ITINERARI BAJET 2019 : HARI KEDUA DARI KANGAR KE PADANG BESAR, ALMA MATER UUM, PANTAI MERDEKA DAN LUMUT

KANGAR, 14 Disember 2019 - Setelah mengharungi perjalanan panjang semalam dan dapat berehat di bilik hotel. Pagi ini tubuh berasa segar sedikit seolah-olah baru menogok sebotol tonik.

Salah satu view di Warung Tepi Sawah, Kangar, Perlis

Timeline hari kedua


BERHENTI SEKEJAP DI DENAI LARIAN PENGKALAN ASAM

Hari saya bangun seawal jam 6.30 pagi. Solat subuh sambil mengejutkan yang lain-lain. Rasa rugi duduk dalam bilik hotel lama-lama walaupun masa untuk check out tu masih lama. Pun begitu dalam keadaan mereka yang keletihan agak liat juga nak bangun. Disaat waktu menghampiri jam lapan setengah pagi Barulah Mereka semua siap. Kami check out pada pukul 9 pagi.

History Hotel waktu siang
View Bandar Kangar dari Bilik 216

Checking out dari hotel lebih kurang 9.00 pagi

Turun hotel

Saya teringat semalam yang Awang memberitahu saya kalau nak sarapan elok pergi warung tepi sawah. Saya membuat carian dalam Google berkenaan warung tersebut. Okey cantik warung itu buka hari ini. Lantas kami bergerak segera ke lokasi warung itu. Dalam perjalanan kami ternampak satu tempat yang agak ramai orang berdekatan sebuah jambatan. Semalam Saya dah lihat tempat tu kerana terdapat satu jambatan gantung yang boleh tahan best kalau berhenti. Tempat yang dinyatakan adalah Pengkalan Asam yang terletak di pinggir Bandar Kangar. Tempat ini digunakan oleh penduduk sekitar untuk beriadah dan berjoging.

Denai Larian Pengkalan Asam, Kangar, Perlis
Belum ready

Saya meletakkan kenderaan tempat letak kereta yang masih banyak kosong. Dan pada waktu itu menunjukkan pukul 9 pagi. Di waktu ini orang dah kurang berjogging sebab matahari semakin naik tinggi cuaca pun agak panas hari itu. Saya dan lain-lain tidak melepaskan peluang untuk mencuba menyeberangi jambatan gantung yang merentangi Sungai Perlis. Terhoyong hayang juga sewaktu berjalan kerana jambatan gantung Biasanya tidak stabil jadi setiap kali kita melangkah jambatan itu akan bergoyang.

Jambatan Gantung

Tak tahu bila akan sampai sini lagi

Dua orang anak saya itu Aimi dan Wafiy Merasa takut bila mana berada atas jambatan tu. Tetapi Ismah dan Hud rilek ajer. Selepas berjaya menyeberangi jambatan Aimi dan Wafiy meminta saya mengambil kereta dan mengambil pula mereka di situ. Mereka sudah tidak mahu naik jambatan itu lagi kerana gayat.

Naik tangga pun dah bergoyang-goyang

Jambatan gantung merentasi Sungai Perlis

Mereka tapi along tiada

Swafoto atas jambatan gantung

Mereka ada di seberang Sungai Perlis

Agak best juga duduk Bandar Kangar ni. Walaupun kecil tapi masih banyak tempat menarik boleh kita santai. Saya dan Ismah semula jambatan gantung untuk mengambil kereta. Teruslah saya mengambil Mereka semua dan bergerak ke warung tepi sawah.

BERSARAPAN DI WARUNG TEPI SAWAH

Kedudukan Pengkalan Asam dengan warung tepi sawah tidak begitu jauh kira-kira 3.5 km sahaja. Cuma 5 minit sahaja masa diambil untuk ke warung itu.

Warung Tepi Sawah terletak di Kampung Wang Bintung, Kangar, Perlis

Warung Tepi Sawah ini terletak di kampung Wang Bintong, Kangar. Ia dibuka pada setiap hari kecuali hari Isnin bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Jadi hari Isnin jangan datang pula ya sebabnya ia ditutup.

Sementara menunggu sarapan tiba. Makanan cepat sampai yang lambatnya teh ais tarik dan kuetiau goreng sebab ramai pelanggan yang order

Menu killer bagi warung ini ialah peknga kari ikan dan teh ais tarik. Pun begitu terdapat menu lain seperti ubi kayu kelapa, nasi lemak dan kuetiau goreng. Lain-lain menu pun ada cuma banyak sangat nak sebut.

Peknga atau nama panggilan kita adalah lempeng terasa rare bila dapat memakannya. Sebutan peknga mungkin kata pinjaman dari Siam memandangkan negeri ini berjiran dengan Thailand

Peknga atau tempat kita di panggil lempeng sedapla jugak bila dicicah kari ikan tu. Ia mengingatkan saya kepada arwah mak yang suka masak lempeng. Awak juga suka masakkan kari ikan. Boleh dikatakan hari-hari Mak masak kari ikan sebab itulah makanannya sejak kecil. Tapi kari ikan yang mak saya masak lagi pekat daripada warung tepi sawah ini. Sebab bila bila lempeng dicicah kuah kari ia akan melekat sehingga masuk dalam mulut.

Sesekali dapat bersarapan di kawasan bendang seronok juga. Indahnya Malaysia....

Nasi lemak warung tepi sawah ini pula berwarna hijau kemudian terdapat telur dan sambal ikan bilis sebagai lauknya. Boleh tahan la rasanya. Teh ais tarik sedap rasa buihnya Semenjak anak tekak. Rasa manis dan lemaknya sesedap rasa.

Rasa kuetiau pula sangat sedap. Sudah banyak tempat saya makan kuetiau dan kuetiau di sini antara yang tersedap. Tapi saya lihat kuetiau ini seperti bukan milik pemilik warung tepi sawah sebaliknya ia seperti Booth yang disewa kerana saya perlu bayar secara berasingan.

Hud sarap nasi lemak

Ubi kayu rebus

Teh tarik ais power

Rasa nak repeat order kuetiau ni... enaq bangat gaeesss...

Keistimewaan warung tepi sawah ini terletak pada persekitarannya yang berlatarbelakangkan bendang padi. Tenang dan nyaman bilamana dapat bersarapan di tepi sawah sambil menghirup udara segar. Kawasan ini juga tidak sibuk seperti di kawasan bandar. Warung ini tidak menyediakan tempat meletak kereta yang khusus sebaliknya pelanggan perlu meletakkan kenderaan di bahu jalan. Saya pula parking kereta agak jauh kira-kira 50 meter dari kedai.

Rasa seperti berada dalam sebuah lukisan ketika berada di Warung Tepi Sawah

Sewaktu saya datang (jam 9.30 pagi) terdapat ramai pelanggan yang masuk ke warung. Ada yang terpaksa menunggu sehingga pelanggan lain selesai makan bagi mendapatkan meja. Mujur juga waktu itu  sebaik kami masuk ke warung terdapat pelanggan yang baru sahaja menghabiskan sarapannya. Jadi dapatlah kami duduk menunggu lama.

Nota :
Jumlah harga yang kami makan hari tu adalah sebanyak RM22.00

BERKUNJUNG KE PADANG BESAR

Walaupun saya pernah belajar di UUM Sintok selama tiga tahun namun saya tidak pernah pergi ke Padang Besar Walaupun jaraknya tidaklah Begitu jauh. Pergi ke Bukit Kayu Hitam tu adalah sekali dua. Jadi selepas makan di warung tepi sawah kami terus ke Padang Besar. Padang Besar merupakan salah satu pintu masuk Malaysia dengan Thailand. Biasanya lori lori kontena mengangkut barang-barang dagangan antara dua negara melalui Padang Besar.

Lot-lot perniagaan di Padang Besar. Arked Niaga terletak di belakang bangunan ini.

Terdapat beberapa tempat perniagaan di Padang Besar dan yang paling popular di Arked Niaga ini kerana harganya lebih murah.

Arked Niaga Padang Besar dari dekat 

Kedudukan antara warung tepi sawah dengan Padang Besar kira-kira 40 kilometer atau lebih kurang 50 minit masa diambil sekiranya memandu dalam kelajuan normal. waktu pagi di Perlis Begitu tenang sikit mungkin disebabkan hari Sabtu merupakan hari cuti bagi negeri ini. Tak Begitu banyak kenderaan melalui kawasan empangan Timah Tasoh yang saya gunakan untuk Padang Besar ini. Jadi perjalanan tu kami pagi ini agak lancar.

Di bulatan ini jangan tersalah pilih laluan ke arked niaga. Kalau tak anda mungkin masuk ke Pusat Imigresen untuk ke Thailand

Pada pukul 11.10 pagi kami tiba di Arked niaga Padang Besar. Tempat letak kereta di tepi jalan kawasan ini agak penuh jadi saya memasuki satu ruang tempat letak kereta yang dikendalikan oleh Majlis pembandaran. Harga untuk parking di kawasan ini adalah sebanyak RM3.00 sekali masuk.

Akhirnya kami menjejak kaki ke kawasan paling utara tanah besar semenanjung.
Survey harga toto dulu

Berjalan sekitar arked

Isteri dan Ismah memilih bag

Di Arked Niaga Padang Besar ini kita boleh mendapatkan barang-barang pakaian, tilam toto, buah-buahan dan lain-lain dengan harga yang lebih murah dari tempat lain. Tak Begitu banyak yang isteri beli cuma satu dua bag galas kecil dan barang-barang kosmetik untuk kegunaan waktu travel ini serta ubat kulit gatal. Manakala saya pula ada membeli rojak buah buahan dan juga makanan gorengan yang dijual di arked ni.

Lama tak makan colek buah versi utara ni

Beli barang kosmetik dan ubat rawatan kulit

Kedai pakaian

Kedai jersi bola

Dengan Ismah

Nak beli beli tapi jangan guna duit saya

Kena beringat kita dalam travel tak boleh beli banyak barang. Nanti tak muat kereta

Biasanya para pelawat yang berkunjung di sini membeli baju jersi bola pasukan bola sepak EPL. Yang saya tengok tu jersi jenis copy AAA dijual dua helai RM50.00. Manakala bagi kualiti yang yang lebih rendah dijual pada harga RM10 satu. Sebelum beredar dari Arked Padang Besar saya membeli tiga cadar toto berharga RM100.00. Kalau beli satu Harganya adalah RM40.00. Sebenarnya saya membeli cadar toto ini untuk hadiah dua orang sepupu perempuan saya di Pangkor keesokan harinya.

Makanan gorengan

Udang galah RM20.00. Tapi saya tak beli sebab bukan penggemar udang galah

Beli kerana dah lapar

Terliur tengok kerang. Gatal hidung kalau makan ni

Makan duluan yuk

RM10.00

Aiskrim kelapa RM5.00


Kecur air liur nengoknya

Beli cadar toto 3 dengan harga RM100. Toto Narita rasanya harga RM48.00 tapi tak beli pun.

Rakam Kenangan

Menjelang pukul 1 tengahari kami beredar dari Padang Besar menuju ke UUM Sintok.

Nota :
Jumlah belanja yang saya keluarkan di Padang Besar tak termasuk isteri adalah :-

1. Rojak buah RM5.00
2. Mainan Hud RM8.00*
3. Aiskrim kelapa RM5.00*
4. Air kelapa RM2.00
5. Ayam dan sosej RM20.00
5. Cadar Toto RM100.00 *
* perbelanjaan boleh dielakkan

Beredar meninggalkan Perlis

KEMBALI KE ALMA MATER UUM SINTOK


Jam hampir pukul 1.00 tengah hari saya bertolak dari Padang Besar ke Pekan changlun. Jarak antara  padang besar dan UUM  kira-kira 49 km. Perjalanan ke situ Tidaklah memakan masa kerana jalan yang menghubungkan kedua-dua tempat ini adalah lebuh raya yang tidak sibuk. Sebelum masuk ke cinta kita akan terlebih dahulu melalui Changlun. Kan Changlun yang saya lihat kini sudah seratus peratus berubah. Kalau 15 tahun dahulu jalan dari Changlun ke Sintok hanya 2 Lorong satu hala ke Sintok dan satu hala ke Changlun tapi kini kedua-dua hala itu mempunyai dua lorong. Jadi agak cepat juga tiba di UUM.

Tiba di pintu masuk UUM pada 1.45 tengah hari

Kami di pintu masuk UUM kira-kira jam 1.45 tengah hari setelah 45 minit memandu. Saya datang ke UUM bukan apa sekadar untuk melepaskan rindu pada tempat yang pernah saya menetap selama 3 tahun untuk menimba ilmu. Sambil-sambil bercerita kepada anak-anak tentang kenangan itu. Banyak kenangan juga saya di sini pahit manis getir semuanya ada.

Rindu membawaku datang ke mari

Kebetulan saya datang pada hari Sabtu sememangnya hari ini hari minggu bagi negeri Kedah jadi tak ada apa-apa aktiviti seperti kuliah dan sebagainya dalam kampus. Nak juga rasa makan di kafetaria Hal Ehwal Pelajar tapi nak buat macam mana hari itu tutup. Nak juga masuk dalam dewan kuliah yang nama DKG-DKG tu. Nak juga lepak-lepak kat foyer Sekolah Pembangunan Sosial (kini sebut fakulti kot). Tapi hari ini semua tu tutup. Nak memandai-mandai masuk takut dituduh ceroboh pula.

Hari ini saya melawat Kolej Kediaman Proton tempat-tempat yang saya inap selama 6 semester sewaktu belajar dahulu terutama blok A. Blog ini saya Saya duduk pada pertama, kedua, kelima dan keenam manakala semester 3 dan 4 Saya inap di blok G. Terharu bila tengok blok A rasa terngiang-ngiang ayah dan arwah mak datang hantar saya masuk ke bilik A-2-1.

Blok A Kolej Kediaman Proton UUM

Terbayang kenangan tidur di bilik A-2-1 (yang ada tirai tu)

Kafeteria Proton pula telah berubah wajah. Kalau dulu tokeynya Kak Ta tapi kini orang lain yang handle. Jadi seperti kiosk banyak lot-lot kecil niaga. Semalam Awang ada bagitahu yang Kak Ta kini berniaga di kolej Guthri. Dulu masih ingat lagi bila Kak Ta niaga kafeteria kolej lain yang berdekatan akan lesu kerana kebanyakkan student akan datang ke kafeteria Proton. Yalah lauk banyak jenis harga pula murah Walaupun ambil banyak. Saya sempat mengambil dua tiga keping gambar kafetaria proton.

Kafeteria Proton. Kempunan nak makan di Cafe Kak Ta sebab dia dah berniaga di Kolej Guthri

Dalam pada itu kami belum lagi menunaikan solat Zohor dan jam pada ketika itu menunjukkan hampir menjengah pukul 2.00 petang. Saya menghalakan kenderaan saya ke masjid UUM yang jaraknya tak jauh dari Kolej Proton dan setentang dengan Kolej Pernas jiran Proton. Dulu-dulu saya hanya berjalan kaki ketika ke Masjid. Tak pernah bawa motor sebab saya ni budak skema. Unit keselamatan UUM (UK) tak bagi memang tak bawa la. Padahal belambak je budak lain bawak tanpa pas masuk. Budak-budak yang dapat pas akan toreh-toreh dengan pisau stiker yang dilekat pada motor. Kalau tak toreh alamatnya hilangla stiker tu ken rembat. Dulu UK ni lebih power dari polis lagaknya. Bengkeng benor kalau dengan budak-budak. Kenderaan tak ada stiker tu nahasla.

