SARAPAN DI ROTI CANAI KAYU ARANG

JALAN-JALAN CARI SARAPAN

BAKAR BATU  MELAKA, 16 FEBRUARI 2018 - Seawal jam 7.30 pagi, kami mendaftar keluar Hotel Asiatic untuk ke lokasi percutian seterusnya. Adik-adik receiptionist telah memberikan kami 5 bungkus nasi lemak ikan bilis sebagai sarapan pagi untuk kami. Apabila membuat permohonan untuk mendaftar keluar hotel, seorang kakitangan lelaki hotel telah pergi memeriksa bilik yang kami inap. Apabila berpuashati dengan keadaan bilik, adik receiptionist hotel memulangkan semula wang deposit RM100.00 yang dikenakan semalam.

SARAPAN ROTI CANAI DAPUR ARANG

Selepas semua urusan keluar hotel selesai, kami bergerak ke Warung Roti Canai Kayu Arang yang terletak di Kampung Bakar Batu, Bachang yang jauhnya kira-kira 6 km dari hotel kami menginap semalam. Oleh kerana tidak biasa dengan selok-belok jalan-jalan di Melaka, saya menggunakan panduan pemetaan google untuk memberi saya petunjuk ke lokasi tersebut. Ternyata google maps ini membawa saya melalui jalan-jalan taman dan kampung kecil ke warung itu. Sebaik sahaja saya menghampiri warung tersebut, terdapat banyak kereta-kereta yang memarkir di ruang-ruang kosong tempat sehinggakan tiada ruang untuk saya meletak kenderaan berhampiran kedai.

Kami tiba di warung itu pada jam 7.50 pagi. Kami menunggu 10-15 minit juga untuk memperoleh tempat duduk. Selepas duduk, kami memesan makanan daripada seorang pelayan muda lelaki. Kami memesan 3 roti telur dan 2 roti kosong. Pelayan itu sudah memberitahu kami pesanan bagi roti canai memakan masa agak lama untuk siap kerana pesanan terlalu banyak. Kami tak kisah lama atau sekejap yang penting dapat merasa roti canai yang telah ditularkan ini. Lagi pun kuih-muih banyak dijual dalam warung ini yang boleh dibuat alas perut.

Sambil-sambil menunggu, saya dan isteri memakan nasi lemak yang diberi oleh Hotel Asiatic manakala anak-anak memakan sosej yang berharga RM4.00 satu. Kami menunggu dengan penuh sabar menanti roti canai yang dipesan. Sementara menunggu kami berbual-bual dengan satu keluarga muda dari Selangor yang duduk satu meja dengan kami. Sekali-sekala terasa pedih mata bila asap dari dapur kayu datang menyapa mata. Lebih kurang jam 9.20 pagi, roti canai yang kami pesan sampai. Itu bermakna kami menunggu lebih kurang 1 jam 20 minit. Mujur anak kecil saya tidak buat hal dalam tempoh menunggu itu. 

Kami makan roti canai itu, kami tahu rasa roti canai itu sama sahaja dengan roti canai lain yang pernah kami makan. Warung itu ditular kerana penyediaannya menggunakan dapur arang. Sebab itu kami tidak meletakkan faktor kesedapan sebagai punca kami datang ke warung ini. Kalau nak diikutkan rasa, roti canai ini agak keras serta kuahnya agak tawar tetapi secara keseluruhannya ok. Selepas selesai makan, saya membayar di kaunter bayaran dengan harga sebanyak RM16.80 untuk 3 keping roti telur, 2 keping roti kosong, 3 cucuk nudget ayam, 1 teh tarik, 2 teh O ais dan satu teh O limau. Sebelum itu, kami membayar RM8.00 untuk 2 sosej cheese.

Bila sudah kenyang, saya membawa kereta bersama keluarga menuju Kuala Pilah.

Bersambung....

Kos yang dikeluarkan
Deposit hotel -RM100.00 + RM24.80 = - RM75.20



Warung Roti Canai Kayu Arang di Kampung Bakar Batu, Bachang, Melaka

Keunikan menjadi tarikan. Roti canai yang dimasak menggunakan dapur kayu arang mengamit para pengunjung dari seluruh Malaysia singgah bersarapan di sini.

Senarai menu makanan yang dijual di Warung Roti Canai Kayu Arang

 
Penulis sabar menunggu ketibaan roti canai yang dibakar menggunakan dapur kayu arang. Penulis menunggu selama 1 jam 20 minit sebelum roti canai yang dipesan sampai.

Pelanggan memenuhi setiap ruang dan kerusi yang ada untuk menikmati sarapan pagi di Warung Roti Canai Kayu Arang


Rupa dan rasanya sama sahaja seperti yang dibakar menggunakan dapur gas. Apa pun penulis dan keluarga sanggup menunggu roti canai ini walaupun telah diberitahu oleh pelayan warung tentang masa yang lama perlu ditunggu

Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA