TRAVELOGUE 2 : HARI KEDUA (ALOR NAN, KEDAH)
LAWATAN KE NEGERI-NEGERI UTARA SEMENANJUNG
Salam semua, hari ini saya menyambung semula cerita berkenaan dengan pengalaman pengembaraan pada hari kedua
Pada 12 Disember 2017 (Selasa), Hari Kedua
Laluan Kota Sarang Semut - Kota Setar (24km)
Setelah penat hilang setelah bermalam di Kg. Alor Nan, pada paginya saya tidak melepaskan peluang untuk melawat kawasan bendang padi yang saujana mata memandang di kampung itu. Abang Long ( anak sulung tuan rumah yang saya bermalam) seorang yang sangat peramah. Beliau banyak menceritakan kisah dan keadaan di Kg. Alor Nan tersebut. Saya berasakan seperti menggunakan perkhidmatan inap desa kampung tersebut padahal saya bermalam di rumahnya hanyalah percuma. Dek kerana keramahan Abang Long dan ahli keluarga saya merasa segan dan rendah diri.
DIBAWA MERONDA SEKITAR BENDANG
Abang Long telah mempelawa saya membonceng kapcai milik arwah bĂ panya melawat sawah padi pada jam lebih kurang 7.30 pagi. Saya melihat ramai penduduk turun ke sawah untuk melakukan kerja menyusun semula pokok-pokok padi. Saya melihat penanaman padi merupakan pekerjaan utama bagi penduduk kawasan ini. Ada yang melakukan kerja sawah sendiri dan ada yang mengambil upah menyusun semula anak-anak padi dengan bayaran RM30.00 satu hari (menurut cerita Abang Long). Pemandangan sawah yang damai membuatkan fikiran saya bertambah tenang.
Saya masih ingat ketika menuntut di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah, bas ekspres selalu melalui kawasan ini. Pemandangan dari dalam bas sungguh mengagumkan terutama ketika buah padi masak berwarna kekuningan. Tetapi ketika saya berada di kampung ini penanaman padi baru memasuki fasa kedua selepas pembenihan (saya tak tahu istilah yang digunakan jadi saya menggunakan ayat mengikut pemahaman saya). Menurut Abang Long, padi dijangka masak dan boleh dituai pada bulan Februari. Penanaman padi di kawasan ini dan negeri Kedah Amnya dilakukan 3 kali dalam tempoh 2 tahun.
Selain aktiviti penanaman padi, saya melihat ramai juga anak muda turun ke tali air pada waktu pagi untuk memancing dan menjala ikan. Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, saya dibawa oleh Abang Long melawat sekitar kampung dan melihat seorang penduduk membersihkan kebunnya yang memiliki lebih kurang 7-8 batang pokok setinggi 2 meter dan berdaun sebesar tapak tangan. Saya tidak pernah melihat orang menanam pokok itu dekat mana-mana sebelum ini. Lalu saya bertanyakan Abang Long, pokok apakah yang ditanam oleh orang tadi. Abang Long memberitahu saya bahawa itu adalah pokok ketum.
Abang Long membawa saya ke halaman rumahnya yang terletak lebih kurang 50 meter dari rumah ibunya. Kami duduk di pangkin, kemudian Abang Long mencerita tentang kehidupannya di kampung itu serta pengalamannya bekerja sebagai juruteknik pembuat acuan body kereta. Beliau telah diberhentikan kerja ketika ekonomi gawat sekitar tahun 1998. Kemudian beliau bekerja di Sungai Petani dan tidak lama selepas itu beliau menjadi pesawah sepenuh masa. Saya sebenarnya masih tidak berpuashati tentang kebunan ketum yang saya lihat tadi lalu bertanyakannya semula dari sudut kesalahan di sisi undang-undang. Beliau mengatakan bahawa menanam tidak menjadi kesalahan selagi tidak bertindak menjual atau mengedarkannya. Ujarnya lagi, ketum telah digunakan sejak dahulu lagi sebagai rawatan tradisional untuk menguatkan dan memulihkan tenaga terutama sewaktu bekerja di bendang. Yang menjadi masalah kini ialah penyalahgunaan ketum dengan mencampurkan dengan bahan terlarang dan berbahaya.
MAKANAN KAMPUNG YANG ENAK
Setelah lama berbual, kami bergerak semula ke rumah ibu Abang Long. Saya meminta izin untuk berjalan kaki ke rumah tersebut. Sesampainya di rumah tersebut, saya dapati kebanyakan ahli rombongan saya (wanita) sudah pun makan. Hanya saya, biras lelaki dan dua anak lelaki kami yang belum makan kerana turut meronda-ronda kawasan bendang. Apabila makanan dihidangkan saya melihat sungguh istimewa sekali. Walaupun itu hanya sarapan pagi, tetapi pelbagai jenis lauk pauk disediakan. Saya segan hendak mengambil gambar takut dilihat tidak sopan. Jadi apa yang saya boleh ceritakan di sini ialah antara lauknya iaitu siakap masam manis, gulai kari ayam, sayur lemak rebung, kembung pelaling goreng, sambal belacan Kedah Style serta 2-3 jenis ulam-ulaman. Saya makan dengan penuh konsentrasi kerana jarang-jarang sekali berpeluang menikmati makanan kampung Kedah.
MEMINTA IZIN BERGERAK KE KOTA STAR
Setelah puas menikmati juadah yang enak. Kami bersalam-salaman dengan keluarga Abang Long dan meminta izin untuk bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Kota Star. Target kami adalah Pekan Rabu. Mengikut jarak dalam 'google maps' memaparkan jauh dari kampung tersebut kira-kira 24km. Kami menyusur jalan tar kecil yang hanya boleh memuat sebuah kereta di sepanjang bendang padi di Kg. Alor Nan. Jelas kelihatan kesibukan kenderaan yang lalu-lalang di Lebuhraya Utara-Selatan dari bendang tersebut. InshaAllah kalau ada rezeki kami datang lagi ke Alor Nan. Kami masuk semula ke Highway menuju Kota Star.
Cukup sampai di sini untuk hari kedua part.1. Saya pun dah lenguh menaip.. masa free saya sambung untuk hari kedua part.2.. tak banyak gambar yang boleh saya paparkan kerana waktu untuk menggambar adalah terhad disamping kuasa bateri telefon bimbit perlu dijimatkan untuk tujuan komunikasi penting.
Kelihatan seorang pesawah melakukan kerja-kerja menyusun semula anak-anak padi menggunakan peralatan khas
Penulis bergambar di jalan di hadapan sebuah jambatan kecil di bendang padi.
Penulis berlatar belakangkan pokok padi yang menghijau
Pagi yang tenang, anak-anak muda Kg. Alor Nan memancing ikan di tali air
Abang Long menunggang kapcai arwah bapanya membawa saya ke bendang
Penulis membonceng motosikal yang ditunggangi oleh Abang Long
Comments
Post a Comment