PERJALANAN PERCUTIAN KE MELAKA

CUTI-CUTI MELAKA

KOTA MASAI, 15 FEBRUARI 2018 -  Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Pada cuti sempena sambutan Tahun Baru Cina 2018 saya tidak melepaskan peluang untuk pergi bercuti ke beberapa buah negeri. Seperti biasa saya lebih selesa bercuti di dalam negara berbanding ke luar negara memandangkan saya masih lagi mempunyai anak kecil dan masih dalam kategori kanak-kanak walaupun isteri saya sering memujuk untuk melancong ke luar negara.

Pada pagi hari Khamis 15 Februari 2018 jam lebih kurang 7.00 pagi, saya mengisi petrol di Petronas Jalan Mangga sebanyak RM98.00. Kemudian saya membeli beberapa bungkus nasi lemak untuk sarapan ahli keluarga. Selepas bersarapan, isteri dan anak bergegas menyiapkan diri masing-masing. Pada pukul 10.00 pagi, kami bertolak dari Kota Masai, Pasir Gudang, Johor melalui Lebuhraya Senai-Desaru. Saya memilih jalan ini bagi mengelakkan kesesakan trafik musim perayaan Tahun Baru Cina kerana kenderaan kurang melalui laluan ini. Lagi pun laluan Lebuhraya Pasir Gudang sukar dijangka. Adakala trafiknya berjalan lancar dan adakala mengalami kesesakan teruk jika berlaku kemalangan atau banjir kilat akibat hujan lebat yang turun. Sepanjang perjalanan melalui Lebuhraya Senai-Desaru ini, saya memandu dengan santai dengan memacu kenderaan sekitar 80-90km/j. Di penghujung laluan ini iaitu di Tol Senai, saya membayar tol sebanyak RM9.20. Ia jumlah yang agak mahal bagi jarak yang sama bagi laluan di lebuhraya lain. Sememangnya kadar tol lebuhraya ini agak mahal mungkin kerana kos yang tinggi dibelanjakan untuk membina Jambatan Sungai Johor yang menghubungkan Desaru dengan Johor Bahru. Selain itu, kenderaan yang melalui laluan ini agak kurang menyebabkan jumlah kutipan tol tidak mampu membiayai kos operasi pengurusan lebuhraya ini.Sebaik saja melepasi Tol Senai, saya menuju jalan ke Kuala Lumpur menggunakan 

Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Sebelum memasuki PLUS, di sebelah kiri terdapat gedung perniagaan terkenal iaitu Johor Premium Outlet (JPO). Di sini merupakan syurga membeli belah bagi pakaian berjenama. Saya tidak berminat untuk singgah di sini. Fokus kami sekeluarga hanyalah menuju ke Melaka.

SINGGAH DI AYER HITAM

Keadaan trafik ketika saya memasuki PLUS berjalan lancar walaupun bergerak agak perlahan kerana banyak kenderaan menuju arah utara. Setibanya di Ayer Hitam, saya mengambil keputusan untuk exit di Tol Ayer Hitam untuk makan tengah hari. Saya memilih untuk makan nasi berlaukkan pari asam pedas bersama jus laici. Manakala isteri mencuba Mee Bandung Batu Pahat berserta Lai Chi Kang. Manakala anak-anak hanya menjamah ayam goreng. Kalau singgah di sini tidak sah kalau tidak membeli Putu Bambu Juriah. Saya membeli 2 bungkus putu bambu dengan harga RM3.70 setiap satu. Sayangnya saya tidak dapat menunjukkan rupa putu bambu kerana gambar yang diambil hilang dari geleri telefon. Rasa putu ini memang enak. Sebenarnya di Daerah Batu Pahat ini, terdapat beberapa makanan yang boleh kita kategorikan 'mesti cuba' antaranya mee racun, mee bandung, nasi beriani dan yang paling 'famous' Nasi Kari Kambing 40 Hari. Setelah selesai makan, saya membayar makanan yang saya makan di Warung Selera Kampung Keluarga sebanyak RM31.50. Kemudian saya memandu semula memasuki PLUS menuju ke Melaka.

BEREHAT DI RNR TANGKAK

Perjalanan ke Melaka dari Ayer Hitam ini masih jauh iaitu jarak kira-kira 135 km yang memakan masa sejam lebih hingga dua jam. Pemanduan saya agak perlahan kerana mata mula mengantuk kesan dari kekeyangan perut. Kelibat anak dan isteri sudah sunyi dalam kereta kerana masing-masing telah lentok tersandar pada kerusi kereta. Saya meneruskan pemanduan dengan kelayuan mata yang tak tertahan. Setibanya di Hentian Tangkak, saya memasukinya dan berehat memejam mata seketika. Tidak lama kemudian, saya membeli beberapa bungkus buah-buahan potong untuk merangsang mata agar lebih cergas.

Lebih kurang 15 minit rehat, saya meneruskan perjalanan ke Melaka. Mata saya lebih terang selepas mendapat rehat serta melakukan senaman muka melalui kerutan wajah pabila mengunyah nenas potong masam. Tidak lama kemudian saya tiba di Tol Jasin dan keluar dari tol tersebut untuk menuju ke Banda Hilir. Sebelum ini, jika saya berkunjung ke Melaka pasti saya melalui pintu masuk Tol Ayer Keroh. Akan tetapi laluan itu agak sesak kerana ramai pelawat menggunakan jalan itu ditambah pula terdapat terlalu banyak lampu isyarat melambatkan lagi perjalanan ke Banda Hilir. Perjalanan pemanduan saya berjalan lancar, tidak seperti yang trrgambar dalam fikiran saya sebelum ini yang kami akan menempuh kesesakan yang teruk. Mungkin kerana hari ini merupakan hari Khamis dan masih merupakan hari bekerja untuk pekerja sektor lain kecuali yang bekerja sebagai guru seperti saya. Kami tiba di Banda Hilir pada 3.40 petang dan saya telah memakirkan kenderaan di hadapan Medan Samudera berdekatan dengan Muzium Samudera.

Kos yang dibelanjakan :

RM98.00 (petrol) + RM9.20 (Tol Senai) + RM8.70 (Tol Ayer Hitam) + RM14.10 (Tol Jasin) + RM31.50 (makan tengah hari) + RM7.40 (putu bambu) + RM6.00 (buah potong) = RM174.90

Bersambung....

Kami singgah di hentian ini yang terletak di tepi jalan utama Pekan Ayer Hitam untuk makan tengah hari. Anda boleh mencuba keenakan putu bambu berharga RM3.70 untuk 6 ketul

Suasana Bazar Niaga Pekan Ayer Hitam yang legang dan kurang pengunjung tidak seperti sewaktu pertama kali saya datang pada tahun 2009 yang agak sesak dan penuh dengan para pelawat.


Penulis tiba di Medan Samudera, Banda Hilir pada jam 3.40 petang, 15 Februari 2018

Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA