TRAVELOGUE 3 : HARI KEDUA - RUMAH PERANGINAN PERSEKUTUAN PULAU PINANG)


LAWATAN KE NEGERI-NEGERI UTARA SEMENANJUNG

Salam semua, hari ini saya menyambung semula cerita berkenaan dengan pengalaman pengembaraan pada hari kedua

Pada 12 Disember 2017 (Selasa), Hari Kedua
Laluan Kota Star - George Town, Pulau Pinang ( 118 KM)

Sambungan dari part.1, Pada pukul 10.00 pagi kami meneruskan perjalanan ke Kota Star dari Kota Sarang Semut menggunakan laluan Lebuhraya Utara-Selatan. Kami memilih jalan ini untuk menjimatkan masa memandangkan kami hanya mempunyai masa 4 jam untuk mendaftar masuk tempat penginapan di Pulau Pinang. Kami memasuki Bandar Kota Star lebih kurang jam 10.30 pagi. Sebenarnya sudah 14 tahun saya tidak menjejaki Bandar Kota Star sejak tamat pengajian sarjana muda di UUM. Jadi saya ingat-ingat lupa jalan-jalan di Kota Star. Mujurlah zaman sekarang kita dibantu oleh teknologi panduan perjalanan google maps. Tetapi kerapkali teknologi itu tak berfungsi ketika ramai pengguna menggunakannya. (line sibuk).

Keinginan saya datang ke negeri Kedai untuk melakukan kunjungan ke beberapa tempat yang penuh nostalgik bagi saya seperti Bandar Jitra, Pekan Changlun, Bukit Kayu Hitam, Kuala Perlis dan juga Kampus UUM itu sendiri. Tidak lupa juga Stesen Bas Shahab Perdana yang pertama kali saya jejaki pada tahun 1999. Saya teringin menikmati kelazatan cendol di Joe Cendoi Pulut Pekan Changlun, kepedasan laksa kedah dengan laksa berasnya, serta nasi tomato yang saya tidak gemari sewaktu menjadi mahasiswa dulu. Oleh kerana masa yang terhad, saya lupakan semua itu. Mungkin saya akan realisasikan sewaktu jelajah kapcai solo yang akan saya buat satu hari nanti.

Berbalik pada misi pengembaraan kami semula, kami bergerak ke Pekan Rabu . Sesampainya kami di sana kami dapati Bangunan Pekan Rabu itu sedang dalam proses pembinaan untuk pembesaran dan pemodenan. Jadi para peniaga di Pekan Rabu menjalankan perniagaan di kompleks sementara di Ukir Mall Jalan Tunku. Akan tetapi ruang tempat letak kereta di kompleks ini agak terhad dan bayaran dikenakan untuk per entry adalah sebanyak RM2.00. Saya membeli Kuah Rojak Mak Bee yang boleh didapati pada harga RM10.00 untuk 3 bekas. Saya juga membeli kicap perencah untuk char kuew tiaw. Saya tidak merakamkan sebarang gambar ketika berada di Alor Setar memandangkan saya mula merasa keletihan akibat kurang tidur pada malam sebelum itu.

BERGERAK KE GEORGE TOWN

Setelah hampir sejam setengah berada di Pekan Rabu Ukir Mall, kami meneruskan perjalanan ke George Town yang jaraknya kira-kira 118 KM dari Alor Setar. Saya kembali memenuhkan tangki minyàk dengan mengisi petrol di Stesen Minyak Petronas sebelum susur masuk Lebuhraya Utara-Selatan sebanyak RM70.00. Kemudian kami meneruskan perjalanan pada jam 12.00 tengah hari. Saya memandu secara santai dan di bawah had laju kebangsaan 90km/h bagi jalan biasa walaupun ketika berada di lebuhraya kita boleh memandu sehingga 110km/h. Perjalanan saya ke Pulau Pinang mengujakan saya kerana inilah pertama kali saya akan menjejaki Pulau Pinang dan pertama kali juga memandu menaiki Jambatan Pulau Pinang. Jadi perasaan teruja dan takut itu bercampur baur.

