TEBAS SEMAK MENJADI DENAI

Assalamualaikum w.b.t para pengunjung blog saya sekalian. 

Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya pada hari 18.10.2019 sudah genap 12 tahun usia perkahwinan saya dan isteri. Saya sendiri pun tidak menyangka dapat berkahwin dengan orang Kelantan kerana saya merupakan orang Terengganu.


Kami berkahwin pada 18.10.2007 dan pada hari ini genap 12 tahun

Walaupun kedua-dua negeri ini berjiran, namun dari segi budaya dan pertuturan banyak perbezaannya. Kecuali bagi penduduk Daerah Besut, Terengganu yang mempunyai banyak persamaan dengan masyarakat negeri Kelantan. Namun pada kali ini saya tidak mahu menceritakan tentang perbezaan itu kerana saya hanya mahu fokus tentang perkahwinan.

KEHIDUPAN SEBELUM BERUMAH TANGGA

Setelah saya menamatkan pengajian ijazah pertama di UUM Sintok, Kedah pada tahun 2004, saya telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama adik perempuan saya di Flat Seri Cempaka, Bandar Seri Damansara. Masa ini umur saya 29 tahun. Saya mengambil keputusan berhijrah kerana pada masa itu perasaan kecewa yang menebal dalam jiwa setelah saya gagal dalam keputusan temuduga KPLI bulan Disember tahun 2004. Sebelum itu saya menghadiri temuduga KPLI pada bulan Ogos 2004 bagi Opsyen Pendidikan Khas di Maktab Perguruan Batu Rakit.

Saya dan rakan satu course bersedia untuk masuk ke Dewan Sultan Badlishah, UUM untuk Majlis Konvokesyen bagi Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian pada 18 September 2004. Usia saya ketika ini adalah 29 tahun

Atas perasaan kecewa itu, saya bertekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Tapi pada masa itu saya hanya mempunyai duit dalam 20 - 30 ringgit sahaja. Lebih malang beberapa hari selepas keputusan temuduga KPLI keluar motor EX5 saya dicuri sewaktu saya masuk ke CC Taman Permint Jaya untuk mengintai peluang pekerjaan menerusi internet. 

Saya pun berjumpa Shahrin kawan baik saya sewaktu bekerja di SPR Terengganu. Pada waktu itu, Shahrin bekerja di Jabatan Penerangan Kuala Lumpur dan pulang bercuti. Saya minta pinjam duit RM50.00 daripadanya. Saya beritahu nak pergi ke KL sebab cari kerja. Shahrin tak cakap banyak terus dihulurnya duit RM50.00 itu kepada saya.

Saya dan Shahrin berkawan sejak tahun 1996 semasa kami sama-sama bekerja di SPR Terengganu. Pada Disember 2004 saya meminjam duitnya sebanyak RM50.00 sebagai bekalan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur

Saya meminta Shahrin menghantar saya ke Stesen Bas Kuala Terengganu untuk beli tiket. Tiket bas Transnasional pada masa itu berharga RM37.00. Baki duit tinggal dalam poket saya ada lebih kurang RM43.00. Sampai di rumah saya beritahu arwah mak yang saya mahu ke KL malam ini sebab nak cari kerja kat sana. Mak dan ayah agak terkejut dengan keputusan saya yang mengejut itu. Sejak pagi lagi saya sudah nekad walau mak dan ayah menghalang sekalipun saya tetap akan pergi.

Saya merasakan Kuala Terengganu tidak banyak menyediakan peluang untuk saya mengubah nasib. Jika saya terus tinggal di sini, saya percaya kehidupan saya tidak berubah untuk 3-4 tahun mendatang.

Malam itu ayah menghantar saya ke stesen bas dan bas trans KT-KL membawa saya saya hingga ke Hentian Putra. Ketika hampir subuh, saya sampai di Hentian Putra. Adik ipar saya Jai datang menjemput saya ke rumahnya di Bandar Sri Damansara.

Saya tinggal di Flat Sri Cempaka, Bandar Sri Damansara, Selangor pada Disember 2004 hingga Jun 2006

Jai menghulurkan saya RM50.00 sebagai belanja ketika mencari pekerjaan. Dia juga beri saya pinjam motor EX5. Mujur juga sebab pada masa itu dia guna motor syarikat tempat kerjanya. Dengan motor Ex5 Jai saya mencari kerja di serata KL. Dengan duit yang ada dalam kocek sebanyak RM90.00, saya membeli sebuah buku peta KL dan Selangor berharga RM14.00 sebagai panduan saya mencari pekerjaan. Dengan merujuk buku itulah saya memburu kerja serata KL hingga ke Putrajaya. Port yang sering menjadi tempat saya berhenti rehat selepas mencari kerja sekitar KL adalah Jalan Raja Laut sekitar bawah Bangunan KWSP. Adakala saya ke Bank Negara menunggu Shahrin pulang kerja kerana Jabatan Penerangan berdekatan dengan Bank Negara.

Jika ada peluang diwaktu kosong, saya dan Shahrin akan berentap chess di rumah sewanya yang terletak di Kampung Pasir, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Selepas Shahrin balik kerja lebih kurang pukul 5,  saya mengikut dia pulang ke rumah sewanya di Kampung Pasir, Pantai Dalam. Biasanya saya lepak di rumah bujangnya hingga pukul 7.00 petang. Kemudian saya akan pulang ke Bandar Sri Damansara melalui jalan belakang Universiti Malaya menembusi Sekolah Assunta, Taman Jaya. Kemudian melalui  jalan Phileo Damansara, melalui Lebuhraya Damansara - Puchong berdekatan Damansara Utama (TV3). 15 minit dari TV3 barulah sampai di Bandar Sri Damansara rumah adik saya. Biasanya pada hujung minggu Sabtu dan Ahad saya akan lepak di rumah Shahrin untuk main chess. Bila tengah hari kami akan makan nasi gulai kawah di Restoran Anis berdekatan Stesen Komuter Pantai Dalam. Restoran itu menyediakan menu masakan kelantan.  Memang sedap makanan situ. Saya selalu makan ikan kembung percik dan gulai siput sedut. Ramai juga orang popular datang ke situ untuk makan tengah hari. Pada malam tempat itu menjadi tempat dikir barat.

Saya dan Shahrin sering makan tengah hari di Warung Anis Putri, Pantai Dalam berdekatan dengan Stesen Komuter. Kredit gambar Mohd Omar.

MENCATU MAKANAN

Saya masih ingat sewaktu menca, saya membeli sebungkus roti gardenia putih berharga RM1.80 sebagai bekalan harian makanan saya untuk seminggu. Air kosong diisi dalam botol mineral besar turut saya bawa sebagai bekalan minuman seharian saya. Dalam sehari saya membataskan diri saya untuk makan 2 keping roti kosong sahaja. Jadi tahanlah sebungkus seminggu bekalan roti saya. Pada masa ini rasa lapar tak terkiralah. Nak beli nasik lemak RM1.00 pun rasa sayang selagi belum dapat kerja. Duit yang ada digunakan untuk membeli petrol motor bagi tujuan saya mencari kerja. Mujur juga petrol pada masa itu masih murah. Isi dalam RM3.00 dah penuh tank. Bila berhenti depan warung rasa terliur tengok orang makan. Pada waktu malam, baru saya pulang ke rumah adik dan dapatlah makan nasi.

Saya bersama adik perempuan dan ipar saya Jai di KLCC tahun 2009. Saya menumpang di rumah sewa mereka Flat Sri Cempaka, Bandar Seri Damansara tahun 2004 - 2006

Dua minggu berkelek-kelek sijil dalam fail, akhirnya saya memperoleh kerja berjawatan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah Gombak di Selayang Mall pada 15 Januari 2005. Saya berjumpa dengan seorang pegawai di PPD Gombak di Unit Kokurikulum bernama En. Alwan Ginen dan beliau telah menemuduga saya. Saya diterima bekerja mulai keesokan harinya dengan menjawat jawatan Pegawai Khidmat Singkat dengan gaji RM9.50 sejam. Saya bekerja 5 jam sehari bermula jam 9.00 pagi. Tugas saya di situ menyediakan surat-surat makluman unit sukan dan kokurikulum dan memasukkannya ke dalam pegeon hole sekolah di ppd.

Tugas-tugas yang saya lakukan di PPD Gombak sepanjang saya bekerja di situ pada Jan 2005 - Jun 2006


Pejabat Pendidikan Daerah Gombak terletak dalam Kompleks Selayang Mall. Saya bekerja di PPD Gombak pada 15 Januari 2005 hingga 16 Jun 2006. Kredit Foto SIB

PPD Gombak yang kedudukannya di tempat letak kereta Kompleks Selayang Mall, Selayang Baru Selangor. Kredit Foto Onkel Adam

Banyak pengalaman saya peroleh ketika bekerja di situ. Saya dalam berkomunikasi dengan ramai orang dari pelbagai bangsa. Di unit sukan dan kokurikulum itu terdapat beberapa orang penting seperti En. Mohd Ghazali (sekarang penolong pengarah ppda JPN Selangor), Samsuki Sudin (sekarang pengetua SMK Selayang Baru), Saadiah Kasim dll. Yang untungnya masa bekerja di PPD Gombak, saya tidak banyak menggunakan wang untuk makan kerana PPD sering mengadakan mesyuarat. Jadi selepas mesyuarat banyak lebihan makanan yang tinggal. Saya makan makanan tersebut. Boleh dikatakan setiap hari bekerja ada mesyuarat.

Dalam masa yang sama, saya banyak membuat permohonan kerja lain serta menghadiri beberapa temuduga seperti LHDN, KL Kepong dan beberapa lagi. Ada yang saya tolak tawaran seperti KL Kepong kerana tempat kerjanya di West Port. 

Saya bekerja di PPD Gombak selama 1 tahun 6 bulan. Kemudian pada Julai 2006 saya menerima tawaran Naza Bikes untuk bekerja dengan mereka. Jawatan yang ditawar kepada saya adalah Admin Assistant untuk Cawangan Kota Bharu. Seminggu sebelum itu, saya pergi ke temuduga di Naza Bikes Seksyen 15, Shah Alam. Kemudian mereka call saya untuk saya mula bekerja tetapi untuk cawangan Kota Bharu. Dalam permohonan, saya memohon jawatan itu untuk cawangan Kuala Terengganu.

HQ Naza Bikes Seksyen 15, Shah Alam tempat yang pernah saya datang temuduga dan menerima latihan sebelum dihantar ke Naza Bikes, Kota Bharu pada Jun 2006. Kredit Foto Nuar92026

Walaubagaimanapun, saya menerima tawaran tersebut dengan gaji RM1180.00. Pada masa itu, saya memohon menggunakan sijil STPM sebab itu tak mintak gaji tinggi. Saya dan ramai rakan baru lain datang berkursus selama sebulan di HQ Naza Bikes Seksyen 15 dan 3 hari di Pusat Latihan Naza di Gurun, Kedah. Kami diberi kursus tentang pembinaan pasukan dan kaedah pengurusan kerana kami akan dihantar ke 7 cawangan yang baru ditubuhkan seluruh semenanjung. Tugas kami adalah memasarkan stok motosikal keluaran Naza Bikes yang banyak dalam gudang.

Pada bulan Ogos, saya dilepaskan HQ Naza Bikes untuk ke Cawangan Kota Bharu. Saya, (Admin Assistant, Shahrul Amir (Manager) dan Pok Nik (Mekanik) perlu segera ke sana untuk memerhati kerja-kerja ubaisuai cawangan yang sedang berjalan.

Saya dan Shahrul Amir (Baju Korporat) ketika bersama-sama bekerja di Naza Bikes Kota Bharu, Jalan Yahaya Petra Lundang pada Ogos 2006

Sebenarnya Kota Bharu agak asing bagi saya. Saya tidak mengenali selok-belok kawasan itu. Saya juga tiada saudara mara yang tinggal di situ. Setelah menerima arahan, saya segera pulang ke Kuala Terengganu dan memberitahu mak dan ayah yang saya mahu berpindah ke Kota Bharu pada esok hari kerana saya dapat kerja di sana. Saya meminta izin ayah untuk menggunakan kereta kancil selama sebulan bagi kegunaan ulang-alik kerja.

Naza Bikes Kota Bharu Branch yang sekarang telah disewa oleh GDex. Signboard Naza Bikes masih kelihatan walaupun telah usang. Saya bekerja dengan Naza Bikes Kota Bharu dari Jun 2006 - Disember 2007. Kredit gambar : GDex Kota Bharu

Saya tak berapa ingat tarikh tapi dalam awal bulan Ogos 2006, saya bergerak ke Kota Bharu dengan kereta kancil yang penuh dengan barang-barang didalamnya. Saya tak tahu nak tinggal mana sebab belum ada rumah sewa. Sampai di Kota Bharu, mula-mula sekali saya mencari lokasi kedai pejabat Cawangan Naza Bikes di Jalan Yahaya Petra. Ternyata kedai itu terletak di hadapan Hospital KBMC. Saya mencari hotel bajet yang kedudukannya tidak jauh dari lokasi Naza Bikes Branch. Saya menyewa sebuah bilik berharga RM30.00. Bilik ini hanya mempunyai kipas syiling sahaja. Tapi bolehlah kalau nak lepas lelah memandu pada hari itu.

Keesokkan harinya saya singgah sekejap di cawangan Naza untuk melihat kerja-kerja pengubahsuaian oleh Uncle Ng (seorang Cina Kelantan) dan dua pekerjanya. Lepas itu, saya ke Kampung Pauh Sembilan, Beris Kubur Besar, Bachok untuk bertemu kawan baik saya semasa di UUM. Dia sama umur dengan saya dan dia tinggal di situ. Saya meminta pertolongan Padlishah untuk mencari rumah sewa. Padlishah membawa saya berjumpa Ayoh Wan di Kampung Pengkalan Baru (kawasan Beris Kubur Besar jugak).

Sahabat saya semasa di UUM, Padlishah yang tinggal di Kampung Pauh Sembilan, Beris Kubur Besar telah membantu saya mencari rumah sewa Ayoh Wan Pengkalan Baru

Ayoh Wan mempunyai 4 - 5 buah rumah sewa kayu dan pada masa itu terdapat dua rumah yang masih kosong. Saya menyewa salah satu daripadanya dengan kadar RM150.00 sebulan. Saya pindah ke rumah sewa Ayoh Wan pada hari itu jugak memandangkan saya tiada rumah lagi pada masa itu. Sebulan kemudian saya memulangkan kereta kancil kepada ayah. Kali ini saya menggunakan motor syarikat  iaitu Naza Blizt untuk ulang alik kerja dari Beris Kubur Besar ke Lundang, Kota Bharu.

Pada bulan September 2006, Naza Bikes Kota Bharu Branch beroperasi secara rasmi setelah kerja-kerja pengubahsuaian siap. Saya bekerja bermula jam 9.00 pagi dan sepatutnya tamat pada jam 5.00 petang. Akan tetapi pukul 5.00 hingga 6.00 itu masih ada pelanggan yang masuk kedai. Jadi biasanya pukul 6.30 - 7.00 malam baru saya pulang ke rumah. Dekat-dekat pukul 8.00  malam baru saya sampai ke rumah jika saya singgah makan di kedai.

Kalau tak singgah makan di kedai, saya akan beli nasik berlauk daging gulai. Tak pun lauk gulai serati berharga RM2.00 dengan seorang makcik rumah kedai tepi jalan besar dekat Jambatan Pengkalan Baru. Sedap juga makan nasik berlauk malam-malam. Untuk 2 bulan pertama, Poknik tinggal dengan saya. Kemudian dia pindah rumah sewa di Panji untuk duduk dengan isterinya. 

BERTEMU JODOH

Dari hari ke hari sales motosikal semakin meningkat. Kerja saya juga semakin bertambah disebabkan skop kerja saya yang luas. Sales, stok spare part, akaun, admin, loan semua saya yang buat. Letih tak terkata. Adakala saya pulang kerja lewat malam. Malah jika driver lori yang hantar motor akan call jika motor baru sampai. Jadi saya terpaksa ke opis walaupun pada waktu malam.

Suatu hari dalam bulan Februari 2007 ada seorang perempuan muda datang masuk kedai melihat-lihat skuter Naza Symphony 125cc. Saya seperti biasa akan entertain pelanggan yang masuk ke kedai. Perempuan muda itu berminat untuk membeli skuter tersebut setelah saya memberi penerangan tentang spek dan harga yang ditawarkan. Saya juga menerangkan tentang promosi bayaran muka RM1.00 yang diadakan.

