TRAVELOGUE 1 : HARI PERTAMA
LAWATAN KE NEGERI-NEGERI UTARA SEMENANJUNG
Salam semua, pada kali ini saya akan menceritakan beberapa pengalaman menarik ketika melakukan travel bersama keluarga pada musim cuti sekolah.
Pada 11 Disember 2017 ( Isnin), Hari Pertama
Laluan Kota Bharu-Pasir Mas-Tanah Merah-Jeli-Gerik-Kulim-Kota Sarang Semut (401 KM)
Saya sekeluarga bersama keluarga ipar duai seramai lebih kurang 15 orang bergerak dari Kota Bharu menuju ke destinasi pertama iaitu Alor Star. Berikut adalah senarai ahli keluarga yang menyertai lawatan tersebut :
1) Saya, isteri dan anak-anak (6 orang)
2) Keluarga Rufeah, suami dan anak-
2) Keluarga Rufeah, suami dan anak-
anak (kakak ipar, 6 orang)
3) Ibu mertua (1 orang)
4) Anak saudara lain sebelah isteri
3) Ibu mertua (1 orang)
4) Anak saudara lain sebelah isteri
(2 orang)
Kami bergerak menggunakan dua buah kereta iaitu Nissan X-Trail 2.0 Toyota Avanza 1.5 Saya bertolak dari rumah pada pukul 9.00 pagi dan merancang bertemu dengan kenderaan ipar di Stesen Petronas Bandar Baru Tunjung. Akan tetapi berlaku sedikit masalah teknikal pada kenderaan mereka menyebabkan perjalanan yang dimulakan di stesen minyak tersebut tertangguh sehingga jam 10.30 pagi. Saya mengisi petrol di stesen minyak tersebut sebanyak RM120.00Perjalanan kami dimulakan pada jam 10.30 pagi itu mengikut laluan Kota Bharu-Pasir Mas-Tanah Merah-Jeli dalam negeri kelantan. Kami tiba di Jalan Kg. Batu Melintang sekitar jam 12.00 tengah hari iaitu permulaan bagi Laluan Timur-Barat.
PERJALANAN TERHENTI
Setibanya di KM149 ke arah Gerik lebih kurang jam 12.30 tengah hari (lebih kurang 18km dari Batu Melintang), tangki air kenderaan ipar telah pecah akibat temperature naik. Mujur pada waktu itu terdapat beberapa pemuda yang melakukan kerja-kerja menebang kayu membantu menghubungi mekanik dari Batu Melintang.
Perbincangan bersama mekanik melalui telefon bersetuju untuk membuat pemasangan baru tangki air kereta dengan kos sebanyak RM430.00 termasuk upah. Sementara menunggu mekanik memasang tangki tersebut, saya dan isteri turun semula ke Batu Melintang untuk membeli nasi. Saya membeli 10 bungkus nasi dan 3 bungkus air pada harga RM50.90. Kemudian, saya bergerak semula ke tempat kereta tersadai. Setibanya saya di sana mendapati tangki air sudah sedia terpasang tetapi kereta masih belum mampu dihidupkan. Sahlah sudah bahawa air sudah memasuki enjin yang menyebabkan head enjin menjadi bengkok. Solusinya kereta perlu di'towing' ke bengkel untuk dibaik pulih. Saya sebenarnya sudah punyai pengalaman yang sama pada 9 September 2004 yang mana saya terpaksa meminta ehsan seorang penduduk kampung untuk tumpang bermalam selama 3 hari di Jalan Pengkalan Hulu-Gerik. Ok, lupakan cerita lama tu.. balik kepada cerita ipar saya tadi, keretanya terpaksa ditunda oleh trak penunda ke bengkel kereta Batu Melintang lebih kurang 18km dari tempat kereta rosak dengan bayaran RM150.00. Tuan punya bengkel memberi tempoh 3 hari untuk melakukan 'overhaul' terhadap enjin kereta tersebut. Sementara menunggu kereta siap, ipar saya membuat ketetapan untuk meneruskan misi travel kami. Jadi mereka telah menyewa sebuah Myvi 1.0 dengan kadar sewa RM120.00 sehari. Sementara menunggu urusan penyewaan kereta, kami yang lain menunggu dan berehat di deretan kedai makan di tepi jalan Batu Melintang. Setelah makan dan solat, kami bertolak semula pada jam 5.30 petang. Kami membawa kenderaan dengan lebih berhati-hati serta tidak terlalu memberi tekanan kepada kenderaan untuk bergerak lebih laju. Pesan saya kepada pemandu yang ingin melalui laluan timur barat ini ingin saya memberi tips agar anda tidak menghadapi masalah enjin overheating :-
- Pastikan kenderaan tidak membawa beban yang berlebihan.
- Jika membawa beban berlebihan jangan terlalu menekan pedal minyak untuk bergerak lebih laju sebaliknya bawalah kenderaan secara santai. Kalau boleh berhenti di RNR yang disediakan di sepanjang laluan ini untuk memberi 'rehat kepada enjin kereta anda.
- Selalu memerhati temperature kereta anda. Selalunya kereta 'breakdown' disebabkan kealpaan pemandu memerhati temperature untuk tindakan segera menyelamatkan enjin supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.
- Bawa bekalan air simpanan untuk pengisian semula jika berlaku kekeringan pada tangki air kereta anda.
- Jangan terus membuka penutup tangki air sebaik sahaja berhenti, sebaliknya tunggu sehingga enjin sejuk. Pengisian air juga begitu, tunggu sehingga enjin sejuk barulah anda mengisi semula air tersebut.
- Bawa bekalan makanan secukupnya untuk anda dan ahli keluarga sebagai langkah menghadapi musibah kereta tersadai di laluan ini.
- Pastikan telefon bimbit anda mempunyai kuasa yang cukup untuk perhubungan jika berlaku kecemasan serta mempunyai kredit. Ini kerana anda tidak boleh mengharapkan kenderaan lain berhenti membantu anda. Sepanjang pengalaman kami menghadapi masalah ini, tiada satu pun kenderaan berhenti membantu sebaliknya mereka hanya memberi hon. Kita tidak boleh salahkan mereka, ini kerana kawasan ini agak sunyi dan terpencil ia agak senang untuk melakukan aktiviti jenayah.
TIBA DI RNR GERIK
Kami tiba di persimpangan Gerik-Baling pada pukul 7.00 malam, keadaan pada masa itu sudah hampir gelap. Tetapi saya memilih untuk tidak berhenti rehat di RNR ini kerana sudah malam. Bila sudah sampai di tempat ini, anda mempunyai beberapa laluan pilihan untuk ke Alor Star iaitu pertama Laluan Gerik-Pengkalan Hulu-Baling (jalan yang biasa dilalui oleh saya untuk ke Alor Setar), kedua dengan melalui Laluan Lebuhraya Gerik-Baling dan ketiga Laluan Gerik-Kuala Kangsar (agak jauh). Saya yang mengetuai travel ini memilih laluan kedua iaitu dengan melalui Lebuhraya Gerik-Baling memandangkan suasana ketika itu sudah gelap. Tapi sebenarnya ketiga-tiga laluan tersebut agak sunyi di waktu malam dan ketiga-tiga laluan itu dikatakan sebagai kawasan 'keras'. Tetapi jika ketika itu kami berada pada waktu siang, saya sudan pasti akan memilih laluan Gerik-Pengkalan Hulu-Baling kerana banyak memori yang tersimpan di benak saya di laluan itu. Saya sebenarnya ingin berjumpa dengan Abang Din dan isterinya yang sanggup menumpangkan saya dan kawan-kawan bermalam ketika kereta kancil saya 'breakdown' 13 tahun yang lalu. Malah Abang Din lah yang membantu membaiki kereta saya itu. Rumah Abang Din seingat saya tidak jauh dari Bulatan Gerik-Jeli-Pengkalan Hulu lebih kurang 100 meter dari Masjid sebuah kampung yang saya tidak ingat namanya. Abang Din pada masa itu merupakan seorang bekas tentera yang memandu lori balak.
MELALUI HIGHWAY GERIK-BALING
Berbalik semula ke saya memilih laluan Lebuhraya Gerik-Baling, saya melalui kawasan itu dengan berhati-hati kerana laluan itu juga merupakan laluan pergunungan sama seperti Laluan Timur-Barat cuma jaraknya lebih pendek. Keadaan pada masa itu yang sudah gelap dan kebetulan saya melihat perkampungan di situ juga "blackout" kerana terdapat gangguan elektrik. Ia menambahkan lagi suasana gelap. Sesudahnya menamatkan laluan lebuhraya itu, saya memilih laluan Baling-Kulim. Sebenarnya laluan ini dua kali ganda lebih jauh untuk ke Alor Setar. Jika anda ingin ke Alor Setar ketika sudah sampai ke sini, anda boleh memilih Jalan Baling-Sik-Jeniang-Gurun untuk pemanduan yang lebih dekat dan lebih jimat. Oleh kerana saya sudah 13 tahun sudah tidak melalui laluan itu, saya bimbang jika keadaannya sama seperti dulu iaitu masih sunyi sebelum sampai ke Jeniang. Jadi saya memilih laluan Baling-Kulim kerana banyak kenderaan melalui jalan itu. Pada pukul 8.30 malam, kami tiba di Kawasan Perindustrian Kulim dan mengambil keputusan untuk berhenti rehat di Sebuah Stesen Minyak Caltex. Kami makan di deretan kedai makan yang berada bersebelahan stesen caltex tersebut. Setelah selesai makan, solat dan mandikan anak-anak, kami meneruskan perjalanan pada pukul 10.30 malam ke Kota Sarang Semut, Alor Setar.
MENERUSKAN PERJALANAN
Pada pukul 10.30 malam, kami bergerak dari stesen minyak caltex menuju ke Kota Sarang Semut, Alor Setar. Jarak perjalanan lebih kurang 100km. Kami mengguna laluan lebuhraya Plus dan menuju ke Alor Setar. Kami memandu secara santai kerana ingin menikmati pemandangan kawasan di sepanjang laluan tersebut. Lebih kurang pukul 12.00 tengah malam kami tiba di Alor Nan, Kota Sarang Semut. Kami menunggu kawan ipar yang menetap di kampung itu. Kami dibawa melalui kawasan perbendangan padi untuk ke rumahnya. Setelah sampai, kami berbual-bual sambil dihidangkan teh. Kami dipelawa oleh kawan ipar untuk bermalam di rumahnya.
Oklah nanti saya sambung untuk menceritakan pengalaman travel pada hari kedua.
Rumah kawan kakak ipar di Alor Nan, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah tempat kami tumpang bermalam
Kereta tersadai di KM149 arah ke Gerik, kira-kira 18km dari Kg Batu Melintang, Jeli, Kelantan.
Comments
Post a Comment