ITINERARI BAJET 2019 : HARI PERTAMA DARI KOTA BHARU KE HENTIAN TITIWANGSA, PENGKALAN HULU, BALING, PEKAN RABU, MENARA ALOR SETAR, PADANG BESAR

KOTA BHARU - JUMAAT, 13 DISEMBER 2019. Saya memulakan pengembaraan bersama keluarga kecil dari rumah kami di Kg. Marak, Kota Bharu jam 7.30 pagi. Sehari sebelum itu, saya memgisi petrol kereta di Stesen Petronas Tok Kenali sebanyak RM108.00. Saya memilih laluan Lebuhraya Salor - Pasir Mas - Tanah Merah untuk ke Jeli. Cuaca dan keadaan trafik hari ini dalam keadaan baik sepanjang saya melalui laluan ini.


Timeline perjalanan dan 9 tempat persinggahan saya yang dikesan dalam google maps dengan masa diambil 10 jam 11 minit. 282 minit tu adalah missing yang mana google tidak dapat mengesan peranti disebabkan masalah coverage internet. Jadi 282 minit google tak tahu saya ada di mana



Bag dan kelengkapan sudah saya muat dalam kereta sehari sebelumnya. Petrol full tank juga telah saya isi sebanyak RM108.00

SARAPAN PAGI

8.50 pagi - Kami singgah bersarapan di Kg Gertak Chaber selepas melintasi Bandar Tanah Merah. Saya dan isteri mengambil sarapan nasi dagang ikan aya. Ismah dan Aimi berkongsi nasi lauk ayam gulai. Manakala Hud dan wafiy masing-masing makan pulut. Hanya air teh panas dan segelas teh O ais sahaja yang kami minum secara berkongsi. Harga semua makanan sarapan kami RM16.00.


Sarapan pagi di Gertak Chaber, Tanah Merah, Kelantan

9.10 pagi - kami meneruskan perjalanan melalui Pekan Kursial Baru, Tanah Merah dan kemudian mengambil jalan Timur - Barat menuju ke Jeli. Selepas Kampung Batu Melintang, Jeli. Kenderaan kami melunsuri Lebuhraya Timur - Barat membelah kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa.

INDAHNYA PEMANDANGAN SET GUNUNG - GANANG LEMBAH BELUM DI HENTIAN TITIWANGSA

10.30 pagi - Saya memberhentikan kenderaan di Hentian Rehat Puncak Titiwangsa. Tujuannya untuk rehat-rehat disamping mahu melihat view cantik kawasan hutan Royal Belum yang meliputi kawasan gunung-ganang yang berbalam-balam.


Indah Bumi Tuhan : Deretan gunung di Banjaran Titiwangsa dapat kita lihat di Hentian Titiwangsa.

Sememangnya hentian ini menjadi kegemaran bagi pengguna Lebuhraya Timur - Barat untuk berhenti rehat. Kalau pukul 11.00 hingga 2.00 tu memang waktu peak lah. Agak sukar nak cari tempat letak kereta kosong. Ramai orang berhenti di sini untuk makan-makan dan pergi ke tandas. Ramai juga yang datang bersama keluarga seolah-olah hanya datang untuk berkelah pabila mereka makan bekalan makanan di atas tikar sambil mengadap pemandangan indah gunung-ganang.


Terima kasih kepada satu keluarga kerana menolong mengambil gambar kami di Puncak Titiwangsa

Saya, isteri dan anak-anak turun dari kereta kemudian ke tandas untuk melepaskan hajat masing-masing. Lepas selesai kami ke tempat ramai orang mengambil gambar. Saya berasa kagum dengan keindahan pemandangan ciptaan Allah di hadapan mata saya sendiri. Rasa tenang dan damai bila memandangnya. Saya merakam banyak gambar. Kemudian ada satu keluarga membantu kami dengan menolong mengambil gambar lengkap kami sekeluarga.


Membeli pau di Hentian Titiwangsa sebelum meneruskan perjalanan

Udara di sini begitu sejuk sekali umpama udara sejuk keluar sewaktu kita membuka peti ais. Mungkin disebabkan oleh sekarang musim hujan. Sewaktu saya datang pun hujan renyai sekali-sekala. Angin pula menghembus agak kuat juga. Rasa segar wajah bila bayu gunung itu datang menyapa muka dan pipi.

Selepas itu, anak-anak pula merengek nak air dan pau. Jadi isteri membeli beberapa biji pau dan setin air milo.

TUGU PERINGATAN JKR

11.15 pagi - meneruskan semula perjalanan dengan menghabiskan baki lebuh raya Timur - Barat. Di penghujung lebuh raya terdapat sebuah tugu peringatan menceritakan 3 kakitangan JKR yang terkorban dan 63 Jentolak diletupkan oleh komunis pada 23 Mei 1974. Ketika ini mereka sedang melakukan kerja-kerja membina laluan rintis ini menghubungkan Timur dan Barat semenanjung.


PENGORBANAN DALAM KENANGAN

Berhenti beberapa minit di sini sebagai tanda ingatan atas pengorbanan anggota JKR dan Keselamatan dalam merintis laluan timur - barat ini. 

Tetapi persekitaran tugu ini seolah-olah tidak terjaga. Keadaannya pun seperti tidak terurus. Saya pun tak tahu siapakah yang dipertanggungjawab kan untuk menjaga Tugu Peringatan ini samada pihak JKR atau Majlis Daerah Gerik. Saya rasa ia perlu dibaikpulih kerana kelihatan sudah uzur dan lusuh. Rumput di sekeliling tugu juga agak panjang.

PENGKALAN HULU, PERAK

Kemudian saya melalui jalan lama ke Alor Setar iaitu dengan pergi ke Pengkalan Hulu dan Pekan Baling. Saya tiba di Baling pada jam 1.00 tengah hari. Saya sengaja memilih jalan ini kerana ingin mencari seseorang yang pernah membantu membaiki kenderaan saya kira-kira 15 tahun lepas. Malah saya bermalam di rumahnya untuk dua malam. Tapi saya lupa nama kampung tersebut. Yang saya tahu nama orang itu adalah Abang Din. Seorang bekas tentera dan bekerja sebagai pemandu lori balak. Saya memperlahankan kenderaan di sepanjang laluan Gerik - Pengkalan Hulu ini sambil cuba mengecam rumah Abang Din. Tapi saya gagal mengecamnya.

Jika kenderaan anda sudah berusia, sebaiknya berhati-hati dengan tempereture enjin kerana jalan ini jalan pendakian berbukit-bukau. Di sinilah kereta saya pernah breakdown. Head enjin kereta kancil yang saya pandu menjadi bengkok akibat kepanasan. Ia menyebabkan air dalam radiator kering memasuki enjin. Mujur Abang Din membaik pulih kereta saya itu. Kalau dulu kawasan kiri dan kanan jalan adalah kawasan hutan buluh, kini sudah terdapat kawasan diteroka dibina rumah dan gudang.

Pekan Pengkalan Hulu sudah berubah. Namun pekan ini bukan menjadi pilihan pemandu untuk berhenti singgah. Biasanya pemandu lebih suka singgah di Pekan Baling atau Gerik. Kedudukan Pengkalan Hulu di tengah-tengah antara dua daerah ini.

Pekan Pengkalan Hulu sudah berubah wajah dan semakin pesat. Tidak seperti sewaktu saya melalui ketika belajar di UUM dulu. Sudah tiada jalan bulatan kecil cabang ke Baling sebaliknya ia digantikan dengan bulatan yang lebih besar. Bangunan perniagaan juga makin banyak. Sosio ekonomi Pengkalan Hulu banyak bergantung sebagai pintu masuk Malaysia - Thailand iaitu Betong, Wilayah Yala. Sejak Lebuhraya Gerik - Baling - Kulim dibuka, semakin kurang kenderaan untuk ke Alor Setar dan Pantai Timur melalui Pengkalan Hulu. Cuma pemandu yang sentimental seperti saya sahaja akan menggunakan jalan ini.


Dari Gerik kita akan melalui bulatan ini sebelum menuju ke Baling

LALUAN PENGKALAN HULU - BALING

Selepas melewati Pekan Pengkalan Hulu, kita akan menempuhi satu lagi laluan tanah tinggi. Kawasan ini merupakan laluan kegemaran parma rider motosikal dan basikal menguji kekuatan dan kemahiran. Sewaktu saya lalu pun terdapat satu kumpulan pengayuh basikal dari Thailand sedang melakukan pendakian berbasikal. 

Kecuraman jalan ini agak tinggi terutama bagi mereka yang datang dari Baling. Anda perlu sentiasa memerhatikan isyarat tempereture kereta. Jangan terlalu bagi tekanan pada kereta anda sebaliknya bawalah secara santai sambil menghayati kehijauan pokok dan gunung. 


Bukit batu kapur setia menemani Baling Town. Saya tiba di pekan ini pada jam 12.40 tengah hari

Jika anda melaluinya malam maka berhati-hatilah. Kawasan ini selalu menjadi buah mulut sebagai kawasan seram. Kawasan sunyi ini menjadi tempat sesuai bagi mereka membuang mayat selepas dibunuh. Dengan kata lain tempat menghapuskan bukti. Telah banyak cerita yang saya baca mengenainya. Banyak juga cerita tentang pengalaman pemandu atau penunggang motosikal melihat kelibat ataupun diganggu secara langsung.

Di laluan ini terdapat satu RnR yang dikenali sebagai RnR Gunung Inas. Sewaktu awal 2000-an dulu ia beroperasi. Tapi kini ia ditutup. Saya pun tak pasti bila ia ditutup. Jika anda lalu dan kebetulan nampak ada kedai beroperasi janganlah singgah pulak. Memang 'dia' nak usik lah tu. Ada pemandu pernah melihat cik ponti bertenggek atas divider kat situ. Tapi di RnR itu kita dapat melihat view cantik sama viewnya di Hentian Titiwangsa di Royal Belum. Dulu adalah sekali dua saya berhenti rehat di situ.


Berhenti rehat di Stesen Petronas Baling, Kedah

Lebih kurang pukul 12.40 tengah hari kami tiba di Pekan Baling. Pekan Baling pada masa itu agak legang mungkin kerana para muslimin sedang bersiap sedia untuk solat Jumaat. Saya memberhentikan kereta di Stesen Petronas Baling kerana anak-anak mahu ke toilet. Saya membeli tiga plastik buah potong untuk dimakan dalam perjalanan. Jarak antara Baling dengan Alor Setar masih jauh iaitu kira-kira 110 kilometer. Masa diambil untuk jarak itu satu jam setengah juga kalau memandu tanpa henti. 

SOLAT JUMAAT DI CHAROK KALIAN

Saya bergerak semula menuju ke Alor Setar melalui Jalan ke Jeniang. Sepanjang laluan kelihatan kaum lelaki sudah mula menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Saya dalam pada itu memperlahankan kenderaan dalam usaha mencari masjid yang sesuai untuk persinggahan.


Berhenti solat di Masjid Charok Kelian, Baling pada jam 1.30 tengah hari. Kawasan Kedah memang lewat masuk waktu solat.

Kira-kira jam 1.30 tengah hari, Saya memberhentikan kereta di Masjid Kampung Charok Kelian, Baling. Saya dan anak sulung turun dari kenderaan menuju ke masjid manakala isteri dan anak-anak lain hanya stay dalam kereta. Azan baru sahaja berkumandang menandakan Khatib akan mula membacakan khutbah Jumaat selepas itu.


Masjid As-Syakirin Charok Kelian, Baling, Kedah

Rasa insaf juga mendengar khatib menyampai khutbah berkenaan tajuk 'Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa' terutama bab adab ketika dalam masjid. Setelah selesai solat, saya dan Wafiy keluar masjid. Terdapat nasi lemak yang di sedekahkan seseorang untuk para jemaah. Saya dan Wafiy mengambil seorang satu. Nak rasa juga nasi lemak Baling ni.

MENERUSKAN PERJALANAN KE ALOR SETAR 

Kira-kira jam 2.15 petang, saya meneruskan perjalanan menuju ke Jeniang berpandukan google GPS dengan setting avoiding toll. Jadi saya tidak akan melalui Gurun kerana jalan itu memerlukan saya memasuki highway plus yang ada tol. Dalam masa yang sama, kawan saya dari Perlis pm saya melalui messenger mempelawa datang ke rumahnya di Chuping. Saya berbalas dua tiga mesej dengan Awang.

Dalam pada itu, anak-anak tak putus-putus bertanya bila nak sampai. Yelah dah hampir 8 jam dalam kereta. Saya hanya menjawab tempat yang nak pergi adalah di belakang gunung itu sambil jari menunjuk ke arah Gunung Jerai.


Bendang padi saujana mata memandang

GPS dari google yang diguna membawa kereta saya memasuki kawasan perkampungan, hutan, ladang sawit hinggalah sampai ke Pendang, Kedah. Bila memasuki Pendang bermakna kita sudah menghampiri Kota Setar. Pada masa ini kita boleh lihat bendang padi  menghijau yang luas terbentang.


Pendang, Kedah

Dua tahun lepas dalam bulan yang sama, kami pernah datang dan bermalam di sini iaitu Kampung Alor Nan. Pemandangan sini juga indah dengan banyak rumah dibina di tepi sawah.

PEKAN RABU ALOR SETAR

Memandu dari Pendang ke Kompleks Pekan Rabu mengambil masa kira-kira 30 minit dengan jarak sejauh 25 kilometer. Sempat juga melintasi Stesen Bas Shahab Perdana tempat kenangan juga tu. Sewaktu belajar adakalanya saya memilih untuk naik bas di Shahab Perdana. Biasanya saya naik di Jitra. Saya tidak berapa suka naik bas charted kerana biasanya student lelaki dibaginya seat paling belakang. Pening kepala nak boleh sampai Kuala Terengganu. Kondisi bas charted juga tidak sebagus bas ekspress.


Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar

Jam 3.40 petang, kami sampai di Kompleks Pekan Rabu. Dua tahun lepas saya pergi ke Pekan Rabu di Kompleks Ukir Mall. Tapi sekarang Kompleks Pekan Rabu terletak di tapak asal. Pada masa dahulu mungkin di Ukir Mall itu adalah tapak sementara kerana Pekan Rabu yang asar Sedang diubahsuai.


Kompleks Pekan Rabu berwajah baru. Tahun 2017 saya datang di Pekan Rabu di Kompleks Ukir Mall.

Saya meletakkan kenderaan di tempat letak kereta Bawah bangunan Kompleks Pekan Rabu. Bayaran caj tempat letak kereta yang dikenakan adalah sebanyak RM2.00. Jika anda mahu masuk ke tempat letak kereta Kompleks Pekan Rabu, Anda perlu berhati-hati kerana laluan masuk agak sempit. Melihat terdapat banyak kesan geseran kenderaan di dinding pintu masuk.


Pekena cendoi puluit tapi tak selemak cendoi di Joe Cendol Pekan Changlun

Oleh kerana terlalu lapar tempat yang pertama yang kami tuju adalah kawasan food court. Kami menempah 3 mangkuk laksa berharga RM4.00 setiap satu manakala isteri memesan nasi goreng ikan masin yang berharga RM5.00. Manakala minuman pula saya pesan cendol pulut berharga RM6.00 dan teh o ais berharga RM1.80. Jadi jumlah semua harga makanan yang kami makan adalah RM24.80.


Laksa Kedah Pekan Rabu ni tak berapa kaw lagi.. laksa beras kakak ipaq Kakta tokey kantin Proton dulu lagi power. Tapi yang ni pun boleh la

Isteri makan nasi goreng ikan masin

Selepas makan kami mula menjelajah di ruang niaga Pekan Rabu. Tidak ada apa yang mahu kamu sendiri disini cuma beberapa jenis makanan ringan bekalan tambahan untuk ke Perlis. Antara barang yang kami beli ketika di sini adalah kuah rojak mak Bee yang berharga RM4.00 setiap satu. Beli 3 bekas dapat harga RM10.00. Selain itu isteri juga satu bekas kuih bahulu yang berharga RM10.00. Rasanya lembut dan sedap walaupun Sudah beberapa hari.


Saya banyak melayan karenah Hud di sepanjang travel. Budak seusia ini memang suka explore benda baru

Manakala di ruang legar bawah terdapat gerai yang melelong keluaran Utusan Publications. Isteri membeli beberapa buah buku majalah Mastika berharga RM2 setiap satu. Isteri saya ni memang peminat majalah Mastika. Memang banyaklah juga majalah itu dalam rumah saya.


Keluarga saya berjalan-jalan sekitar lot-lot jualan di Kompleks Pekan Rabu

Aras 2 Kompleks Pekan Rabu

Selesai semuanya kami pun beredar Pekan Rabu menujub ke Menara Alor Setar.

MENARA ALOR SETAR

Kami tak boleh lama berada di Pekan Rabu kerana Awang telah ajak saya ke rumahnya di Chuping. Lantas saya bergerak ke satu lagi destinasi di Alor Setar iaitu Menara Alor Setar. 


Wafiy di belakangnya Menara Alor Setar

Jaraknya dalam 2-3 kilometer dari Pekan Rabu tadi. Jalan di Bandaraya pun tak sibuk mana. Waktu tu jam dalam pukul 5.00 petang. Sebenarnya inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke menara ini. Kalau dulu tak pernah pun ada keinginan untuk singgah walaupun selalu melihatnya sewaktu menaiki bas usang HBR dari Sintok.


Bergambar di Replika Menara Alor Setar yang terletak di bahagian hadapan dataran

Setibanya di Menara Alor Setar, Si Hud anak kecil saya buat hala tuju sendiri. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya iaitu permainan karosil elektrik. Puas juga nak memujuknya supaya pergi ke lokasi utama dahulu untuk mengambil gambar. Last-last saya terus mendukungnya. 


Ismah memandu jeep karosil sementara Hud menjadi penumpang

Rupa bentuk Menara Alor Setar sama seperti Menara Kuala Lumpur cuma yang membezakan keduanya ialah ketinggian menara ini lebih rendah. Kami tak masuk pun ke dalam. Setakat bergambar di kawasan dataran dan replika.


Wafiy turut memandu jeep karosil sambil Ismah menjadi penumpang sebelah

Dah nama pun budak-budak selagi tak dapat apa yang dia mahu lagi tu lah tak bergerak. Kami pun menyewa dua buah kereta karosil yang kadarnya RM15.00 untuk 20 minit. Jadi bila dua buah bayarannya jadi RM30.00. Tunggulah kami selama 20 minit mereka bermain.


Sudut lain

Lebih kurang 5.45 petang saya memujuk anak-anak supaya memberhentikan permainan kerana perlu segera ke Perlis. Nanti lewat-lewat susah nak cari bilik hotel. Kami bergegas ke kereta dan saya memulakan perjalanan di laluan yang tidak menggunakan tol.

BERTOLAK KE PERLIS

Agak lewat juga pergerakan kami ke Perlis. Petang sudah hampir ke penghujung iaitu menghampiri pukul 6.00 kami menuju ke Sanglang. Trafik menuju Perlis agak sibuk juga jarang dapat peluang untuk memotong. Persekitarannya pun hampir sama dengan Kedah di kiri dan kanan jalan terdapat bendang padi.

Ismah pula dah tak boleh tahan untuk membuang air kecil. Saya hanya memintanya bersabar sementara mencari stesen minyak ataupun masjid. Setelah melalui Sanglang dan Kuala Sanglang tak lama kemudian saya ternampak sebuah masjid berwarna kuning di sebelah kiri. Saya pun apa lagi terus masuk ke perkarangan masjid. Lagi pun kami belum solat Asar.


Berhenti solat pada 6.20 petang di Masjid Maghfirah, Simpang Ampat, Perlis

Pandangan belakang masjid lebih cerah kerana terletak di sebelah matahari jatuh.

Masjid ini agak besar juga sesuailah dengan penduduk padat di kawasan ini. Masjid yang dikenali sebagai Al-Maghrifah ini terletak di Kampung Simpang Ampat, Perlis. Jarak dengan rumah rakan saya tu masih jauh dalam 30 kilometer. 


Bahagian hadapan masjid agak gelap kerana kamera kontra matahari

Saya dan Wafiy bersolat di bahagian lelaki. Kebetulan air pula tiada. Dalam kolah pun sudah hampir kering. Namun air dari sumber lain telah disalurkan menerusi satu tiub getah panjang. Manakala isteri pula memandikan Hud serta solat Asar.

MAKAN MALAM DI PADANG BESAR

Jam sudah menunjukkan pukul 6.50 petang tapi di Perlis waktu suasana waktu ini masih cerah. Waktu maghrib di Perlis biasanya dalam lingkungan 7.30 ke atas. Saya bergerak menuju Bandar Kangar. Agak sibuk juga sebab hari Jumaat adalah hari bekerja bagi negeri Perlis. Jadi banyak kenderaan ataa jalan raya sebab waktu itu mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Memasuki Bandar Kangar ketika senja menjelma

Awang memberikan lokasi baharu tempat kami perlu pergi iaitu di rumah ayahnya. Perjalanan kami agak slow dan hari pun semakin gelap. Saya tak berani bawa kereta laju-laju di tempat yang tidak biasa lalu. 

Jalan ke rumah Awang yang saya lihat pada batu penanda ialah Kilang Gula. Seingat saya memang dia pernah cerita yang ayahnya kerja di kilang gula. Chuping memang terkenal dengan penghasilan gula dari tebu. Kalau dulu di Chuping kita dapat lihat ladang tebu yang luas. Tapi masa saya lalu tak nampak pun ladang tebu tu.

Akhirnya saya sampai juga di rumah Awang. Untuk ke rumahnya perlu masuk ke jalan tar anak. Lebih kurang 600-700 meter juga dari jalan besar. Kami saling bertanya khabar dan saya sempat berkenalan dengan ayah dan mak Awang. Menurut mereka Kilang gula sudah lama tidak beroperasi bila saya bertanya kepada adakah masih kerja di kilang gula.

Setelah berbual dalam 15-20 minit, Awang mengajak kami ke Padang Besar untuk makan daging bakar. Kami bergerak ke kedai tersebut yang terletak di Padang Besar. Jarak dari rumah Awang kira-kira 16 kilometer. Suasana kiri dan kanan jalan gelap gelita. Saya tak nampak apa-apa melainkan bahagian hadapan yang di suluh lampu kereta.


Restoran Mee Mee merupakan restoran famous di Padang Besar dengan menu utama daging bakar. Tapi malam itu dah kehabisan tak sempat nak makan

Kenderaan kami perlu melintasi satu post kawalan sempadan di Padang Besar. Mungkin unit itu untuk membendung kegiatan penyeludupan kawasan sempadan. Tak lama kemudian sampailah kami di warung yang dimaksudkan Awang tadi. Kedudukannya agak hampir dengan flyover ke Padang Besar.


Keluarga saya dan Keluarga Awang

Awang lah yang order makanan. Sebenarnya kami masih kenyang dengan lunch yang diambil semasa di Pekan Rabu tadi. Kami jamah juga masakan panas yang sedap di warung itu. 

Anak perempuan Awang yang comel

Isteri Awang menyantuni isteri saya

Anak-anak pula sudah menunjukkan rasa letih dan mengantuk. Semasa di rumah Awang tadi saya telah book bilik hotel bajet berharga RM77.00 bagi family room 2 katil bersaiz king. Hotel yang dimaksudkan adalah History Hotel di Kangar. Saya menempahnya menerusi Agoda. Dalam banyak-banyak hotel hanya History Hotel menawarkan harga bawah RM100.00.

BERMALAM DI HISTORY HOTEL KANGAR

Lepas makan, Awang telah menghantar kami hingga pulang ke hotel. Baik sungguh orang utara. Segan saya. Dulu masa kat Alor Nan tahun 2017 pun sama. Tuan rumah layan kami sungguh baik. Sebelum bergerak lebih jauh saya dan Awang mengisi petrol kereta masing-masing di Stesen Caltex tidak jauh dari Warung Mee Mee tadi. Saya menaruh petrol sebanyak RM50.00.


Mengisi minyak di Stesen Caltex Padang Besar

Awang kemudian memandu di hadapan manakala saya hanya mengekori dari belakang. Jauh juga jaraknya hotel itu dengan Padang Besar kira-kira 37 kilometer. Anak-anak dalam kereta sudah terlena keletihan. Saya pun letih dan mengantuk juga tapi masih mampu bertahan.


Mengekori kereta Awang di hadapan

Awang menemani saya sehingga saya dapat check in di History Hotel. Pada mulanya booking ID saya tiada dalam PC kaunter hotel. Dah yang jaga kaunter tu pun seorang uncle yang agak berusia. Saya hairan juga ID tiada dalam sistem mereka tapi dalam email saya. Dalam 15 minit juga menunggu sambil ditemani Awang. Lalu uncle itu pun call kawan sekerjanya. Dia minta 5 minit untuk membuat semakan. 

5 minit kemudian, uncle itu beritahu nama no booking tu ada. Dia kemudian menyerahkan saya kunci bilik no. 216 kepada saya.


Awang atau nama sebenarnya Fahisal Rosli lulusan Intaff UUM.

Besar kereta Awang pakai

Alhamdulillah dapat juga tempat tidur malam tu. Saya dan isteri mengucapkan terima kasih kepada Awang dan isterinya atas belanja makan serta membantu menghantar kami terus ke hotel.


History Hotel Kangar yang saya booking melalui Agoda ketika berada di rumah Awang


Bilik Famili History Hotel yang saya sewa dengan kadar RM77.00 satu malam. Dapat bilik sebegini sudah memadai asal harga murah. Tapi sukar nak cari. Kebanyakkannya rate harga lebih RM120.00

Malam itu kami tidur dengan lena setelah hampir 15 jam berada dalam kereta dan melawat lebih 10 tempat.


RUMUSAN

Petrol Petronas Tok Kenali RM108.00
Sarapan Tanah Merah RM16.00
Kudapan pau + air tin H.Titiwangsa RM9.00
Buah potong + Kacang Baling RM9.00
Makan Tengah hari Pekan Rabu RM23.00
Kuih bahulu P.Rabu RM10.00 sebekas
Kerepek jajan P.Rabu RM10.00
*Kuah rojak Mak Bee P.Rabu RM10.00
Parking Pekan Rabu RM2.00
*Jeep Karosil Menara Alor Setar RM30.00
Hotel History Kangar RM77.00

JUMLAH RM304.00

Nota : Bertanda * perbelanjaan yang boleh dielakkan





Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR