TEMPAT MENARIK DI MERSING : TASIK HIJAU DI JEMALUANG, MERSING
Salah satu tempat unik untuk bergambar bagi pengunjung yang kebetulan lalu di Jalan Kota Tinggi - Mersing dan Jalan Kluang - Jemaluang ialah Tasik Jemaluang atau di panggil Tasik Hijau. Keunikan tasik ini adalah terletak pada kehijauan airnya serta pemandangan kawasan sekeliling.
Saya bergambar di Tasik Jemaluang @ Tasik Hijau, Mersing Johor. |
Saya tidak pasti apakah yang menjadi punca air tasik kecil tersebut menjadi berwarna hijau. Akan tetapi mengikut kebiasaan di Malaysia, kebanyakan air tasik atau kolam yang berwarna biru atau hijau ini merupakan bekas kawasan lombong. Mungkin Tasik Jemaluang ini dulu adalah kawasan perlombongan mineral ataupun kuari. Kalau benar ia kawasan tinggal lombong pastinya air tasik ini tidak sesuai untuk kegunaan makan, minum dan mandi-manda.
Tasik Jemaluang dengan kehijauan dan ketenangan airnya |
Walaubagaimana pun view tasik ini amat cantik seolah-olah ia terhasil dari proses semulajadi alam. Kedudukannya yang terletak di penghujung Jalan Kluang - Jemaluang agak sunyi kerana ia menjadi sebahagian dari Hutan Jemaluang. Manakala jika kita menggunakan menggunakan Jalan Kota Tinggi - Mersing kita perlu masuk ke simpang jalan menuju ke Kluang yang jaraknga hanya lebih kurang 500 meter dari jalan utama ke Pantai Timur itu.
Majlis Daerah Mersing menamakan Tasik Hijau ini sebagai Pusat Rekreasi Jemaluang |
Bagi saya, Tasik Hijau ini sesuai dijadikan checkpoint bagi rider motosikal yang melakukan konvoi untuk merakam gambar kenang - kenangan. Perkara ini saya perhatian melalui bacaan dalam blog lain, ramai rider-rider motosikal berkuasa tinggi terutamanya dari Singapura berhenti berhenti rehat dan bergambar dengan latar belakang air tasik berwarna hijau di belakangnya.
Tempat duduk yang menjadi pilihan untuk mendapat 'view rare' tasik ini |
Sepanjang 11 tahun melalui Jalan Jemaluang ketika pulang ke Pantai Timur, baru tahun ini saya mengetahui kewujudan tasik ini. Itu pun setelah saya mencari maklumat tentang cerita kisah seram di jalan Jemaluang. Tujuan saya singgah di tasik ini hanyalah untuk melihat sendiri keindahan tasik ini.
Tasik Hijau terletak di penghujung jalan laluan pintasan Kluang - Jemaluang dan kira-kira 500 meter ke simpang Jemaluang, Jalan Persekutuan Kota Tinggi - Mersing. |
Saya singgah di tasik ini pada jam 3.30 petang, 24 November 2019 sewaktu dalam perjalanan pulang bercuti sempena cuti persekolahan akhir tahun. Cuaca ketika sampai di tasik ini agak baik walaupun hujan sekali - sekala turun dalam perjalananan. Cuaca yang elok ini membolehkan gambar yang diambil kelihatan jelas menampakkan warna kehijauan air tasik. Syukur Alhamdulillah.
Saya tiba di Tasik Hijau Jemaluang pada jam 3.30 petang, 24 November 2019 |
Suasana tasik ini agak sunyi. Tiada aktiviti perniagaan dijalankan. Pengunjung juga jarang berhenti mungkin kerana lokasinya agak terpencil. Agak jauh dari kawasan petempatan penduduk. Takut juga kalau-kalau menjadi mangsa jenayah. Apapun sewaktu saya singgah ok dan selamat sahaja.
Tasik Jemaluang sesuai dijadikan Checkpoint bagi peserta konvoi motosikal atau pun kereta |
Kalau kita dalam kumpulan ramai memang sesuailah nak berhenti rehat lama-lama. Terdapat sebuah wakaf dan beberapa buah kerusi yang boleh dijadikan tempat rehat. Cuma terdapat arahan supaya berhati-hati dengan kemungkinan dahan pokok yang jatuh. Mungkin kurang selamat ketika musim hujan dan berangin atas faktor dahan patah tadi.
Terdapat sebuah wakaf dibina MDM di pusat rekreasi ini |
Tak banyak yang saya boleh ceritakan tentang Tasik Hijau ini kerana kekurangan maklumat. Saya berhenti dan meninjau kawasan pun tak lama lebih kurang 10 minit sahaja. Cuma yang boleh saya cakap adalah tasik ini kecil, cantik dan unik. Terpegun juga saya melihatnya...
Sekian, terima kasih...
Tuan, tumpang tanya. Dari Kluang ke Kuantan melalui Jalan Jemaluang - Mersing ini mengambil masa kira2 berapa jam? Jalan ny kelihatan sunyi.. 😨
ReplyDelete