Skuter Naza Sympony 125 keluaran 2006 oleh Naza Bikes Sdn Bhd.

Setelah masuk loan, permohonannya membeli motosikal itu lulus menggunakan nama abangnya yang bekerja di Majlis Agama Islam Kelantan. Pada mulanya dia memilih skuter warna merah. Kemudian menghubungi saya semula beritahu pilih warna hijau. Jadi saya registerlah motor di JPJ skuter hijau. Kemudian perempuan tu datang semula kedai cakap nak warna merah. Pada masa tersebut saya dah register di JPJ warna hijau. Jadi saya suruh Poknik cabut coverset merah tukar dengan coverset skuter hijau. Jadi ia berbeza warna skuter tu dengan dalam geran motor.

Saya tak cakap pun perempuan tu tentang tukar coverset ni. Cuma cakap motor ni agak lambat siap. Lepas magrib barulah skuter tu siap. Dia datang ambil skuter tu. Tapi takut nak balik ke rumah kerana sudah pukul 8.00 malam. Jadi saya teman hantar dia balik. Dia naik skuter tu manakala saya follow belakang hingga ke Rumahnya. Jalan masuk ke rumahnya agak ke dalam kawasan kampung. Masa tahun tu  jalan agak sunyi.

Tak terhenti di situ, beberapa hari kemudian dia datang ke bahagian servis memaklumkan skuter mengeluarkan bunyi pelik. Saya suruh poknik cek. Memang terdapat bunyi tetapi poknik tidak dapat mengesan bunyi tersebut dari mana. Poknik menukar setiap bahagian enjin skuter tapi keadaan masih sama. Entah bagaimana poknik ejas akhirnya bunyi itu hilang dan dia pun pulang ke rumah.

Namun 2 - 3 kemudian dia datang lagi marah-marah cakap motor masih ada bunyi. Dia mintak ganti dengan motor lain. Saya tenangkab perempuan itu sambil minta supaya poknik ikhtiarkan agar motor tak berbunyi lagi. Poknik menukar beberapa barang mengunakan kaedah swap barang dengan komponen enjin motor yang lain. 

Skuter Naza Symphony yang dibeli isteri telah lama tersadai kerana rosak

Alhamdulillah, bunyi seakan hilang tetapi bila bawak agak laju, ia akan ada sedikit berbunyi tapi tak selalulah.. jarang-jarang kata orang. Saya minta kalau ada masalah lagi sila mesej saya. Ayat tu untuk tenangkan dia. 

Selepas hari itu, kami berbalas-balas mesej dan saya menipu latarbelakang diri dengan mengatakan saya tidak pandai sebab ambik spm 9 kali dan 8 kali gagal. Tak sangka pulak dia percaya. Sebenarnya saya mengambil inspiradi cerita Profesor Ahmad Faiz UUM yang menceritakan beliau mengambil STPM banyak kali sebelum berjaya masuk universiti.

Setelah beberapa minggu berbalas mesej, huhungan kami menjadi rapat dan masa itulah dia ajak saya kawin. Saya sebenarnya takut untuk kawin kerana pada masa itu kehidupan saya masih lagi bergelut. Saya takut dengan gaji sekecil itu, saya tidak mampu menanggung sebuah keluarga. 

Saya bertanyakan mak dan ayah tentang hal ini. Mereka cakap saya sudah patut berkahwin kerana umur pun dan 32 tahun. Saya beritahu pada dia yang mak ayah saya bersetuju untuk masuk meminang. Saya tak ingat tarikh tepat tapi bulannya dalam bulan April atau Mei 2007, kami mengikat tali pertunangan. Pada tempoh pertunangan itu, tunang saya bekerja sebagai guru tadika di sebuah tadika swasta di Pasir Tumboh dengan gaji diterima RM500.00 sebulan.

Dalam pertunangan itu, tiada ditetapkan tarikh perkahwinan kerana saya tidak mempunyai wang dan tidak berani menetapkannya. Tempoh senyap itu berlangsung 2 - 3 bulan sehinggakan tunang saya gelisah kerana saya hanya mendiamkan diri. Yelah dah takda duit nak kawin macamana. Gaji bersih tolak epf lebih kurang RM1060.00. Tolak ansuran kereta RM370.00. Rumah sewa RM150.00 nak makan lagi. Balik kampung lagi. Dalam masa 5 - 6 bulan mana mampu kumpul duit beribu-ribu.

Satu hari, tunang saya ajak jumpa. Kami bertemu di sebuah restoran terapung di jalan pintas ke Pantai Sabak. Dia ditemani oleh Kak Ani. Kami berbincang soal masa depan hubungan ini. Tunang saya meminta saya menentukan tarikh perkahwinan sebenar dalam tempoh terdekat. Saya tak beritahu pun yang saya tidak mempunyai wang tetapi bersetuju supaya ditetapkan tarikh perkahwinan.

Seminggu dua selepas itu, bakal bapa dan ibu mertua saya meminta saya membawa mereka ke rumah saya di Kuala Terengganu untuk menetapkan tarikh. Saya bersama tunang dan ibu bapanya berangkat ke Taman Permint Permai. Hasil perbincangan dan persetujuan menetapkan hari raya ketiga sebagai tarikh perkahwinan saya. Sambutan sebelah saya pula ialah dua hari kemudian.

Dalam tempoh pertunangan itu, saya menjalani temuduga KPLI Opsyen Kajian Sosial yang seingat saya pada bulan Ogos 2007 di Institut Perguruan Kota Bharu. Agak ramai juga calon menghadiri temuduga tersebut menunjukkan calon yang akan diterima masuk juga ramai. Saya berdoa agar temuduga kali ini berjaya dan berharap ia dapat menghapus kerisauan saya tentang masa depan rumah tangga yang akan dibina kelak.

Dalam tempoh dua bulan sebelum nikah. Gaji bulanan saya banyak dihabiskan untuk membeli barang-barang atas par. Malah gaji bulan 9, saya tak bayar ansuran kereta sebaliknya membeli barang-barang keperluan perkahwinan.

Yang menjadi masalah besar adalah duit mas kawin sebanyak RM5000.00. Orang Kelantan tak guna duit hantaran sebaliknya meninggikan mas kawin. Memanglah keluarga sebelah perempuan tidak menetapkan berapa nilai mas kawin dan ia diserahkan kepada pihak lelaki untuk memberinya seberapa banyak yang dia mampu.

Bayangkan bulan September sebulan sebelum berkahwin, saya langsung tidak mempunyai wang untuk mas kawin. Saya pergi ke beberapa bank membuat survey kot-kot ada menawarkan pinjaman segera. Adalah satu dua skim pinjaman untuk pekerja swasta macam saya ni. Kelayakan pinjaman saya hanya sebanyak RM3000.00 dengan bayaran RM100.00 selama 3 tahun. 

Nasib baik seminggu sebelum nikah loan lulus. Tapi saya cuma ada RM3000.00. Dalam seminggu ni kalau tak ada juga duit lain, hanya RM3000.00 ni ajer lah yang saya bagi. Saya berterima kasih kepada arwah ibu kerana memberi saya RM2000.00 lagi sebagai tambahan wang mas kawin.

Gambar yang digunakan saya sewaktu bernikah dan gambar ini tertera dalam sijil nikah

Dengan duit gaji yang dah abis, manakala duit yang ada dibelanja untuk mas kawin, saya tidak ada modal lagi untuk majlis perkahwinan sebelah saya. Ayah menggunakan duitnya untuk perbelanjaan majlis kenduri saya itu. Selepas tamat zaman persekolahan, inilah pertama kali saya menggunakan duit ayah. Manakala emak pula ini merupakan kali kedua. Kali pertama sewaktu saya mendaftar masuk universiti, arwah mengadaikan rantai emasnya untuk membayar yuran daftar sebanyak RM600.00.

IJAB KABUL

Akhirnya pada 18 Oktober 2007 bersamaan dengan 3 Syawal , saya dan isteri telah diijabkabulkan di rumah kakak ipar di Kampung Marak, Kota Bharu dengan mas kawin RM5000.00 tunai. Majlis disambut secara sederhana dengan hanya saudara mara terdekat sahaja yang hadir bertandang ke Kota Bharu.

Selepas akad nikah selesai, saya meminta ayah pulang dengan kereta iswara milik saya kerana bapa saudara Poklong Kampung Fikri turut datang bersama. Kalau balik dengan kereta kancil sudah tentu tak muat. Lagipun kereta kancil tu sudah uzur.

Dua hari kemudian, tiba giliran majlis sebelah saya pula. Tapi saya balik selepas subuh pada hari yang sama dengan bajet sampai di Kuala Terengganu pada jam 9.00 pagi. Kereta kancil buatan 1995 itu sebenarnya sudah uzur. Hari itu pula hujan. Sepanjang perjalanan Kota Bharu - Kuala Terengganu hujan turun dengan lebat dan adakalanya renyai-renyai. Sebaik melepasi persimpangan Felda Belara, kereta kancil itu tiba-tiba mati selepas melanggar kelopak air di tengah jalan.

Alamak! Dah la telefon takde kredit. Kereta pulak breakdown di kawasan yang tiada rumah dan orang. Saya perlu berjalan lebih 500 meter ke simpang Felda Belara itu semula untuk mendapatkan bantuan. Di simpang tersebut ada sebuah kedai kopi. Saya meminta pinjam telefon salah seorang pelanggan kedai tersebut untuk menghubungi ayah. Ayah datang sejam kemudian mengambil saya dan terus pulang. Kereta kancil dibiarkan situ sementara waktu. Waktu agak suntuk kerana majlis dirancang keluarga adalah waktu pagi dan sepatutnya saya dan isteri sudah berada dalam rumah ayah. Majlis ini merupakan hari mengenal pengantin perempuan.

Kereta kancil yang saya pandu breakdown dekat kedai kopi sebelah kiri jalan tidak jauh dari Simpang Felda Belara. Masa kejadian tu kedai tu belum ada. 36 km lagi untuk sampai ke rumah ayah saya. Gambar dari google street.

Saya dan ayah tiba di rumah jam 11.30 pagi. Pagi itu, orang ramai dah mula datang kerana makanan telah pun siap. Orang bertanya saya di mana pengantin perempuan. Saya sebenarnya pun tak tahu majlis diadakan waktu pagi. Saya ingat selepas zohor. Jadi isteri saya akan datang selepas zohor. Mereka pada masa itu berada di Masjid Terapung.

Namun dalam kekalutan itu  majlis tetap berjalan walaupun tidak berapa sempurna. Terima kasihlah kepada adik beradik dan saudara mara sebelah ayah dan juga sebelah mak dari Perak yang membantu majlis saya.

TEMPOH TIGA BULAN SELEPAS KAWIN

Tempoh 3 bulan selepas kawin agak kritikal kerana saya sudah mempunyai komitmen sebagai suami. Kalau selama ini, saya hanya perlu menanggung diri sendiri tetapi kini saya wajib memberi nafkah kepada isteri.

Dengan gaji bersih RM1060.00 tolak kereta RM370.00 tolak sewa rumah RM150.00 tolak RM100.00 loan nikah. Baki yang tinggal RM400.00. Isteri pula telah berhenti kerja kerana bila akhir tahun ada tadika swasta akan mencari alasan untuk memberhentikan pekerja untuk mengelak membayar gaji bulan November dan Disember.

Sebelum berkahwin, kami berdua bukanlah seorang guru. Sudah tertulis rezeki kami menjadi cikgu selepas bernikah.

Selepas berkahwin juga saya telah berpindah rumah dari Beris Kubur Besar ke Kampung Padang Bongor, Binjai. Jarak Padang Bongor dengan tempat kerja lebih dekat dengan hanya 5 km sahaja dari rumah.

Perbelanjaan harian kami hanyalah cukup-cukup makan. Ansuran kereta juga tertunggak sebulan atas sebab duit itu saya gunakan untuk membeli barang atas par. Mujurlah pada masa itu hanya kami berdua. Jadi tidaklah terlalu rasa tekanan.

Dalam tempoh ini juga isteri saya telah mengandung anak pertama. Dia mengalami alahan yang teruk juga. Tiada selera makan. Tidak boleh makan makanan tertentu. Hanya buah-buahan sahaja. Pernah sekali pada masa tu dia minta nak makan  buah rambutan. Padahal masa tu bukan musim durian. Puas saya cari seluruh Kota Bharu dan Kuala Terengganu tapi tak ada buah rambutan tu.

Sewaktu saya pulang ke Kuala Terengganu dan melintasi Pasaraya Sabasun, isteri meminta untuk masuk ke pasaraya itu. Dalam pasaraya itu kami terlihat rambutan dalam bentuk tin. Ia seperti buah laici tin tapi didalamnya isi rambutan. Ada juga rupanya buah rambutan yang ditinkan. Dapat juga orang mengidam atau rasa nak makan di luar musim menikmatinya.

Ketika musim cuti sekolah, isteri akan bekerja sebagai guru mengaji al Quran di sekolah pasti kakaknya di Gong Dermin. Dapat juga raih pendapatan 2-3 ratus untuk sebulan itu. Pada masa ini, kandungan mencecah usia 2 bulan. Dalam tak larat tu pergi juga kerja untuk menampung perbelanjaan.

TUAH ANAK SULUNG

Isteri saya mengandung tidak lama selepas kami bernikah. Walaupun kehidupan masa itu agak struggle tapi masih lagi mampu bertahan. Saya berharap bila anak nanti nasibnya lebih baik daripada saya. Saya tidak mahu dia hidup susah.

Raya Puasa 2008 merupakan sambutan raya pertama buat kami. 

Alhamdulillah! Pada 15 Disember 2008, keluar keputusan temuduga KPLI. Saya berjaya mendapat tempat untuk menyertai latihan perguruan di Institut Perguruan Sultan Mizan, Besut. Syukur tak terhingga. Akhirnya saya berjaya juga setelah beberapa tahun mencuba. Mungkin inilah yang dikatakan tuah anak.

Saya perlu mendaftar masuk IPGM Sultan Mizan pada 5 Januari 2008. Saya menghantar surat perletakan jawatan dengan notis sebulan. Saya awalkan tarikh surat perletakan jawatan tersebut pada tarikh 1 Disember 2007.

Mengapa saya kata anak sulung saya ini bertuah. Ini kerana semasa isteri mengandungkan dia saya dapat masuk maktab perguruan. Semasa isteri sarat mengandung pula, menjalani temuduga kpli di Institut Perguruan Kota Bharu pada julai 2008. Dia memohon opsyen Bahasa Melayu. Anak sulung saya, Wafiy lahir seminggu selepas temuduga itu iaitu pada 3 Ogos 2008.

Kami bertiga di Cameron Highland sewaktu anak sulung Wafiy Ilyas berusia setahun. Gambar tahun 2009

Pada tahun 2007, isteri juga memohon kpli bersama saya tetapi gagal. Pada masa itu, dia memilih opsyen Pra Sekolah. Jika pada tahun itu dia memilih Opsyen Bahasa Melayu, sudah tentu dapat kerana pengambilan calon sesuatu kursus diutamakan calon yang mempunyai degree relate dengannya. Isteri memiliki degree Pengajian Melayu, UPM.

KEJERIHAN TERTANGGUNG SELAMA 17 BULAN

Pada Januari 2008, saya mengikuti Kursus Lepasan Ijazah (KPLI) bagi Opsyen Pengajian Sosial di Institut Perguruan Sultan Mizan. Pada masa ini saya menetap di Asrama Ibnu Sina ipgm tersebut. Dalam kursus ini saya menerima elaun sebanyak RM1303.00 sebulan. Setelah ditolak yuran asrama dan sebagainya dapatlah lebih kurang RM1200.00. Dengan duit ini, saya membayar ansuran kereta, pinjaman perkahwinan, sedikit duit belanja buat isteri. Ansuran kereta yang saya skip sebulan sejak bulan September belum mampu saya bayar. Roadtax dan insurans kereta juga saya tak mampu nak sambung. Roadtax kereta yang mati pada bulan Mac 2008 berlanjutan sehingga bulan Jun 2008. Pernah saya ditahan polis sewaktu pulang ke Kota Bharu di Jalan Pauh Lima. Polis itu meminta duit RM50.00 sebagai balasan untuk dilepaskan. Nak tak nak saya terpaksa hulurkan walaupun saya sendiri kekurangan wang pada masa itu.

Walaupun roadtax mati, saya tetap memberanikan diri memandu kereta bergerak sejauh 320 km

Walaupun tiada cukai jalan, saya tetap memberanikan diri berulang-alik antara Besut dan Kota Bharu. Malah pernah sekali saya memandu sejauh 160km hingga ke Felda Jerangau Barat dengan rakan-rakan sewaktu melawat sekolah yang kami buat praktikal. Selepas ke Jerangau Barat kami pergi ke Seberang Takir untuk minum air gelas besar. Kemudian melalui jalan pantai untuk pulang semula ke maktab. Bulan Julai 2008, barulah roadtax dan insurans kereta dapat di sambung itu pun disebabkan oleh isteri meminjam duit daripada abangnya.

Perbelanjaan menjadi sedikit bertambah sejak anak sulung saya lahir. Perlu membeli beberapa keperluan asas untuknya sepwrti pakaian dan pampers. Oleh kerana tidak mampu, kami hanya membeli pampers yang tiada jenama yang dipacking sendiri oleh tuan kedai berharga RM5.00 satu pack. Dalam tu terdapat 20 keping pampers. Dapalah bertahan untuk seminggu. Memang pada waktu itu, kami hanya bergantung harap pada duit elaun kpli saya kerana isteri tidak bekerja.

Pada bulan November dan Disember 2008 , situasi agak kritikal juga disebabkan elaun KPLI yang lebih sedikit pada bulan tersebut kerana cuti panjang. Manakala tiada langsung elaun diterima pada bulan Disember kerana kursus telah pun tamat. Keadaan tersebut menyebabkan masalah kewangan saya menjadi semakin meruncing. Ansuran kereta yang tertunggak selama sebulan sebelum ini kini bertambah menjadi tiga bulan pada awal bulan Januari 2009.

Pada 25 Disember 2008, keluar keputusan penempatan ke sekolah mengajar. Saya telah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kota Masai. Saya tidak mempunyai wang untuk ke Johor Bahru. Nak mintak dengan mak dan ayah saya malu. Saya memang susah nak mintak tolong dengan mereka. Walau susah macamana pun saya akan elak meminta bantuan mereka. Zaman saya susah ketika menyambung pelajaan di UUM dulu pun saya tak pernah merungut atau ceritakan kepada mereka. Bagi saya susah senang biar saya tanggung sendiri. Dah ini takdir dan nasib saya. Lagipun mereka sedang menabung untuk mengerjakan ibadah haji.

Sebelum bertolak ke Pasir Gudang, isteri menyerahkan kepada saya duit RM1000.00. Katanya dia meminjam duit tersebut daripada ibunya iaitu ibu mertua saya. Pada pagi selepas subuh 30 Disember 2008 saya bertolak ke Pasir Gudang dengan kereta iswara sambil ditemani adik ipar.  Timbul juga perasaan takut semasa memandu kerana takut-takut kereta ditarik sewaktu pertengahan jalan oleh ejen Ambank. Dah 2 bulan installment tersangkut. Masuk bulan januari minggu depan menjadi tiga bulan. Saya tawakkal ajer. Mudah mudahan selamat dalam perjalanan dan sampai ke tempat yang dituju.

Petang 30 Disember 2008, lebih kurang pukul 4.30 petang. Saya sampai di SK Kota Masai. Saya naik ke Pejabat kerana belum tutup. Jumpa Guru Besar Cikgu Khir. Tidak lama kemudian datang seorang cikgu lelaki menjemput saya ke rumahnya. Cikgu tersebut namanya Cikgu Chaba. Nama penuh Chaba Anak Jilang. Dia bawa saya ke rumahnya di Jalan Jambu 11. Rumah depan sekolah ajer. Saya dan adik ipar tidur dibsiti pada malam itu. Esoknya baru saya hantar adik ipar pulang dengan bas di Stesen Bas Masai.

Rakan sekerja, Mazli berehat di rumah sewa Jalan Jambu 11 sebelum sama-sama ke Sekolah sesi petang

Memang sah, saya tinggal dengan Chaba. Kemudian saya ajak Arjunee sekali tinggal. Arjunee ni rakan sekelas saya di maktab Besut. Turut sama posting di SK Kota Masai. Kadar sewa rumah tersebut RM450.00 kemudian saya dan Arjunee membayar RM200.00 kepada Chaba termasuk air dan elektrik. Bila Husin pindah masuk sama pada bulan Mac. Kami bayar RM150.00 pula.

Saya dan Arjunee tinggal di Jalan Jambu 11 sewaktu mula-mula posting di SKKM

Menjadi lumrah penjawat awam yang baru bekerja akan memperoleh gaji sekurang-kurang 3 bulan. Mengikut kaedah biasa sepatutnya bulan Mac dah boleh menerima gaji pertama. Tapi batch saya pada waktu itu tidak menerima gaji sebingga bulan April. Bulan Mei baru dapat. Bayangkan hidup 5 bulan tanpa gaji. Hutang kereta tertunggak selama 7 bulan. Nafkah anak memang langsung saya tak kirim di kampung. Mujur jugak masa tu isteri sudah masuk maktab. Dapat elaun kpli RM1303.00. Sekurang-kurangnya dapat cover.

Saya kira hutang saya waktu belum menerima gaji pada bulan Mei mencecah RM5000.00. Bank selalu call tapi saya tak angkat. Siap hantar mesej ugutan untuk ambil tindakan. Namun saya tak layan. Saya beli kanvas plastik kemudian saya bungkuskan kereta dan parking di halaman rumah agar tidak dapat dikesan. Pihak bank  pun tak tahu saya berada di Johor kerana kereta tersebut saya daftarkan di alamat Naza Bikes Jalan Yahaya Petra. Oleh kerana rumah dan sekolah tidak jauh maka saya hanya berjalan kaki. Untuk pergi ke kedai juga saya hanya berjalan kaki yang jaraknya kurang 1km.

Menjelang akhir bulan Mei 2009, segala derita yang tertanggung selama 17 bulan semenjak saya menjalani kursus KPLI hingga mendapat gaji pertama akhirnya terhapus jua. Dengan tunggakan gaji selama 5 bulan didarab dengan RM1900 saya membayar semua hutang termasuk RM1000.00 yang saya pinjam dari ibu mertua sewaktu datang ke sini. Satu kelegaan dalam kepala apabila terlepas dari belenggu hutang. Dengan gaji yang diterima mulai saat itu. Kehidupan kami menjadi bertambah baik.

ISTERI MENJALANI KURSUS KPLI

Berjalan serentak dengan tarikh lapor diri saya, isteri juga membuat perkara yang sama apabila mendaftar masuk sebagai pelatih guru di Institut Perguruan Kota Bharu pada 1 Januari 2009. Isteri mengikuti kursus bagi opsyen Bahasa Melayu.

Sepanjang hidup berjauhan, saya mengirim RM500.00 setiap bulan untuk perbelanjaan isteri dan anak sulung. Hanya itu yang saya mampu beri pada waktu itu kerana baki yang tinggal kepada saya lebih kurang RM600.00 tu pun belum ditolak rumah sewa. Cukuplah tu lebih kurang RM450.00 digunakan untuk perbelanjaan seorang diri.

Saya dan isteri sewaktu sama-sama mengajar di SK Kota Masai tahun 2010

Sebagaimana yang saya ceritakan sebelum ini, kehadiran anak sulung saya membawa tuah dan kurniaan rezeki dari Allah s.w.t. Semasa dia dalam kandungan, saya memasuki maktab. Semasa kandungan berusia 9 bulan juga isteri dapat interview KPLI dan selepas kelahirannya saya dan isteri menjadi cikgu. Sebelum dia wujud kami bukan guru namun selepas dia ada kami menjadi guru.

KEHIDUPAN BERTAMBAH BAIK

Syukur Alhamdulillah kehidupan kami kini bertambah baik. Walaupun kami bukanlah orang senang. Semoga nikmat kurnia yang kami kecapi ini terus berkekalan. Sepanjang 12 tahun ini, banyak pengalaman dan pengajaran yang saya peroleh.

Bergambar bersama isteri serta Ismah dan Aimy Raya Haji tahun 2014 Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor. Wafiy tukang snap gambar

Bagi sayalah, kita sebagai ibu bapa perlu juga menyediakan anak-anak dengan sedikit harta untuk dijadikan modal mereka meneruskan kehidupan. Disamping kita memberi ilmu kerana itu memang sudah memang kewajipan, kita juga harus meninggalkan harta kepada mereka kerana nasib mereka belum tentu sebaik kita. Zaman mereka dewasa nanti kehidupan akan lebih mencabar. Kalau zaman ini yang masih banyak sumber pun sudah sukar untuk kita hadapi apatah lagi waktu 10 tahun akan datang. Bila pemilikan tanah semakin mengecil. Peluang pekerjaan semakin menjadi medan persaingan sengit.

Cepatnya mereka membesar. Wafiy, Ismah dan Aimy. Gambar tahun 2015 di Kampung China, Kuala Terengganu.

Saya sering mendengar rakan-rakan berkata hanya mahu memberi anak-anak dengan ilmu. Kalau mahu harta mereka perlu cari sendiri. Saya rasa ini silap. Untuk berjaya kita mesti mempunyai ilmu dan harta. Harta perlu kerana ia dapat dijadikan modal untuk meneroka. Meneroka peluang pekerjaan. Meneroka peluang perniagaan. Meneroka peluang pertanian dan sebagainya.

Kini kami mempunyai empat orang anak. Wafiy yang sulung berumur 11 tahun, kedua Ismah 9 tahun, Aimy 7 Tahun dan Hud 2 tahun.

Saya mendukung Ismah (anak kedua) yang berusia 2 tahun pada 2012 menaiki bot penambang dari Pasar Payang ke Seberang Takir. Pada masa itu harga tambang 50 sen.

12 tahun usia perkahwinan boleh dikatakan masih baru jika dibandingkan dengan usia saya yang mencecah 44 tahun. Rakan-rakan seusia saya ada yang sudah mempunyai anak dewasa. Malah ada yang sudah mempunyai cucu. Tetapi itu sudah rezeki dan jalan yang telah diaturNya kepada mereka.

Keluarga kami ketika Hari Raya Puasa 2019

Dalam perjalanan panjang memburu kerja sejak berumur 20 tahun hinggalah umur saya mencecah 31 tahun, akhirnya tuhan mengirim saya ke Kota Bharu sebatang kara bukan sahaja untuk memberi rezeki tetapi di tempat itu juga tertulis jodoh saya.

Akhir kata Selamat Ulang Tahun Perkahwinan yang ke-12 buat isteri tercinta. Semoga bahagia ini berkekalan. Amin...

Sekian, wassalam....

***Nota : Album gambar kahwin ada kat rumah di Kota Bharu. Hanya satu gambar sahaja dalam geleri telefon 












Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR