PERCUTIAN DI MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH

TIBA DI BANDA HILIR

MELAKA, 15 FEBRUARI 2018 - Percutian di Melaka pada kali ini lebih sempurna berbanding dengan lawatan-lawatan sebelum ini kerana saya boleh menjangka kedudukan dan lokasi tempat yang hendak dituju. Ia lebih menjimatkan masa dan tenaga saya ketika memandu. Situasi ini membolehkan saya bergerak ke lebih banyak tempat dalam ruang masa yang cukup sebagai pelawat untuk meneroka keunikan sesuatu tempat.

Setibanya di Medan Samudera, isteri saya sempat membeli Tshirt Melaka untuk kami anak beranak. Tshirt berharga RM10.00 setiap satu ditambah dengan RM5.00 untuk cop nama pada baju. Kami juga tidak melepaskan peluang membeli magnet peti ais untuk menambah koleksi di peti sejuk rumah kami. Selepas itu, kami melawat tempat-tempat sekitar Banda Hilir dengan menggunakan khidmat dua buah beca dengan bayaran RM25.00 bagi setiap beca. Antara tempat yang kami lawati semasa menaiki beca ialah Menara Taming Sari, Muzium pengangkutan Melaka, Kota A Famosa dan kawasan sekitar.

PANTAI KLEBANG

Lebih kurang setengah jam melawat. Kami meneruskan perjalanan Pantai Klebang setelsh hasrat untuk merasai Kuih Keria Antarabangsa terbantut setelah kami mendapat info kedai menjual kuih itu ditutup pada hari itu.Jarak antara Bandar Hilir dan Pantai Klebang tidaklah jauh iaitu lebih kurang 10-15 minit perjalanan. Saya memberhentikan kenderaan di Dataran 1 Malaysia Klebang untuk beristirahat dan memulihkan tenaga. Selain itu, saya mengambil peluang untuk bersolat dan memandikan anak.

Di Pantai Klebang ini juga, kelihatan terdapat deretan food truck di tepi jalan sebelah pantai manakala di seberang jalan terdapat warung-warung yang menggunakan kanopi. Rata-rata peniaga menjual air selain keropok dan masakan panas lain. Sudah tentu menu istimewa Pantai Klebang ialah coconut shake. Saya membeli dua cawan plastik coconut shake berharga RM3.00 setiap satu. Anak-anak saya memang pantang ketemu air memang terus mahu mandi dan bermain-main dengan air tersebut. Di Dataran 1 Malaysia tersebut terdapat beberapa pancutan air yang menjadi tempat kanak-kanak mandi-manda. Anak-anak saya yang tiga orang itu turut menyertai kumpulan kanak-kanak lain mandi dan bermain air. Apa yang saya lihat Dataran ini menjadi lokasi perkelahan keluarga bagi penduduk Bandar Melaka.

Dalam menunggu anak-anak mandi, Saya sempat bersembang dengan seorang makcik yang datang dari Kuala Lumpur yang menunggu suami dan anak menantunya mengayuh basikal limosin yang disewa di dataran itu. Pengunjung-pengunjung lain turut menyewakan karosil dan motosikal elektrik dengan kadar RM15.00 (menurut makcik tadi). Menurut beliau lagi, keluarga menginap di Hotel Muzaffar yang ditempah oleh anaknya secara online dengan kadar RM250.00 untuk satu malam. Kadar itu merupakan harga diskaun dari harga sebenar iaitu RM600.00 ++.

Setelah anak-anak selesai mandi dan menukar pakaian, isteri mengajak saya makan Cendol Bakar Klebang Besar. Kami mencari-cari warung tersebut tetapi mendapati telah ditutup kerana ia beroperasi setakat jam 6.30 petang sahaja. Kemudian saya meneruskan perjalanan semula kembali ke Bandar Melaka untuk mencari hotel tempat menginap. Sememangnya agak sukar mencari hotel secara walk-in pada musim cuti sekolah dan perayaan. Semuanya bergantung kepada nasib dan rezeki.

Bersambung...

Kos yang dibelanja : 

Sewa beca RM50.00 + Tshirt Melaka RM115.00 + Magnet Peti Ais RM10.00 + Topi Anak RM15.00 + Lukisan Pensel RM20.00 + Coconut Shake RM6.00 + Toilet RM1.50 = RM177.50


Penulis bersama Hud Naufal berlatar belakangkan Kapal Flor De La Mar (Si Kuntum Laut) , iaitu replika kapal perang Portugis. Kapal ini digunakan oleh Alfonso de Albuquerque untuk mengangkut khazanah Kesultanan Melayu Melaka bernilai berbilion pound untuk dihadiahkan kepada Raja Portugal. Namun belum sempat belayar ke Lisbon, kapal ini telah karam di Selat Melaka pada November 1511.

Isteri penulis sempat membelek-belek beg sandang yang dijual di Medan Samudera

Penulis dan keluarga menyewa dua buah beca pada harga RM25.00 setiap buah untuk melawat tempat-tempat bersejarah yang terdapat di Banda Hilir, Melaka

Pokok Melaka yang berbuah seperti cermai ditanam di taman rekreasi berhampiran Menara Taming Sari. Melaka mendapat nama sempena Pokok Melaka sewaktu pengasas Kesultanan Melayu Melaka, Paramewara berteduh di bawah pohon ini sewaktu menyaksikan peristiwa pelanduk menendang anjing Parameswara hingga terjatuh ke dalam sungai.

Penulis bergambar di hadapan kapal terbang yang digunakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sewaktu pulang dari London membawa berita kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (menurut cerita pengayuh beca). Saya tidak pasti kapal terbang bagi laluan mana. Menurut rekod yang saya baca, rombongan rundingan Tunku ke London adalah sebanyak tiga kali dan memeterai perjanjian kemerdekaan pada 8 Ogos 1956. Kemudian rombongan Tunku pulang dan tiba di Singapura pada 19 Ogos 1956. Kemudian pada keesokan harinya iaitu pada 20 Ogos 1956 rombongan Tunku menaiki kapal terbang dari Singapura ke Batu Berendam Melaka. Jadi pada hemat saya kapal terbang ini mungkin yang dinaiki Tunku sewaktu ke Batu Berendam, Melaka dari Singapura. Tujuan Tunku ke Melaka adalah untuk memberi ucapan kemerdekaan di Padang Bandar Hilir. Mengapa Melaka dipilih Tunku untuk pengisytiharan kemerdekaan kali pertama? Ini kerana Melaka merupakan negeri pertama Tanah Melayu yang dijajah oleh kuasa asing.

Isteri dan anak-anak penulis bergambar di gerabak keretapi lama milik KTMB yang turut dipamerkan di Muzium Pengangkutan, Melaka.


Penulis sempat merakam kenangan dengan menaiki motosikal klasik milik persendirian yang diletak di perkarangan Muzium Pengangkutan. Penulis lupa bertanya jenis dan keluaran motosikal tersebut. Pada anggapàn penulis mungkin dari jenama BSA keluaràn era 1940-an atau 1950-an.


Penulis bergambar di hadapan Kota A Famosa. Kota yang dibina sebaik sahaja Postugis menakluk Melaka. Kota dibina dari batu-batuan runtuhan masjid dan nisan yang musnah ketika perang. Kota ini digunakan pada 1511 hingga 1807. Pada tahun 1807, pihak British telah memusnahkan kota ini kecuali di pintu masuk ini.


Anak perempuan penulis sempat menyejukkan badan di pancuran air yang terdapat di Dataran 1 Malaysia Pantai Klebang, Melaka.

Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA