KONTINJEN CATUR MSSD PASIR GUDANG MENJULANG KEJUARAAN KEJOHANAN CATUR MSS JOHOR BUAT TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera buat para pengunjung blog perjalanan hidup sekalian.

Hari ini saya akan merakam detik manis ketika bersama Kontinjen catur MSSD Pasir Gudang bagi tahun 2019 dalam penyertaan di Kejohanan Catur MSSJ yang berlangsung di Daerah Tangkak minggu lepas.


Kontinjen Catur MSSD Pasir Gudang merangkul kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut

Kejohanan ini diadakan di Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran, Kesang, Tangkak.


Banner kejohanan yang digantung di pintu masuk SMA Lughatul Quran, Kesang Tasik, Tangkak


SMA Lughatul Quran, Kesang Tasik, Tangkak menjadi venue kejohanan Catur MSSJ 2019.


SEKALI LAGI MENYERTAI BARISAN KEPEGAWAIAN CATUR MSSD PASIR GUDANG

Seperti biasa sejak lima tahun yang lalu saya telah dilantik oleh Pengerusi Teknik catur Daerah Pasir Gudang iaitu Cikgu Zulkipli Daud sebagai sebahagian dari barisan kepegawaian Kontinjen Catur MSSD Pasir Gudang. Sebenarnya ini kali keenam saya menjadi sebahagian dari keluarga kontinjen Pasir Gudang yang pertama kali saya sertai pada tahun 2012 sewaktu berlangsungnya MSSJ di Mersing.

Pada masa itu, murid sekolah saya Nureen menjadi pemain bagi kategori P12 dan saya mengganggap penyertaan saya hanyalah sebagai guru pengiring.


Saya bersama Nurul Irdeena (SK Kota Masai) yang memenangi tempat ke-10 individu dan tempat kedua bagi berpasukan P12 Kejohanan Catur MSSJ 2015 di Segamat. Pada masa itu, Pasir Gudang menjadi Johan Keseluruhan buat kali pertama. Pada 2012, kakak Irdeena iaitu Nureen turut mewakili Pasir Gudang ketika di Mersing. Kedua-duanya merupakan kakak Nur Sabreena. Gambar Nureen tiada sebab laptop saya dicuri pada tahun yang sama.

Murid saya di SK Kota Masai Hanna Alia dan Nur Sabreena mewakili daerah Pasir Gudang pada tahun 2017.

Kemudian bila adik Nureen iaitu Nurul Irdeena berjaya pula merebut salah satu slot P12 pada tahun 2015, saya menyertai semula kontinjen Pasir Gudang. Sehinggalah adik terakhir mereka Nur Sabreena yang secara konsisten menjadi pemain Pasir Gudang ke MSSJ. Namun kenangan manis  sepanjang menjadi jurulatih catur sekolah adalah pada 2017 apabila dua orang pemain SKKM iaitu Sabreena dan Hanna Alia menjadi pemain Pertama dan Ketiga Pasir Gudang. Kini Hanna Alia menjadi pemain P15 MSSD Tangkak dan Sabreena menjadi pemain P15 Pasir Gudang. 

PERSIAPAN SEBELUM KEJOHANAN

Sebelum kejohanan bermula, sesi pemilihan pemain Pasir Gudang diadakan dengan memanggil pemain-pemain yang menduduki tempat pertama hingga kelapan dalam kejohanan catur MSSD Pasir Gudang yang diadakan pada 16 - 18 April 2019 yang lepas. Pemain-pemain ini akan bertarung sesama sendiri secara round robin. Pemain yang mempunyai mata terkumpul paling banyak seramai empat orang bagi setiap kategori akan dipilih mewakili pasukan catur MSSD Pasir Gudang.

Sesi pemilihan pemain mewakili MSSD Pasir Gudang 2019 dilaksanakan pada 1-2 Julai 2019 di Bilik Mesyuarat, SK Taman Daya.

Latihan pusat pemain catur dilakukan pada 9-10 Julai di SK Taman Daya juga.

'Keldai Besi' menjadi tunggangan saya menempuh jalan sesak perjalanan dari Kota Masai ke Taman Daya sepanjang sesi pemilihan dan latihan pusat berlangsung.

Sesi pemilihan dijalankan selama dua hari iaitu pada 1 dan 2 Julai 2019 di bilik mesyuarat SK Taman Daya. Kemudian selepas itu diadakan sesi latihan pusat pada 9 dan 10 Julai 2019.

CORAT-CORET SEPANJANG KEJOHANAN CATUR MSSJ 2019

Kejohanan Catur MSSJ 2019 telah diadakan pada 11 hingga 13 Julai 2019 di SMA Lughatul Quran, Kesang Tasik, Tangkak. Sememangnya kebiasaan venue kejohanan diadakan di sekolah berasrama bagi memudahkan kontinjen dari Daerah lain menetap di situ. Seingat saya hanya sekali diadakan di sekolah yang tidak mempunyai asrama iaitu pada tahun 2016 diadakan di sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Kota Tinggi.

Saya bergambar dengan Cikgu Hisham sebaik sahaja tiba di di SMA Lughatul Quran, Tangkak.

Cikgu Hisyam membuat pendaftaran pemain sebelum masuk ke Dewan untuk mendengar taklimat pengurus pasukan.

Sebaik sahaja tiba di SMA Lughatul Qur'an, cikgu Hisyam terus mendaftar nama-nama pemain untuk MSSD Pasir Gudang di kaunter urusetia. Akan tetapi dokumen kami tidak lengkap iaitu Borang R02 dan M02. Borang ini sebenarnya telah siap dan hanya perlu print saja tetapi kami terlepas pandang. Mujur pihak sekolah membenarkan kami menggunakan komputer dan printer untuk kami cetak borang tersebut.

Setelah selesai Semua, cikgu Hisyam kedai masuk ke dewan untuk mendengar taklimat pengurus pasukan yang disampaikan oleh cikgu Zahid selaku Pengerusi Teknik Catur Negeri Johor.

Bas yang membawa kontinjen catur Pasir Gudang tiba di Kesang Tasik jam 12.10 tengah hari.

Kontinjen Pasir Gudang menetap di dalam asrama sekolah ini atas faktor kosnya lebih murah serta memudahkan pengurusan pergerakan para pemain. Jika menetap di homestay atau hotel sudah tentu kosnya lebih RM1200 untuk 3 hari 2 malam berbanding dengan menginap di asrama SMA Lughatul Quran hanya sebanyak RM81.00 (RM3.00 / seorang).

Sepanjang kejohanan berlangsung, Kontinjen Pasir Gudang memilih 'Port lepak' di kantin perempuan asrama sekolah tersebut. Kami memilih tempat ini kerana kedudukan yang agak strategik iaitu ditengah-tengah antara penginapan Kontijen lelaki dan perempuan serta Dewan pertandingan. Di sini juga terdapat satu plug yang membolehkan kami mendapat bekalan kuasa untuk mengecas telefon bimbit.

SAMBIL MENYAMBIL

11 Julai 2019 (Khamis)

Bila datang ke Tangkak atau Muar, tidak sah sekiranya kita tidak mencuba menu asam pedas ataupun mee bandung Muar. Untuk itu saya dan beberapa orang rakan mengambil peluang menjelajah ke tempat-tempat yang menyediakan menu popular daerah Muar.

Saya menikmati menu asam pedas ikan pari di Medan Selera Tg. Mas, Muar.

Sebenarnya 3 minggu sebelum datang ke sini Saya dan keluarga telah pun datang ke bandar Maharani untuk mencari durian kerana tempat ini merupakan antara tempat pengeluar durian utama negeri Johor terutamanya di jalan Tangkak-Segamat. Jadi saya sudah mengetahui selok-belok jalan di sini walaupun tidak begitu banyak.

Pada hari pertama iaitu pada 11 Julai 2019 jam 2.00 petang saya, Cikgu Hisyam dan Cikgu Mahathir. Pergi ke bandar Maharani untuk membeli beberapa barang keperluan antaranya kertas karbon, plastik sampah, tisu dan sudu plastik. Perjalanan dari SMA Lughatul Quran ke bandar Maharani memakan masa kira-kira 30 minit kerana jaraknya lebih kurang 17 km. Kami membeli barang-barang tersebut Kedai Becon. Setelah selesai membeli saya membawa rakan-rakan ke Medan Selera Tanjung Mas untuk menikmati makanan tengah hari serta solat.

Cikgu Hisyam dan Cikgu Mahathir menikmati mee bandung Muar yang sedap di Medan Selera Tg. Mas, Bandar Maharani.

Kita boleh dapati menu istimewa daerah Muar di Medan Selera ini. Saya memesan asam pedas ikan pari manakala cikgu Hisyam dan cikgu Mahathir memesan mee bandung Muar.

Rojak petis turut menjadi pilihan warung di Medan Selera Tg. Mas. Saya turut mencubanya.

Selepas selesai makan dan solat kami pun pulang semula ke SMA Lughatul Quran. Ketika perjalanan pulang kami singgah di sebuah stesen minyak Petronas untuk membeli roti untuk para pemain. Kemudian kami terus balik semula ke sekolah.

Namun begitu kertas karbon yang kami beli di kedai Becon tiada dalam plastik. Puas kami mencari merata tempat dalam kereta tapi tak ada juga. Saya rasa kertas karbon itu jatuh di salah satu tempat kami singgah Sewaktu dalam perjalanan pulang.

Cikgu Wan Mahaqisz mengadakan sesi taklimat kepada para pemain untuk perlawanan esok.

Pada sebelah malam pula, Cikgu Wan Mahaqizs membuat taklimat kepada para pemain berkaitan peraturan permainan serta isu-isu berbangkit

12 Julai 2019 (Jumaat)

Pada pagi ini, kami nekad untuk pergi semula ke Bandar Maharani bagi membeli kertas karbon yang hilang semalam. Sambil-sambil itu kami singgah bersarapan di Satey Warisan Muar. Sebenarnya pagi itu, kami bergerak seramai 5 orang dengan penambahan Cikgu Aziz dan Cikgu Khairul dari kontinjen Johor Bahru. Saya kenal cikgu Aziz sewaktu turut sama dalam kontinjen MSSJ tahun 2016.

Oleh kerana Cikgu Aziz berasal dari Muar, beliau banyak mengetahui selok-belok jalan di sini. Beliau yang banyak menunjukkan jalan-jalan dan tempat dan hendak di pergi.

Restoran Satey Warisan Bandar Muar terletak di hadapan Telekom lama.

Lebih kurang pukul 8.40 pagi kami singgah makan satey di Satey Warisan depan telekom lama Bandar Muar. Rasa sateynya enak juga. Keistimewaan satey di kedai ini kerana satey tidak perlu di order sebaliknya akan diletak sendiri oleh pelayan. Di samping itu, warung ini juga menyediakan satey perut lembu. Selain satey, saya mengambil sarapan mihun soto.

Tiga jenis satey dihidangkan di Restoran Satey Warisan iaitu ayam, daging dan perut.

Selepas makan, kami pergi ke kedai Becon untuk membeli kertas karbon. Kemudian membeli bubur nasi untuk Gan Yeun Bin yang kurang sihat serta tidak berselera untuk makan. Sejurus itu, kami pulang ke SMA Lughatul Quran.

Selain satey warung ini juga menyediakan mee soto, lontong dan nasi lemak

Pada waktu tengah hari, saya, Cikgu Hisyam cikgu Mahathir dan Cikgu Wan Mahaqizs solat Jumaat di masjid Pekan Rawang tidak jauh dari sekolah ini. Selepas solat kami singgah di sebuah kedai bangsal durian. Saya memilih sebiji durian bukit bersaiz sederhana besar berharga rm16 sebiji (RM7.00 sekilo). Rasa tidak cukup sebiji cikgu Mahathir membeli sebiji lagi durian 101 berharga RM11.00 (RM5.00 sekilo, murah sebab durian semalam tapi rasanya masih ok).

Selepas solat jumaat kami singgah di gerai durian milik seorang akak di Pekan Rawang, Resang. Durian kampung bukit gred A dijual pada harga RM7.00 sekilo. Saya membeli sebiji dengan harga RM16.00 sebiji dan sebiji durian 101 berharga RM11.00 dengan harga RM5.00 sekilo.

Pada waktu petang, setelah semua pemain menyelesaikan pusingan kelima, pemain-pemain ini dibawa berjalan ke Pantai Tanjung Mas dan watex Parade bandar Muar untuk meredakan ketegangan setelah lima pusingan bermain catur. Semasa berada di Tanjung Mas kelihatan pemain-pemain tidak begitu seronok tetapi keadaan berubah bila berada di Watex Parade bandar Muar. Kami merayau-rayau di situ sehingga jam 9.30 malam.

Bas membawa pemain Pasir Gudang singgah di Watex Parade di tengah-tengah bandar Muar.

Barisan pegawaian dan jurulatih pasukan catur MSSD Pasir Gudang ketika membawa murid ke Watex Parade. Dari kiri : Cikgu Elle (SK Taman Nusa Damai), Cikgu Mahathir (SMK Mount Austin), Cikgu Wan Mahaqisz (SMK Permas Jaya), saya dan Cikgu Noorhisyam (SK Taman Daya 3)

13 Julai 2019 (Sabtu)

Hari ini merupakan hari ketiga hari terakhir kejohanan. Jadual saya pada pagi ini agak padat dengan persediaan awal sesi bergambar Kontinjen. Kami menyediakan tempat yang sesuai untuk bergambar yang dijangka dilakukan selepas tamat pusingan keenam pada jam 10.30 pagi. Kami memilih lokasi di Dataran di hadapan asrama Putra sekolah ini. Pada malam Sebelum itu saya dan cikgu Aziz telah merancang untuk pergi ke satu tempat penjual durian murah kawasan ini.

Sesi menguji gambar diadakan terlebih dahulu untuk mempastikan pencahayaannya bagus.

Cuaca pada sesi bergambar agak panas terik kami memilih tempat yang mengadap matahari untuk menjadikan gambar yang diambil lebih berkualiti serta mempunyai pencahayaan yang baik.

Sesi bergambar kenangan bersama semua pemain dan pegawai diadakan sebelum pusingan ke-7 bermula.

Setelah tamat sesi bergambar, saya cikgu Aziz dan cikgu Mahathir bergegas ke Bukit Gambir seterusnya mengambil Jalan ke kampung teratai iaitu kira-kira 13 kilometer dari Pekan Bukit Gambir. Antara Kesang Tasik dengan kampung teratai kira-kira 30 km memakan masa lebih kurang 40 minit perjalanan. Perjalanan ke kampung Teratai agak sunyi di kiri dan kanan jalan merupakan kawasan ladang sawit dan banyak juga kelihatan kebun kebun durian di kiri dan kanan jalan.

Saya, Cikgu Aziz dan Cikgu Mahathir datang ke Kampung Teratai untuk membeli durian

Walaupun Kampung Teratai adalah kawasan perkampungan tetapi majoriti penduduk di sini adalah berketurunan Cina menjalankan aktiviti pertanian dan kebun durian di kawasan ini pun dimiliki oleh mereka.

Di sini merupakan pusat pengumpulan buah durian Kampung Teratai dan kawasan sekitar. Ramai peniaga dari daerah dan negeri lain datang membeli secara borong untuk dijual tempat masing-masing.

Sebaik sahaja tiba di kampung teratai berhampiran dengan selekoh terdapat sebuah bangunan terbuka kelihatan seperti pusat pengumpulan buah durian di Kiri Jalan. Terdapat beberapa orang lelaki kelihatan sibuk memunggah dan mengangkat bakul bakul yang berisi durian. Terdapat juga seorang perempuan berbangsa Cina yang saya rasa isteri kepada tuan punya perniagaan durian ini.

Saya dan Cikgu Mahathir berkongsi membeli 1 bakul durian kawin campur d101, udang merah, musang king, d13 dll.

Cikgu Aziz kautim dengan tauke durian berkenaan dengan harga. Pada mulanya tauke meletakkan harga RM10 sekilo bagi durian kahwin campur. ( 101, musang king, udang merah, d13 dll). Tauke tersebut memberi kami harga RM7 sekilo dengan syarat tidak memilih buah dan membeli dengan jumlah satu bakul iaitu kira-kira 50 kilogram setiap bakul.

Memuat sebakul durian seberat 46 kilogram yang dibeli di Kampung Teratai, Bukit Gambir.

Saya berkongsi dengan cikgu Mahathir untuk membeli sebakul durian pada harga RM320.00. Bermakna kami berkongsi sebanyak RM160 seorang. Membeli durian ini memang puas hati kerana kesemua isinya berwarna kuning dan rasanya enak sekali. Pembelian yang amat berbaloi berbanding jika dibeli di Pasir Gudang dan Johor Bahru bagi durian jenis ini sudah tentu berharga RM15 sekilo. Sempat saya mencekah sebiji durian jenis udang merah untuk dimakan di situ Sebelum bertolak balik ke SMA Lughatul Quran.

Sebakul durian berharga RM320.00 dimuatkan ke dalam kereta untuk dibawa pulang ke Pasir Gudang.

Durian D101 yang dibeli di Kampung Teratai pada harga RM7.00 sekilogram.

Sebaik tiba di Pekan Bukit Gambir, kami singgah di pasaraya yang menurut cikgu Aziz ikan bilis di jual murah di situ. Saya membeli kira-kira 600 gram ikan bilis berharga RM18.00. Harga sekilo ikan bilis tersebut adalah RM 32.00.

Singgah di Pekan Bukit Gambir untuk membeli ikan bilis murah dijual sebuah pasaraya di situ.

Masa yang diambil Dalam perjalanan pergi dan balik dari kampung Kesang Tasik ke kampung Teratai adalah dua jam. Waktu tiba di sekolah kelihatan beberapa pemain sudah pun menamatkan permainan tujuh pusingan mereka.

Memandangkan upacara penyampaian hadiah semakin hampir kami mengambil keputusan untuk mengemas tempat lepak dan barang-barang yang kami bawa dengan segera kerana kami tidak mahu membuang masa untuk terus pulang setelah majlis penyampaian hadiah tamat.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah dimulakan agak lewat kerana tetamu kehormat tiba pada pukul 2.30 petang.

MSSD PASIR GUDANG DINOBAT JUARA KESELURUHAN BUAT KALI KETIGA BERTURUT-TURUT

Prestasi rata-rata para pemain MSSD Pasir Gudang pada tahun ini agak mendatar. Barisan pegawai tidak mahu terlalu optimistik untuk mengekalkan kemenangan sejak dua tahun lepas. Kekuatan pasukan pada tahun ini hanya terletak di kategori L12 dan P15. Manakala kategori P12 dan L15 mempunyai kekuatan yang sederhana. Bagi L18 dan P18 kami hanya mengharapkan mereka dapat melakukan upset. Kekuatan kategori itu banyak bergantung kepada Wong Shu Rui, Ainul Mardhiah dan Loh Zi Jian.

Pasukan Catur Pasir Gudang merangkul kejuaraan kali keempat pada tahun 2019

Telahan ternyata benar mata kontinjen catur banyak terkumpul dari kategori L12, P15 dan P12. Namun disebabkan oleh prestasi kontinjen Johor Bahru juga tidak begitu baik, maka sekali lagi Pasir Gudang diumum sebagai johan keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut dan kali keempat sejak saya menyertai pasukan ini iaitu pada tahun 2015, 2017, 2018 dan 2019.

Para pemain meraikan piala kemenangan Kejohanan Catur MSS Johor 2019. Piala pusingan ini menjadi milik Pasir Gudang atas kemenangan tiga kali berturut-turut.

Majlis penyampaian hadiah selesai kira-kira jam 3.10 petang. Kami bertolak pulang pada jam lebih kurang 4.00 petang. Saya tiba di SK Taman Daya pada 6.00 petang manakala bas saya rasa pada jam menghampiri 7.00 malam.

Piala ini mungkin tidak dapat lagi disentuh pada tahun hadapan kerana akan disimpan di almari arkib PPD Pasir Gudang atas kemenangan tiga kali berturut-turut dan ia akan diganti baharu.

BANGGA DENGAN PENCAPAIAN BEKAS ANAK DIDIK SK KOTA MASAI

Kejohanan Catur MSSJ pada kali ini menimbulkan perasaan terharu dan sebak apabila melihat penyertaan 3 anak didik yang pernah saya latih pada tahun 2016. Malah ada diantara mereka saya latih sejak tahun 2015 lagi. Sebenarnya mereka ini adalah skuad terkuat yang saya pernah bentuk bersama beberapa pelajar lelaki dan perempuan lain.

Tiga bekas pemain 'anak emas' saya di SK Kota Masai mewakili daerah masing-masing pada 2019. Paling kiri Sabreena mewakili Pasir Gudang, tengah Nur Afiqah mewakili Pengerang dan Hanna Alia mewakili daerah Tangkak.

Gambar saya bersama Hanna Alia, Nur Afiqah dan Nur Sabreena pada November 2016 sewaktu menyertai Kejohanan Catur Terbuka SJKC Johor Jaya 

Bekas Murid-murid saya dan SK Kota Masai adalah Nur Sabreena yang mewakili MSSD Pasir Gudang, Hanna Alia MSSD Tangkak dan Nur Afiqah yang mewakili MSSD Pengerang semuanya dalam kategori P15.

Zaman emas pada tahun 2017 kerana merangkul banyak pingat dalam Kejohanan Catur MSSD Pasir Gudang 2017. Sayang sekali Nur Afiqah menarik diri saat akhir sedangkan dia berpotensi untuk menang dan mewakili Pasir Gudang.

Antara ketiga-ketiga mereka ini, Nur Afiqah dan Hanna Alia menerima sentuhan sepenuhnya daripada saya manakala Nur Sabreena mempunyai jurulatih peribadinya sendiri.

Nur Afiqah dan Sabreena merangkul pingat pada tahun 2016 tapi sayang tidak layak mewakili Pasir Gudang kerana tiada sesi pemilihan dibuat. Pada masa itu pemain mendapat tempat 1 hingga 3 layak secara automatik. (Kejohanan MSSD PG 2016)

Dari kiri Nurul Irdeena, adiknya Nur Sabreena dan Athirah berjaya merebut pingat Kejohanan Catur MSSD Pasir Gudang 2015. Irdeena mewakili Pasir Gudang pada tahun 2014 dan 2015

Murid-murid lain yang pernah saya latih juga berkebolehan dan kuat tetapi tidak berpeluang menonjolkan diri disebabkan mereka berada dalam daerah terkuat di negeri Johor. Jika mereka bertanding di daerah lain selain dari Pasir Gudang dan Johor Bahru, saya pasti mereka akan mendapat tempat mewakili daerah tersebut. Apapun saya mendoakan kejayaan mereka pada masa akan datang.

Sekian.....




















Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA