Jika anda berkunjung ke Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, boleh mencuba menaiki bot penambang ke tanah daratan bertentangan dengan Pasar Payang tersebut atau dikenali dengan Kampung Seberang Takir.
|
Bot penambang dari Pasar Payang ke Seberang Takir |
Di jalan belakang Pasar Payang tersebut terdapat sebuah jeti bot penambang. Bot penambang menjadi pengangkutan alternatif bagi penduduk Seberang Takir untuk ke bandar Kuala Terengganu. Harga tambang bagi penumpang yang menggunakan perkhidmatan bot ini adalah sebanyak RM1.00 bagi sehala.
PERNAH MENJADI PENGANGKUTAN UTAMA PADA TAHUN 1970 - 80 AN
Sebelum terbinanya Jambatan Sultan Mahmud yang menghubungkan Kuala Terengganu Selatan (Bandar) dan Kuala Terengganu Utara (Kuala Nerus), bot penambang menjadi pengangkutan utama bagi penduduk Seberang Takir dan Pulau Duyung untuk ke Bandar Kuala Terengganu khususnya Pasar Kedai Payang atas urusan jual beli mahupun bekerja.
Pada masa itu, jalan darat agak jauh kira-kira 40 - 50 kilometer kerana penduduk perlu melalui jalan Bulatan Batu Enam - Jambatan Pulau Rusa - Jalan Durian Burung yang memakan masa agak lama. Tambang bas pun agak mahal. Jika dibandingkan dengan jarak yang dilalui oleh bot penambang hanya 1km sahaja. Masa yang diambil untuk ke seberang pun hanya kira-kira 10 minit.
|
Sewaktu kecil saya pernah menaiki bot penambang ke Seberang Takir bersama kawan-kawan. Tambang pada masa itu 50 sen pergi dan balik. Kredit foto : Buletin Online |
Sewaktu berumur 10 tahun (tahun 1985) pernah saya dan dua kawan yang namanya Mail dan Zuki menaiki bot penambang ini dengan bayaran 50 sen pergi - balik. Masa itu keluarga saya tinggal di Kampung Tanjung Pantai Teluk (tak jauh dari Pasar Payang). Saya dan kawan-kawan pergi ke sana hanyalah untuk suka-suka. Dah puas main di sekitar Bandar Kuala Terengganu, timbul rasa nak pergi ke seberang. Jadi kami naiklah bot ini. Masa tu saya memang tiada duit.
Perbelanjaan kami masa tu selalu di support oleh Mail. Mail lah yang bayar tambang dan belanja makan kalau pergi mana-mana. Pernah Mail belanja saya dan Zuki makan kuew tiaw goreng di Medan Selera dalam Hospital Kuala Terengganu (hospital lama dekat masjid ladang) . Waktu tu Masjid Ladang baru dibuka secara rasmi (Tahun 1985). Jadi malam-malam saya, Mail dan Zuki akan berjalan kaki dari Kampung Tanjung Pantai Teluk ke Masjid Ladang melalui Bulatan Penyu untuk solat maghrib dan isyak. Jarak masa tu lebih kurang 5 km. Rasa seronok zaman budak-budak kan. Mak ayah tak tahu pun anak-anak buat apa masa kat luar. Pun begitu anak-anak tetap selamat dan pandai jaga diri.
Kini bot penambang bukan lagi menjadi pilihan lebih-lebih lagi bila Drawbridge Terengganu siap menjadikan perjalanan Seberang Takir dan Bandar Kuala Terengganu menjadi lebih dekat dan cepat.
MEMBAWA ANAK-ANAK MENAIKI BOT PENAMBANG
Bila sudah menjadi bapa ni, saya ingin memberi pengalaman kepada anak-anak terutamanya aktiviti-aktiviti yang mencabar ketakutan dalam diri. Salah satunya dengan menaiki bot kecil. Bot penambang tidaklah begitu besar. Ia hanya boleh menampung kira-kira 18 hingga 20 orang penumpang.
|
Kami menaiki bot penambang 28 Oktober 2019 |
Bagi yang belum pernah merasai pengalaman menaiki bot sudah tentu berasa takut dan gayat pabila bot bergoyang-goyang ketika bergerak di permukaan air. Perasaan takut dan cuak dapat saya rasakan terhadap anak kecil saya, Hud Naufal. Dia hanya berdiam diri tak terkata bila dalam bot. Tak tahulah sama ada dia takutkan gelombang air ataupun bunyi enjin bot yang kuat.
|
Hud berasa cuak dan hanya mendiamkan diri bila terdengar bunyi deruman kuat enjin bot penambang. |
Pada hari itu (28 Oktober 2019), saya melalui kawasan Pesisir Payang melalui Jalan Kampung Cina (sebelah Hotel Sri Malaysia KT). Kini jalan ini merupakan laluan utama jika anda mahu ke Pasar Payang Baru. Berbanding dengan tapak lama, tapak baru ini lebih menyediakan lebih banyak ruang tempat letak kereta.
|
Jalan Pesisir Payang bermula dari Kampung Cina, Kuala Terengganu |
Mujurlah sewaktu melintasi pasar ini sebuah kereta baru keluar dari tempat parking. Jadi tak perlulah kami berjalan jauh. Kebetulan tempat parking kereta saya tu adalah jeti bot penambang. Wafiy anak sulung saya ajak kami naik bot itu.
Sebelum itu, kami masuk dulu ke dalam Pasar Payang untuk membeli kasut Hud. Walaupun jam pada waktu itu menunjukkan pukul 5.00 petang tetapi masih ramai pelawat yang datang berkunjung ke Pasar Payang. Kami tidak melawat ke seluruh tempat pasar tersebut sebaliknya hanya melalui beberapa ruang sahaja kerana sudah tidak larat untuk berjalan. Dua jam sebelum itu, kami sudah menggunakan kudrat kaki ini berjalan meneroka Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Kampung Losong.
|
Wafiy membayar caj tempat letak kereta berhampiran Pasar Payang dan Jeti Bot Penambang |
Di ruang tengah Pasar Payang, terdapat deretan gerai menjual makanan. Di kawasan itu juga terdapat sebuah kedai yang menjual selipar dan kasut getah. Jadi isteri saya telah membeli sepasang kasut getah buat Hud berharga RM13.00. Pada mulanya peniaga itu meletak harga RM15.00. Saya tawar harga RM12.00 manakala isteri minta RM10.00. Kemudian peniaga itu mengurangkan harga kepada RM13.00. Sementara itu anak ketiga saya Mimi, minta untuk membeli dodol mini. Oklah melayani permintaannya, saya membeli dodol tersebut berharga RM5.00 sebungkus.
|
Masuk Pasar Payang dahulu untuk beli kasut Hud Naufal |
|
Penumpang menunggu kehadiran bot yang hampir tiba di jeti |
Selepas selesai membeli kasut Hud, kami berjalan keluar melalui pintu depan Pasar Payang yang mengadap Bukit Puteri. Kemudian berjalan ke sisi kanan pasar untuk ke tempat parking kereta di jajaran Pesisir Payang.
|
Anak-anak dah tak sabar naik bot |
NAIK BOT PENAMBANG
Jam pada masa itu menunjukkan pukul 5.30 petang. Jadi saya membawa anak-anak turun ke jeti menunggu bot penambang tiba.
|
Cuti sempena Deepavali 2019 selama 5 hari saya mengambil peluang ini membawa keluarga menaiki bot penambang muara sungai Terengganu. |
Tak perlu beli tiket bot sebelum naik kerana kita boleh membayarnya terus kepada tekong bot. Bayarannya tak mahal. Cuma RM1.00 seorang untuk satu hala. Untuk pergi dan balik kita perlu membayar RM2.00. Untuk perjalanan kami hari itu, saya membayar RM12.00. Ya lah keluarga saya ada 6 orang. Jadi bila darab RM2.00 jumlahnya RM12.00 pergi dan balik dari Pasar Payang ke Seberang Takir.
|
Seronok dapat naik bot penambang ni tambah-tambah lagi kalau naik bersama famili |
Kali terakhir kami menaiki bot penambang ini pada tahun 2011. Sewaktu anak kedua saya, Ismah berumur setahun. Waktu itu bayarannya cuma 50 sen satu hala. Saya rasa bayaran RM1.00 tu masih murah dan sangat murah.
|
Saya mendukung Ismah berumur setahun ketika menaiki bot penambang pada tahun 2011 |
Menaiki bot penambang bukanlah seperti menaiki feri. Bot penambang agak sempit. Penumpang hanya boleh duduk di kerusi atau berdiri setempat. Penumpang akan berhimpit sesama sendiri jika ruang penuh. Suhu dalam bot juga agak panas yang terhasil dari enjin bot. Bau asap diesel agak kuat. Jadi jika anda tak boleh panas dan elergik dengan bau diesel mungkin akan rasa pening-pening.
Satu lagi, risiko menaiki bot ini anda tanggung sendiri. Ini kerana bot ini tidak menyediakan jaket keselamatan air. Saya melihat hanya terdapat dua pelampung boya sahaja. Jika bot ini karam, pandai-pandailah penumpang menyelamatkan diri.
|
Naik apa pun risiko tetap ada. Famili saya duduk berdekatan enjin bot (kotak berwarna biru). Dalam sejarah bot penambang ni belum ada yang terbalik atau karam. |
Walaupun berisiko, saya tetap membawa keluarga menaiki bot ini. Bukan apa, belum tercatat dalam sejarah bot penambang ini karam sepanjang ia beroperasi sejak lebih 50 tahun dahulu. Ini kerana rekabentuknya yang rendah dan leper membolehkannya tidak mudah terbalik atau karam walaupun arus sungai laju dan bergelombang. Kalau enjin bot mati di tengah-tengah sungai tu mungkinlah ada. Dan itu tidak menjadi masalah kerana banyak bot boleh menundanya hingga ke daratan semula.
APA YANG ADA DI SEBERANG TAKIR?
Seberang Takir merupakan perkampungan penduduk sama ada yang tinggal di rumah rakit pesisir sungai dan juga tepi pantai. Di kampung ini terdapat banyak perusahaan keropok. Jadi bila anda menaiki bot penambang dan sampai di Jeti Penambang Seberang Takir, anda boleh melawat ke perusahaan keropok tidak jauh dari jeti ini.
Keropok rebusnya pun masih panas dan berasap diperbuat dari ikan segar kerana di sini juga terdapat jeti nelayan. Selain perusahaan keropok lekor, terdapat juga perusahaan lain seperti membuat ikan kering dan belacan serta perusahaan batik cop.
|
Perusahaan batik cop atau batik blok di Kampung Seberang Takir Baru. Kredit foto : Blog benarnews.org |
|
Perusahaan belacan Kampung Seberang Takir. Kredit foto : Blog Buttet.wordpress.com |
|
Keropok Seberang Takir. Kredit foto : WanBohari Nikon club |
Tapi kali ini, saya tidak singgah di Jeti Seberang Takir sebab waktunya pun dah jam 6.00 petang. Kami hanya duduk dalam bot dan bot bergerak terus semula ke Pasar Payang setelah penumpang turun.
|
Kita dapat melihat Drawbridge Terengganu dari Sungai Terengganu atas bot penambang |
|
Pasar Payang Baru |
Semasa dalam bot, kita boleh melihat pemandangan Bandar Kuala Terengganu dari 'laut' terutamanya Drawbridge Terengganu yang baru siap itu. Kita boleh juga melihat Pasar Payang.
Sekian, wassalam.....
Tak boleh lalu ke bawah jambatan drawbridge?
ReplyDeleteKalau sewa satu bot bolehla request dengan tekong bot utk lalu bawah jambatan angkat tu... rasa sewa satu bot penambang RM60.00 kot...
ReplyDelete