TRAVELOGUE 6 : HARI KETIGA (LABU SAYONG KUALA KANGSAR)
LAWATAN KE NEGERI-NEGERI UTARA SEMENANJUNG
Pada 13 Disember 2017 (Selasa), Hari Ketiga
Laluan Taman Rekreasi Gunung Lang - Chemor - Sg. Siput -Kuala Kangsar (46 KM)
Laluan Taman Rekreasi Gunung Lang - Chemor - Sg. Siput -Kuala Kangsar (46 KM)
Sambungan dari part.2 tadi. Selepas kami makan dan berehat di RNR Sg. Perak kami meneruskan perjalanan ke arah selatan. Pada mula, niat saya untuk keluar dari tol Ipoh Utara dan masuk kembali ke lebuhraya kemudian ke arah utara untuk ke Kuala Kangsar. Akan tetapi yang merubah fikiran saya untuk tidak berbuat demikian kerana dalam perjalanan kami dari RNR Sg. Perak ke Tol Ipoh itu, kami terpaksa meredah laluan berbukit yang mana saya melihat kereta myvi yang dipandu oleh biras saya begitu gayat. Melihat keadaan itu, saya memperlahanan kenderaan dengan lorong paling kiri mengekori lori-lori treler. Had kelajuan yang saya pandu masa itu di bawah 60km/h agar saya dapat terus memantau pergerakan myvi yang dipandu biras saya itu. Dalam perjalanan itu, anda akan memasuki satu terowong yang membelah bukit. Tetapi anda perlu berhati-hati kerana selepas melepasi terowong itu, kenderaan anda akan mula meluncur laju kerana menuruni bukit. Sebaiknya anda gunakan gear rendah serta menekan pedal minyak pada kadar yang paling minimum.
Tidak lama kemudian, saya melihat susur keluar ke Sg. Siput tetapi saya meneruskan perjalanan untuk keluar di Tol Ipoh Utara. Sebaik sahaja keluar dari Tol Ipoh Utara, anda akan berada dekat dengan Taman Rekreasi Gunung Lang. Apa yang saya lihat, terdapat gua berbatu kapur di sebelah kiri berhampiran jalan. Memandangkan pada waktu itu jam menunjukkan pukul 5 petang, jalan di kiri dan kanan jalan agak sesak dengan kenderaan orang yang pulang dari kerja. Sebenarnya jalan yang kami lalu itu jika diteruskan akan memasuki Bandaraya Ipoh tetapi waktu pun semakin menghampiri malam, saya merasakan tidak banyak tempat yang boleh kita pergi jika memasuki bandaraya itu. Kami membuat keputusan untuk uturn.
MENEMPUH LAMPU ISYARAT YANG BANYAK
Matlamat saya membuat uturn adalah untuk ke Kuala Kangsar. Untuk ke Kuala Kangsar, anda boleh memilih dua laluan. Pertama anda masuk semula ke lebuhraya Plus ke arah utara untuk ke Kuala Kangsar (laluan ini lebih dekat). Kedua anda meneruskan perjalanan melalui jalan biasa menuju ke Chemor, Sg. Siput seterusnya akan tiba di Kuala Kangsar yang jaraknya kira-kira 46km. Oleh kerana, kereta Myvi dipandu oleh biras saya akan gayat semula jika melalui lebuhraya itu, saya memilih untuk melalui jalan kedua iaitu jalan biasa. Akan tetapi apabila melalui jalan ini, anda perlu tingkatkan kesabaran dalam diri kerana untuk melepasi Sg. Siput anda akan menempuh berbelas-belas atau mungkin berpuluh-puluh (saya tidak mengiranya kerana terlalu banyak) lampu isyarat yang jaraknya dekat antara satu sama lain. Semasa melalui jalan ini, anda akan dapat melihat sebuah kilang simen yang agak besar di kiri jalan di Sg. Siput. Malah jika anda bernasib baik, mungkin akan terserempak dengan DS Samy Vellu kerana beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Sg.Siput sejak sekian lama. Bila sudah makin menghampiri Kuala Kangsar, anda akan ternampak Kilang Kicap Tamin yang berada di sebelah kanan jalan. Anda juga boleh membeli buah-buahan kayu seperti buah cempedak dan rambutan yang dijual di tepi-tepi jalan kawasan perkampungan sebelum memasuki Kuala Kangsar.
KE KAMPUNG SAYONG
Di penghujung jalan Sg. Siput - Kuala Kangsar, saya melintasi sebuah Jambatan Sultan Iskandar yang menyeberangi Sungai Perak. Di penghujung jambatan itu, kami menemui simpang tiga. Ke arah kanan adalah jalan menuju ke Gerik manakala arah kiri, kita menuju ke Bandar di Raja Kuala Kangsar. Di persimpangan itu juga terletaknya Kg. Jamuan. Banyak kemudahan untuk para pelancong jika sampai di sini kerana ia merupakan jalan yang menghubungkan Kuala Kangsar, Ipoh dan juga yang ingin ke Kota Bharu. Di sini terdapat masjid, kedai-kedai makan dan runcit serta Inap Desa. Kami mengambil jalan arah sebelah kiri menuju ke Bandar Kuala Kangsar.
Lebih kurang 6 km dari simpang Kampung Jamuan tadi, kami menemui simpang empat. Di sebelah kiri terdapat papan tanda menunjukkan jalan ke Kampung Sayong, sebuah kampung yang terkenal dengan seni kraf membuat labu sayong. Anda sekali lagi akan menyeberangi sebuah jambatan tidak jauh dari jambatan itu kita akan berjumpa simpang tiga. Di simpang tersebut saya melihat pelbagai iklan, namun yang menarik minat saya adalah iklan Homestay Mr.Os. Mungkin homestay milik pelakon arwah Mr.Os itu terletak tidak jauh dari situ.
Kami mengambil jalan sebelah kanan kerana di situlah terletaknya Kg. Sayong. Berhampiran simpang itu terdapat sebuah kedai menjual pelbagai jenis labu sayong. Walaubagaimanapun saya tidak singgah di situ kerana di hadapan masih ada pusat penghasilan dan penjualan labu sayong yang lebih besar. Pusat kraf itu terletak berhampiran dengan SMK Sayong yang mana terdapat tanah perkuburan di sebelah kiri jalan. Di kawasan tanah perkuburan itu, kita dapat melihat sebuah jalan kampung. Kita masuk ke jalan tersebut, tidak jauh dari situ kita boleh melihat terdapat 4 buah kedai di kiri dan kanan jalan yang menjual hasil kraf daripada tanah liat.
MEMBELI LABU SAYONG
Kami tiba di pusat kraf itu pada waktu telah hampir maghrib, jadi terdapat kedai yang telah ditutup atau ditutup sementara. Namun kami bernasib baik kerana masih terdapat dua buah kedai yang masih beroperasi dan terdapat pekerja di dalamnya. Saya masuk ke dalam kedai Win Kraf. Saya melihat seorang pekerja sedang menuang cecair tanah liat ke dalam acuan labu sayong. Kalau dahulu kita melihat di dalam televisyen kaedah lain iaitu pembuat membentuk tanah liat lembut di atas alat pemutar kini ia menggunakan kaedah acuan. Kaedah acuan lebih mudah daripada penghasilan kaedah lama. Namun kaedah baru memerlukan kesabaran kerana pembuat perlu menuang cecair sedikit demi sedikit mengikut jangkamasa tertentu berdasar kekerasan dan kelompongan tanah liat di dalam acuan. Namun kaedah ini membuat labu sayong lebih kemas serta mempunyai saiz yang sekata. Menurut pekerja itu, mereka membeli tanah liat yang diambil di pinggir sungai dengan harga RM8.00 seguni. Tanah liat itu perlu diayak untuk memastikan tiada sampah atau batu terkandung di dalamnya serta membuatkan tekstur tanahnya lebih halus hasil ayakan itu.
Saya membeli sebiji labu sayong corak tradisional berwarna hitam berharga RM15.00. Saya melihat harga di RNR Sg. Perak sebelum itu berharga RM22.00. Pernah sekali saya melihat peniaga menjual pada harga RM30.00 sebiji di Pasar Pagi Laloh, Kuala Krai pada tahun lalu. Untuk tahan lebih lama, pekerja itu meminta saya memasukkan air sabun sedikit suam ke dalam labu sayong yang saya beli itu dan dibiarkan semalaman. Selepas itu air itu dibuang dan digantikan air baru untuk diminum. Penggunaan air panas adalah ditegah kerana boleh merosakkan (retak atau pecah) labu sayong itu. Isteri saya membeli beberapa biji labu sayong mini untuk dijadikan cenderamata kepada jiran tetangga di Pasir Gudang nanti. Kira-kira dua kotak kraf tanah liat yang kami beli secara keseluruhan pada waktu itu.
BERMALAM DI BANDAR KUALA KANGSAR
Keadaan pada waktu itu sudah menjelang malam dan kami perlu mencari tempat untuk berehat. Untuk terus ke Gerik saya rasa ia bukan waktu yang sesuai kerana jalan Kuala Kangsar - Gerik penuh dengan cerita-cerita mistik terutama di kawasan Lenggong. Jadi kami membuat keputusan untuk bermalam di Kuala Kangsar atau kawasan sekitarnya. Pada mulanya pekerja kedai kraf tadi memberitahu terdapat homestay di dalam kampung itu berharga RM70.00 satu malam dan ia menarik minat kami. Tetapi bila difikirkan, kami ingin juga melihat suasana Bandar Kuala Kangsar pada waktu malam disamping mudah untuk mencari kedai makan. Kami mencari maklumat tentang hotel bajet sekitar Kuala Kangsar. Melalui Trivago saya mendapati Blue Hotel menawarkan harga bilik serendah RM40.00. Kami bergerak ke sana dan naik ke tingkat 2 hotel tersebut bertanyakan kekosongan. Namun tiada bilik yang kosong. Kemudian kami menelefon pula nombor pengusaha Mr.Os Chalet tetapi dikatakan tersalah nombor. Kemudian kami cuba bergerak dari situ, tiba-tiba kami terpandang Ezi Inn Hotel di seberang jalan. Hotel itu milik Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Kuala Kangsar.
Saya meletak kereta di hadapan hotel tersebut, kemudian masuk bersama biras untuk bertanyakan kepada receptionist tentang kekosongan dan harga. Pekerja hotel itu memberi kami 2 kunci bilik untuk melihat dahulu keadaan bilik. Terdapat dua jenis bilik yang berharga RM100.00 dan RM80.00. Kami naik ke atas dan melihat kedua-dua bilik itu. Bilik yang berharga RM100.00 mempunyai sebuah katil bersaiz queen dan sebuah bersaiz single. Manakala bilik RM80.00 sangat sempit kerana keluasan hanya boleh memuatkan sebuah katil bersaiz queen. Jadi kami mengambil dua buah bilik berharga RM100.00.
Selepas itu, kami mengangkat barang-barang dan masuk ke bilik masing-masing. Kami membersihkan diri dan bersolat. Kemudian kami bersiap untuk turun makan. Ibu mertua saya tidak mahu turun kerana sudah mengantuk dan keletihan. Jadi beliau hanya tidur di dalam bilik bersama anak kecil saya. Kami turun dan keluar dari hotel menuju ke kedai makan. Kali ini kami memilih untuk berjalan kaki sahaja kerana saya sendiri pun sudah bosan memandu. Lagi pun kedai yang kami hendak pergi hanya menyeberangi jalan dan terletak di bawah hotel yang kami mula-mula pergi tadi. Di situ terdapat kedai char kuew tiaw dan gerai burger. Saya memesan mee goreng manakala anak-anak saya memesan burger daging. Rasa mee goreng basah yang saya makan itu agak sedap terutama apabila dimakan dengan cabai jeruk (lada jeruk). Selepas makan, saya pergi ke kedai Seven E yang terletak tidak jauh dari situ untuk membeli roti seperti yang di pesan oleh ibu mertua saya. Selepas selesai makan, kami pulang ke hotel untuk tidur.
Bersambung.....
Nota : Hotel Ezi Inn terletak di Jalan Tun Razak, Kg. Banjir, Kuala Kangsar.
Labu sayong yang penulis beli pada harga RM15.00
Kedai Win Kraf yang penulis singgah untuk membeli barang-barang kraf di Kampung Sayong, Kuala Kangsar
Acuan-acuan yang digunakan untuk menghasilkan labu sayong
Pekerja Win Kraf memasukkan cecair tanah liat ke dalam acuan untuk membuat labu sayong
Win Kraf dari jarak dekat
Hotel Ezi Inn tempat penulis menginap di Bandar Kuala Kangsar
Kedai char kuew tiaw tempat penulis dan keluarga menjamu selera
Comments
Post a Comment