OLEH : AMIZAM BIN MOHAMED
Assalamualaikum W.B.T dan selamat sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog saya sekalian.
Sesudah 18 tahun saya tidak menjejakkan kaki di bumi Perlis Indera Kayangan pada 13 Disember 2019 lepas saya berkunjung semula ke negeri paling utara semenanjung ini. Sebenarnya saya tidak begitu tahu selok-belok jalan dan lokasi menarik di Perlis. Tapi mujurlah saya mempunyai rakan sekolej kediaman semasa di UUM yang berasal dari negeri ini memberi panduan tempat yang perlu kita kunjung.
|
Bersarapan di Warung Tepi Sawah, Kangar Perlis |
|
Awang rakan saya orang Perlis dan pernah belajar bersama-sama di UUM. |
Rakan yang saya panggil Awang itu mencadangkan saya untuk bersarapan di Warung Tepi Sawah. Menurut Awang yang berasal dari Chuping itu, lokasi warung itu tidak jauh dari Hotel History saya inap di Kangar. Keesokkan harinya pada 14 Disember 2019, jam 9.00 pagi kami (merujuk kepada saya, isteri dan anak-anak) mula mendaftar keluar dari hotel terus bergerak ke warung itu mengunakan panduan google maps.
BERSARAPAN
Bagi pengunjung bandar pasti teruja dengan kedamaian suasana desa ketika menikmati juadah ketika bersarapan pagi. Tambahan pula jika dapat menyaksikan keindahan pemandangan sawah padi yang menghijau dan buah padi yang menguning sewaktu sudah masak. Semua itu dapat kita peroleh sewaktu bersarapan di Warung Tepi Sawah.
|
Warung yang unik di Peghelih |
|
Bersama keluarga |
Warung Tepi Sawah terletak di Kampung Behor Janggus kira-kira 5 kilometer dari Bandar Kangar. Warung itu betul-betul berada di tepi sawah yang terbentang luas. Kami berpeluang menikmati sarapan makanan versi Perlis walaupun jenis makanan yang kita ambil itu sudah biasa kita makan di lain tempat. Pun begitu pasti ada sedikit kelainan dari segi rasa yang lahir dari cara penyediaan dan penggunaan bahan masakan yang sedikit berbeza.
|
Kenderaan pelanggan berbaris panjang di bahu jalan |
Kami tiba di warung ini pada jam lebih kurang 9.30 pagi. Banyak kenderaan parkir memanjang di bahu jalan. Saya sendiri terpaksa meletak kereta agak jauh dari warung. Pada waktu itu, kelihatan sudah ramai pelanggan yang memenuhi meja dan kerusi kedai. Kami terpaksa juga menunggu antara 10-15 minit sementara menunggu pelanggan lain siap makan.
|
Ramai pelanggan yang turut datang bersarapan pada pagi itu |
Sesudah mendapat tempat duduk, saya dan isteri memesan beberapa menu makanan seperti nasi lemak, lempeng kari ikan, ubi kayu dan kuew tiaw goreng. Manakala untuk minuman pula kami memesan teh tarik ais. Agak istimewa juga list menu yang disediakan oleh warung ini. Kalau boleh saya mahu mencuba semuanya tapi nak buat macamana keluarga saya ni bukan jenis kuat makan. Makanan yang dipesan tadi tu pun belum tentu habis dimakan.
|
Senarai menu makanan yang ditawarkan di Warung Tepi Sawah |
Bagi makanan yang sudah tersedia dimasak seperti nasi lemak dan ubi kayu akan cepat sampai di meja. Manakala makanan yang perlu dimasak apabila dipesan seperti lempeng dan kuew tiaw, masa diambil agak lama memandangkan pelanggan yang ramai turut sama memesan makanan terbabit. Begitu juga dengan teh tarik ais. Makanan sudah hampir habis dimakan barulah minuman itu tiba.
RASA YANG ISTIMEWA DAN SEDAP
Dari segi rasa, makanan yang disediakan di warung ini agak sedap seperti nasi lemak dan kuew tiaw. Nasi lemaknya berlaukkan ikan bilis serta telur rebus separuh. Nasinya pula berwarna hijau. Sambalnya pula secukup rasa pedas, masin dan manisnya. Sesuai dimakan oleh semua peringkat umur terutamanya yang tidak boleh makan makanan yang pedas.
|
Nasi lemak pandan |
|
Hud menyantapi nasi lemak tepi sawah |
Kuew tiaw goreng pula saya rasa antara yang tersedap yang pernah saya makan. Nak repeat order pulak pasti lambat akan siap. Yang kami order tu pun masa yang diambil agak lama untuk siap. Mee tiawnya menggunakan mee yang biasa digunakan untuk membuat char kuaw tiaw iaitu yang jenis kecil. Manakala di atas kuew tiaw diletakkan telur mata dan cabai jeruk (lada jeruk). Saya cadangkan jika anda berkunjung ke warung ini cubalah rasa kuew tiaw gorengnya.
|
Kuew Tiaw Goreng |
Satu lagi menu yang saya cuba iaitu ibu kayu rebus. Makanan ini agak istimewa bagi mereka yang mahukan kelainan dalam pengambilan sarapan pagi. Ubi kayu rebus ini disediakan bersama kelapa parut dan sambal gula melaka.
|
Ubi kayu rebus |
Saya rasa core menu bagi Warung Tepi Sawah adalah lempeng kari ikan. Melabelkan lempeng ini sebagai peknga mungkin ia bahasa panggilan bagi makanan ini bagi masyarakat Perlis. Dari segi bunyi sebutan mungkin ia seakan-akan sebutan bahasa Siam. Itu tidaklah menghairankan kerana sememang Perlis berjiran dengan Siam malah pernah berada di bawah pengaruh kerajaan itu pada awal abad ke-20 dan sebelumnya. Peknga ini akan dimakan bersama kari ikan kembung pelaling. Ia mengingatkan saya kepada arwah emak yang kerap menyediakan lempeng gandum dan dimakan bersama kari ikan. Versi yang disediakan oleh arwah mak saya tu lebih sedaplah. Tapi yang peknga warung ni pun sudah enak dan sedap.
|
Peknga atau lempeng kari ikan kembung |
|
Sarapan pagi bersaksikan bendang padi luas terbentang |
|
Sepagi di Warung Tepi Sawah |
Teh tarik ais pula agak istimewa walaupun terpaksa menunggu agak lama untuk tiba di meja makan. Lelehan buih yang ditarik pada gelas pasti mengiurkan sesiapa yang melihatnya. Bila diminum terasa lemak manisnya selain dapat menghilang rasa haus ditekak.
|
Teh tarik ais |
VIEW CANTIK SEPERTI LUKISAN
Bila melihat view di belakang warung, seolah-olah gambaran lukisan yang sinonim kita lihat iaitu sawah padi, bukit dan burung-burung kicau berterbangan. Di belakang warung juga terdapat satu buaian yang disediakan untuk para pelanggan bergambar berlatarbelakangkan sawah padi.
|
Buaian berlatar belakang sawah padi |
|
Salah satu destinasi yang anda patut singgah jika datang ke Perlis |
Saya dan anak-anak mengambil peluang itu untuk mengambil gambar sekeping dua untuk dijadikan evidens sabagai tanda kami pernah berkunjung ke mari.
Setelah semuanya, saya ke kaunter bayaran membayar segala apa yang telah saya makan. Saya ingat-ingat lupa berapakah jumlah yang telah saya bayar. Tapi jumlah itu tidaklah sampai mencecah RM30.00.
Sekian, wassalam....
Comments
Post a Comment