air beramai-ramai

Anak-anak melihat gelagat satu keluarga yang baru datang mandi-manda berhampiran port kami berkelah

Tika orang lain seronok dengan mandi-manda Hud Naufal lena tidur di dalam hammock kerana demam

Tanda-tanda air terjun Lata ini masih terpelihara dan belum tercemar dapat dilihat apabila ikan-ikan bebas berenang-renang di celah-celah batu. Adakalanya ikan-ikan itu bermain-main di kaki-kaki kita yang sedang mandi. Saya sempat menangkap ikan-ikan ini menggunakan bubu yang dibuat sendiri daripada kawat dawai. Rasa puas bermain air di lata ini tidak tergambar dengan kata-kata.

Antara ikan yang hidup di Lata Tembakah

RASA LAPAR SELEPAS MANDI-MANDA

Sambil-sambil mandi kami sekali-sekala naik port rehat untuk makan-makan. Makanan yang ada cuma yang simple. Yang jenis bakar-bakar dan rebus ringkas. Sebenarnya makan ramai-ramai begini lebih menyelerakan. Paling best adalah pabila makan maggi yang dimasak di dalam messtin di atas bara api.

Lepas mandi pekena maggi


Biras saya Rizal 

Ismah dalam keadaan kuyup pun masih berselera untuk makan

Aimy berkongsi dengan sepupunya Hajar

Anak saudara Solehah

TIBA WAKTU PULANG

Hampir enam jam berkelah di Lata Tembakah kami mula menyusun langkah untuk pulang. Kami mengemas barang-barang yang dibawa. Mana-mana sampah dan sisa makanan dikumpulkan dan dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan. Saya melihat pengurusan hutan lipur Lata tembakah mengambil berat hal kebersihan. Banyak tong sampah disediakan di segenap ruang. Jadi tiada alasan bagi para pengunjung untuk membiarkan sampah yang dibawa mereka sendiri terbiar di kawasan mereka berkelah.

Menjaga kebersihan di kawasan latar seperti ini amat penting bagi mengelak kejadian penyakit kencing tikus yang berpunca dari haiwan yang hidup dengan memakan sampah-sarap yang ada di kawasan kawasan perkelahan. Saya rasa salah satu punca Mengapa kes kencing tikus Tidak wujud di kawasan perkelahan Negeri Terengganu kerana aspek kebersihan dititikberatkan oleh pihak pengurusan ataupun pihak berkuasa negeri. Cuma atas kesedaran para pengunjung itu sendiri sama ada hendak membuang sampah ke dalam tong yang disediakan ataupun hanya membiarkan di tempat mereka berkelah itu.

Pada pukul 3 petang kami pun keluar dari kawasan Lata tembakah kemudiaan singgah di Masjid Kampung Bukit Payung untuk solat zohor.

Kedai makan di Lata Tembakah beroperasi pada waktu kami pulang

Pulang dengan ceria selepas mandi manda

Singgah di Masjid Bukit Payung, Hulu Besut

Perkarangan Masjid Bukit Payung 


SINGGAH MEMBELI BAHULU DAN AKOK


Dalam perjalanan pulang setelah melepasi Bandar Jerteh perut pula terasa lapar. Saya teringat suatu masa dahulu Pernah Singgah membeli akok dan bahulu sebuah kampung dekat simpang hendak pergi ke Machang dalam daerah Pasir Putih iaitu Kampung Tok Kamis. Kampung ini terletak kira-kira 15 km dari Bandar Jerteh yang kami lalu tadi. Setibanya di situ kelihatan banyak kenderaan yang turut berhenti untuk membeli akok dah bahulu. Saya membeli kuih bakar, akok dan bahulu sebanyak RM10.00. Selepas siap membeli kami pun pulang ke rumah dan sampai satu jam kemudian.


Terdapat 3 - 4 buah kedai membuat bahulu dan akok di tepi jalan Kampung Tok Kamis, Pasir Putih

Akok, bahulu dan kuih bakar yang dibakar menggunakan arang dan sabut kelapa

Hangus....Tidak boleh leka jika membuat bahulu secara tradisional kerana kita tidak boleh selaraskan masa dan suhu api

Sekian...terima kasih kerana berkunjung ke blog saya...



Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA