TRAVELOGUE 5 : HARI KETIGA (BUKIT MERAH WATERPARK)
LAWATAN KE NEGERI-NEGERI UTARA SEMENANJUNG
Pada 13 Disember 2017 (Selasa), Hari Ketiga
Laluan Keliling Pulau Pinang - Pinggir Ipoh (160 KM)
Laluan Keliling Pulau Pinang - Pinggir Ipoh (160 KM)
Pengajaran dari melancong ke Pulau Pinang adalah membuat bacaan terlebih dahulu tentang Pulau Pinang. Lagi bagus kalau ada kawan-kawan yang tinggal di sini atau pernah belajar dan bekerja di sini. Dalam part sebelum ini saya tertinggal beberapa cerita penting akan tetapi lebih elok biarkan sahaja. Nanti penceritaan ini tidak mengikut plot masa. Ok dalam pada itu, kenderaan kami telah pun menaiki jambatan untuk keluar dari tanah pulau. Sebelum menyeberangi jambatan tadi, sebuah kereta peronda JPJ melakukan sekatan jalan raya. Saya cukup fobia dengan JPJ ni. Sudah dua kali saya dikenakan saman kerana tidak memakai tali pinggang keledar. Hangus duit abang RM600.00 bayar dua saman itu. Tapi kali ini saya sudah bersedia jadi tidak apa yang perlu ditakutkan.
Sebaik sahaja keluar dari Jambatan Pulau Pinang, saya ingat akan dikenakan tol lagi, rupanya tiada pondok tol. Mungkin RM7.00 yang dikenakan sebelum masuk hari itu termasuk untuk dua hala. Di sini saya ingin berpesan kepada pelawat-pelawat yang datang dari negeri yang tiada tol atau yang belum pernah memasuki lebuhraya bahawa tol di lebuhraya sekarang sudah tidak membuat bayaran secaran tunai semua transaksi dilakukan menggunakan touch N go. Sebaiknya anda perlu menambah nilai menggunakan Mycard anda. Kalau tidak pasti ada duit atau tidak masa menuju ke arah tol, pilih pondok paling kiri atau kedua kiri kerana di situ anda boleh menambah nilai.
MEMASUKI LEBUHRAYA UTARA-SELATAN MENUJU IPOH
Pada mulanya, saya ingin melalui jalan biasa memasuki Prai kemudian ke Parit Buntar melalui Bagan Serai dan terus ke Taiping tetapi kereta biras saya yang dibaiki di Batu Melintang tempoh hari dijangka akan siap pada keesokkan hari. Jadi hasrat melalui jalan itu dilupakan. Walaupun jarak ke Ipoh itu masih jauh, kami memandu pada kelajuan biasa. Kemudian satu ketika saya terlihat laluan exit ke Bukit Merah. Yang saya tahu, di Bukit Merah terdapat sebuah taman tema air iaitu Bukit Merah Laketown Resort. Tanpa berlengah masa, kami menyelusuri jalan keluar untuk ke taman tema itu. Jarak antara Bukit Merah Laketown Resort dengan Jambatan Pulau Pinang tadi lebih kurang 60KM.
Selepas exit dari tol ambil terus ke kanan simpang. Di simpang tiga itu, anda dapati terdapat beberapa warung makanan dan gerai buah-buahan. Tidak jauh dari simpang itu anda terus masuk ke jalan sebelah kanan untuk ke Bukit Merah. Kereta anda perlu mendaki jalan bukit yang curam. Jika anda mahu ke sini, pastikan sistem brek anda berfungsi dengan baik. Jarak antara jalan masuk ke kawasan waterpark tidaklah jauh dan rasanya kurang dari satu kilometer.
MANDI-MANDA DI BUKIT MERAH WATERPARK
Umumnya tahu dengan sifat kanak-kanak yang suka bermain air. Jadi kami tidak melepaskan peluang membawa anak-anak untuk mandi di situ. Kenderaan kami masuk ke kawasan Bukit Merah dan kawasan tempat letak kereta dikenakan bayaran. Kami parking di tempat yang sesuai kemudian mengambil baju-baju yang telah dipakai untuk dijadikan pakaian basahan. Sebagai peringatan tidak semua pakaian dibenarkan ketika hendak mandi di sini. Sebaiknya sekiranya mahu ke sini perlu membawa seluar trek dan t shirt berleher bulat dari rumah. Jadi anda tidak perlu membeli pakaian lain di sini. Oleh kerana saya hanya membawa seluar jeans dan 3 helai baju, saya telah membeli seluar hawaii yang melebihi paras lutut berharga RM15.00 manakala membeli tshirt berleher bulat berharga RM10.00. Manakala anak gadis kecil saya meminta untuk dibelikan sepasang pelampung bahu berharga RM8.00. Kesemua itu ada dijual di sini.
Bayaran masuk yang dikenakan untuk masuk ke waterpark adalah sebanyak RM30.00 jika datang seorang diri. Namun begitu, pada musim cuti sekolah pihak resort ini ada menyediakan pakej 4 tiket berharga RM100.00. Manakala keluarga saya berenam telah membeli tiket dari pengunjung lain yang ingin menjual semua 6 tiketnya berharga RM20.00 bagi setiap satu. Anak-anak di bawah 4 tahun dan berukuran kurang 90cm dibenarkan masuk secara percuma. Kami masuk ke dalam waterpark itu lebih kurang pukul 12.00 tengah hari. Ketika hendak masuk ke dalam kawasan waterpark, pekerja resort itu akan memeriksa beg setiap pengunjung. Beg yang dibawa oleh isteri telah didapati membawa makanan. Makanan kami disimpan sementara di kaunter dan boleh dituntut selepas keluar nanti.
Sebaik sahaja masuk, kami mencari meja kosong untuk dijadikan 'port' berehat. Kemudian anak-anak segera menukar pakaian dan terus terjun ke dalam air. Terdapat beberapa kolam disediakan oleh pihak resort. Saya turut mencuba beberapa kolam antaranya kolam yang mempunyai dome pelampung yang besar. Masa yang diberi untuk mandi di sini cuma 5 minit kerana ramai yang ingin masuk. Perenang yang memakai pakaian yang ada besi contohnya berzip tidak dibenar mandi di dalam kerana dibimbang dome pelampung itu akan pecah. Saya masuk hanya sekejap kerana sering tergelincir ketika cuba memanjat dome itu. Semasa mengelungsur pula hidung menjadi pedih apabila air masuk ke dalamnya. Sebenarnya biras saya yang banyak mencuba banyak kawasan aktiviti antaranya menggelungsur dari atas bukit beberapa kali. Kemudian pabila perut terasa lapar, saya membeli burger di gerai pada harga RM5.50 manakala air tin berharga RM2.00. Tidak lama selepas itu saya membeli laksa penang berharga RM5.00 sebekas.
Setelah hampir dua jam mandi-manda, kami pergi membilas badan dengan air paip kemudian menukar pakaian. Kemudian kami solat di surau yang disediakan di dalam waterpark itu. Selepas itu kami keluar dan membeli barangan cenderamata yang dijual diluar. Saya membeli satu cap superman untuk anak sulung lelaki berharga RM15.00 manakala saya membeli baju kemeja hawaii berharga RM26.90 untuk simpanan almari (standby jika ada majlis pakaian bertema di sekolah).
Kami keluar dari Bukit Merah Resort pada pukul 2.30 petang. Semasa keluar kami dikenakan caj letak kenderaan sebanyak RM2.00. Kami turun menuruni bukit tadi kemudian masuk semula ke Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Ipoh. Dalam perjalanan menuju ke Ipoh, kami singgah di RNR Sg.Perak untuk makan petang. Semasa singgah di sini, saya membeli 1 kg buah rambutan berharga RM8.00 kerana anak kedua saya memang pantang nampak buah rambutan. Kemudian saya ke food court. Saya telah membeli nasi berlauk udang kulit keras masak lemak berserta ikan bilis berharga RM5.00. Selepas itu, saya membeli pasembor berharga RM4.00 untuk satu pinggan bersaiz sederhana kecil kerana semasa di Pulau Pinang saya tidak berkesempatan untuk merasainya.
Sekian, bersambung.....
Anak penulis melakukan aksi di ruang legar Bukit Merah Laketown Resort
Kolam yang mempunyai dome pelampung
Penulis mandi di bawah cucuran air
Penulis sempat membeli kemeja ala hawaii berharga RM26.90 untuk stok almari. Sekolah penulis setiap kali buat majlis akan ada pakaian bertema
Penulis merakam kenangan dengan Hud Naufal, 'youngest son' penulis berusia 4 bulan
Suasana RNR Sg.Perak ketika penulis singgah di RNR tersebut
Comments
Post a Comment