KISAH SERAM DI RUMAH SEWA

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera buat pembaca blog saya sekalian. Kali ini saya akan menulis satu kisah berunsur seram fiksyen. Ia merupakan kisah benar dengan sedikit tokok tambah supaya jalan ceritanya lebih mendebarkan. Namanya pun dah fiksyen kan. Mestilah ada sedikit rencah dan rempah ratus untuk menyedapkannya.


4 Zuhal 2008

MENJALANI LATIHAN PRAKTIKAL GURU

Kisah ini berlaku kira-kira pada bulan Jun hingga Ogos tahun 2008. Tahun 2008 saya telah menjalani praktikal guru di salah sebuah sekolah rendah di Kuala Berang. Lazimnya pelatih-pelatih KPLI perlu menjalani latihan praktikal di sekolah selama 10 minggu. Sebagai pelatih guru Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan, kami telah diberi pilihan untuk memilih kawasan praktikal sendiri. Saya dan seorang lagi rakan pelatih yang saya panggil Bad telah memilih Hulu Terengganu sebagai destinasi latihan.


Perkhemahan di Tasik Kenyir

Sebaik sahaja habis dua minggu cuti pertengahan tahun persekolahan, saya dan Bad telah ditetapkan untuk praktikal di Kuala Berang. Pada mulanya saya dan Bad hanya berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Sekolah tersebut yang jaraknya kira-kira 40 km dari rumah ayah saya. Bad akan datang ke rumah saya di Kampung Bukit seawal 6.30 pagi. Kemudian kami akan bertolak ke Kuala Berang menggunakan kereta saya. Biasanya kami akan tiba di sekolah pada jam 7.30 - 7.40 pagi. Begitulah rutin harian saya dan Bad selama seminggu.

MENYEWA RUMAH

Dalam minggu pertama itu, Bad mula riki-riki bertanya rakan-rakan guru senior sekolah tentang rumah sewa berdekatan. Agak susah juga mencari rumah sewa di kawasan itu. Menurut guru-guru di sekolah itu, terdapat dua rumah kosong di kampung itu. Satu baru sahaja disewa oleh dua rakan guru pelatih perempuan dari IPG yang sama yang turut praktikal di sekolah itu. Hanya sebuah rumah kosong sahaja yang tinggal. Tapi rumah ini agak semak sikitlah.


Saya selalu menggunakan Jalan Kuala Berang - Sungai Tong berulang-alik dari Kuala Berang ke Kota Bharu

Tujuan Bad cari rumah sewa kerana kami ingin menyewa rumah di kampung itu. Ye lah. Jauh kot nak ulang-alik dari Kuala Terengganu dan Kuala Berang. Keadaan trafik juga sesak walaupun Kuala Berang itu kawasan ulu. Simpang lampu isyarat jangan cakaplah. Saya rasa dari rumah saya tu hampir 10 lampu isyarat yang perlu ditempuhi. Tambahan pula pada waktu itu, kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol. Kerajaan bagi pemilik kereta seperti saya sebanyak RM600.00 untuk tahun itu. Tapi harga petrol dijual tanpa subsidi. Kalau tak silap saya harga petrol waktu itu RM2.70 seliter. Mak ai... waktu itu pemilik kereta yang pendapatan tak seberapa seperti saya memang perit. Isi minyak RM20.00 sekejap sahaja dah abis. 

Jadi atas faktor-faktor itu, kami ambil keputusan untuk menyewa sahaja di kawasan berdekatan sekolah. Saya dan Bad telah melawat rumah yang dikatakan kosong itu. Jarak rumah dengan sekolah saya agak dalam lingkungan 500 meter. Dalam lot ke-4 atau 5 dari jalan besar. Tapi tak nampaklah jalan besar tu kerana terlindung dengan kebun sawit kecil. 

Ada jalan tar kecil masuk ke rumah itu. Di kiri dan kanan jalan terdapat pagar tanah yang ditumbuhi pokok-pokok menjalar. Tiba di hujung jalan (jalan mati) di situlah terletak rumah yang dikatakan kosong itu. Rumah itu mempunyai pagar kawat besi. Di hadapan pintu pagar terdapat sebatang pokok jambu batu kampung. Manakala di halaman rumah ditumbuhi pokok lalang separas lutut. Terdapat juga 2-3  batang pokok langsat. Di belakang rumah pula ada pokok limau purut yang sudah berbuah. Rumah pula separuh kayu dan separuh batu. Agak besar jugalah. Kami tak masuk ke dalam rumah. Hanya mengintai-ngintai dari luar. Rumah tak lah buruk. Ok jer pada pandangan mata saya. Cuma kawasan ada semak samun sebab lama tidak ada penghuni.

Rumah itu seperti sudah lama tidak berpenghuni. Menurut cakap-cakap guru sekolah situ, rasanya sudah tiga tahun ditinggalkan sejak pewaris dan pemilik rumah berpindah di Bandar Kuala Berang.

Saya dan Bad bersetuju untuk menyewa rumah tersebut. Harga yang ditetapkan oleh pemilik rumah ialah RM200.00. Berkongsi dua orang termasuk bil elektrik dan air saya dan Bad keluarkan RM120.00 seorang. Selama 8 minggu kami akan habis masa latihan praktikal tinggal di rumah itu. Kira-kira dua bulan jugalah. 

Cuti hujung minggu, saya membawa isteri yang sarat mengandung anak sulung ketika itu pulang ke Kota Bharu. Masa saya ulang alik dari rumah ayah ke sekolah, isteri saya turut menetap di rumah itu bersama arwah mak dan adik-adik. Jadi bila saya mahu duduk di rumah sewa di Kuala Berang terpaksalah isteri pulang ke Kota Bharu. Jika duduk di rumah ayah nanti bosan pula sebab saya tak ada kat rumah. Jadi biarlah dia duduk di Kota Bharu. Nanti cuti Jumaat Sabtu saya akan pulang ke sana.

HARI PERTAMA MASUK RUMAH SEWA

Hari pertama masuk ke rumah ok sahaja. Saya lihat kelengkapan dapur lengkap. Ada dapur. Ada pinggan mangkuk serta kuali dan periuk. Peti sejuk pun ada. Jadi boleh kami masak-masak untuk makan tengah hari dan malam. Dapat jimat kos sara hidup. 

Design dalaman rumah pula agak unik. Di bahagian tengah adalah rumah kayu. Saya rasa rumah asal. Lantai pun lantai kayu. Ada dua bilik tidur dalamnya. Satu bilik lantainya tidak ada tikar. Jadi terdapat lubang-lubang kecil dilantai tapi sebab ia agak rapat tidak nampaklah tanah di bawah rumah. Bumbungnya agak rendah saya rasa ketinggiannya dalam 7 - 8 kaki. Suasana biliknya malap dengan lampu mentol bulat bercahaya kuning. Lantai dan dinding kayunya pula berwarna coklat gelap. Dalam bilik itu juga terdapat tali yang dijadikan ampaian.


Mazuan sedang menyediakan mihun hitam yang lazat di dapur

Satu lagi bilik saya tak pernah masuk. Saya tak tahu apa yang ada di dalamnya. Masuk bilik pertama pun dah seram, masuk bilik kedua tak tahulah nak cakap apa. Jadi saya biarkan bilik yang satu lagi tu menjadi misteri tanpa saya mahu jawapannya.

Bahagian dapur dan ruang tamu pula diperbuat daripada batu. Saya rasa tuan rumah melakukan renovasi dengan menambah keluasan rumah bahagian ini. Ruang dapur dan tamu agak ke bawah. Terdapat dua tangga yang mempunyai 4 - 5 anak tangga untuk turun dan naik ke ruang utama rumah. Di bahagian tangga terdapat pagar batu berlorek sebagai pemegang ketika menuruni tangga. Kira cantik jugalah designnya.

Rumah ini juga mempunyai satu tandas. Tandas ini terletak di bahagian dapur. Bahagian dinding atas tandas tidak bertutup. Jadi kita boleh nampak dengan jelas bahagian luar rumah. Kalau siang nampak pokok dan cahaya matahari. Kalau malam pula memang nampak kegelapanlah. Kalau buang air waktu malam tu kadang-kadang saya jenguk juga bahagian atas. Manalah tahu kalau-kalau ada penampakan tiba-tiba bertenggek di situ.

Waktu tidur, saya dan bad memilih untuk tidur di ruang tamu. Gila apa nak tidur dalam bilik suram tadi. Rasa macam ada sesuatu je dalam bilik tu dan bilik sebelah. Jadi pilihan untuk tidur di ruang tamu adalah tindakan yang betul. Suasana di ruang tamu lebih terang dengan adanya lampu kalimantang panjang. Di ruang itu juga ada kipas siling dan sinki air. Jadi Bad tidur dibahagian hujung dinding dekat tingkap sisi rumah. Manakala saya tidur bahagian tengah rumah dekat dengan pintu masuk dan tangga. Sebelah tangga ada sofa kayu jenis lama.

MALAM PERTAMA TIDUR

Rumah itu agak sunyi di waktu malam. Rumah jiran yang paling dekat pun seingat saya dalam 50 - 60 ela. Yang terdengar bunyi cengkerik di luar rumah dan cicak yang mencari makanan di bawah cahaya lampu. Pada awal malam, saya dan bad menyiapkan rancangan mengajar dan alat bantuan mengajar (abm) menggunakan kertas majung untuk esok hari. Rancangan mengajar dan abm ini perlu dibuat sebabnya pensyarah boleh tiba-tiba datang untuk membuat penilaian kepada kami.


Bad tidur di bucu dinding manakala saya di bahagian tengah ruang tamu tempat saya pegang kamera ni lah

Jam 11.00 malam mata mula mengantuk. Kerja yang kami lakukan tadi pun dah siap jadi apa lagi. Kami tutup lampu dan dalam proses untuk tidur. Bad sekejap sahaja saya nampak dah lena. Tapi tak tahulah dia betul-betul tidur atau tidak. Saya pula perlu mengambil masa antara 10 - 20 minit ketika meletakkan kepala atas bantal untuk lena. Mata saya hanya tertumpu bahagian atas rumah terutamanya bahagian bilik. 

Walaupun lampu ditutup diruang tamu tapi dalam rumah masih lagj bercahaya dalam kesamaran kerana lampu bahagian dapur dibuka. Mata masih boleh melihat jika ada objek bergerak atau pun tak bergerak sekalipun. Tapi malam tu saya tak nampak pun sesuatu yang pelik.

Saat mata saya terlelap, tiba-tiba ada sesuatu yang menindih saya. Sah saya terkena tindihan hantu. Sebenarnya saya sudah terbiasa ditindih hantu ni terutama bila pertama kali tidur di sesuatu tempat. Bagi yang belum pernah merasai pengalaman ditindih hantu ni biar saya cerita bagaimana keadaan kita pada masa itu. Ok, begini sewaktu kita baru sahaja tidur tiba-tiba kita terjaga. Tapi kita tak boleh membuka mata dan menggerakkan badan. Telinga kita dapat mendengar bunyi sekeliling termasuk percakapan orang. Otak kita pun dapat berfikir pada waktu itu. Ia ibarat seperti orang koma. Pada waktu itu, kita tidak berkeupayaan untuk terjaga dari tidur atau membuka mata kerana rasa seperti ada sesuatu objek menindih bahagian dada dan muka. Nafas pun menjadi sukar. Rasa seperti tersekat-sekat. Untuk keluar dari ditindihkan hantu kita hanya perlu membuat pergerakan anggota badan seperti jari atau kaki. Jika dapat menggerakan anggota tersebut maka kita akan tersedar dari tidur. Untuk menggerakan anggota badan sewaktu ditindih hantu bukanlah sesuatu yang mudah. Badan kita pada waktu itu rasa seperti diikat-ikat. Kita akan cuba meronta-ronta dengan suara merengus supaya kita tersedar dari tidur. Kita juga berharap orang yang melihat kita tidur begitu terus mengejutkan kita agar dapat melepaskan diri dari tindihan tersebut.

Oleh kerana saya sudah biasa ditindih hantu, ia bukanlah sesuatu yang menakutkan saya. Biasanya selepas terjaga saya akan beralih tempat tidur dalam 3 - 4 kaki kemudian menyambung tidur semula. Tapi pernah juga lepas beralih tempat saya terkena lagi. Lepas tu alih lagi pun kena lagi. Maksudnya tempat yang kita tidur itu tempat 'mereka' lalu lalang atau bermain. Jadi kita alihlah tempat tidur sampai tidak lagi diganggu.

DITANYA MURID TENTANG RUMAH

Selepas 2 - 3 hari duduk di rumah sewa itu, ada beberapa murid tahun 4 bertanya saya sewaktu mengajar mereka dalam kelas dalam dialek Hulu Terengganu. "Cekgau dauk takauk kae dudauk rumouh tou" (maksudnya : cikgu tak takut ke duduk rumah tu) . Saya kata dalam loghat Terengganu, " bakper pulok nok takuknyer"  (kenapa perlu takut). Budak-budak tu cakap. "rumouh cekgau dudauk tou berantou". (rumah yang cikgu duduk tu berhantu). Saya tak ambil pusing soalan tu. Saya cuma bagitahu tak ada apa-apa. Cakap besar nanti betul-betul kena baru tahu.


Dah dewasa budak-budak ni sekarang. Kalau jumpa memang dah tak cam. 

Pada waktu petang selepas pulang sekolah, budak-budak tu datang melawat kami di rumah sewa tu. Sekali sekala bolehlah layan budak budak ni. Adakala sewaktu mereka datang, saya bancuhkan air teh o bagi mereka minum dan makan bersama biskut tawar. Seronok juga tengok telatah dan cerita mereka. Tapi diwaktu ingin ketenangan, kami akan mendiamkan diri sewaktu mereka datang. Setelah mereka berkali-kali memberi salam dan mengintai dalam rumah, mereka pun blah.

MELIHAT KEJADIAN PELIK

Malam-malam berikutnya. Saya melihat kejadian aneh. Ia aneh dan menakjubkan bagi saya. Bagi anda yang biasa menyaksikannya ia mungkin kejadian biasa. Satu malam saya melihat bayangan di sebalik cermin tingkap luar seekor cicak besar menyerang dan memakan seekor cicak bersaiz biasa. Belum pernah saya melihat cicak sebesar itu hidup di kawasan rumah.

Malam-malam biasa yang lain ada beberapa kali saya ditindih hantu sewaktu tidur. Tapi sebagaimana yang saya ceritakan tadi, saya sudah biasa dengan situasi itu. Semasa belajar STPM dulu, saya tinggal di rumah sewa usang dan buruk lagi teruk saya kena. Boleh dikatakan hari-hari. Namun selepas tamat kursus KPLI saya dah tak mengalami keadaan itu.

Berbalik kepada cerita semula. Bila tidur di waktu malam kami on suiz kipas. Waktu tidur kipas siling berpusing nak kata laju tak laju. Nak kata slow tak jugak. Tapi bolehlah dapat mengurangkan rasa panas dan menghalau nyamuk ketika tidur. Namun bila kami lena tidur jam 1 - 2 pagi. Kipas dengan sendirinya berpusing dengan laju sekali. Terasa kuat benar bunyi kipas berpusing macam kita dengan helikopter melintasi ruang angkasa berhampiran rumah. Situasi ini boleh dikatakan berlaku setiap malam.

Pada siang hari ketika di sekolah saya dan Bad berbual-bual tentang hal yang sama. Ternyata Bad rasa dan dengar seperti apa yang saya rasa.

WAKTU CUTI HUJUNG MINGGU

Pada hari Khamis setiap minggu iaitu hari akhir sebelum cuti hari minggu Jumaat dan Sabtu, kami akan pulang rumah masing-masing. Bad akan pulang ke rumahnya di Durian Burong, KT. Manakala saya balik ke Kota Bharu melihat isteri yang bila-bila masa akan bersalin. Biasanya pada petang Sabtu atau pagi Ahad kami datang semula ke kampung itu. Bila kami sampai di rumah sewa elektrik rumah tak ada. Tengok suiz utama off. Hidung pula terbau busuk yang amat datang dari dapur. Oh! Baru saya ingat ayam dan ikan dalam peti ais yang kami beli minggu lepas yang tak habis di masak sudah busuk dalam peti. Mungkin elektrik blackout sejak Khamis tu yang ayam dan ikan dah jadi berulat dan busuk. Pada hemat saya mungkin kawasan kampung ini mengalami hujan dan ribut petir kuat pada hari Khamis atau Jumaat sebab tu suiz utama mati. Hari itu kami bersihkan peti dan buangkan benda busuk tadi.

Pada minggu seterusnya, hari Khamis macam biasa saya dan Bad pulang ke rumah masing-masing. Kemudian petang / malam Sabtu kami balik ke rumah sewa sebab Ahad akan sekolah. Situasi sama berlaku macam minggu lepas. Elektrik rumah off sebab main suiz mati. Sama seperti minggu lepas hidung terhidu bau busuk lagi. Saya terlupa untuk clearkan peti sejuk sebelum pulang cuti hujung minggu. Lauk dalam peti sudah berulat peng juga. Rasa nak muntah pun ada bila tengok dalam peti ais. Dalam hati saya terdetik. Ini bukan lagi sebab ribut petir. Ini macam ada benda lain yang buat. Yang menghairankan waktu kami ada tak nak pulak suiz utama tu padam. Asal kami balik cuti suiz jetak (dialek Terengganu). Tapi saya dan Bad abaikan sahaja kejadian yang berlaku. Kawasan ini hanya rumah ini sahaja yang ada. Lagipun ia agak dekat dengan sekolah.

Pada minggu seterusnya, situasi itulah yang berlaku. Suiz utama mati. Tapi kami dah belajar pengalaman lalu. Peti sejuk dalam rumah dah kami kosongkan. Jadi bila kami kembali dalam rumah sudah tak berbau. Sah 'Dia' memang nak main-main dengan kami.

MINGGU-MINGGU AKHIR LATIHAN PRAKTIKAL

Sepanjang 8 minggu kami tinggal di rumah sewa itu, tiada kejadian buruk berlaku. Malah kami pernah menjemput 5 rakan pelatih yang menjalani praktikal di sekolah lain jemput datang rumah kerana kami buat BBQ dan projek makan. Tapi mereka ni berasa seram lah bila berada di rumah itu. Kami tak bagi tahu mereka pun pasal rumah tu. Tapi mereka sendiri yang rasa remang bulu tengkuk.. hahaha....


Rakan sepelatih IPG Sultan Mizan datang berBBQ

Bila ramai-ramai gini seronoklah sikitkan. Tak lah boring asik berbual berdua dengan Bad ajer

Pada 2 Ogos 2008, saya terpaksa pulang ke Kota Bharu kerana isteri mulai sakit perut dan dimasukkan ke hospital USM Kubang Kerian. Isteri lahirkan anak sulung waktu dinihari pada 3 Ogos 2008. Jadi saya cutilah dua hari. Saya tak tahu apa yang berlaku pada Bad selama dua malam semasa saya tak ada kat rumah tu.. hahaha...mungkin lebih seram kot... berani dia tidur sorang-sorang. Kalau saya lah sanggup ulang alik KT - Kuala Berang daripada sorang-sorang duk rumah tu.

Sepanjang dua bulan berada di rumah sewa itu saya tak pernah melihat sebarang 'kelibat' entiti atau lembaga. Cuma Bad ajer yang pernah melihat satu lembaga hitam berambut panjang berhampiran saya sewaktu tidur. Saya sendiri tak tahu apa yang lembaga tu buat pada saya kerana memang saya tidur lena. Sekali sekala rasa ditindih hantu tu adalah (tapi itu kat rumah lain pun saya pernah kena). Saya tak tahu bagaimana rupa lembaga itu sebab hanya Bad yang tengok. 

Cuma yang boleh saya katakan bila solat dalam bilik akan terasa meremang di tengkuk. Begitu juga ketika melintasi bilik yang satu lagi tu. Saya seolah-olah dapat merasai kewujudan 'dia'. Minggu akhir latihan praktikal, guru perempuan ada cakap seorang lelaki yang kerja di Bandar Kuala Berang nak share tinggal kat rumah sewa itu. Saya pesan kat akak guru tu yang kami dah nak habis praktikal dah. Tak payahlah duduk rumah tu. Baik cari rumah lain....

Bila tamat praktikal pada hari Khamis terakhir, kami ke Bandar Kuala Berang bertemu pemilik rumah untuk menyerahkan kunci dan bayaran terakhir... kami mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah. Tuan rumah bertanya adakah ok rumah yang kami tinggal tu.  saya dan Bad hanya tersenyum sambil menjawab "ok".......

Sekian, wassalam......

Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR