TRAVELOGUE 9 : HARI KEEMPAT (AIR TERJUN GUNUNG STONG, GUA MUSANG)

GUNUNG RENG ADA KISAHNYA

14.12.2017 (Khamis)
KG BATU MELINTANG - BANDAR GUA MUSANG (112 KM)

Selepas selesai solat di surau kedai makan Batu Melintang, kami bergerak semula. Kami bukannya bergerak untuk pulang ke rumah sebaliknya mahu menyambung percutian kami di Cameron Highland. Lagipun biras saya itu makin bersemangat kerana keretanya telah siap dibaikpulih oleh mekanik di Kampung Batu Melintang. Bekalan pakaian yang dibawa pun semua telah dicuci pada pagi itu di Kuala Kangsar. Jadi perjalanan kami pada petang ini (4.30 petang) agak lancar.

Saya bingkas berpesan kepada biras agar memandu keretanya dalam 'run-in' (pantang) kerana head enjin keretanya baru dimesin untuk diratakan permukaan yang bengkok itu belum serasi dengan dinding pelapik (gasket)  dan gam. Sudah tentu terdapat ruang salah padan dalam enjin yang menyebabkan ada ketirisan kecil dan halus yang kita tidak nampak. Jadi saya berpesan agar membawa 'slow-slow' untuk 500km pertama ini. Sebenarnya saya bukan pandai dalam permasalahan enjin kenderaan tetapi sekadar 'buat bijak' untuk kelihatan bijak di hadapan orang lain.

LAGENDA GUNUNG RENG

Lebih kurang 3 kilometer dari kedai yang saya makan itu, akan kelihatan sebuah gunung kecil seperti sebuah bongkah batu besar di kiri jalan. Sebenarnya itu dipanggil sebagai Gunung Reng. Untuk ke gunung itu anda perlu mengambil jalan susur keluar di sebelah kiri kerana kedudukannya tidak jauh dari jalanraya utama. Di bawah gunung tersebut terdapat sebuah masjid yang agak lama tetapi menawan senibinanya. Di gunung itu dikatakan terdapat sebuah gua dan tempat beriadah disamping di belakangnya tempat air Sungai Pergau mengalir. Saya tidak berapa tahu dengan keadaan sekitar kawasan ini kerana hanya baru sekali menjejaki Masjid Gunung Reng ini. Itupun saya lupa bila dan dengan siapa saya datang ke sini. Tetapi yang saya tahu gunung ini mempunyai kisah yang sangat menarik yang dikategorikan sebagai lagenda.

Ceritanya lebih kurang begini. Kira-kira 1400 tahun yang lampau tapak gunung ini terdapat sebuah kampung bernama Kampung Tala. Kampung Tala ini mempunyai seorang penghulu bernama Tok Tadeh yang berketurunan Pulang Hari dari Jawa. Suatu hari Kampung Tala mengadakan pesta keramaian selama tujuh hari tujuh malam. Pelbagai jenis aktiviti dan permainan yang mereka lakukan sehingga sudah habis permainan yang mereka lakukan. Untuk permainan pada hari ketujuh mereka telah bermesyuarat dan bersetuju agar permainan melaga anjing dan kucing di atas bumbung rumah sebagai acara penutup pesta tersebut. Acara tersebut diadakan pada ketika menjelang Zohor dan sewaktu ia berlangsung tiba-tiba datang awam yang gelap berserta dengan ribut taufan. Ketika itu seorang nenek dan cucunya balik rumahnya di Kampung Gantang yang terletak di sebelah Kampung Tala untuk mengangkat padi di jemuran. Selepas itu mereka datang semula, tetapi mereka terkejut kerana sebuah gunung besar telah berada di tapak Kampung Tala itu. Nama Gunung Reng itu sendiri dikatakan datangnya dari tempat asal gunung itu di Ulu Sungai Reng, Perak yang perjalanannya memakan masa selama 3 hari 2 malam pada masa itu. Tapak Gunung Reng di Perak itu dikatakan telah menjadi sebuah tasik yang sama saiz dengan Gunung Reng di Jeli, Kelantan. Sama ada misteri kisah Gunung Reng adalah sebuah lagenda atau sebuah sebuah sejarah ia memberi pengajaran oleh Allah S.W.T kepada kita bahawa segala tindak tanduk yang kita lakukan jangan bertindak diluar batasan kemanusiaan walaupun terhadap haiwan. Kami tinggalkan Gunung Reng itu dengan meneruskan perjalanan tanpa singgah di situ. Tiada keperluan untuk kami berhenti memandang beberapa minit yang lepas kami sudah melepaskan penat dan lelah di kedai makan serta solat di situ. Biarlah Masjid Gunung Reng yang indah itu kekal menjadi penjaga setia 'bongkah batu gergasi' itu.

PINGGIRAN BANDAR JELI

Selepas 15 kilometer perjalanan dari melihat pemandangan Gunung Reng dari àtas jalanraya utama kami tiba di persimpangan jalan yang menghubungkan Jeli dan Dabong, Gua Musang. Dengan sedikit pengalaman dan ingatan melalui jalan itu ketika bekerja di Naza Bikes Kota Bharu pada tahun 2006, saya 'menongkah' jalan yang dipenuhi kampung-kampung yang terjejas teruk ketika banjir besar berlaku pada tahun 2014. Kami masuk ke jalan persimpangan kanan itu menuju ke arah Dabong. Apabila saya masuk ke simpang situ, tidak lama kemudian saya memasuki jalan yang mempunyai dua 'line'. Terdapat beberapa buah bangunan moden di 'birai' jalan. Kemudian saya melalui sebuah simpang 4 lagi. Di hadapan simpang sebelah kiri ada sebuah masjid yang agak besar. Di luar masjid itu terpampang tulisan Masjid Jamek Jeli. Sah saya telah memasuki sebahagian dari Bandar Jeli. Tidak jauh dari simpang itu juga terdapat deretan bangunan dan rumah di kiri dan kanan jalan. Keadaan Bandar Jeli sudah berubah tidak seperti sewaktu Pok Nik (mekanik Naza Bikes Kota Bharu) membawa saya melawat Bandar Jeli pada tahun 2006. Pada ketika itu saya melihat bandar itu umpama sebuah pekan kecil yang hanya 'hidup' sehingga jam 5.00-6.00 petang. Pok Nik yang membawa saya itu berasal dari Kg Bukit Bakar, Machang tetapi isterinya berasal dari Jeli. Kami ke bandar Jeli kerana menghantar motosikal yang dipesan pelanggan. Kini Jeli yang saya lihat semakin pesat membangun.

TINGGINYA AIR TERJUN GUNUNG STONG

Selepas dari simpang empat Bandar Jeli kami meneruskan perjalanan menuju jalan ke arah Dabong. Kami menempuhi kawasan kampung-kampung kecil yang rata-rata penduduknya bekerja sebagai penoreh getah kerana di sepanjang jalan itu terdapat kebun-kebun getah yang memagari jalan raya. Sepanjang perjalanan ini juga kita boleh perhatikan kecantikan kawasan jajaran Gunung Stong di sebelah kanan jalan. Sesekali saya memerhati ke sebelah kanan kalau-kalau terjumpa dengan air terjun di atas gunung tapi tidak menemuinya. Lebih kurang 23 kilometer dari simpang 4 tadi, kami sampai ke Pekan Kuala Balah. Di pekan ini, anda boleh memberhentikan kenderaan untuk berehat dan makan kerana terdapat kemudahan yang banyak. Anda juga membuat pemeriksaan kenderaan kerana di sini juga terdapat bengkel membaiki kereta. Pada 2014, kawasan ini merupakan salah satu kawasan terjejas akibat banjir. Jalan-jalan yang menghubungkan pekan ini dengan bandar-bandar berhampiran seperti Bandar Jeli di sebelah utara, Bandar Kuala Krai di sebelah timur dan Bandar Gua Musang di sebelah selatan terputus akibat dinaiki air. Saya dapat membayangkan kesusahan dan kesukaran yang dihadapi penduduk setelah terperangkap terutama dari segi mendapat rawatan bagi pesakit kronik di hospital serta bekalan makanan dan air minuman bersih ketika banjir itu berlaku.

Lebih kurang 17 kilometer menyusuri laluan jalan melepasi Pekan Kuala Balah, kami tiba di satu kampung bernama Kampung Jelawang. Di kampung itu terdapat satu simpang sebelah kanan menuju ke Gua Musang. Kami masuk ke simpang tersebut. Sekiranya kami meneruskan perjalanan ke arah timur tadi, kami akan memasuki Pekan Dabong kemudian perlu keluar ke jalan utama Kuala Krai- Gua Musang berhampiran Laloh. Jalan itu lebih jauh untuk ke Gua Musang berbanding jalan masuk ke simpang kanan ini. Jadi pada hemat kami jalan simpang ini lebih baik. Sebaik sahaja masuk ke simpang tersebut, saya melihat di atas gunung satu garisan air yang memutih menuruni lembah bukit. Saya pasti apa yang kami lihat itu merupakan air terjun Gunung Stong. Ia dikatakan sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Air Terjun ini juga tersenarai pada kedudukan ke-5 daripada 10 tempat terbaik dalam Ekotourism Malaysia sebagai tempat yang menarik untuk di lawati. Kami memberhentikan kenderaan kemudian mengambil beberapa keping gambar untuk saya lihat apabila berhenti memandu. Kami tidak boleh berada lama di situ kerana masa sudah manghampiri jam 6.00 petang sedangkan arah tujuan kami masih jauh. Tidak jauh dari simpang itu, terdapat jalan masuk sebelah kanan menuju ke Taman Negara Gunung Stong. Tapi struktur jalannya sedikit rosak mungkin ia menjadi laluan kenderaan berat keluar-masuk.

MENYEBERANGI JAMBATAN SEMENTARA SUNGAI NENGGIRI YANG MENGGERUNKAN

Selepas puas mengambil gambar air terjun Gunung Stong, kami meneruskan perjalanan menuju Gua Musang. Jalan laluan ini akan terpencil kerana jarang-jarang sekali bertembung dengan kenderaan. Kalau bertembung pun dengan lori-lori yang mengangkut sawit atau balak. Sekali-sekala kami berselisih dengan kenderaan pacuan empat roda. Mungkin keadaan geografi dan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang sesesuai bagi kenderaan jenis itu. Lagipun kenderaan jenis itu lasak untuk 'onroad' apatah lagi 'offroad'. Sekali-sekala juga kami menemui rumah penduduk yang jaraknya jauh antara satu sama lain. Di sepanjang jalan, saya dapati banyak pokok-pokok buluh jenis lemang dan pokok pisang hutan tumbuh meliar. Biasanya pokok-pokok ini tumbuh subur di kawasan kurang penempatan manusia.

Setelah puas memandu merentasi perkampungan-perkampungan terpencil, kami tiba di Sungai Nenggiri. Jaraknya kira-kira 40 kilometer dari simpang masuk di Kampung Jelawang, Gunung Stong tadi. Apa yang menggerunkan adalah untuk menyeberangi sungai kita terpaksa menggunakan jambatan besi sementara yang tiada hadangan di tepinya. Jambatan itu saya rasa berukuran 12 kaki lebar. Tapi saya tak pasti mungkin ia lebih besar. Mungkin disebabkan rasa takut menyebabkan saya nampak jambatan tersebut seperti kecil. Untuk info, jambatan asal yang menghubungkan jalan seberang Sungai Nenggiri ini telah runtuh akibat banjir besar yang melanda pada 2014. Sejak itu, perhubungan kampung sebelah sini untuk ke Gua Musang bertambah jauh hingga melebihi 200 kilometer sedangkan jika menyeberangi sungai ini jaraknya kurang dari 40 kilometer.

ISTERI TAKUT TAPI SAYA TIDAK TAKUT MENITI JAMBATAN ITU

Sedikit menggerunkan apabila anda perlu menuruni curam dari jalan raya besar ke jambatan itu. Silap-silap kereta anda menjunam terus ke dalam Sungai Nenggiri yang airnya deras itu. Isteri mula menjerit ketika saya mahu menuruni curam itu. Saya menjadi panik. Ketakutan melampau isteri itu membuatkan saya turut merasa cuak. Isteri saya meminta supaya berpatah balik semula. Keadaan kelam kabut dalam kereta itu menyebabkan pengawal lalu lintas menunggu-nunggu pergerakan kami. Kereta belakang pun bertambah banyak. Isteri saya sebenarnya meragui kemampuan saya memandu melintasi jambatan itu sedangkan dia tahu saya sudah memiliki pengalaman memandu beratus ribu kilometer. Dia ingat saya takut (padahal memang takut). Namun begitu walauapapun yang terjadi saya tekad memberanikan diri lantas mengundurkan kenderaan bagi memberi laluan kepada kenderaan belakang lalu dahulu. Kemudian saya turun dari kereta serta melangkah dengan berani meminta bantuan abang yang menjaga lalu lintas jambatan itu agar memandu kereta saya menyeberangi jambatan tersebut. Saya masuk ke tempat duduk belakang sambil abang itu membawa kami ke sana. Saya berterima kasih seterusnya meneruskan perjalanan. Manakala biras saya memandu sendiri keretanya mengekori kereta saya. Berani tak saya? Berani bukan. 

Sebenarnya jika kami berpatah semula dan melalui jalan ke Dabong, ia akan memakan masa selama tiga jam untuk sampai ke Gua Musang. Sebaliknya jika kami melintasi jambatan itu, masa yang diambil cuma selama 30 minit. Pembinaan jambatan sementara itu walaupun dari segi keselamatannya kurang, ia memberi rahmat kepada penduduk kawasan untuk ke Bandar Gua Musang. Sementara menanti jambatan baru siap (dalam proses pembinaan ketika itu), penduduk seakan redha dan tabah menggunakannya. Di kala hujan lebat, jambatan ini akan ditenggelami air sungai yang mengalir deras. Bagi anda yang ingin menggunakan laluan ini untuk ke Gua Musang atau Cameron Highland diingatkan supaya berhati-hati. Cuba elakkan melaluinya ketika musim tengkujuh kerana ia berisiko untuk tenggelam. Anda boleh mengelak laluan ini dengan melalui Jalan Dabong-Kuala Krai ketika di Kampung Jelawang tadi.

MEMASUKI BANDAR GUA MUSANG

Selepas melintasi jambatan ini, jarak untuk ke Bandar Gua Musang kira-kira lebih kurang 30 kilometer. Jalan ini agak sempit kerana ruang rizab jalan garisan putih agak kecil. Keadaan laluan di sini sedikit berbukit bukau dan terdapat banyak juga selekoh. Jalan ini turut menjadi laluan lori-lori mengangkut buah sawit ke kilang. Kami beberapa kali mengekori lori pengangkut sawit yang menuju arah jalan ke Bandar Gua Musang. Kira-kira pukul 7.00 malam kami sampai di Bandar Gua Musang. Pada mulanya kami ini menginap di Hotel Bajet dalam bandar ini tetapi biras saya telah menghubungi sepupu bapanya yang dipanggil mummy meminta bantuan untuk mencari homestay sekitar bandar ini. Walaubagaimana pun mummy telah mempelawa kami menetap di rumahnya di PPR Gua Musang.

Sebenarnya mummy mempunyai dua buah rumah iaitu rumah yang didiaminya di Jalan Stesen Keretapi Gua Musang dan satu lagi di PPR Gua Musang yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Jalan Stesen Keretapi Gua Musang itu. Mummy dan suaminya seorang askar bersara telah menghantar kami ke rumah PPRnya itu. Setelah sampai di PPR itu, mummy pulang untuk menyiapkan makan malam untuk kami. Beliau meminta kami datang malam itu ke rumahnya di Jalan Stesen Keretapi. Kemudian setelah mummy dan suaminya pergi, kami mandi dan solat. Selepas siap berpakaian lengkap, kami pergi ke rumah mummy. Ketika di rumah mummy, beliau menghidangkan kami nasi berlaukkan ikan goreng, telur masin, telur ikan budu serta sayur kuah lemak di cicah budu. Kami makan dengan penuh selera pada malam itu. Mummy sungguh berhati mulia kerana bukan sahaja menumpangkan kami bermalam di rumahnya secara percuma malah turut menjemput kami makan malam di rumahnya. Selepas makan, kami berbual panjang dengan mummy dan suaminya. Mereka menceritakan tentang anak-anaknya dan pekerjaan mereka. Apabila jam sudah pukul 10.30 malam, kami pulang semula ke rumah PPR. 

Apabila sebahagian anak-anak kami tidur, kami keluar dengan satu kereta untuk ke Pasar Malam Gua Musang serta mencuci pakaian di dobi. Pasar malam itu terletak berhampiran dengan stesen petronas yang berhadapan dengan Masjid Jamek Gua Musang. Namun apabila kami sampai di situ pada jam 11.00 malam ia sudah hampir ditutup. Peniaga-peniaga terutama pakaian telah menutup perniagaan mereka dengan kanvas. Ada di antara peniaga-peniaga itu telah tidur di dalam kanopi yang ditutup kanvas itu. Sebenarnya Pasar Malam Gua Musang ini akan bersambungan terus dengan Pasar Pagi Gua Musang yang diadakan setiap pagi Jumaat. Jadi peniaga-peniaga ini mengekalkan tapak kanopi mereka untuk mereka sambung berniaga pada keesokkan pagi. Bagi memastikan barangan jualan mereka selamat, rata-rata peniaga ini berkampung dengan tidur di kanopi mereka pada malam itu.

Oleh kerana pasar malam telah ditutup, kami terus ke kedai dobi untuk mencuci pakaian. Namun begitu kadar cucian di dobi ini agak mahal berbanding ketika mencuci di Kuala Kangsar semalam. Kadar cucian di sini RM6.00 untuk 30 minit bagi mesin basuh berkapasiti 14kg. Manakala RM5.00 untuk pengeringan baju untuk tempoh yang sama. Satu jam kemudian, apabila pakaian sudah siap kering. Kami pulang semula ke PPR untuk tidur. Esok perancangan kami untuk bergerak ke Cameron Highland.

Sekian, bersambung....


            
Masjid Mukim Gunung Reng yang menampilkan senibina lama menggamit para pengguna laluan Timur -Barat di Jeli, Kelantan. Di petik daripada blogger seni melayu lama.



Air Terjun Gunung Stong yang sempat penulis 'shoot' ketika berhenti di persimpangan Kampung Jelawang. Ia dikatakan sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara.


Keindahan Air Terjun Gunung Stong yang menarik minat pengunjung yang melakukan aktiviti lasak seperti hiking, climbing dan camping. Ia juga menarik minat para pengkaji flora dan fauna membuat kajian. Gambar dari Jabatan Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan.


Perasaan cuak dirasai penulis ketika menyeberangi Jambatan Sementara Sungai Nenggiri, Gua Musang


Anak kedua penulis teruja melihat pergerakkan ketika kami melintas Jambatan Sungai Nenggiri


Tempat penginapan penulis dan famili di tingkat bawah PPR Gua Musang, tidak jauh dari Bandar Gua Musang


Blok bangunan lain di PPR Gua Musang tempat penulis inap di malam keempat dalam siri pengembaraan ini.





Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA