Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu
Dua pohon jambu laut ini terletak di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu. Di bawah pohon ini, saya memujuk diri sendiri setelah gagal melanjutkan ke mana-mana institusi selepas keputusan SPM tahun 1993. Di saat lain-lain rakan meneruskan pengajian, saya gagal menempatkan diri ke mana-mana institusi hatta permohonan ke IKM yang syarat kemasukan sangat minimum itupun saya gagal . Saya mengambil keputusan membantu ayah berniaga buah-buahan di Pasar Maghrib, Bukit Besar dari tahun 1993 hingga awal tahun 1994. Kemudian saya memasuki tingkatan 6 rendah Institut Berakan pada 1994 seterusnya mengambil STPM di Institut tersebut pada tahun 1995. Untuk pengetahuan semua, Institut Berakan merupakan institusi pendidikan Islamik kelolaan swasta. Pada tahun 1996 selepas keputusan STPM keluar, ramai rakan-rakan satu rumah sewa berjaya memasuki maktab perguruan. Saya sekali lagi tersisih. Jadi di bawah pohon inilah tempat saya meratap nasib duduk di buaian sambil mata mengadap Laut China Selatan. Saya berharap pohon ini terus kekal berdiri di sini walaupun saya tidak lagi menetap di Pantai Pandak.
Comments
Post a Comment