Berhenti rehat dan solat di Masjid UUM, Sintok, Kedah

Dalam masjid

Oklah melalut pasal UK pulak. Kami solat di masjid ini jam 2.00 petang. Isteri mandikan Hud bagi meredakan kepanasan. Lepas itu saya arahkan anak-anak habiskan makanan yang dibeli di Padang Besar tadi. Lagi lama makanan tu ada dalam kereta lagi berbaulah ia. Selesai makan dan pakaikan baju Hud. Saya bertolak ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah untuk snap gambar sekeping dua.

Ketika di Library UUM itu, hujan turun agak renyai. Saya meletakkan kenderaan berhampiran food court hijau kuning yang kedudukannya di tengah-tengah bilik-bilik kuliah. Sayangnya food court ini tutup pada hari itu. Di situlah Biasanya saya dan rakan-rakan sekuliah makan selepas kuliah tamat antaranya Padlishah. Kami adakalanya mempunyai jadual kuliah yang sama. Umur kami pun sama. Nombor metrik pun hampir sama. No metrik saya 42756 dan no dia 42757.

Mendukung Hud di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM

Semasa turun nak ke library, Hud nak ikut. Saya mendukungnya hingga ke sana. Snap 4 5 frame gambar. Kelihatan ramai sungguh student sedang menelaah. Ramai pun ramai yang couple la. Study ala-ala sweet gitu. Saya dulu-dulu takda couple-couple ni. Baik dengan dua tiga orang perempuan tu adalah seperti Hayati Othman budak Taiping (course BPM) dan Lili Mohammad budak Teluk Menara, Manir, Terengganu (Course BBA). Yang lain-lain tu sekadar berbual-bual tapi tak tahu nama.

Foyer perpustakaan

Bila saya lihat library saya terbayang ketika hendak menyiapkan assignment. Biasanya seorang student diberi kuota meminjam buku-buku dalam 5-6 buat gitulah. Lebihan buku yang tak boleh dipinjam akan saya sembunyikan di rak lain di tingkat lain. Saya buat begitu supaya tidak mahu student lain dalam course yang sama menjumpainya. Kalau mereka ini dapat mengesan buku itu alamatnya sampai habis date assignment kena hantar tak dapat buku tu. Sedih bila dia orang check dalam sistem buku tu ada dalam rak asal tapi bila pergi cari tak jumpa-jumpa. Seminggu kemudian saya akan datang ke rak yang saya sembunyikan itu untuk meminjam buku tersebut.

Pantang nampak 'goni' mesti nak air

Buat assignment zaman dulu ni rare. Buat dekat PC kemudian kemudian save dalam disket C yang harga RM1.50 satu. Disket tu akan diserah pada tukang edit biasanya ketua kumpulan. Dia lah yang print dan hantar kat lecturer. Kemudian ahli grup bayarlah sikit sorang duit print dan kertas. Saya sebenarnya lebih suka kalau lecturer suruh buat assignment individu daripada secara grouping. Biasanya kalau grouping ni ada sorang dua yang jadi free rider. Kerja tak buat tapi bila time nak hantar assignment, pandai datang cek nama diorang kita letak atau tak.

Jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki saya mahu menjejak kaki di sini lagi

Oklah... melalut lagi.. bila dah siap ambil gambar. Hari pun dah makin ke petang. Hujan pun turun makin lebat. Saya pun ke checkpoint seterusnya untuk hari itu iaitu Pantai Merdeka di Kuala Muda.

Nota:
Perbelanjaan di UUM adalah sebanyak RM4.00 untuk air tin.

CINTAKU DI PANTAI MERDEKA

Pukul 3.00 petang ada kat UUM lagi memang kalutlah. Pasni ada satu checkpoint lagi yang nak pergi iaitu Pantai Merdeka. Kalau ikut jarak jauhnya kira-kira 137 km dekat dua jam juga perjalanan tu tambah-tambah kalau banyak kenderaan atas jalan raya.

Kalau Sebelum ini saya setkan avoiding toll dalam GPS. Tapi kali ini saya terpaksa guna lebuh raya plus supaya lebih cepat sampai. Kalau ikutkan hati saya nak guna jalan biasa saja melalui Kuala Kedah tapi takut tak sempat sebab lepas pergi pantai merdeka saya perlu pergi pula ke Lumut untuk check in hotel yang telah saya tempah seminggu sebelum itu.

Saya berhenti di Stesen Shell Changlun untuk menopup akaun touch and go saya sebanyak RM50.00. Walaupun Lebuhraya PLUS ni bersambung dari Bukit Kayu Hitam tetapi permulaan tol dikira dari tol Jitra. Bandar Jitra kita akan jumpa selepas melalui Pekan Changlun. Perjalanan melalui Lebuhraya Plus berjalan lancar dengan saya membawa kenderaan dalam kelajuan 100 hingga 120 kmj. Kemudian Exit di tol Sungai Petani. Saya tak pasti tolnya berapa yang dicaj. Saya rasa kena bayar dalam RM16.00.

Lepas Exit tol Sungai Petani, kita akan memasuki Pekan Kuala Muda. Kemudian kita akan melalui jalan perkampungan sehingga jumpa Pantai Merdeka. Rupanya Pantai Merdeka ni adalah jalan mati. Kita perlu melalui jalan sama untuk keluar nanti.

Kali kedua dalam hidup datang ke Pantai Merdeka

Pantai ini mungkin tidak secantik pantai-pantai di timur semenanjung. Tetapi pantai ini dikunjungi ramai orang kerana memori dan namanya. Hari ini merupakan hari kedua saya datang ke pantai ini. Pertama sewaktu menyertai aktiviti kelab kenu UUM yang menganjurkan aktiviti perkhemahan dan juga dayungan pada Ogos 2001. Sempat jugalah saya berkenu serta mandi manda di Pantai ini. Kemudian berkhemah di tepian pantai. Bertrekking dan berhiking di hutan dan bukit berdekatan. Malamnya pula bakar kerang yang dibeli di Pasar Kuala Muda dengan harga RM8.00 seguni (dalam 18-20 kg) pada masa itu.

Pantai Merdeka

Pengalaman pertama mereka di sini

Kami sampai di Pantai Merdeka pada pukul 5.30 petang. Kami tak punya banyak masa di sini kerana perlu ke Lumut untuk check in hotel. Masa untuk ke sana lebih tiga jam juga. Kalau lewat bahaya juga kerana saya tiada pengetahuan mengenai laluan ke Lumut dari Pantai Merdeka ini.

Kan ku ukir namamu di awan Gunung Jerai...bersaksikan laut daun nyiur melambai

Jauh pandangan permai di situ Tanjung Dawai... terkenang peristiwa cinta kita terhurai

Kata-kata di caption gambar atas adalah bait kata lagu CINTA PANTAI MERDEKA

Pantai Merdeka pada masa itu sarat dengan orang ramai. Pantainya yang berpasir kasar keperangan dan berombak anak serta tenang. Di seberang sana kelihatan Tanjung Dawai tempat ayah pernah memukat bilis di zaman remajanya. Anak-anak saya pula bergetak jiwanya nak mandi-manda. Kalau tak kerana dah book hotel di Lumut saya bagi juga. Boleh cari-cari hotel sekitar Kuala Muda atau jirannya Penaga, Penang. Jadi saya tak benarkan anak-anak. Saya cakap dah lewat.

Abadikan kenangan

Saya mahu mendidik mereka menjadi pengembara bukannya menjadi pelancong

Hud memang obses dengan air sehingga ibunya terpaksa menarik tangan menghalangnya mendekati air

Mereka beberapa kali cuba memujuk saya membenarkan mereka mandi tapi saya tetap tak benarkan.


Pantai Merdeka seperti sebuah uptown kerana banyak gerai-gerai jualan di bawah kanopi

Macam biasalah saya snap gambar sana-sini. Benda free snap jer lah kan. Tak rugi pon. Nanti bila free anda tengok gambar tu anda akan menghargai saat-saat itu. Lepas snap kami makan-makan di Medan Selera Pantai Merdeka. Saya rasa waktu malam, Pantai Merdeka ada uptown sebab banyak peniaga menjual pelbagai jenis barang di bawah kanopi. Itu saya tak pasti sebab kami meninggalkan tempat itu dalam pukul 6 lebih.

Pekena laksa tapi tak sesedap yang saya jangkakan. Sedap lagi isteri saya buat... saya terkenang laksa kedah kakak ipar Kak Ta Kafe Proton. Laksa dari tepung beras. Laksanya sentiasa terendam dalam air.

Isteri berkongsi nasi goreng paprik dengan Wafiy

Makan di sini saya rasa tak begitu sempurna. Mungkin saya tersalah pilih kedai. Kami makan char kuetiau, laksa, maggi, nasi goreng praprik dan 2 air teh o ais berharga RM27.00 kot (saya lupa tapi rate nya lebih kurang gitu).

Nota:
Jumlah perbelanjaan datang ke Pantai Merdeka adalah RM16.00 tol, RM27.00 makan dan parking kereta RM1.00. Semuanya berjumlah RM44.00.

BERMALAM DI LUMUT

Pukul 6.30 petang kami baru nak bertolak ke Lumut. Kalau diikutkan jarak dan laluan paling dengan memandu tanpa henti, kami dijangka sampai pada pukul 10.00 malam. Tapi itu agak mustahil memandu sejauh 200 km tanpa henti jika membawa anak-anak kecil. Dengan laluan yang saya tak biasa takut juga. Saya perhatikan dalam dalam google terdapat kawasan hutan, pinggir gunung, ladang sawit dan perkampungan terpencil yang akan dilalui sebelum sampai di sana. Melalui kawasan sebegini di waktu malam takut hantu-hantu satu hal dan lebih takut ialah bilamana berhadapan dengan manusia-manusia yang berperangai lebih teruk daripada hantu syaitan.

Simpang ke Kepala Batas, Pulau Pinang melalui jalan biasa

Terdapat 2 laluan yang disyorkan, jika menggunakan jalan yang ada tol masa dijangka adalah 3 jam setengah. Jika jalan tiada tol memakan masa 4 jam lebih. Perbezaan 1 jam. Jika waktu sekarang tengah hari sudah pasti saya memilih jalan tanpa tol melalui pesisir pantai dari Parit Buntar ke Pantai Remis itu. Saya lebih prefer memilih jalan bertol.

Sekali lagi saya melalui Pekan Kuala Muda nak berhenti tak sempat jadi tengok-tengok jer lah dalam kereta. Dalam laluan tu ada sebuah jambatan yang memisahkan Negeri Kedah dan Pulau Pinang. Jambatan itu merentangi Sungai Kuala Muda dan di seberang jambatan adalah Penaga, Pulau Pinang. Ini merupakan kali pertama saya melalui kawasan ini dan saya perhatikan ia adalah kawasan petempatan padat yang mana banyak rumah di kiri kanan jalan. Kalau ditengokkan jenis rumah, majoriti penduduknya adalah orang Melayu.

Topup petrol di Shell Kampung Penaga 2, Pulau Pinang

Melalui jalan Penaga, saya berhenti mengisi minyak petrol sebanyak RM50.00 di stesen Shell Penaga. Anak-anak pula mengikut ibunya membeli sedikit jajan dalam mart shell. Sambil-sambil tu ada melepaskan hajat dalam toilet. Waktu tu dah hampir gelap dengan masjid berdekatan sudah bersedia untuk melaungkan zan Maghrib. Lepas isi minyak, saya bertolak semula melalui jalan perkampungan Seberang Perai itu sehingga ke Butterworth.

Lepas Butterworth barulah masuk ke lebuhraya plus hingga keluar di Tol Changkat Jering. Saya lupa nak tengok kadar tolnya. Saya rasa kadar yang saya bayar adalah sebanyak RM6.00 dengan melihat baki kredit Touch n Go. Masa saya top up di Shell Jitra balance nya RM53.00. Bila saya keluar dari tol Changkat Jering bakinya tinggal RM32.00. RM16.00 tol telah saya bayar sewaktu exit di Sungai Petani masa nak pergi Pantai Merdeka.

Exit sahaja di Changkat Jering, hujan turun dengan lebat. Waktu tu saya rasa dalam jam dalam pukul lapan setengah lebih. Memandu waktu malam dengan hujan lebat menjadikan jarak penglihatan makin terhad. Saya memperlahankan kenderaan dalam kadar 50-60 kmj sewaktu di jalan menuju Terong. Kemudian melalui kawasan sunyi jalan itu hinggalah bertemu Pekan Pantai Remis. Dari Pantai Remis lebih kurang 35 km lagi akan sampai di Seri Manjung.

Bersihkan dan mandiakn Hud di Petron Segari dekat-dekat area Pantai Remis

Tiba di Simpang Sri Manjung jam 10.10 malam

Saya sampai di Simpang Seri Manjung ada 10.10 malam. Tak jauh dari jangkaan awal iaitu tiba pada jam 10.00 malam. Kedudukan Seri Manjung dengan Lumut tidaklah jauh dalam 5 - 6 km sahaja. Lumut pada waktu malam sememangnya sesak kerana terdapat Uptown di sepanjang pesisir Lumut. Saya terpaksa meletakkan kenderaan sedikit jauh dari Hotel Lumut Suites yang saya book seminggu yang lalu.

Biasanya saya bila dah sampai di sesuatu tempat baru saya cari hotel sama ada secara walk in atau online. Tapi sebab Lumut kawasan tumpuan pelancong kalau last minit cari memang tak dapatlah. Tu yang terpaksa booking awal.

Jam 10.30 malam, kami check in di Lumut Suites Hotel. Anak-anak dan isteri pun kelihatan sudah letih setelah seharian berjalan. Mereka kelihatan sedikit segar dan lega pabila masuk ke bilik famili yang saya sewa. Dalam bilik itu terdapat 2 bilik yang masing-masing mempunyai satu katil saiz king. Anak-anak yang besar tidur di bilik luar. Manakala saya dan isteri serta Hud guna bilik dalam.

Check in pukul 10.30 malam

Menuju ke bilik

Katil bilik dalam

Katil bilik luar

Tak perlu caption lebih-lebih tentang yang ni.

Saat anak-anak dan isteri mandi dan bersihkan diri, saya turun dari hotel. Perut saya agak lapar. Laksa yang saya makan di Pantai Merdeka itu rasa tak memadai untuk bertahan hingga ke esok pagi. Bulan Februari lalu, kami pernah datang ke Lumut dan inap di sebelah hotel ini iaitu Happy 92 Hotel. Bawahnya terdapat sebuah Restoran. Waktu itu saya makan nasi goreng ikan kukus. Rasa nak makan lagi menu tu lalu saya pergi dan order makanan tu. Yang sedap tentang nasi goreng ikan kukus ni adalah ikan kembung segar di kukus dan digoreng. Nasi goreng pula sama rasa nacam makan nasi goreng kampung.

Pekena nasi goreng ikan kukus. Memang superb....mebeles....dilises

Lepas makan saya membayar di kaunter dengan harga RM11.00. RM10.00 harga nasi goreng dan RM1.00 untuk air. Saya pun naik ke bilik hotel mandi bersihkan diri kemudian solat. Dalam kekeyangan dan badan pun dah rasa lenguh-lenguh, saya tidur dalam kesejukan penghawa dingin....

Nota:
Perbelanjaan semasa ke Lumut adalah RM50.00 petrol, RM6.00 untuk tol, RM11.00 nasi goreng dan air, RM10.00 jajan anak, RM152.00 untuk hotel. Jumlah semua RM229.00.

RUMUSAN HARI KEDUA

Belanja di Warung Tepi Sawah RM22.00
Belanja di Padang Besar RM140.00
Belanja di Pantai Merdeka RM44.00
Belanja di Lumut RM229.00
Jumlah keseluruhan hari Kedua RM435.00
Jumlah hari pertama + hari kedua RM739.00

*RM150.00 ada perbelanjaan yang tak perlu


Ada sambungannya hari ketiga tapi tak tau bila.....

Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR