HIKAYAT AWANG HITAM

Oleh : Amizam bin Mohamed

Assalamualaikum warahmatullahi  wabarakatuh dan selamat sejahtera buat para pengunjung blog saya sekalian.

PENGENALAN

Hari ini saya akan menulis blog di luar konteks yang biasa saya lakukan. Pada kali ini saya akan olah semula cerita yang pernah saya dengar suatu kecil. Cerita ini diceritakan oleh kawan baik saya yang tinggal berhampiran dengan rumah sewaktu kecil dahulu. Nama kawan saya tersebut adalah Arshad. Saya sendiri pun sudah Begitu lama tidak berjumpa dengannya kerana sejak berumur 14 tahun lagi (1990) beliau telah berhijrah ke Klang dan bekerja di kilang Kayaba iaitu kilang membuat fork motosikal. Cerita ini bolehlah dikategorikan sebagai cerita rakyat yang disampaikan dari mulut ke mulut. Sebab itulah saya cuba mengolah kembali serya menokok tambah cerita yang saya dengar lebih 30 tahun yang lalu ini supaya ia tidak luput ditelan zaman.

HIKAYAT AWANG HITAM

Bab 1 : Akob dan Enab

Alkisah tersebut kisah di zaman dahulu di sebuah negeri yang dikenali Negeri Nibong Tunggal. Di Hulu Sungai Nibong Tunggal tinggal sepasang suami isteri Akob dan Enab. Pasangan ini tidak mempunyai anak Walaupun telah 15 tahun mendirikan rumah tangga. Namun mereka sabar dan redha dengan ketentuan tuhan. Mereka menganggap Mungkin belum rezeki lagi untuk mereka memperoleh zuriat.

Suatu hari Akob seperti biasa bagi mengangkat bubu - bubunya yang ditahan di pinggir sungai. Enab seperti biasa menemani suaminya pergi mengangkat bubu-bubu tersebut. Agak malang Pada hari itu kesemua bubu-bubu nya tidak dimasuki ikan. "Apalah nasib kita hari ni Enab. Semua bubu-bubu kita tidak ada ikan di dalamnya", keluh Akob kepada isterinya

"Sabarlah kanda, mungkin rezeki ada di dalam bubu terakhir kita di bawah pohon nibung sana", Pujuk Enab kepada suaminya. Mereka pun berjalan menuju ke arah tempat bubu yang terakhir. Sesampainya di situ, Akob bingkas menyeluk tangannya ke dalam sungai sambil menggagau-gagau mencari bubunya. Akob menaikkan bubu tersebut ke darat lalu dituangnya segala isi dalam bubu di atas tanah. Alangkah sedih Akob kerana yang ada cuma daun-daun dan ranting-ranting pokok sahaja. Tiba-tiba Enab melihat sebiji buah sebesar ibu kaki di celah sampah-sampah bubu yang dituang suaminya sebentar tadi.

"Kanda! Lihat buah kundang tu", Tunjuk Enab. Akob mengambil buah kundang tersebut lalu diberikan kepada isterinya. "Mungkin ini rezeki kita pada hari ini kanda. Dinda sudah lama ingin memakannya", kata Enab. Mendengar kata-kata isterinya, wajah suram Akob kembali berseri. Baginya segala kerja dan keringat yang dilakukan hanyalah semata-mata untuk membahagiakan isterinya. Bila isterinya gembira dia akan turut merasa gembira.

Tanpa berlengah lagi Enab terus memakan buah kundang tersebut sehinggalah tergigit biji dalamnya. Enab berasa terlalu pahit Lalu dia muntahkan kembali biji Kundang yang digigitnya. Ternyata biji Kundang tersebut berbeza dengan Kundang yang biasa dilihat. Bijinya berwarna hitam legam. "Patutlah rasa pahit rupa-rupanya bijinya berwarna hitam biasanya berwarna biru senduduk", Bebel Enab. Selepas itu mereka pun pulang ke rumah.

Bab 2 : Enab Hamil

Pada malam itu sewaktu sedang tidur, Enab telah bermimpi didatangi seorang nenek tua yang memperkenalkan dirinya sebagai Seri Buni. Seri Buni telah menegur anak Kerana telah makan tanpa meminta izinnya buah kundang miliknya yang hanyut dibawa arus sungai. Dalam mimpi tersebut Enab sempat memohon maaf kepada nenek dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi. Nenek hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda menerima Kemaafan tersebut. Sebelum beredar nenek berkata "Engkau akan mendapat perkhabaran baik tetapi Engkau Tetap juga akan menerima balasan atas perbuatan engkau ini". Selepas itu nenek Seri Buni terus menghilangkan diri.

Enab terjaga dari tidur. Badannya berpeluh peluh dan mukanya begitu pucat sekali kerana ketakutan. Enab hanya melihat suaminya yang tidur nyenyak. Dia tidak cuba untuk mengejutkan suaminya kerana dia tahu suaminya kepenatan setelah seharian bekerja. Malam itu Enab tidak dapat melelapkan mata sehinggalah keesokan pagi.

Pabila Akob bangkit dari tidur, Enab menceritakan mimpi yang dialaminya semalam. Akan tetapi Akob yang ketawa kecil. Baginya mimpi itu hanyalah mainan tidur.

Semenjak hari itu, Enab merasakan perubahan berlaku pada dirinya. Dia sering merasa pening-pening kepala adakalanya membawa kepada muntah-muntah. Hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan. Enab mengalami situasi itu. Darah haid pun tidak mendatanginya.

Kasihan melihat isterinya yang makin kurus kering kerana tidak ada selera untuk menjamah makanan. Tambahan sering sakit-sakit badan, muntah-muntah dan pening kepala, Akob memanggil Pawang Alang datang ke rumah untuk melihat-lihat apakah sakitnya isterinya itu. 

Pawang Alang menjampi serapah Enab. Mulutnya tidak putus-putus berkumat-kamit membaca mentera. Dimintanya akob menghulur segeluk air. Pawang Alang mengambil salah satu buah limau di dalam piring lalu dipotongnya beberapa hiris. Potongan limau betul-betul jatuh ke dalam geluk air tadi. Pawang Alang mengacau-ngacau air tadi secara pusingan menggunakan jari tunjuknya. Anak matanya menilik-nilik air yang berpusing ke dalam geluk itu.

"Akob sebenarnya ada benda yang mendamping isteri engkau ini", tegas Pawang Alang. "Benda apa tu tok?", tanya Akob. "Tak ada apa pun dengan benda tu. Hanya sementara sahaja. Selepas isteri engkau lahirkan anak, benda itu akan pergi" terang Pawang Alang. "Tok cakap isteri saya lahirkan anak?", tanya Akob. "Eh, engkau ni. Nak tahu lebih-lebih tanyalah Bidan Odah. Dia lebih tahu hal urusan kaum perempuan", kata Pawang Alang. 

Pawang Alang menjelaskan pendamping itu adalah pemilik buah kundang yang dimakan Enab beberapa purnama yang lalu. Mungkin itulah Nenek Seri Buni seperti yang diceritakan isterinya sewaktu bermimpi. Tapi Akob tidak kisah semua tu kerana berita yang paling menggembirakannya adalah tentang isterinya sedang mengandung. 

Akob membawa Bidan Onah ke rumahnya untuk memeriksa keadaan isterinya.  "Syukurlah Akob, isteri engkau ini sudah 3 bulan mengandung", kata Bidan Onah. Gembira tak terkata Akob mendengar Bidan Onah berkata begitu. Apa tidaknya sudah lima belas tahun menunggu saat ini.

Akob seperti hilang akal. Diteriakinya seluruh kampung 'Isteri aku mengandung!'... 'Isteri aku mengandung!'... 'Enab mengandung!'...'Enab mengandung!'. Siapa sahaja yang Akob jumpa dituturkan dengan ungkapan itu. Hinggakan orang kampung naik jelak. Naik muak.

Bab 3 : Enab Mengidam

Biasalah masa mengandung perempuan akan mengidam sesuatu. Adakala keinginan masa mengidam ingin memakan atau minum benda yang pelik. Ini kerana pada masa ini tidak punya selera untuk makan makanan yang biasa mereka makan. Dengan menikmati makanan atau minuman yang diidam barulah selera untuk menjamah yang lain terbuka.

Begitu juga Enab, dia mengidam untuk minum air arang daripada batang pokok kemunting. Mujur juga pokok kemunting banyak tumbuh di pinggir hutan berdekatan rumah mereka. Jadi tidak susah untuk Akob mendapatkannya. Selalu juga Akob dan Enab sebelum ini pergi memetik buah-buah kemunting yang masak ranum berwarna seakan-akan biji kundang untuk dimakan begitu sahaja. Rasanya manis-manis kelat. Rasa biji-biji halus seperti selasih separuh basah.

Selera Enab untuk minum air arang pokok kemunting terus-menerus sehingga kandungannya mencecah sembilan bulan. Selagi belum minum ait itu , selagi itulah Enab tidak mampu menjamah makanan lain. Air itu seakan-akan menjadi air kopi buatnya. Begitulah Akob melayani karenah isteri kesayangannya sehingga Enab melahirkan anak tunggal mereka.

Menurut Enab air arang pokok kemunting itu boleh mematikan deria bau hidungnya yang tidak boleh menghidu benda-benda lain. Apa yang dihidu semuanya akan rasa seperti hanyir-hanyir menyebabkan dia akan rasa pening-pening kepala akan lalu muntah-muntah.

Bag 4 : Murahnya Rezeki Akob


Sejak Enab mengandung ini, bubu-bubu yang ditahan Akob dalam sungai sentiasa memperoleh ikan yang banyak. Ikan belida, ikan ketutu, ikan kerai, baung, kelah tak putus-putus masuk ke dalam bubunya. Pada firasat Akob ini mungkin rezeki dikurniakan Allah buat anak yang dikandung Enab. Tidak disangkal-sangkal lagi memang itulah salur rezeki itu.

Hasil yang banyak itu, sebahagian kecil dibuat makan sendiri selebihnya dijual kepada jiran kampung yang menginginkannya. Manakala sebahagian besar ikan-ikan itu dibuat pekasam.

Pekasam yang dibuat Akob sungguh istimewa dan menjadi rebutan penduduk negeri dan saudagar yang datang berniaga di kota. Pekasam dibuat Akob menggunakan garam yang dibeli daripada saudagar negeri Siam. Diperam tempayan menggunakan asam buah kandis. Tempayan yang diguna Akob diperoleh secara warisan turun-temurun daripada datuknya. Datuk mendapat tempayan tersebut hadiah daripada saudagar dari China yang singgah di rumahnya untuk mengambil air telaga kegunaan kapal sewaktu pelayaran.

Tempayan itulah digunakan oleh datuk dan neneknya untuk membuat pekasam ikan sungai. Kemudian diturunkan kepada ibu Akob dan setelah ibunya tiada diturunkan pula kepadanya.

Ikan pekasam yang sudah elok dan menjadi akan dibawa Akob menggunakan pedati kayu. Akob akan mengusung pedati hingga ke pasar rakyat di pinggir kota.

Di pasar rakyat diadakan pada setiap pagi jumaat. Ramai rakyat dari seluruh pelusuk negeri datang ke situ sama ada untuk menjual hasil pertanian, pemburuan, tangkapan atau hasil-hasil hutan. Atau mereka datang untuk membeli barang-barang diingini.

Kaedah jual beli dilakukan dengan pelbagai cara. Akob sendiri menerima pelbagai jenis cara berniaga. Biasanya diurus dengan cara tukar barang seperti beras, garam, daging, rempah ratus dan sebagainya.

Jika berurusan dengan golongan saudagar atau bangsawan. Mereka menggunakan syiling perak, tembaga atau timah. Jika menggunakan syiling dapatlah Akob mengumpulkan wang. Bila sudah cukup. Dapatlah Akob membeli kain dari India mahupun China. Dengan kain itu dapatlah dibuat pakaian untuk anak yang bakal lahir nanti.

Bab 5 : Waktu Untuk Bersalin Makin Hampir

Setelah cukup sembilan bulan, Enab mula menunjukkan tanda-tanda untuk beranak. Segala benda yang dilakukannya tidak kena. Baring tak kena. Bangun tak kena. Tidur tak kena. Duduk tak kena. Segala yang dibuatnyalah tak kena. Perutnya rasa bagai ditendang-tendang oleh anak yang dikandungnya. Begitulah jerihnya seorang ibu seperti Enab selama sembilan bulan sepuluh hari mengandungkan anaknya.

Pada hari Jumaat dikala waktu menghampiri subuh. Waktu itu suasana sungguh gelap kerana bulan tidak bercahaya. Sungguhpun suasana gelap itu bertambah gelap apabila nyalaan api dari puntung kayu yang dipasang penduduk kampung sudah terpadam kerana damarnya sudah abis dimamah api sejak semalam.

Pada waktu inilah, belakang dan pinggang badan Enab terasa amat sakit. "Kanda! Kanda! Bangun. Perut dan pinggang Enab sakit, keluh Enab kepada Akob". "Dinda rasa dah nak beranak ke? Tanya Akob. "Rasa-rasa begitulah kanda", Jelas Enab.

Akob terus turun ke tanah. Dia mencapai dua pelepah daun kelapa kering. Dijalin-jalinnya daun itu seperti anak dara menjalin rambut supaya kelihatan kemas. Kemudian diceduk air disiram-siram supaya sedikit lembab. Akob melakukan sedemikian untuk dijadikan lampu penyuluh jalan semasa mahu ke rumah Bidan Onah. Tahu-tahu sajalah jalan ke rumah  Bidan Onah macamana. Perlu melintas satu hutan buluh. Kemudian mengharung satu anak sungai separas lutut. Nak harapkan dua pelepah ini menyala hingga ke rumah Bidan Onah memang tak sempat.

Di pertengahan jalan ke rumah nanti terdapat beberapa pokok damar. Pokok damar biasanya mengeluarkan getah. Getah itu akan beku dan keras seakan-akan batu. Itulah yang disebut orang sebagai damar. Akob akan menggunakan damar itu untuk menyalakan api ketika dilekatkan pada puntung kayu atau buluh.

Berbalik pasal pelepah kelapa tadi, Akob pergi ke dapur yang terletak di luar rumahnya sambil di tangannya memegang satu pelepah kelapa yang dijalinnya tadi. Di dapur itu masih terdapat bara yang masih hidup. Akob menghulurkan daun pelepah kelapa itu atas bara itu. Ditiup-tiup dan dihembus-hembusnya bara itu agar dapat menyalakan api pada pelepah itu.

Bila api sudah menyala, Akob terus ke rumah Jani. Jani merupakan jirannya paling hampir. Jarak rumah Akob dan rumah Musir kira-kira unggun api sebesar pangkal lidi bila dilihat dari rumah Musir. Musir mempunyai isteri bernama Sulini. Akob meminta bantuan Sulini untuk melihat-lihat keadaan Enab sementara dia mendapatkan bantuan daripada Bidan Onah.

Akob melangkah dengan laju dan adakalanya berlari-lari anak supaya cepat sampai ke rumah Bidan Onah. Dia melintasi hutan pokok buluh yang gelap dan suram dikala dinihari. Bila angin bertiup kuat, bunyi geselan buluh-buluh seperti orang memetik sitar India. Adakalanya geselan sesama buluh itu seperti hilaian tawa manusia. Ditambah dengan bunyi cengkerik mengilai dan katak berdengkang dibalas pula dengan sahut-sahutan salakan anjing  nampak hantu sedikit pun tidak menakutkan Akob.

Dua pelepah daun kelapa yang satu julang dan satu dikepit pada ketiak semakin sedikit dibakar api. Di dalam hutan buluh ini terdapat beberapa batang pokok damar. Akob berhenti dan menebang sebatang batang buluh yang boleh dipegang dengan genggaman tangan. Dipotongnya bahagian hujung pangsa buluh dibiarkan seperti cawan.

Sesampai di bawah pohon damar, Akob mengutip getah-getah damar kering yang jatuh di bawah pokok. Akob menggali-gali tanah dengan parang untuk mencari damar kering yang tertanam. Kemudian Akob memasukkan damar ke dalam lubang pangsa buluh bahagian atas tadi. Diambilnya api dari daun kelapa tadi lalu dinyalakan damar dalam buluh. Baki damar diletak dalam uncang yang terselit dipinggangnya. Bolehlah nanti damar yang lebih itu digunakan pada masa lain.

Akob perlu menghabiskan perjalanan melalui hutan buluh ini dan selepas itu perlu merodong anak sungai separas lutut sebelum sampai ke rumah Bidan Onah. Akob menyinsing seluarnya hingga ke pangkal peha. Dia tidak mahu sedikit pun air sungai membasahkan seluarnya. Sesekali dia tergelincir juga apabila terpijak batu-batu yang licin tapi tidaklah sampai tersenbam ke dalam air.

"Bidan Onah ni pun satu. Tempat macam ni dipilihnya untuk dibina rumah", bisik Akob. Bidan Onah memang misteri orangnya. Tinggal seorang diri di hujung kampung di sebalik hutan. Menurut orang dia membela penanggal. Tapi tidak pernah pula penduduk kampung menjumpai sesuatu yang pelik ketika datang ke rumahnya. Apa yang ada di halaman rumahnya hanyalah pokok-pokok ubat akar-akar kayu yang digunakan untuk membuat rawatan kepada penduduk kampung.

Sudah banyak jasa yang telah dilakukan Bidan Onah dalam membantu penduduk kampung terutama ketika para isteri hendak beranak.

Dalam jarak 30 kaki dari anak sungai yang diharungi Akob, tibalah di rumah Bidan Onah. Diketuknya Akob pintu rumah Bidan Onah sekuat hati. Tap! Tap! Tap! (bunyi ketukan). Mak Onah! Mak Onah!, panggil Akob. Ya! Ya! Aku datang ni", sahut Bidan Onah. Lega hati Akob kerana Bidan Onah ada di rumah. Bimbang juga kalau-kalau dia dijemput orang dari kampung lain untuk niat yang sama sepertinya.

Bidan Onah bukan sahaja terkenal di kampung ini malah menjadi harapan penduduk kampung jiran meminta pertolongan daripadanya. Kadang-kadang ada juga orang-orang yang tinggal di kota berbuat begitu. 

Krieeek! Bidan Onah membuka pintu rumahnya yang usang itu. "Hah! Kamu Akob. Kenapa kamu datang subuh-subuh ni. Enab dah nak beranak ke?", Tanya Bidan Onah. "Tak tahulah Mak Onah. Rasa-rasa macam tu lah", jawab Akob. "Jemput ke rumah saya Mak Onah", ajak Akob.

Bab 6 : Rintih Enab

Setelah Akob meminta tolongnya supaya menengok-nengokkan Enab yang sakit, Musir dan isterinya Sulini segera melangkah menuju ke rumah Akob. Dari bawah rumah lagi terdengar suara Enab merintih sakit. Tak henti-henti suaranya menyeru nama suaminya Kanda Akob! Kanda Akob!

Mana taknya. Enab bukan ada siapa-siapa di kampung ini. Ibu bapanya serta saudara-maranya tinggal jauh dari kampung ini. Dia adalah orang luar. Dia mengahwini Akob sewaktu suaminya itu keluar mengembara kira-kira enam belas tahun dahulu.

Pada masa itu, Akob meminta izin daripada orang tua Enab untuk menumpang tidur di rumahnya. Kemudian dari hari ke sehari dia menumpang sehinggalah dia bekerja dengan ayahnya sebagai tukang membaiki kapal yang berlabuh.

Atas keluhuran budi dan pekerti Akob yang elok, ayah Enab meminta Akob menjadi anak menantunya. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Akob menerima pelawaan tersebut kerana dia turut tertarik hati pada Enab.



Bersambung......


Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA