TRAVELOGUE 4 : HARI KETIGA (GEORGE TOWN)

LAWATAN KE NEGERI-NEGERI UTARA SEMENANJUNG

Salam semua, hari ini saya menyambung semula cerita untuk hari ketiga

Pada 13 Disember 2017 (Selasa), Hari Ketiga
Laluan Keliling Pulau Pinang - Pinggir Ipoh (160 KM)

Sebenarnya sudah separuh saya menaip cerita untuk hari ketiga tetapi file yang saya tulis itu tidak dapat dibuka kerana mungkin size file ketika saya memasukkan gambar. Jadi saya  tidak dapat mengingati apa yang ditulis sebelum ini. Saya harap apa yang ditulis kembali tidak lari dari cerita asal yang hendak saya sampaikan.

Pada hari ketiga, saya bangun seawal jam 4.00 pagi. Sememangnya pada hari-hari biasa saya bangun seawal waktu ini sebagai persiapan untuk pergi bekerja pada jam 6.45 pagi. Semalam saya tidur awal dari biasa kerana keletihan dalam pemanduan jarak jauh. Lagi pun suhu bilik semakin dingin di awal pagi tidak seperti waktu malam yang rasa seperti suam-suam sejuk membuatkan saya tidak boleh tidur lama. Kami semua bersiap awal untuk ke destinasi seterusnya. Pada hari ketiga ini, plan kami untuk ke Bukit Bendera. Jadi tanpa mencari atau membaca maklumat tentang Bukit Bendera kami pergi ke situ.

Sementara menunggu anak-anak dan ahli keluarga siap mandi, saya mengambil peluang berjalan-jalan di kawasan sekitar RPP ini. Sempat saya meluangkan sedikit masa berjalan atas batuan refleksiologi untuk memberi 'urutan' kepada tapak kaki. Pada pukul 7.30 pagi semua ahli rombongan kami sudah siap. Saya pergi menghantar kunci bilik ke kaunter RPP. Walaubagaimanapun petugas kaunter belum datang bertugas jadi saya bertanyakan kepada petugas RELA bagaimana untuk saya mendaftar keluar. Petugas RELA itu meminta saya meletakkan kunci di atas kaunter itu sahaja. Selepas itu kami bergambar beramai-ramai untuk merakamkan kenangan di sini.

KE BUKIT BENDERA

Kemudian kami bergerak mengikut perancangan iaitu untuk ke Bukit Bendera. Oleh kerana saya jahil tentang laluan di Pulau Pinang ini, jadi saya menggunakan google maps untuk ke sana. Masalah yang saya hadapi sejak semalam adalah sistem gps selalu 'lost' menyebabkan panduan perjalanan terhenti. Beberapa kali saya berhenti di bahu jalan kerana tidak tahu ke mana hendak dituju terutama bila berada di simpang jalan. Pada sangkaan saya masalah 'gps lost' ketika berada di Pulau Pinang mungkin disebabkan oleh 'line sibuk' pada musim cuti sekolah atau masalah sistem telco pengendali atau mungkin di Pulau Pinang terdapat banyak radar keselamatan yang menganggu sistem gps. Walaubagaimanapun itu hanya andaian saya sahaja.

Akhirnya saya berjumpa juga jalan menuju ke Bukit Bendera. Saya memandu jalan itu hingga ke satu tempat yang penuh dengan kereta. Kelihatan ramai yang melakukan aktiviti riadah seperti berlari dan berjalan. Di situ juga ruang tempat letak kereta penuh dan tiada tempat untuk saya meletak kereta. Saya melihat di situ ada 'signboard' tertulis Penang Hill. Saya sebenarnya tak pasti adakah Penang Hill dan Bukit Bendera tu tempat yang sama. Jadi kami bertanya kepada seorang remaja lelaki bermotosikal kat mana tempatnya Bukit Bendera. Pemuda itu menyatakan bahawa Bukit Bendera telah ditutup buat sementara waktu selama sebulan untuk kerja-kerja pemulihan akibat kerosakan banjir lalu. Itulah akibat yang saya katakan pada awal tadi kerana tidak membaca maklumat mengenai Bukit Bendera sebelum pergi. Kesannya kami pergi ke sana cuma sia-sia. Kemudian kami bergerak meninggalkan tempat yang bernama Penang Hill itu.

Tidak jauh dari Penang Hill itu, saya lihat banyak kenderaan yang berhenti di tempat yang bernama Taman Botani Pulau Pinang. Jadi saya mengambil keputusan untuk berhenti di situ. Tujuan kami berhenti di situ adalah untuk bersarapan. Namun begitu kedai-kedai makan di kawasan itu kebanyakan dimiliki oleh orang Cina dan India. Walaupun terdapat pekerja-pekerja Melayu tetapi bagi kebanyakan masyarakat dari Kelantan dan Terengganu tidak biasa dengan situasi itu. Jadi kami memilih untuk bergerak dan bersarapan di tempat lain.

BERALIH ARAH KE CHINESE ART STREET

Isteri saya ada membuat sedikit catatan berkenaan dengan tempat yang boleh dilawati ketika berkunjung ke Pulau Pinang. Jadi jari-jemari saya tangkas menaip Chinese Art Street dalam google search. Saya tetap menggunakan pemetaan google walaupun ia banyak bengong pada hari itu. Alhamdulillah tiada masalah untuk saya ke sana. Sesampainya di sana, saya dapati kawasan tersebut merupakan kawasan terletaknya bangunan-bangunan lama. Yang menjadi ikon jalan ini adalah gambar mural gambar seorang budak berbasikal tua. Ia semacam mural bentuk 3D. Saya tidak berhenti di situ kerana tiada ruang parking kosong serta ia tidak menarik minat saya. Lukisan mural di kawasan itu pun kurang jika hendak dibandingkan dengan lukisan mural yang terdapat di Kampung Cina bersebelahan dengan Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. Bukan niat untuk memuji negeri sendiri tetapi saya merasakan Chinese Art Street perlu ditambah muralnya supaya lagi meriah dan menarik pengunjung datang.

MELAWATI KOTA CORNWALLIS DAN PADANG KOTA LAMA

Kerana kurangnya pengetahuan dan pengalaman saya tentang selok-belok Pulau Pinang menjadikan percutian kami di Pulau Pinang tidak menyeronokkan. Kenderaan kami pantas meninggalkan kawasan Chinese Art Street tadi. Kami bergerak mengikut naluri hati. Apa sahaja yang menarik yang terpandang oleh mata akan kami berhenti segera. Saya terus memandu sambil dalam mulut tidak henti-henti mengunyah Jeruk Pak Ali yang dibeli semalam walau pagi itu belum bersarapan. Isteri saya tahu memang saya hantu jeruk dan buah-buah asam. Arwah ibu saya pun tahu kegemaran saya itu. Samada saya akan sakit perut ataupun cirit-birit semuanya ditolak ke tepi. Dalam beberapa minit memandu, bola mata saya terpandang satu bangunan lama seolah-olah kubu pertahanan lama. Sebagai guru yang mengajar subjek sejarah sudah tentu ia menarik minat saya. Sebenarnya baru saya tahu itulah Kota Cornwallis. Saya tak tahu sejarah kota tersebut mungkin ia ada kaitan dengan Francis Light yang mendapatkan Pulau Pinang dari Kesultanan Kedah dengan perjanjian bayaran wang 20 ribu setahun selagi ada bulan dan matahari. 

Setelah nampak kota itu, saya mencari ruang parking. Berhadapan dengan kota itu terdapat parking kendalian swasta. Kami memasuki parking itu dan saya meninjau-ninjau kawasan sekitar untuk mencari kedai makanan. Saya dapati terdapat sebuah medan selera yang kedudukannya berada di tengah-tengah antara Fort Cornwallis itu dengan Padang Kota Lama. Kami bergerak masuk ke dalam medan selera. Oleh kerana pada waktu itu baru pukul 9.00 pagi, banyak 'food court' yang masih belum buka cuma nampak pengusahanya sedang melakukan persiapan awal untuk memasak menu. Namun begitu terdapat beberapa lot 'food court ' yang telah dibuka iaitu kedai nasi campur. Saya memilih lauk asam pedas ikan merah berserta sambal belacan dan ingin sambal asam limau yang mungkin makanan tradisi orang penang. Saya suka mencuba asam pedas dan kari kerana rasanya berbeza mengikut negeri. Mungkin ramuan rencah yang berbeza mengikut negeri. Disebabkan saya menetap dan bekerja di Johor sudah pasti saya suka style Johor tetapi tidak menghalang selera saya untuk mencuba asam pedas Penang Style. Rasa asam pedas Penang tidak mengecewakan. Tiada langsung rasa hanyir pada isinya manakala rasa sambal asam limau pula manis manis pedas tetapi saya kurang menggemarinya.  Harga makanan yang saya lihat di papan harga untuk ikan merah yang saya makan ialah RM4.00 untuk seketul manakala nasi putih mungkin RM2.00. Manakala tea o ais RM1.50 tapi agak terkejut dengan harga air suam berharga 80 sen. Manakala harga ais kosong 40 sen. Bagi saya harga tersebut masih berpatutan. Lagipun bukan saya yang bayar. Kalau tak isteri yang bayar mungkin kakak ipar saya yang tolong 'settle'kan.

 MENGAMBIL ANGIN LAUT FORT CORNWALLIS

Selepas makan, saya mengambil sedikit masa berehat di kawasan setempat. Lagipun berilah peluang kepada usus dalam perut menghadam makanan yang dimakan sebelum itu. Anak-anak dibiarkan bermain di 'playground' yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan. Manakala saya mencuri peluang itu untuk menyendiri di pinggiran laut sambil menyedut hembusan angin Selat Melaka. Pada waktu itu cuaca sudah sedikit panas. Saya merakamkan beberapa keping gambar untuk di simpan dalam tab. Tak berapa lama kemudian, lebih kurang pukul 10.40 pagi kami bertolak untuk keluar dari Pulau Pinang. Saya membayar RM2.00 untuk caj letak kereta sepanjang saya berada di Kota Cornwallis. Saya juga sempat bertanya kepada penjaga parking arah jalan ke Jambatan Pulau Pinang. Sebenarnya keluar sahaja dari tempat letak kereta teruskan perjalanan kerana jalan itu menuju Jambatan Pulau Pinang.
Bersambung......

Nota : Penerangan berkaitan sesuatu tempat mungkin tidak tepat bagi penduduk setempat. Penceritaan dalam catatan ini cuma ditulis berdasar sudut pandang penulis sebagai seorang pelancong atau pelawat. Terima kasih.

                   
Penulis bergambar beramai-ramai bersama keluarga di hadapan foyer bangunan penginapan RPP Pulau Pinang

Penulis berada di kaki lima sisiran laut berhampiran Padang Kota Lama atau Kota Cornwallis

Penulis berehat membelakangi Selat Melaka di Kota Cornwallis sementara menunggu anak-anak bermain-main di 'playground' Padang Kota Lama

Penulis memang menyukai laut dan pantai kerana pernah menetap di perkampungan nelayan di tepi pantai sewaktu kecil

Padang Kota Lama (kanan)  bersebelahan dengan Kota Cornwallis (kiri berpagar)




Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA