KEMBARA TIMUR SEMENANJUNG MALAYSIA SECARA LONG WAY UP (IKAN CELUP TEPUNG DI OMBAK PANTAI)
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat pengunjung blog ini sekalian...
Pada kali ini saya menggunakan tajuk ini berdasarkan inspirasi pengembaraan bermotosikal Ewan McGregor dan Charlie Boorman pada 2007 yang merentasi Benua Afrika dari bahagian utara hingga ke selatan bermula dari Tunisia hingga ke penghujung benua iaitu Afrika Selatan. Mereka menamakan pengembaraan ini sebagai 'Long Way Down'. Saya tidak mahu mengulas hal pengembaraan mereka. Anda boleh mencari sendiri jika mahukan cerita yang selanjutnya.
Salah satu tempat yang kami singgah dalam Perjalanan 'Long Way Up' Timur Semenanjung Malaysia |
Pada kali ini saya menggunakan tajuk ini berdasarkan inspirasi pengembaraan bermotosikal Ewan McGregor dan Charlie Boorman pada 2007 yang merentasi Benua Afrika dari bahagian utara hingga ke selatan bermula dari Tunisia hingga ke penghujung benua iaitu Afrika Selatan. Mereka menamakan pengembaraan ini sebagai 'Long Way Down'. Saya tidak mahu mengulas hal pengembaraan mereka. Anda boleh mencari sendiri jika mahukan cerita yang selanjutnya.
Laluan Long Way Up dari Selatan ke Utara Semenanjung melalui jalan sebelah timur Pasir Gudang - Kota Bharu
|
Berbalik tentang perjalanan long way up dan long way down saya. Saya memilih tajuk ini kerana perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke Pasir Gudang juga melibatkan titik paling selatan dan utara tetapi skalanya lebih kecil. Daerah Pasir Gudang merupakan titik paling selatan di bahagian timur semenanjung manakala Kota Bharu terletak di bahagian utara timur semenanjung. Jarak perjalanan yang saya lalui dalam lingkungan 680 kilometer.
LONG WAY UP YANG MENGUJAKAN
Long way up adalah perjalanan pulang saya dari Pasir Gudang ke Kota Bharu. Mengapa saya rasa teruja? Ya saya teruja kerana kepulangan kami pada kali ini menggunakan kereta Perodua Axia berkapasiti 1000cc. Sudah 10 tahun saya menetap di Pasir Gudang, kebiasaannya kami pulang menggunakan Nissan Grand Livina 1.6 dan mutakhir ini menggunakan Nissan Xtrail 2.0. Dulu-dulu pernah juga saya memandu pulang ke kampung menggunakan kereta pertama saya iaitu Proton Iswara sedan 1.5 dan Viva manual 850. Tapi pada masa itu kami hanya bertiga. Sekarang situasinya sudah lain. Keluarga saya sudah bertambah menjadi enam.
Permulaan perjalanan Long Way Up Timur Semenanjung pada 14 Mac 2019 jam 7.00 pagi
|
Saya memilih kereta Axia untuk pulang atas dua sebab iaitu pertama kerana Nissan Xtrail saya belum sempat diservis selepas perjalanan jauh cuti Tahun Baru Cina hari itu. Yang kedua sebab saya ingin merasai pengalaman pulang ke kampung seperti rakyat marhaen yang lain. Ternyata saya memperoleh pengalaman berharga dari pengembaraan pulang dan kembali ini. Nanti saya akan tulis cerita perbezaan perjalanan jauh memandu MPV dan kecil dalam entri blog saya akan datang.
Saya dan keluarga pulang ke Kota Bharu pada 14 Mac 2019 jam 7.00 pagi. Pada masa ini, KPM pada 13 Mac jam 10.00 malam selaku majikan saya dan isteri telah mengumumkan cuti bencana pencemaran bagi 111 buah sekolah Pasir Gudang sehingga ke tarikh yang tidak dinyatakan. Saya mengajak isteri untuk pulang pada malam itu juga tetapi isteri meminta untuk pulang esok sahaja. Jadi pada jam 7.00 pagi kami bingkas beredar keluar dari Pasir Gudang. Pada hemat kami, mungkin sekolah akan dibuka semula pada 18 atau 19 Mac. Untuk itu tidak jadi masalah kepada kami untuk pulang semula jika sekolah dibuka kembali.
Suasana sunyi Jalan Kota Masai (area Jalan Chiku - Bacang) sewaktu kami bergerak keluar dari Pasir Gudang |
Dalam minda saya ketika memandu adalah secara santai tidak mahu mengejar tempat dan tidak mahu terburu waktu. Jika penat saya berhenti rehat. Jika tertarik akan sesuatu pasti berhenti untuk melihat dan menikmati. Saya memilih jalan kampung melalui loji SAJ Sg. Tiram kemudian akan keluar di simpang Ulu Tiram kemudian mengambil jalan ke Kota Tinggi menuju ke Kuantan.
MURTABAK CHEESE SEDAP DI ULU TIRAM
Walaupun sudah lebih 10 tahun tinggal di Johor tetapi banyak tempat yang belum saya explore. Buktinya Saya baru tahu terdapat sebuah warung yang menjual murtabak sedap di Ulu Tiram. Itupun setelah isteri mengadu lapar dan mengajak saya untuk bersarapan pagi. Saya memperlahankan kenderaan dan mencari kalau-kalau ada warung yang dibuka Pada pagi itu. Kami terpandang satu warung murtabak cheese 16 jam. Jadi saya pun berhenti disitu untuk mencuba menu yang dijual. Ternyata rasa murtabak cheese nya Sungguh sedap jadi selepas ini tak perlulah Saya pergi jauh untuk menikmati murtabak cheese.
Kami singgah makan di Warung Murtabak Cheese 16 Jam Ulu Tiram
|
Murtabak Cheese Ulu Tiram yang meleleh cheesenya bila ditarik untuk dimakan
|
Nanti kami akan datang lagi ke sini dan tak perlu ke JB untuk makan murtabak cheese kerana lebih dekat dan jalan tidak sessk |
Semasa saya makan Kak Zah bersama keluarganya turut masuk ke warung tersebut untuk makan. Kak Zah ni merupakan pembantu tadbir di sekolah saya. Saya rasa beliau juga dalam perjalanan pulang ke kampung setelah mendapat cuti bencana.
Selepas makan, kami beredar untuk meneruskan perjalanan ke Kuantan. Saya menambah minyak petrol kereta saya sebanyak RM30.00 di Stesen Petronas Ulu Tiram. Dalam perjalanan ke Kuantan kita akan menempuh beberapa bandar dan pekan antara Johor dan Pahang antaranya Pekan Jemaluang, Bandar Mersing, Pekan Endau, Tanjung Gemuk, bandar Rompin, Pekan, Kawasan Perindustrian Peramu seterusnya Bandar Kuantan. Perjalanan dari Pasir Gudang ke Kuantan ini memakan masa antara 3 jam setengah hingga 5 jam bergantung kepada keadaan trafik, masa perjalanan dan jenis kenderaan yang di pandu. Pernah saya memandu bermula jam 2.30 pagi dari Pasir Gudang dan sempat solat subuh berjemaah di sebuah masjid di Kuantan (5.30 pagi)
Mengisi petrol sebanyak RM30.00 di Stesen Petronas Ulu Tiram
|
Perjalanan kami pada hari ini agak lancar kerana sekarang bukan cuti umum ataupun cuti persekolahan Lagipun ramai dikalangan cikgu cikgu Pasir Gudang belum membuat keputusan untuk pulang ke kampung kerana masih dalam keadaan samar-samar sama ada cuti pendek ataupun panjang. Cuma saya dan isteri sahaja membuat keputusan nekad untuk pulang ke kampung tanpa memikirkan sekolah dibuka pada waktu terdekat.
Tiba di Mersing pada jam 9.54 minit pagi dengan perjalanan lancar tiada kesesakan jalan raya
|
Kami tiba di bandar Mersing pada jam 9.54 minit pagi. Kemudian berhenti rehat bagi melepaskan 'hajat' di Stesen Petronas Tanjung Gemuk, Rompin, Pahang pada jam 10.30 pagi. Kemudian melalui jalan pesisir pantai ke Pekan. Selepas melepasi Kawasan Perindustrian Peramu Saya memilih untuk membelok ke kanan sewaktu tiba di Chenor dan memilih jalan ke Sungai Soi dan Tanjung Lumpur. Saya menambah bahan api kereta sebanyak RM30.00 lagi di Stesen Petronas Kempandang Perdana.
Singgah di Stesen Petronas Tanjung Gemuk, Kuala Rompin, Pahang
|
Mengisi petrol RM30.00 di Stesen Petronas Kempandan Perdana, Tanjung Lumpur, Kuantan
|
MENU PAIS PATIN LAZAT DI RESTORAN MABIQ TANJUNG LUMPUR
Sebenarnya jalan ini bukanlah Jalan pilihan ketika pulang ke kampung sebaliknya tujuan kami melalui jalan ini adalah untuk singgah makan di Restoran Mabiq Tanjung Lumpur. Restoran ini menawarkan menu istimewa Pais Patin. Kami pernah makan di restoran ini pada cuti tahun baru Cina 2018 sewaktu trip percutian JB - Melaka - Negeri Sembilan Kuantan - JB. Saya tak suka makan ikan air tawar termasuklah ikan patin ni tapi isteri yang beria-ria nak makan. Pada waktu ini jam menunjukkan pukul 12.40 tengah hari.
Restoran Mabiq 1 diusahakan oleh pusat tahfiz dan anak yatim yang sebahagian dananya digunakan untuk membiayai aktiviti pusat tersebut. Sambil makan sebenarnya kita membantu pusat tahfiz dan anak-anak yatim |
Antara juadah yang disediakan di Restoran Mabiq yang dikunjungi ramai pelanggan dari sekitar Kuantan dan pelancong luar termasuk kami |
Pais Patin merupakan menu pilihan utama pelanggan ke Restoran ini
|
Pais Patin rasanya sedap (menurut isteri sebab saya tak makan) dan rasanya tidak hanyir seperti yang patin dimakan di tempat lain |
Lepas itu kami meneruskan perjalanan melalui Jalan Kuantan - Sungai Lembing untuk masuk ke LPT. Corak pemanduan saya pada masa ini dalam skala 100 hingga 120 km/j. Memang perancangan awal untuk tidak singgah di rumah ayah di Kuala Terengganu kerana kami tidak membawa pulang pakaian lain. Saya exit di penamat terakhir Kuala Terengganu kemudian melencong ke kiri memilih jalan ke Kota Bharu. Saya membayar tol sebanyak RM23.00.
Hud Naufal tak berhenti-henti merengek di dalam kereta
|
Lebih kurang 32 kilometer dari exit tol Kuala Terengganu saya berhenti di stesen Caltex di Kampung Sg.Tong, Setiu Terengganu. Saya mengisi semula minyak petrol sebanyak RM20.00. Sementara itu anak-anak pula ingin membuang air kecil. Di stesen minyak tersebut terdapat sebuah tandas yang sangat cantik kerana corak warna-warni yang terang dan menarik. Selepas itu, kami bergerak semula kali ini saya melencongkan kenderaan saya ke simpang sebelah kanan melalui Jalan Bukit Putera menuju ke Pantai Telaga Papan. Saya agak biasa melalui jalan ini sewaktu remaja semasa mengikuti Ayah membeli buah rambutan dan juga cempedak untuk diniagakan di pasar maghrib Bukit Besar tahun 90-an dulu. Di Bukit Putera ini juga terdapat ibu dan bapa (adik arwah ibu) saudara saya yang mengusahakan kebun kelapa sawit. Tapi bukan tujuan saya untuk singgah ke rumahnya sebaliknya saya ingin melalui Jalan Pantai untuk singgah di Pantai Rhu Sepuluh.
Mengisi minyak RM20.00 di Stesen Caltex Sg Tong, Setiu
|
Tandas yang cantik dan bersih di Stesen Minyak Caltex Sg. Tong
|
Terdapat sebuah masjid yang besar dan cantik bersebelahan stesen minyak itu
|
Pada ketika ini anak kecil saya yang itu Hud Naufal tidak henti-henti menangis kerana marah tidak membawanya turun sewaktu berhenti di stesen minyak Sungai Tong tadi. Puas saya dan isteri memujuknya tapi tetap meragam. Tiba di Simpang Telaga Papan, saya memberhentikan kenderaan dan mendukung Hud keluar. Sambil itu saya membeli keropok lekor dan goreng yang dijual di kedai Keropok simpang itu.
Ambil gambar dari dalam kedai keropok di Telaga Papan, Setiu, Terengganu
|
Kat kedai keropok Telaga Papan pun Hud masih menangis
|
MAKAN ICT DI OMBAK PANTAI, RHU SEPULOH
Lebih kurang 12 km dari Simpang Empat Telaga Papan, kami singgah di Pantai Rhu Sepuloh. Di Pantai ini terdapat puluhan kedai yang menjual makanan laut celup tepung atau ICT ( ikan celup tepung). Jika mahukan ICT yang sedap saya syorkan kepada anda untuk makan di Restoran Hasnik. Restoran ini merupakan pengasas awal makanan ICT di Pantai Rhu 10 ini. Saya menikmatinya sejak tahun 90-an lagi. Pada waktu itu tapak niaganya di sebelah pantai dan kedudukan sekarang di sebelah darat (kampung).
Untuk view dan snap gambar yang cantik boleh datang ke Ombak Pantai ICT Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, Terengganu |
Sudut lain Ombak Pantai |
Sudut lain Ombak Pantai |
Terapi emosi anak-anak ketika perjalanan jauh dan singgah di Ombak Pantai ICT
|
Along mencuba buaian boya kapal di Imbak Pantai ICT
|
Pelanggan memilih menu ICT di Ombak Pantai
|
Pantai Rhu Sepuluh salah satu pantai tercantik di Tanah Besar Semenanjung Malaysia kerana pasirnya yang memutih dan lautnya yang tenang |
Saya tidak memilih untuk singgah di Hasnik sebaliknya memilih Warung Ombak Pantai kerana viewnya yang cantik. Tujuannya untuk menenangkan anak-anak yang sudah bosan dan tidak terkawal kerana terlalu lama berada dalam kereta. Selain view yang cantik, di Ombak Pantai juga terdapat buaian yang disukai oleh anak-anak. Rasa makanan di sini ok ok sahaja dan harga agak tinggi berbanding dengan Restoran Hasnik. Saya menarafkan ❤❤❤❤❤untuk view dan ❤❤❤ untuk makanan ICT di Ombak Pantai. Saya tiba di sini pada jam 4.35 petang.
Warung ICT Ombak Pantai mendapat tempat kedua pilihan Majlis Daerah Setiu. Saya memberi 5 bintang untuk view dan kemudahan pelanggan kepada warung ini. Manakala makanan saya meletakkan 3 bintang atas faktor rasa dan harga makanan (selera adalah perkara subjektif kerana mungkin bagi pelanggan lain penarafannya lebih tinggi) |
Selepas solat jamak zohor dan asar di Warung Ombak Pantai, saya meneruskan perjalanan ke Kota Bharu yang berbaki 95 km. Saya memilih jalan pantai lagi melalui Kampung Saujana kemudian bertemu Kampung Fikri. Sepanjang route ini juga kita akan melalui Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Raja dan seterusnya Kuala Besut. Kampung Pachakan merupakan sempadan Terengganu - Kelantan yang mana terdapat deretan kedai menjual keropok lekor.
Kedai nasi air Seberang Kastam, Kuala Besut menjadi pilihan saya sewaktu belajar di IPGM Sultan Mizan Kota Putera |
Selepas itu kita akan melalui jalan Tok Bali dan melepasi jambatan tinggi. Saya memilih jalan bypass ke Jelawat kerana laluan itu lebih lancar dan kurang kenderaan. Setelah melalui Pekan Jelawat, saya masuk pula ke jalan pintas Kuchelong. Jalan ini kita akan sampai terus ke simpang Bukit Marak berhampiran dengan Rumah Tan Sri Annuar Musa.
Tiba di rumah kami di Kampung Marak, Kota Bharu, Kelantan pada jam 7.00 malam melengkapkan perjalanan 12 jam dari Pasir Gudang sejauh 680 kilometer pada hari itu |
Lebih kurang 5 kilometer sampailah ke rumah kesayangan kami. Kami tiba di destinasi penamat pada jam 7.00 malam. Perjalanan PG-KB memakan masa 12 jam dengan kos petrol RM80.00 ternyata menggujakan saya sehinggakan tidak merasai keletihan walaupun memandu sejauh 680 kilometer dengan seorang pemandu.
Wassalam....
JANGAN LUPA BACA TAJUK SETERUSNYA BILA SIAP NANTI YA...
'LONG WAY DOWN' TIMUR SEMENANJUNG YANG MEMENATKAN.
Terima kasih....
Comments
Post a Comment