Saya membuat tempahan secara online untuk Bilik Deluxe Rumah Peranginan Persekutuan Pulau Pinang berharga RM100.00 pada bulan September 2017

Memasuki jambatan Pulau Pinang, kami terus meluncur ke destinasi utama percutian kami iaitu Rumah Peranginan Persekutuan Pulau Pinang yang terletak di Jalan DS Ramanathan, Pulau Tikus, George Town. Semasa berada di atas Jambatan Pulau Pinang, kegembiraan tergambar oleh anak-anak di dalam kereta apabila merakamkan detik-detik manis berada di atas jambatan yang hebat dan mengagumkan ini. Tetapi saya yang memandu kereta inj menghadapi masalah kerana kegagalan google maps memberi panduan perjalanan akibat sistem gps tidak begitu lancar. Adakala saya menjadi bingung apabila panduan pemanduan berhenti secara tiba-tiba. Saya memandu mengikut naluri walaupun hati saya berdebar-debar takut tersalah jalan. Akhirnya kami sampai juga ke Rumah Peranginan Persekutuan.

DAFTAR MASUK RUMAH PERANGINAN

Kami tiba di perkarangan rumah peranginan persekutuan pada jam 2.00 petang. Kawasan rumah peranginan itu dikawal oleh beberapa orang anggota RELA yang bekerja mengikut shift. Sebenarnya saya membuat tempahan bilik suite di sini sejak bulan September 2017 pada harga RM100.00 + RM20.00 untuk tambahan 2 orang dewasa dan +RM10.00 untuk dua orang kanak-kanak. Manakala RM50.00 untuk wang deposit. Jadi keseluruhan yang saya bayar sebanyak RM180.00. Sebenarnya tidak perlu bayar pun wang tambahan tu kerana tidak ada penambahan dari segi kemudahan. Lagi pun tiada pemeriksaan dilakukan. Malah notis siap dipamerkan menyatakan bayaran tambahan bukan untuk mendapat tambahan kemudahan tetapi sebagai denda.

Keadaan bilik suite yang disediakan di rumah peranginan ini secara umumnya ok dan ia bersesuaian dengan harga dan lokasi letaknya. Bilik yang kami huni mempunyai 2 katil single dan keluasan bilik saya anggarkan 12 x 12 kaki. Ia sesuaian jika bilangan penghuninya 4 atau 5 orang. Tetapi bagi kami yang mempunyai 15 orang ini, bilik ini agak sempit serta aircondnya tidak begitu chill. Walaupun begitu kami tetap bersyukur asalkan semua dapat rehat dan tidur.

MAKAN NASI KANDAR DAN MEMBELI JERUK PAK ALI

Saya sebenarnya amat jahil tentang jalan dan kedudukan tempat-tempat di Pulau Pinang. Oleh itu, saya tidak tahu di mana tempat-tempat menarik di kawasan ini. Lebih kurang pukul 3.00 petang selepas mengerja solat, kami bergerak untuk mencari makanan. Pada mulanya kami merancang mahu pergi ke Padang Brown kerana saya diberitahu oleh Bang RELA di situ ada jual macàm-macam. Oleh kerana kami bergerak terlalu awal, tempat itu masih belum dibuka.

Kemudian, saya mengambil keputusan untuk pergi ke Batu Feringgi iaitu jarak kira-kira 17km dari Padang Brown itu. Masa yang diambil untuk ke Batu Feringgi memakan masa yang agak lama juga. Jalan ke sini sedikit curam dan sempit kerana ia laluan berbukit di tepi pantai. Di sepanjang laluan ke Batu Feringgi juga anda akan melihat banyak apartment atau kondo yang tinggi dan halus. Saya tengok saja pun dah gayat apatah lagi yang tinggal di dalamnya. Anda boleh berhenti di beberapa tempat kawasan berpasir pantai di laluan ini tetapi kawasan berpasir ini tidaklah besar. Ruang tempat letak kereta pun tiada atau pun terhad. Jadi saya tidak berhenti di sini. Lebih kurang setengah jam memandu akhirnya kami sampai di Kedai Cawangan Jeruk Pak Ali Batu Feringgi. Kedainya agak kecil dan saya merasakan kedai ini bukan kedai utama Jeruk Pak Ali di Pulau Pinang. Tapi oklahkan daripada tidak ada. Harga jeruk ini adalah RM13.00 sekilogram untuk semua buah kecuali RM19.00 sekilogram untuk jeruk buah salak dan kelubi. Saya membeli dua kilogram jeruk campuran yang berharga RM13.00 sekilogram itu.

Berlaku sedikit kemalangan di hadapan kedai jeruk itu antara kereta Alza dan Alphard. Kami tidak pedulikan semua itu. Kami terus mencari kedai yang boleh kami makan nasi kandar. Saya bertanyakan pekerja kedai jeruk tadi di manakah kedai nasi kandar di kawasan ini. "Jalan ni abang belok kiri kemudian belok kiri lagi. Kat situ ada kedai nasi kandar", ujar pekerja perempuan itu. Saya pun bergerak ke laluan seperti yang dinyatakan. Kami tiba di kawasan perkedaiàn. Di situ terdapat kedai mamak dan di pinggiran jalan terdapat beberapa warung laksa dan char kuew tiaw. Saya, biras dan isteri makan di restoran mamak untuk makan nasi kandar. Saya memilih lauk kari sotong dan kari ikan cermin harganya dalam RM10.00 lebih. Ermm bolehlah harga tu. Kuahnya dicampurkan semua sekali sedikit-sedikit di dalam nasi saya. Oh! Mungkin itulah yang dinamakan kandar kerana campuran kuah itu. Isteri memilih lauk ayam masak merah dan kari sotong. Tapi saya tak ingat harganya. Pada saya rasa nasi kandar itu cukup enak dan kena dengan selera saya.

Ibu mertua anak-anak dan yang lain makan di warung tadi. Mereka makan char kuew tiaw dan masakan panas lain. Ingat dihati nak makan pasembor tetapi perut dah kenyang. Mungkin esok saya boleh makan pasembor tu. Harganya menurut isteri saya agak mahal kerana dicaj RM7.00-RM8.00 untuk sepinggan. Selepas makan dan bayaran dibuat, kami bergerak pulang. Apa yang berlaku semasa kami pulang ialah kemalangan antara Alza dan Alphard tadi sudah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Saya melihat dalam google maps untuk laluan alternatif jalan belakang. Jarak yang saya tengok adalah 55km melalui jalan belakang itu. Saya enggan memilih jalan itu kerana agak jauh. Memandu di Pulau Pinang untuk jarak sejauh itu adalah memenatkan. Saya redah juga laluan yang sama ketika saya datang tadi kerana laluan itu cuma 17km untuk saya sampai. di Pulau Tikus. Lagipun kawasan kemalangan pun terlalu hampir dengan kami. Lebih kurang 50 meter di hadapan. Jadi kesesakan yang kami hadapi tidaklah begitu lama.

KESESAKAN YANG PANJANG DI JALAN BERTENTANGAN

Selepas lampu isyarat simpang yang kami masuk tadi, kesesakan akibat kemalangan sudah pun berlaku que yang panjang. Kami berjaya melepasi kawasan kemalangan itu. Laluan arah kami sudah 'clear' dah kami memandu dengan tenang kerana sudah tiada kesesakan. Akan tetapi bagi laluan bertentangan kesesakan itu berlaku hingga 10 kilometer panjangnya. Dengan laluan sehala dan sempit menambahkan lagi kesesakan itu.  Lebih kurang 5-6 kilometer baru saya lihat trak penunda dari arah bertentangan lalu untuk menunda kereta tadi. Tidak lama kemudian lebih kurang pukul 6.00 petang, kami sampai semula di Rumah Peranginan Persekutuan di Pulau Tikus.

Setelah tiba ke bilik, saya mandi membersihkan diri dan berehat di atas katil. Badan saya dah rasa lenguh-lenguh. Isteri mengajak untuk ke tempat-tempat lain tetapi saya sudah kepenatan. Anak-anak bermain-main di 'playground' yang disediakan di rumah peranginan ini. Kami solat di surau yang disediakan di rumah peranginan ini. Bila malam tiba, kami merancang untuk bergerak ke Padang Brown dan Sg.Nibung dengan sebuah kereta apabila anak-anak sudah tidur. Tetapi apa yang berlaku kami juga turut tertidur sehingga keesokan pagi.

Sambungan.....,,,


Gambar Pekan Rabu yang kami pergi dipetik dari tripadvisor.com.my

Bangunan utama Rumah Peranginan Persekutuan Pulai Pinang

Penulis berada di kaunter Rumah Peranginan Persekutuan

Bilik-bilik Suite Dahlia Rumah Peranginan Persekutuan

Ruang Lobi Rumah Peranginan Persekutuan

Ruang menunggu RPP

Ruang santai di halaman RPP

Jambatan Pulau Pinang ketika penulis memandu di atas jambatan ini.

Bangunan dua tingkat RPP Pulau Pinang





Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA