TEMPAT MENARIK DI JELI : KISAH GUNUNG RENG; BENAR ATAU SEKADAR MITOS?

KALI PERTAMA MENJEJAK KAKI MASJID AN-NUR BATU MELINTANG

Hari ini saya berkesempatan menjejak kaki ke Masjid Batu Melintang, Jeli yang terletak di tepi jalan laluan Timur - Barat. Saya selalu terpesona dengan masjid ini setiapkali melintasi kawasan ini sewaktu hendak ke Perak atau Kedah.


Masjid An-Nur yang berlatar belakang Gunung Reng

Saya terpesona kerana masjidnya terletak betul-betul di belakang satu bukit besar berbatu. Bukitnya pula tidak bercabang dan bersambung dengan bukit-bukit lain seperti yang selalu kita lihat. Sebelum ini, saya tidak berpeluang untuk singgah di sini. Ya lah naik bas macamana nak singgah. Kalau tak naik bas, saya melalui kawasan ini dengan menumpang kenderaan lain. Jadi tak adalah peluang untuk berhenti juga.


Masjid Batu Melintang dari angle depan

Namun hari ini saya berkesempatan datang ke masjid ini kerana isteri menerima undangan ke majlis kesyukuran sempena naik ke rumah baharu rakan sekerja kami sewaktu di SK Kota Masai tahun 2010 - 2012 (kini mengajar di Sabah) , Ustazah Suzila yang tinggal di Kampung Kalai, Batu Melintang. Lebih kurang 5 - 6 km masuk ke dalam dari masjid ini. Saya berhenti rehat setelah memandu hampir 2 jam sejauh 120 km dari Kota Bharu. 


Sudut kiri masjid

Apa yang boleh saya kata, masjid ini cantik, bersih dan terjaga. Sempat saya mengambil gambar dari pelbagai sudut cuma gambar sendiri kurang memuaskan kerana  ketiadaan jurugambar peribadi (Wafiy dan Ismah). Mereka hari ni saya tak bawa sebab kena mengaji Quran dan tuisyen Bahasa Inggeris hingga pukul 2.00 petang. Aimy juga sama kena mengaji. Yang ikut saya dan isteri cuma anak kecil kami, Hud Naufal.


Majlis kenduri kesyukuran di rumah Ustazah Suzila di Kampung Kalai, Batu Melintang, Jeli, Kelantan

KISAH DI SEBALIK BUKIT BATU INI

Sebenarnya bukit batu ini adalah Gunung Reng. Gunung ini menyimpan satu cerita misteri yang berlaku pada ratusan mungkin ribuan tahun dahulu. Menurut cerita yang di sampaikan dari mulut ke mulut, tapak Gunung Reng ini sebenarnya adalah Kampung Tala. Kampung Tala ini dibuka oleh Tok Tadoh yang berasal dari keturunan Pulang Hari, Jawa.


Gunung Reng dikatakan berasal dari Hulu Sungai Reng, Perak diterbangkan taufan menghempap Kampung Tala

Satu hari Ketua Kampung Tala pada masa itu dikatakan mahu mengadakan pesta atau temasya secara besar-besaran selama tujuh hari tujuh malam. Mereka bermesyuarat sesama penduduk kampung permainan apa yang akan diadakan sepanjang tujuh hari tujuh malam itu. Pelbagai jenis permainan diadakan setiap hari sepanjang pesta berlangsung. Ketua Kampung Tala mahu mengadakan satu permainan / pertandingan ganjil yang belum pernah diadakan sebelum ini sebagai acara kemuncak temasya. Permainan yang dimaksudkan adalah pertandingan melagakan anjing dan kucing di atas bumbung rumah.


Penduduk Kg. Tala mengadakan permainan laga anjing dan kucing di atas bumbung rumah - gambar hiasan

Acara perlagaan binatang ini diadakan pada waktu zohor hari terakhir pesta. Boleh dikatakan semua penduduk Kampung Tala datang sewaktu upacara kemuncak itu. Penduduk kampung berhampiran juga turut datang menyaksikannya. Mereka bersorak-sorakan sewaktu anjing dan kucing bergaduh. Sedang asyik mereka berseronok tiba-tiba hari menjadi gelap dan hujan turun dengan sangat lebat sekali. Angin pula bertiup sangat kencang sekali. Seolah-olah ribut taufan yang melanda Kampung Tala itu.

Melihat keadaan hujan lebat dan angin kencang itu. Seorang nenek dan cucunya beredar dari pesta itu untuk pulang ke Kampung Gantung kerana ingin mengangkat padi dijemurnya. Setelah selesai mengangkut padi, ribut kuat tadi tiba-tiba berhenti. Nenek tua itu dan cucunya bergegas semula ke Kampung Tala. Alangkah terkejutnya mereka pabila melihat Kampung Tala sudah tiada sebaliknya terdapat sebuah gunung berbatu menutupinya.

Nenek tua dan cucunya inilah yang menyampaikan cerita ini dari mulut ke mulut hinggalah ke hari ini.

Menurut cerita lagi Gunung Reng ini dikatakan terbang ditiup angin berasal dari Hulu Sungai Reng di negeri Perak. Perjalanannya pun memakan masa tiga hari untuk sampai ke situ. Tapak asal Gunung Reng itupun dikatakan telah menjadi tasik yang luas, bentuk dan saiznya sama seperti Gunung Reng di Jeli ini. Gunung Reng mendapat nama pun diambil dari nama tempat asalnya di Perak itu.


Gunung Reng di belakang saya itu datang secara tiba-tiba menghempap Penduduk Kampung Tala yang sedang seronok bersorak-sorakan menonton anjing dan kucing bergaduh di atas bumbung rumah

Saya sendiri membuat carian dalam googgle maps kalau-kalau ada tempat yang bernama Reng di Perak. Saya cuma dapat mengesan satu tempat sahaja iaitu Kampung Batu Reng yang terletak di Lenggong, Perak. Beratus batu jugakla dari Jeli ni. Mungkin tempat itu kot Gunung ini berasal. Saya pun tak tahu.

KISAH GUNUNG RENG DAN PENGAJARANNYA

Sama ada cerita ini benar ataupun tidak, terdapat pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah ini. Kita jangan sesekali melanggar tatasusila apabila melakukan sesuatu. Jangan sesekali kita menganiaya binatang semata-mata untuk memuaskan hati sendiri dan untuk berseronok.


Kisah Gunung Reng mengajar kita jangan menyiksa haiwan dan melakukan perkara melanggar tatasusila

Kejadian yang menimpa ke atas penduduk Kampung Tala adalah kifarah dari Allah s.w.t kepada mereka yang melakukan kezaliman terhadap haiwan. Kifarah boleh datang dengan pelbagai bentuk, masa dan tempat. Ada yang menerima balasan segera dan ada menerima balasan yang tertangguh. Ada juga menerima balasan yang tak terjangkau oleh akal fikiran manusia contohnya seperti kisah Gunung Reng ini.

Wallahu a’lam.....

Nota : Kisah Gunung Reng ini pernah saya tulis dalam Travelogue Negeri Utara Semenanjung pada Disember 2017



Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR