MAKAN BEST DI TERENGGANU : ROTI BINJAI LEGEND @ KAYU KERAMAT GERGASI

Jika anda seorang kaki travel pemburu makanan salah satu pilihan untuk anda mencuba makanan yang lain dari yang lain adalah roti binjai legend. Roti binjai legend diambil daripada nama buah binjai kerana bentuk roti ini seakan-akan rupa buah binjai. Tetapi bagi masyarakat Terengganu, tiada tercatat pun nama roti binjai dalam list makanan tradisional. Cuma yang ada hanyalah roti kayu keramat. Mungkin tujuan pemilik warung menjual roti binjai ini meletak nama sedemikian hanyalah untuk komersial bagi menarik perhatian pelanggan datang ke warungnya.

Bersarapan di Roti Binjai Legend, Kampung Buluh, Kuala Berang, Terengganu

Warung Roti Binjai Legend ini terletak di Kampung Buluh, Kuala Berang iaitu kira-kira 40 kilometer dari Kuala Terengganu. Agak jauh juga bagi orang seperti saya untuk ke sana. Walaupun saya orang Terengganu namun sejak berkahwin, saya jarang duduk lama di negeri ini. Paling lama pun cuma satu hari. Jadi amat terhad peluang saya untuk mencuba beberapa tempat makanan popular negeri ini.

Bentuk kayu keramat asli, makanan tradisional Terengganu. Kredit foto : foodblog

BERSARAPAN DI KAMPUNG BULUH, KUALA BERANG

Saya datang ke Warung Roti Binjai Legend ini kerana isteri saya ingin merasai roti ini setelah melihatnya dalam dokumentari mengenainya di kaca televisyen. Jadi apabila kebetulan pulang ke Terengganu sewaktu cuti sempena perayaan Deepavali 2019, saya membawa famili ke warung itu.

Roti Binjai Legend betul-betul terletak di birai jalan utama Kampung Buluh - Kampung Dusun

Sebenarnya kedudukan Warung Roti Binjai Legend ini berada di luar garis laluan perjalanan Pasir Gudang - Kota Bharu. Ini kerana rumah ayah saya terletak di Cendering. Kalau mahu ke Kota Bharu atau Pasir Gudang pasti saya lebih suka melalui jalan pantai sedangkan Kuala Berang kedudukannya agak ke dalam. Jika saya ke sana perlu menggunakan jalan bahagian pedalaman. Bagi pelawat luar Terengganu, jika kebetulan ke Tasik Kenyir pasti akan melalui Bandar Kuala Berang dahulu. Kuala Berang merupakan pusat pentadbiran bagi Daerah Hulu Terengganu. Jadi cubalah cari kedai ini kerana kedudukannya sudah tidak jauh. Cuma mengambil masa 5 - 6 minit untuk sampai.

Pada 29 Oktober 2019, sebelum bergerak pulang ke Pasir Gudang seperti biasa kami akan bersarapan dahulu. Beberapa pilihan menjadi tempat saya bersarapan. Kalau ingin makan nasi kuning Mak Besah Taman Permint Permai, kami akan makan di rumah ayah sahaja. Kalau mahu makan nasi dagang, kami akan singgah makan di Kampung Cendering atau pun di Kampung Atas Tol. Kalau mahu makan nasi lemak pasti saya akan pergi Kedai Kopi depan Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar. Dan kalau nak makan nasi minyak, saya akan ke Pasar Payang untuk makan di Warung Nasi Minyak Che Hasyim.

Bertolak dari rumah ayah di Taman Permint Permai pada pukul 7.30 pagi

Tapi kali ini saya menuju ke Kuala Berang menyusuri jalan di sepanjang Sungai Terengganu melalui Kampung Tanggol. Melalui jalan ini, kita akan merasai ketenangan kawasan desa dengan cuaca yang redup serta melihat kehidupan orang kampung menjalankan aktiviti di waktu pagi. Bertolak dari rumah ayah di Taman Permint Permai pada jam 7.30 pagi, kami sampai di Warung Roti Binjai Lagend pada jam 8.15 pagi. Hampir 45 minit juga masa diambil untuk datang kemari.

Anak-anak menunggu makanan yang di order sampai

Turut menjual makanan lain

Pemilik warung rasanya ni. Pekerja cuti mengejut pulak hari ni.

Seperti dough roti canai. Ia akan digoreng bila ada pelanggan order


ORDER MAKANAN

Sebaik tiba di situ, kelihatan sudah ada ramai pelanggan yang sudah duduk di meja. Saya lihat seperti mereka bukanlah penduduk di kawasan Kampung Buluh itu. Saya pasti mereka sama seperti kami, datang dari tempat lain untuk mencuba roti binjai ini. 

Roti binjai / kayu keramat berlauk kuah gulai ayam yang dipesan kami

Saya dan isteri memesan dua roti binjai / kayu keramat dengan kuah gulai ayam, dua pinggan mee goreng, satu pinggan nasi minyak berlauk ayam dan satu nasi lemak berlauk sambal bilis dan ikan aya kukus. Manakala minuman, kami order 1 teh tarik dan 2 teh o ais. Agak lama juga makanan yang kami order siap. Menurut tuan pemilik premis, pekerja cuti mengejut pada hari itu. Tu yang kelam kabut pagi itu.

Seperti buah binjai

Buah binjai sebenar : Harian Metro

Ringkasan makanan dipesan :-
1. 2 biji roti binjai lauk ayam
2. 2 pinggan mee goreng kosong
3. 1 pinggan nasi lemak bilis + ikan aya
4. 1 pinggan nasi minyak lauk ayam
5. 2 gelas teh o ais
6. 1 gelas teh tarik
7. 1 gelas air suam

Harga : RM19.00

Bagi roti binjai / kayu keramat terdapat 3 pilihan kuah dan lauk iaitu gulai ayam, gulai kambing dan sambal bilis. Harga bagi sebiji roti binjai ini adalah RM1.00 manakala lauk dan kuah harganya berasingan.

Selepas 15 minit menunggu, makanan yang dipesan tadi sampai ke meja kami. Saya makan nasi minyak lauk ayam gulai. Manakala yang lain-lain makan roti binjai dan mee goreng.

DARI SEGI RASA

Saya bukanlah seorang yang cerewet bila menjamah makanan. Cuma makanan pasti tidak habis dimakan jika saya merasanya tidak sedap. Bagi saya, roti binjai atau panggilan kayu keramat oleh orang Terengganu rasanya berlainan dengan kayu keramat seperti yang selalu dimakan. Dari segi bentuk pun sudah berbeza. Kayu keramat lebih panjang dan kurus. Berwarna coklat gelap. Rasanya sedikit manis. Sedikit rapuh bila dimakan sewaktu masih panas. Kayu keramat juga dimakan tanpa kuah sebaliknya dimakan begitu sahaja ataupun dicicah dengan air teh atau teh o.

Rasanya ok. Kurang masuk dengan gulai / kari ayam. Dengan sambal bilis superb. Dengan kari kambing tak tahu. Mungkin sedap agaknya

Berbeza dengan roti binjai / kayu keramat versi Warung Roti Binjai Legend Kampung Buluh ini. Rotinya lebih bulat melonjong dan besar seperti telur angsa. Warnanya perang seakan-akan buah binjai. Sebab tu dipanggil roti binjai. Rasanya sedikit tawar. Roti ini perlu dimakan dengan mencicah kuah. Rasa sewaktu saya makan seperti tidak sesuai dicicah / dimakan dengan gulai ayam. Mungkin ia sesuai dengan kuah kambing. Saya mencuba pula dengan mencicah roti tersebut dengan sambal bilis nasi lemak dimakan isteri. Ternyata ia lebih enak. Jadi saya syorkan jika anda mahu makan roti ini padankanlah dengan sambal bilis atau pun kari kambing.

Mimie tunjuk isyarat bagus tu kira sedaplah tu.

Saya makan sedikit nasi lemak yang isteri punya. Rasanya seperti nasi lemak itu dikukus. Cuma beras yang digunakan adalah beras biasa ataupun beras kampung. Jadi teksturnya lebih kecil. Biasanya nasi lemak kukus menggunakan beras yang jenis putih dan panjang. Tapi saya tidak pasti sama ada nasi lemak ini dikukus atau ditanak. Cuma lidah saya sahaja yang rasa seperti makan nasi yang dikukus. Manakala  ikan aya pula dikukus tidak bercampur kuah. Memang tradisi orang Terengganu makan nasi lemak ikan aya. Ikan aya memang dikukus terlebih dahulu namun selepas itu dimasukkan semula ke dalam kuah / sambal bagi mengurangkan bau hanyir. Rasa sambal bilis pula agak istimewa. Bila sambal itu masuk ke dalam mulut, rasa seperti sambal bilis dalam roti gardenia.

Selain nasi dagang, orang Terengganu suka ambil nasi minyak sebagai menu sarapan pagi. Sebab tu rata-rata kedai kopi di negeri ini menjual nasi minyak di waktu pagi

Bagi mee goreng pula, kelihatan seperti mee goreng basah. Cuma panas sudah kurang kerana ia dimasak sebelum warung ini dibuka pada pagi. Bila makan rasa seperti saya kembali ke tahun 80-an, mee goreng pada waktu tersebut digoreng menggunakan dapur kayu. Rasanya sangat ok. Tidak pedas dan sesuai dimakan oleh anak-anak kecil saya.

Nasi minyak yang saya makan pula rasanya biasa-biasa. Kira boleh tahanlah. Cuma kuah gulai/kari ayamnya tidak berapa kena dengan selera saya. Saya sukakan acar dan sambal belacannya. Saya dapat habiskan nasi minyak ini kerana ada sambal belacannya. Sambal itu dalam menutup kekurangan yang ada dalam kuah ayam tadi.

Bila dah habis makan, saya membayar kesemua makanan tersebut dengan harga RM19.00. Saya rasa ia cukup murah dan berbaloi.

SINGGAH DI MEMORIAL BATU BERSURAT TERENGGANU

Sewaktu bergerak keluar dari Kampung Buluh, saya melintasi satu bangunan seperti astaka. Di situ saya lihat seperti tugu batu bersurat. Saya memberhentikan kereta dengan niat untuk melawat tempat itu.

Wafiy membaca catatan di sebuah tugu pintu masuk Memorial Batu Bersurat Kampung Buluh.

Sewaktu makan di Warung Roti Binjai Legend tadi saya sudah melihat tempat ini. Jaraknya lebih kurang 100 meter sahaja. Saya sangka ia stadium mini kerana kelihatan seperti astaka tempat duduk penonton. Tambahan pula terdapat padang rumput yang luas diantara warung roti binjai dengan bangunan itu.

Baru saya teringat yang Batu Bersurat Terengganu dahulunya ditemui di kawasan lembah sungai kampung itu. Saya singgah dan meninjau-ninjau kawasan itu. Sempat juga mencatat nama dalam buku pelawat.

Mengungkap sejarah penemuan Batu Bersurat Terengganu

Di Memorial Batu Bersurat ini, didirikan sebuah tugu replika batu bersurat yang hampir serupa dengan batu bersurat asal. Pada tugu itu dicatat juga terjemahan kata-kata dalam tulisan rumi. Tulisan asal batu bersurat adalah dalam Bahasa Melayu tulisan jawi. Bahasa Melayu dalam batu bersurat ini pula menunjukkan pengaruh bahasa sanskrit apabila menggunakan nahu sanskrit dalam penyusunan dan pembinaan ayat. Batu bersurat ini amat penting bagi membuktikan peradaban orang Melayu, kedatangan Islam dan perkembangan Bahasa Melayu.

Replika Batu Bersurat Terengganu membuktikan sejarah kewujudan tamadun dan perkembangan bahasa Melayu serta perkembangan agama Islam pada abad ke-12

Saya sempat juga bersembang-sembang dengan seorang pengawal keselamatan yang menjaga memorial ini. Hebat juga orangnya. Walaupun hanya pengawal keselamatan tetapi banyak yang beliau tahu mengenai sejarah batu bersurat.

Pengaruh bahasa Sanskrit dalam Bahasa Melayu catatan batu bersurat ini.

Beliau juga seolah-olah menjadi duta pelancongan bagi penduduk Kampung Buluh apabila mengesyorkan saya melawat beberapa tempat menarik di kawasan berhampiran. Antaranya adalah Pusat Pemeliharaan dan Penetasan Tuntung. Kampung Dusun merupakan pusat konseversi tuntung. Tuntung ialah sejenis haiwan dari keluarga kura-kura dan penyu. Telurnya juga boleh dimakan seperti telur penyu. Cuma ia berbentuk bujur putih panjang. Manakala telur penyu bulat seperti bola ping pong.

Mencatat nama dalam buku pelawat

Abadikan kenangan di Memorial Batu Bersurat Terengganu
Berbual dengan pengawal keselamatan Memorial Batu Bersurat Terengganu, Kampung Buluh, Kuala Berang. Saya rasa hanya dia seorang yang bekerja di situ.

Pengawal keselamatan itu juga mengesyorkan kami mandi manda di air terjun di Kampung Dusun, jiran Kampung Buluh. Katanya air terjun itu jernih, sejuk dan kawasannya cantik. Oleh kerana perjalanan pulang kami ke Pasir Gudang masih jauh, tak sempat untuk melawat ke tempat yang dinyatakan. Mungkin di lain masa boleh membuat kunjungan. Lagi memang saya sukakan suasana kawasan Lembah Berang ini. Udaranya fresh dan nyaman . Kehidupan masyarakatnya yang relaks dan tenang. Alangkah bertuahnya kalau dapat mengajar di sini.

Lebih kurang 30 minit di memorial itu, kami bertolak pulang ke Pasir Gudang. Saya menggunakan LPT2 dengan masuk di Tol Ajil.

Sekian, wassalam.... 

Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR