TEMPAT MENARIK DI PASIR PUTIH : PASAR PAGI GUNTUNG ; PASAR PAGI GUNTONG ; PASAR PAGI KEBUN GETAH PASIR PUTIH, KELANTAN

Oleh   : Amizam bin Mohamed


Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat pembaca dan pengunjung sekalian.

PASAR PAGI DI KELANTAN

Pada kali ini saya ingin menceritakan pengalaman berkunjung ke Pasar Pagi Kebun Getah yang menjadi tular dalam media sosial.

Pasar Pagi Kebun Getah Jalan Guntung, Pasir Putih, Kelantan

Pasar pagi setiap Jumaat sudah menjadi sinonim dengan masyarakat Negeri Kelantan di apa jua daerah atau di Kelantan lebih menggunapakai Jajahan. Rata-rata tempat yang saya pergi dari Gua Musang hingga ke Kota Bharu pasar pagi akan beroperasi pada hari Jumaat. Ini mungkin kerana hari Jumaat adalah cuti mingguan bagi Kelantan. Pada hari itu, para peniaga yang sebilangannya daripada petani dan nelayan menjual sendiri hasil tanaman dan tangkapan yang diusahakan. Saya pernah melawat pasar pagi di Bandar Baru Gua Musang pada tahun 2017. Saya melihat para peniaga membuat persiapan pada malam sebelum itu lagi. Mereka berkampung dan bermalam di tapak pasar hingga ke esok pagi.

Begitu juga dengan Pasar Pagi Pekan Laloh. Pasar ini juga beroperasi pada hari Jumaat. Ramai petani, nelayan sungai dan para peniaga dari sekitar Kuala Krai datang ke situ untuk menjual barang-barangnya. Saya suka melawat pasar ini kerana barang-barang dijual terutamanya hasil pertanian sangat murah dan segar. Selain itu, saya dapat mengetahui sumber tumbuhan semulajadi kawasan sekitar yang menjadi makanan penduduk di Hulu Kelantan.

Pasar pagi Pekan Laloh, Majlis Daerah Dabong, Kelantan yang saya lawat pada bulan Disember 2018

Ikan sungai yang dijual di Pasar Pagi Pekan Laloh setiap hari jumaat dari jam 8.00 pagi sehingga pukul 12.00 tengah hari

Buah ara menjadi salah satu bahan dalam gulai daging masyarakat Hulu Kelantan. Buah ara berfungsi sebagai sayur dan dummy kepada daging supaya memperbanyakkan lauk dalam gulai

Lupa namanya apa tapi 'sayur' eksotik ini sering kali dijual di Pasar Pagi Laloh

Di sekitar Kota Bharu pula, saya suka berkunjung ke Pasar Pagi Kedai Lalat pada setiap hari Jumaat. Kedudukan tapak pasar ini dari rumah saya di Kampung Marak kira-kira 10 kilometer. Biasanya saya datang ke sini untuk bersarapan nasi berlauk serta membeli ikan segar.

Udang sungai yang dijual di Pasar Pagi Kedai Lalat, Kota Bharu, Kelantan

Tentu ada dikalangan pembaca ingin mengetahui sebab mengapa saya suka ke pasar. Bagi saya pasar dan penjaja sudah sebati dengan hidup saya sejak kecil. Ayah merupakan seorang penjaja kecil dan saya sering mengikuti ayah berniaga ke serata tempat di Terengganu. Saya membantu ayah berniaga seawal usia 9 tahun di Pasar Payang pada tahun 1984. Pada masa itu Pasar Payang beroperasi di kaki Bukit Puteri. Barang pertama yang saya jual adalah bawang yang masa itu dijual dengan harga 80 sen secupak. Sebab itulah saya suka berjalan-jalan dan melawat pasar-pasar tak kira di mana saya pergi.

PASAR PAGI KEBUN GETAH KAMPUNG GUNTUNG, PASIR PUTIH, KELANTAN

Ok, kita tinggalkan kenangan saya itu. Berbalik pada perenggan pertama tadi yang ingin saya sampaikan adalah pengalaman berkunjung ke Pasar Pagi Kebun Getah Pasir Putih, Kelantan. Tapak pasar ini terletak di Kampung Guntong, Pasir Putih iaitu kira-kira 3-4 kilometer dari Bandar Pasir Putih. Pada hari Jumaat 15 Mac 2019, saya dan isteri datang ke mari dengan bertolak pada jam 9.00 pagi. Turut bersama kami, Anis anak saudara isteri serta anak kecil kami Hud Naufal. Manakala anak-anak lain kami tinggalkan di rumah sepupu mereka (kakak ipar saya). Perjalanan dari rumah saya memakan masa 35 minit kerana jaraknya lebih kurang 30 km.

Jalan masuk ke Pasar Pagi Kebun Getah agak sempit dan sesak kerana jalan ini merupakan jalan kampung (satu jalan sahaja)

Parking berbayar RM2.00 sekali masuk. Terdapat dua tempat letak kereta yang masing-masing boleh memuatkan 20-25 buah kereta dalam satu-satu masa.

Simpang ke kiri merupakan tapak Pasar Pagi Kebun Getah Pasir Putih

Saya melalui jalan utama Kota Bharu - Kuala Terengganu kerana google maps belum dapat mengesan kedudukan pasar ini mungkin kerana masih baru. Saya hanya ke tempat ini berdasarkan cerita-cerita dari mereka yang pernah datang bahawa pasar ini tidak begitu jauh dari Bandar Pasir Puteh. Sebelum tiba ke simpang kanan jalan untuk ke bulatan Pasir Puteh-Machang, saya melihat begitu banyak kereta dan motosikal masuk ke simpang sebelah kiri. Saya beranggapan mungkin di situlah terletaknya pasar pagi kebun getah itu. Saya turut follow kereta lain yang turut masuk. Lebih kurang 200 meter dari simpang jalan besar tadi di situlah terletaknya pasar pagi kebun getah. Jadi jika anda mahu ke sini dengan google maps perlu menaip Jalan Guntung Pasir Putih barulah anda akan sampai ke sini.

Di starting point Pasar Pagi Kebun Getah

Terdapat beberapa gerai kayu yang saya rasa milik peniaga berasal dari kampung itu sendiri (Kampung Guntung Pasir Putih)

Ramai pengunjung datang ke pasar tersebut majoritinya pengunjung luar kawasan

Isteri melihat dan memilih anak-anak patung bundle. Tapi tak beli pun

Saya masuk ke ruang parking berbayar yang diuruskan oleh persatuan komuniti penduduk setempat dengan bayaran RM2.00 sekali masuk. Mungkin inilah caranya persatuan komuniti mencari dana untuk persatuan. Pada waktu ini jam menunjukkan waktu 10.10 pagi. Cuaca cerah dan kering menjadikan suhu hari itu agak panas. Maklumlah hujan tidak turun sudah berminggu-minggu hingga sungai dan taliair menjadi surut dan tohor.

Saya berjalan sambil mendukungi Hud. Bimbang juga budak ni demam bila terdedah dengan cuaca panas. Saya memasuki permulaan pasar pagi ini berhampiran dengan rumah penduduk kampung kemudian pergi ke bahagian dalam. Di situlah terletaknya bahagian utama pasar pagi iaitu di dalam sebuah kebun getah tak berapa luas. Saya anggarkan keluasan kebun getah ini dalam 2 ekar. Kalau lebih pun tak sampai tiga ekar. Ini menunjukkan pasar ini Tidaklah begitu besar. Pada kebiasaannya pasar pagi beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari sebelum solat Jumaat.

Majoriti peniaga di pasar pagi ini adalah berniaga pakaian terutamanya pakaian bundle

Kasut dan bag bundle turut dijual dan kedudukan peniaga-peniaga di posisi belakang Pasar Pagi Kebun Getah

Secara keseluruhannya saya melihat majoriti peniaga menjual produk berasaskan pakaian dan yang paling banyak adalah meniaga bundle. Namun begitu masih ada peniaga lain yang menjual sayur-sayuran dan juga barang basah seperti ikan, ayam dan daging. Kami datang ke sini bukan untuk beli apa-apa sekadar hanya meninjau-ninjau pasal viral ini sahaja. Terdapat gerai-gerai kayu yang saya rasa peniaganya dikalangan penduduk kampung Guntung itu sendiri. Gerai-gerai kasut begini mengingatkan saya suasana niaga di masjid Rusila pada Setiap Jumaat. Situasi dan pemandangannya hampir sama.

Pilih-memilih dan tawar-menawar antara penjual dan pembeli di pasar ini

Saya suka melihat batu cincin permata tetapi tidak payah untuk membeli


Sudut lain Pasar Pagi Kebun Getah Kampung Guntung, Pasir Putih, Kelantan

Namun begitu isteri sempat membeli beberapa seluar bundle yang berharga RM1 untuk dijadikan pakaian basahan ketika di rumah. Saya juga tidak ketinggalan membeli topi berharga RM1 kerana hari itu Cuaca agak panas hingga membuat kepala saya rasa pening. Keadaan kita juga agak berdebu apabila cuaca yang panas itu mengeringkan tanah-tanah kemudian dipijak oleh para pengunjung yang ramai datang. Ini menyebabkan debu debu naik ke atas. Jika anda mencari pakaian bundle murah Saya rasa Inilah tempatnya. Tetapi jika mahu lebih pilihan lebih baik ke pasar pagi Kuala Besut yang terletak kira-kira 20 km dari pasar ini.

Setelah hampir 1 jam meronda-ronda kawasan ini, kami bergegas pulang.

Sekian, terima kasih kerana membaca.


Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR