TRAVELOGUE 8 : HARI KEEMPAT (JALAN TIMUR-BARAT GERIK)

PENGORBANAN DALAM KENANGAN

14.12.2017 (Khamis)
LALUAN GERIK - JELI (125 KM)

Selepas berhenti rehat di stesen minyak shell sambil makan jambu dan mangga potong yang dicicah dengan kuah rojak Mak Bee, kami beredar menuju ke Jeli, Kelantan. Isteri dan anak-anak agak ralit dengan santapan maggi cup yang dibelinya di stesen minyak itu tadi. Laluan Timur - Barat yang kami lalui itu merupakan jalan yang agak sunyi walaupun banyak juga kenderaan yang lalu lalang terutama kenderaan dari negeri-negeri utara semenanjung yang mahu ke timur dan begitu juga sebalik. Laluan ini dibuka secara rasmi pada tahun 1982 setelah menempuh pelbagai onak duri sebelum berjaya disiapkan. Pembinaannya oleh kerajaan mempunyai strategi serampang dua mata iaitu pertama jalan pintas perhubungan antara timur dan barat semenanjung. Yang kedua sebagai strategi membendung ancaman komunis yang berleluasa di kawasan itu. Sewaktu negara masih dalam ancaman komunis (sebelum tahun 1989), kawasan Baling, Pengkalan Hulu, Gerik dan hingga ke sempadan Jeli merupakan kawasan hitam kerana komunis mengganas. Kedudukan geografi yang bergunung-ganang serta berhampiran dengan sempadan Malaysia - Thailand menjadi lokasi sesuai untuk pihak komunis melakukan tindakan subversif dan sebagai lokasi persembunyian.

PERNAH MELALUI JALAN INI PADA 1987

Pada 1987, pernah satu ketika ayah saya membawa kami sekeluarga pulang ke Pulau Pangkor melalui laluan Timur - Barat ini. Pada waktu itu, ayah baru sahaja membeli kereta Toyota Wagon bernombor plat WY3187 berwarna putih hijau membawa kami 8 beradik (3 adik saya lagi belum lahir) berserta sepupu saya dipanggil Abang Dan sebagai peneman pulang ke Perak melalui kawasan ini. Pada waktu itu, untuk melalui kawasan ini perlu dilakukan sebelum pukul 5.30 petang. Selepas waktu itu, tiada lagi kenderaan dibenarkan masuk. Sepanjang laluan ini boleh dikatakan pada setiap kilometer (kerana terlalu banyak) terdapat anggota tentera yang mengawal di pos kawalan. Sebagai kanak-kanak sudah tentulah saya merasa seronok apabila melihat anggota bersenjata di sepànjang laluan. Tetapi bagi orang dewasa sudah tentu merasa takut dan berdebar kerana jika tidak bernasib baik boleh bertembung dengan pengganas komunis yang boleh mengancam nyawa.

Namun semua itu sudah berlalu setelah berlaku perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM)  pada 1989 yang mana PKM bersetuju untuk meletakkan senjata. Selepas perjanjian damai itu, ada yang diterima menjadi rakyat dan tinggal di Malaysia dan ada yang menetap di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Pengkalan Hulu (Perak) - Betong (Thailand). Kebanyakan anggota komunis yang menetap di situ datangnya dari anggota Rejimen ke-10 ( Rejimen Melayu PKM) dan Rejimen ke-12 yang dikatakan diketuai oleh Rashid Mydin. Kini laluan ini telah diputihkan dan tiada apa yang perlu ditakutkan. Yang menjadi halangan pemandu dikawasan ini hanyalah binatang-binatang liar yang sekali-sekala melintasi jalan serta kawasan gunung-ganang yang adakalanya terdapat tanah runtuh di lereng bukit ketika berlaku hujan lebat.

MENERUSKAN PERJALANAN

Kami meneruskan perjalanan dengan membawa kenderaan pada kelajuan 60km/h serta mengambil laluan di sebelah kiri. Lebih kurang 2 atau 3 kilometer dari stesen shell tadi saya memperlahankan kenderaan kerana di situ terdapatnya Tugu Peringatan Memorial JKR di sebelah kiri jalan menuju ke Jeli. Tugu itu dibina oleh JKR sempena mengenang jasa anggota JKR yang terkorban dan cedera akibat diserang komunis  pada 23 Mei 1974. Dalam kejadian itu, 3 pekerja JKR mati serta beberapa orang yang lain cedera ditembak. Sebanyak 63 buah mesin jentolak telah diletupkan oleh gerila komunis. Al-fatihah buat mereka yang telah terkorban. Sesungguhnya mereka adalah wira negara walaupun tidak mengangkat senjata tetapi jasa mereka merintis jalan ini memberi kemudahan kepada pengguna jalanraya timur dan barat sejak tahun 1982 hingga sekarang. Saya membaca banyak blog-blog pengembara yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar di sini tetapi peluang itu tiada buat saya walaupun saya telah hampir dengannya.

Selepas melintasi tugu itu, saya mempercepatkan kelajuan kenderaan sekali-sekali melihat pada cermin pandang belakang memerhati kereta Myvi yang dipandu oleh biras saya. Cuaca ketika itu agak redup walaupun pada ketika itu jam sudah menghampiri pukul satu. Di dalam perjalanan itu, di sisi jalan terdapat sebuah Toyota Unser berhenti di tepian jalan kerana tayar belakang sebelah kiri bocor. Pemandunya seorang lelaki yang agak berumur bersama penumpang yang rata-rata perempuan dan kanak-kanak. Semoga Allah mengirimkan seseorang untuk membantu beliau selepas itu. Saya tidak dapat membantu kerana atas faktor keselamatan yang ketika itu pemanduan dalam mode pendakian bukit tambahan ahli rombongan saya yang majoritinya kanak-kanak yang aktif dan lincah. Kalau berhenti mahunya mereka berlari-lari ke sana ke mari. Kami teruskan pemanduan lebih kurang 6-7 kilometer dari tugu peringatan tadi terdapat tanah runtuh di sebelah kanan jalan. Tanah runtuh itu menimbusi jalan sebelah kanan. Di situ hanya satu hala jalan di buka. Terdapat beberapa orang yang mengawal lalulintas serta di bahagian tanah runtuh itu, terdapat jentolak yang melakukan kerja-kerja pembersihan. Bayangkan terdapat kereta yang lalu lalang ketika runtuhan itu berlaku. Ia sudah tentu boleh meragut nyawa.

Lebih kurang 25 km dari stesen shell yang saya berhenti tadi, anda akan menemui Tasik Banding yang cantik. Airnya menghijau mungkin berlaku akibat biasan kehijauan pokok-pokok dari Hujan Hujan Khatulistiwa yang tertua di dunia itu. Anda boleh menuruni bukit untuk ke tasik itu. Di bawah sana saya melihat terdapat bangunan besar bertingkat-tingkat berupa sebuah resort. Di hadapan bangunan itu terdapat sebuah tempat kereta yang luas. Saya melihat banyak kenderaan yang berhenti di bawah sana. Di tasik Banding itu anda akan melintasi dua buah jambatan yang sama pànjang bagi menghubungkan tanah daratan. Sesekali telinga anda akan berdengung atau rasa seperti tertutup kerana mungkin kesan dari ketinggian kawasan pergunungan. Suara ketika berbual akan menjadi sedikit perlahan dan kurang didengari.

Di pertengahan jalan laluan ini, anda boleh berhenti di RNR Hentian Titiwangsa yang lokasinya berada di puncak pergunungan itu. Jika anda berhenti di waktu pagi, pemandangannya lebih indah kerana suasananya dilitupi kabus. Saya melihat dalam blog-blog pengembara ramai yang menempelkan gambar mereka ketika berada di sini. Kedudukan Hentian Titiwangsa ini terletak di sebelah kiri jalan arah ke Jeli dan jaraknya dalam 40-50 kilometer lagi sebelum sampai ke penghujung laluan di Kg. Batu Melintang. Kami sampai di sini dalam jam pukul 2 lebih. Setibanya saya di situ, kami dapati terlalu banyak kenderaan sehingga tiada ruang untuk meletak kereta. Hentian Titiwangsa ini sebenarnya masih lagi berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Gerik. Oleh kerana agak ramai orang, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan. Semasa bergerak saya telah menge'set' 'mileage' jarak antara Hentian Titiwangsa dengan tempat kereta Avanza biras saya 'breakdown' tempoh hari kerana pada waktu itu saya dalam dilema ketika hendak membeli makanan samada untuk ke Hentian Titiwangsa atauphn Batu Melintang. Dalam ukuran saya itu jaraknya lebih kurang 21-22 kilometer berbanding dengan Kg, Batu Melintang yang jaraknya lebih kurang 18 kilometer. Dalam perjalanan anda selepas keluar dari hentian ini, anda akan mendapati situasinya dalam mode menuruni bukit. Jadi anda perlu sentiasa alert dengan reflek brek di kaki. Sebaiknya anda menekan pedal minyak dalam tekanan yang minimum agar memperlahankan kelajuan kereta anda. Perlu diingat semasa menuruni bukit terutama di bahagian kiri jalan terdapat gaung yang sayup ke bawah. Lebih kurang 5-6 kilometer menghampiri Kg. Batu Melintang, terdapat sebuah hentian rehat di sebelah kanan iaitu Hentian Batu 13 yang boleh anda berhenti untuk berehat.

BEREHAT DAN MANDI DI HENTIAN BATU 13

Saya mengambil keputusan untuk masuk ke hentian itu kerana sebelum itu ada berjanji dengan anak-anak untuk berhenti mandi jika terdapat air terjun atau lata di tepi jalan. Jadi saya masuk ke hentian itu, manakala biras saya meneruskan perjalanan ke Batu Melintang. Tetapi untuk berhenti di sini anda perlu berhati-hati terutama bagi kenderaan yang datang dari arah Gerik kerana kawasan ini dalam menuruni bukit. Sebarang pengubahan arah pergerakan kenderaan boleh mendatangkan kemalangan. Pastikan jika anda ingin masuk ke sini anda memberi amaran signal sebelah kanan dalam lingkungan 200-100 meter lebih awal untuk memberi isyarat kepada kenderaan belakang supaya tahu niat anda untuk membelok ke kanan.

Kami masuk ke dalam hentian ini tetapi apa yang kami dapati kawasan ini terbiar dan kurang terjaga. Tiada orang atau entiti yang ditugaskan untuk menyelenggara kawasan ini. Yang saya lihat terdapat dua tong sampah yang mungkin selalu pihak Majlis Daerah Jeli mengambil sampah-sampah yang di buang pengunjung. Terdapat ruang solat yang agak luas tetapi agak berdebu dan kurang terjaga. Malah tiada air di saluran paip. Jika anda hendak ke tandas baik lupakan sahaja. Anda datang dan lihat sendiri. Walaupun terdapat dua tong sampah sederhana bedar yang masih kosong, tetapi terdapat sampah dan lampin pakai buang di merata-rata tempat. Saya tidak salahkan pihak majlis atas kekurangan di hentian ini, tetapi sebaliknya kepada pengunjung dan pengguna jalanraya yang menggunakan kemudahan di sini.

Lupakan hal itu kerana masih ada ruang di hentian ini untuk berehat dan berlibur sambil mandi manda. Saya dan anak-anak mengambil peluang ini untuk mandi dengan merasai kesejukan air-air gunung yang mengalir di anak sungai Hentian Batu 13 itu. Kesejukannya terasa hingga ke tulang sum-sum dan menggetarkan gigi. Saya tidak melepaskan peluang itu juga untuk memandikan anak kecil saya yang berusia 4 bulan itu. Setelah berehat hampir sejam, lebih kurang 3.30 petang kami bergerak keluar ke Kg. Batu Melintang. Sesampainya di sana, kami melihat kereta Toyota Avanza sudah parkir di hadapan kedai makan. Kami berhenti di situ kemudian berbual dengan biras dan ipar tentang keretanya dan Myvi yang disewa. Kos untuk 'overhaul' keretanya adalah sebanyak RM550.00 manakala kereta Myvi yang disewanya dibayar pada harga RM350.00. Jadi semua kos yang ditanggung oleh ipar saya itu termasuk ketika 'breakdown' tempoh hari sebanyak RM1,480.00 dalam tempoh 4 hari perjalanan. Itu untuk kereta sahaja belum masuk kos-kos lain.

BERHENTI REHAT SEBELUM MENYAMBUNG PERJALANAN

Kami sekeluarga yang baru sampai agak terasa lapar lantas itu kami segera mengambil makanan. Saya mengambil nasi berlaukan ayam goreng kunyit ditambah sayur pucuk paku goreng kicap dan minum air tea o beng. Manakala isteri naik lauk ikan dan sayur serta air suam. Ibu mertua nasi lauk gulai ikan aya dan air susu suam. Jumlah harga makanan itu adalah sebanyak RM22.00 termasuk 2 biji pulut panggang. Selepas makan, kami solat di surau belakang kedai makan itu manakala anal-anak leka bermain endoi (buaian) yang terdapat di kedai itu.
Bersambung....

Nota : Penulis tidak mengambil sebarang gambar ketika melalui laluan ini. Jadi penulis telah mengutip beberapa gambar dari blog lain untuk menambah rencah dan rempah bagi menambah selera pembaca yang mengunjungi blog ini. Terima kasih diucapkan kepada tuan punya gambar.

Tugu peringatan PENGORBANAN DALAM KENANGAN di Memorial JKR Gerik. Jika anda melalui kawasan ini jangan lepaskan peluang untuk bergambar di sini. Banyak pengembara terutama yang bermotosikal merakamkan kenangan ketika melalui kawasan ini. Gambar di petik daripada blogger jalan2je.

JKR telah merakamkan peristiwa pengorbanan bekas pekerja mereka ketika di awal pembinaan laluan ini. Gambar dipetik daripada blogger lelaki.

Pemandangan yang indah terakam di Hentian Puncak Titiwangsa. Panorama akan kelihatan lebih indah di waktu pagi ketika kabus menyelubungi jajaran-jajaran gunung Banjaran Titiwangsa ini. Gambar dipetik daripada blog percutian bajet.

Hentian Batu 13 tempat penulis dan famili berehat dan mandi-manda di bawah aliran air gunung yang mengalir di anak sungai. Gambar dipetik dari daripada Nana Tv





Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA