TRAVELOGUE 10 : HARI KELIMA DAN KEENAM (CHUCHOH PUTERI)

SEKERAT JALAN (EPISOD AKHIR)

15.12.2017 - 16.12.2015 (Jumaat - Sabtu)
GUA MUSANG - SINDIYAN - CHUCHUH PUTERI - KOTA BHARU

Pada kali ini saya akan rangkumkan sekalu catatan perjalanan kami untuk hari kelima dan keenam. Ingatan saya terhadap perkara-perkara yang saya lihat, yang saya alami dan yang saya rasai sepanjang perjalanan pada hari kelima dan keenam semakin berkurang. Lagi pun saya perlu mempercepatkan catatan ini kerana musim cuti sekolah sudah ke penghujung. Saya perlu kembali ke Pasir Gudang pada minggu hadapan untuk persiapan sesi persekolahan sesi 2018.

Malam sebelum itu, kami tidur di rumah PPR Gua Musang yang ditumpangi oleh mummy kepada kami. Rumah yang dikhaskan untuk golongan berpendapatan rendah itu boleh dikatakan agak selesa juga. Ia mempunyai 3 bilik yang agak sempit dan sesuai dengan harganya. Kawasan perumahan itu boleh dikatakan masih baharu kerana ia baru tiga tahun diduduki. Mummy dan suaminya tidak tinggal di situ kerana rumahnya yang terletak di Jalan Stesen Keretapi Gua Musang masih boleh dihuni. Sebenarnya rumah yang diduduki oleh beliau itu merupakan kawasan rizab KTMB. Mungkin bila tiba masanya nanti, pihak KTMB mahu mengambil kembali tanahnya mummy akan menetap di PPR itu.

BERSARAPAN PULUT KELAPA IKAN KERING

Pada pagi itu, kami bersiap pada pukul 7.30 pagi. Pada waktu makan semalam, mummy ada menjemput kami sekali lagi ke rumahnya pagi ini untuk bersarapan. Jadi sebelum bergerak ke rumah mummy, kami mengemas dan membersihkan rumah yang kami tidur itu dulu kerana selepas ini kami sudah tidak akan ke situ lagi. Selepas semua selesai, kami bergerak ke Jalan Stesen Keretapi untuk bersarapan. Pagi ini mummy telah menjamu kami dengan pulut kelapa ikan kering. Sememang ini antara makanan pagi yang menjadi 'rotatation' orang-orang tua pada setiap minggu. Sambil makan kami mendengar celiteh mummy yang tidak henti-henti bercakap. Memang adat orang peramah begitulah agak resamnya hari-hari apabila bertemu dengan orang lain.

BERGERAK KE CAMERON HIGHLANDS

Setelah siap bersarapan, kami meminta izin untuk bergerak ke Cameron Highlands. Mummy dan suami telah meng'escort' kami melalui jalan pintas tanpa melalui Bandar Gua Musang. Jalan pintas tersebut akan mempertemukan semula kami dengan jalan yang kami lalu ketika datang ke Gua Musang dari Sungai Nenggiri semalam. Tiba di simpang jalan pintas tersebut, kami mengambil jalan ke sebelah kiri. Tidak jauh dari simpang itu terdapat batu kilometer yang mencatatkan Gua Musang 3 km. Kami bergerak terus hingga tiba di satu simpang empat yang di sebelah kanannya jalan menuju ke Cameron Highlands. Simpang itu merupakan hentian utama bagi pengunjung yang berhenti makan sebelum atau selepas mengunjungi Cameron Highlands kerana selepas itu anda akan menempuh perjalanan sejauh 100 kilometer di kawasan gunung-ganang yang kebanyakan penduduknya adalah kaum pribumi orang asli. Selepas mengambil simpang sebelah kanan, anda belum lagi memasuki lebuhraya sebenar untuk ke Cameron Highlands kerana itu merupaka jalan biasa yang menghubungkan kampung-kampung kecil serta ladang sawit dengan Bandar Gua Musang. Saya tidak berapa ingat nama kampung-kampung itu kecuali nama Kampung Panggung Lalat kerana dalam fikiran saya selalu terbayang di kampung itu mempunyai panggung wayang yang dikhaskan untuk lalat (hanya imaginasi penulis) sebab itu ingatan saya pada kampung itu tidak boleh dilupakan. Lebih kurang 7 atau 8 kilometer dari simpang empat tadi, kita akan bertemu dengan jalan masuk ke lebuhraya Gua Musang - Cameron Highlands.

MEMBELAH BANJARAN TITIWANGSA KALI KE KEDUA

Kami memasuki simpang ke kiri untuk memulakan perjalanan di lebuhraya itu. Lebuhraya yang luas serta tenang kerana jarang kenderaan yang melalui kawasan itu. Jam pada ketika itu baru pukul 9.00 pagi. Cuacanya elok mencerahkan peluang kami untuk sampai ke Cameron dengan selamat dan lancar. Kami tidak membawa kenderaan kami dengan laju kerana seperti yang saya katakan sebelum ini, kereta milik ipar saya itu masih dalam keadaan 'berpantang' seperti wanita yang baru bersalin. Tidak boleh lasak dan tidak boleh dihenjut sesuka hati tambahan jalan yang kami lalui itu merupakan sebahagian jajaran Banjaran Titiwangsa yang dianggap 'Tulang Belakang Semenanjung' sudah tentulah kawasan itu bergunung-ganang. Sepanjang pengembaraan kami, ini adalah kali kedua kami merentasi Banjaran Titiwangsa di dua laluan berbeza. 

KAWASAN PETEMPATAN ORANG ASLI

Sepanjang laluan ini juga, anda akan dapat melihat beberapa petempatan orang asli di lereng-lereng bukit serta di bawah lembah. Ada rumah rumah yang diperbuat dari kayu dan berdindingkan kepingan buluh yang disulam seperti tikar serta berteduhkan atap rumbia. Rumah yang moden sedikit mempunyai dinding papan lapis dan beratap zink. Namun begitu kini sudah banyak petempatan orang asli ini berupa rumah batu yang dibina oleh kerajaan. Terasa sungguh aman saya rasakan jika tinggal di kawasan ini. Udaranya dingin, airnya jernih dan bersih serta pemandangan sekitarnya yang menghijau.

TEMPERATURE KERETA NAIK

Sedang asyik menikmati keindahan alam ketika pemanduan, di dalam cermin pandang belakang saya lihat biras saya memberi signal untuk memberhentikan kenderaan. Beliau memberhentikan kenderaannya melepasi sebuah jambatan. Kedudukan kami ketika itu berada pada 60km dari Bandar Gua Musang dan jalan hadapan kira-kira 40km lagi untuk sampai ke Cameron Highlands. Saya membuat uturn untuk melihat keadaan kereta ipar saya itu. Kebetulan tempat kami berhenti itu ada sebuah wakaf untuk berehat. Mungkin wakaf itu disediakan untuk pengguna lebuhraya seperti kami berehat. Saya turun dari kereta dan pergi mendapatkan ipar untuk bertanyakan apa yang berlaku. Beliau menyatakan bahawa temperature keretanya naik secara tiba-tiba. Kami membiarkan enjin kereta sejuk terlebih dahulu sebelum membuka penutup tangki air. Setelah enjin agak sejuk, penutup itu dibuka dan mendapati air dalam tangki telah berkurang. Mungkin itu puncanya temperature naik secara tiba-tiba. Lagi pun sebelum memulakan perjalanan pagi tadi, biras saya terlupa memeriksa kondisi enjin kereta termasuk air dalam tangki. 

MENEGUK AIR MINERAL FRESH

Setelah mendapati air di tangki kurang, saya berpesan kepada ipar dan biras agar menunggu sedikit lagi agar memberi sedikit masa untuk enjin kereta dan tangki air sejuk sebelum 'menopup' air. Pada masa yang sama bekalan air putih yang kami bawa agak sedikit. Kami tercari-cari sumber air jika ada. Tiba-tiba bola mata saya terpandang satu saluran paip air yang digunakan untuk menyalurkan air ke rumah di bawah lembah sana berhampiran jalan raya itu. Di saluran itu terdapat punca penyambungan bercabang empat. Tiga punca paip bersambungan terus untuk mengalirkan air ke kawasan rumah manakala satu lagi punca paip dibiarkan airnya mengalir di sisi jalan raya. Mungkin ia sengaja dibuat begitu untuk memberi kemudahan kepada orang seperti kami mendapatkan air. Airnya sungguh jernih dan sejuk. Saya menadah air itu dengan tangan sambil meneguknya beberapa kali. Sedapnya minum air segar gunung yang fresh sudah tentu mengandungi kandungan mineral yang banyak.

PATÀH BALIK KE GUA MUSANG

Apabila enjin mula sejuk, ipar mula menuang air ke dalam tangki sambil itu kami mengutip botol-botol minuman di tepi jalan untuk kami isi air dari saluran paip tadi. Tujuannya sebagai simpanan atau 'standby' jika temperature kereta ipar naik lagi. Kami mengambil keputusan untuk kembali ke Gua Musang dan membatalkàn hasrat untuk ke Cameron Highlands walaupun jarak yang tinggal cuma 40km. Hajat kami untuk bermalam di sana juga terpaksa dilupakan. Jika kami meneruskan perjalanan ke Cameron ia mengundang risiko yang lebih besar. Walaupun yang tinggal cuma 40km tetapi laluan itu merupakan zon pendakian tanah tinggi yang memungkinkan lagi enjin kereta menjadi 'overheating'. Jadi langkah terbaik adalah berpatah balik.

SINGGAH KE PASAR PAGI GUA MUSANG

Kami melalui kembali jalan yang sama untuk pulang. Panorama yang saya lihat sebelum ini kembali saya lihat. Kami meneruskan pemanduan hingga ke penamat lebuhraya. Di penghujung lebuhraya kami belok ke kanan menuju jalan ke Kampung Panggung Lalat seterusnya tiba ke simpang empat yang terdapat banyak kedai makan restoran itu. Kemudian kami mengambil jalan arah ke Bandar Gua Musang. Tiba di jalan berhampiran  Masjid Jamek Gua Musang sayà memberhentikan kenderaan sebab di situlah terletaknya Pasar Pagi Gua Musang yang saya pergi pada malam sebelum itu. Kami turun dari kereta dan pergi berjalan-jalan ke pasar tersebut. Saya bertindak mengasingkan diri berjalan seorang melewati pasar tersebut. Anak-anak serta yang lain mengikuti ibu mereka dalam satu kumpulan. Setelah puas meronda kami bertemu dan berhenti makan di sebuah gerai. Saya mengambil nasi dagang versi Kelantan manakalà yang lain-lain terpulanglah kepada mereka. Selesai makan kami mula bergerak ke kenderaan untuk meneruskan perjalanan pulang. Semasa bergerak itu, isteri merungut kerana hàrga makanan yang dimakan tadi àgak mahal. Sememangnya harga makanan di Gua Musang lebih mahal berbanding jajahan lain di Kelantan terutamanya makanan berlaukkan ikan laut dan daging. Ini kerana kedudukan Gua Musang yang jauh dari laut yang jaraknya beratus kilometer.

KELUAR DARI LEMBAH BATU KAPUR

Lebih kurang jam 12.00 tengah hari, kami berangkat pulang menuju jalan ke Kota Bharu. Destinasi kami seterusnya adalah Chuchuh Puteri yang jaraknya lebih kurang 130 km dar bandar ini. Setelah menempuh tiga lampu isyarat, kami menyusur ke sebelah kanan untuk keluar dari Bandar Gua Musang. Sebaik melepasi lampu isyarat itu, berdiri megah di kiri dan kanan jalan bukit yang mempunyai struktur batu kapur. Sejak saya tiba di bandar ini, saya kerap berjumpa bukit batu kapur di serata tempat. Bak pengawal-pengawal yang mengawal balairong istana, begitulah lagaknya bukit-bukit batu kapur ini menjadi penjaga Bandar Gua Musang. Bandar Gua Musang ini boleh dikatakan berada di sebuah lembah batu kapur. Kami meneruskan perjalanan sehinggalah kami tiba di persimpangan Pekan Laloh dan Lata Rek kira-kira 120 kilometer dari Bandar Gua Musang. Untuk ke Chuchuh Puteri, kita perlu mengambil Jalan ke Lata Rek. Jarak dari Simpang Pekan Laloh untuk ke Chuchuh Puteri lebih kurang 10km. Kami tiba di situ pada pukul 1.15 tengah hari.

CHUCHUH PUTERI, SIANG YANG HANGAT MALAM YANG DINGIN

Chuchuh Puteri terletak di Kuala Krai, Kelantan. Di situ terletak rumah ibu mertua saya yang kini didiami oleh adik ipar saya dan suaminya. Kami tiba di kampung itu pada waktu tengah hari. Kebiasaannya, pada waktu ini kita akan merasai kehangatan yang amat. Tiada tiupan angin yang datang menambahkan lagi bahangnya. Sebenarnya ini adalah situasi biasa suhu di kawasan ini. Panas akan mula terasa menjelang pukul 11.00 pagi dan berlarutan hingga ke jam 9.00 malam jika hujan tidak turun. Keadaan ini mungkin berlaku disebabkan pada waktu siang pokok-pokok dan tumbuhan yang meliputi lebih 95% kawasan ini menyerapkan cahaya matahari untuk melakukan proses fotosintesis menyebabkan bahang panas terasa di waktu siang (ini cuma andaian penulis). Panas ini terasa hingga jam 9.00 atsu 10.00 malam dan beransur sejuk selepas itu. Menjelang awal pagi, kita akan merasa sepert berada dalam chiller minuman. Pada waktu ini, selimut biasa tidak memadai untuk menahan kesejukan dan saya sendiri akan menarik toto untuk dijadikan sebagai selimut. Kami semua tidur dengan nyenyak pada malam itu.

HARI KEENAM (16.12.2017)

BERTOLAK BERSARAPAN ROTI CANAI BUKIT

Pada waktu pagi kami bangun awal walaupun kami akan bertolak pulang pada jam 10.00 pagi. Adik ipar saya membeli roti canai manakala suaminya pagi-pagi lagi telah pergi menoreh getah di kebun getah milik isteri saya yang dikongsi bersama kakak ipar saya Rufeah tu. Mereka telah berpakàt membeli kebun getah seluas 6 ekar lebih pada harga RM160k kira-kira 6 tahun lepas. Kini kebun getah itu ditoreh oleh adik ipar bersama suaminya. Hasil torehan akan dibahagi separuh antara penoreh dan pemilik kebun. Pada hari itu dapatlah kami merasai roti canai bukit (bukit adalah nama panggilan Chuchuh Puteri kerana kawasan ini berada di atas bukit). Rasa roti canainya ok. Dimakan bersama kuah kacang dal dan dikisar bersama lobak merah. Jadi kuah dalnya nampak berwarna ala-ala jingga.

MEMBELI DI KEDAI KOSMETIK MURAH KUALA KRAI

Pada pukul 10.00 pagi, kami bertolak pulang ke Kota Bharu. Sengaja kami memilih jam 10.00 pagi kerana isteri mahu singgah di kedai kosmetik murah yang dibuka pada pukul 10.30 pagi. Kedai kosmetik itu terletak di zon baru Bandar Kuala Krai. Kalau dari Gua Musang, kedai itu terletak di bangunan sebelum Pasaraya Pantai Timur yang mana terdapat jalan masuk ke sebelah kanan. Kedai itu terletak di sebelah kedai TM (Telekom Malaysia). Jika ke Kuala Krai, pasti isteri meminta saya membawanya ke kedai kosmetik itu kerana harga barang yang dijual pada harga borong walaupun kita membelinya mengikut kuantiti runcit. Dalam kedai tersebut pelbagai jenis produk kecantikan yang terkenal dan tidak terkenal boleh kita dapati. Saya turut membeli tiga tin pomade untuk anak lelaki saya dengan harga RM3.50 satu. Biasanya di pasar malam, harga terendah yang kita boleh dapat ialah RM10.00 bagi satu tin pomade. Hampir 45 minit menunggu, akhirnya isteri dan ipar selesai membeli. Nampak masing-masing membawa bungkusan plastik besar setiap sorang.

SAMPAI DI RUMAH

Kami bertolak dari kedai kosmetik itu dalam pukul 11.30 pagi. Tiba di simpang lampu isyarat Bandar Kuala Krai, saya sempat merakam beberapa keping gambar Replika Buah Manggis yang dibina di simpang lampu isyarat itu. Ia menjadi ikon Kuala Krai kerana Jajahan ini merupakan pengeluar utama buah-buahan kayu seperti Manggis, durian, dokong dan langsat utama Negeri Kelantan. Selepas simpang lampu isyarat itu, kami bergerak menuju ke Kota Bharu seterusnya sampai ke rumah masing-masing. Saya tiba di rumah pada jam 2.00 petang.

RUMUSAN

Sepanjang 6 hari 5 malam kembara ini saya telah membelanja beberapa perkara seperti berikut :-
PETROL - 1. Petronas Bandar Baru Tunjong - RM120.04   2. Petronas Lebuhraya Darul Aman - RM97.01   3. Petronas Sg. Perak - RM53.74  4. Petronas Gua Musang - RM76.14. Jadi jumlah keseluruhan petrol di isi ialah sebanyak RM346.93. Di rumah baki jauhnya range yang masih boleh di pergi oleh kereta saya ialah 446 kilometer dengan baki minyak yang ada.

TOL - Tol Kulim 1 (RM1.60), Tol Kulim 2 (RM1.60), Bertam-Pendang (RM8.00), Pendang - Alor Setar (RM3.10), Alor Setar - Sg. Dua (RM12.20), Jambatan Pulau Pinang (RM7.00), Juru - Bukit Merah (RM6.90), Bukit Merah - Ipoh Utara (16.80). Jumlah Tol yang dibayar ialah RM57.20

TEMPAT LETAK KERETA - Fort Cornwallis (RM2.00), Bukit Merah Laketown (RM2.00). Jumlah RM4.00.

AIR BATERI - RM2.00
Jadi kos keseluruhan bagi kenderaan RM346.93 + RMRM57.20 + RM4.00 + RM2.00 = RM410.13

TEMPAT PENGINAPAN - RPP (RM130.00) + EZI INN (RM200.00) = RM330.00 , 3 malam kami menginap dengan percuma.

MAKAN - Tidak dapat dianggarkan kerana kebanyakan kos makan dibiayai oleh kakak ipar dan isteri. Sebahagian makanan disediakan tuan rumah tempat kami tumpang menginap.

Sekian.

# kembara semenanjung tamat.

                        
Penulis sempat merakam kenangan di landasan keretapi belakang rumah mummy, tuan punya rumah PPR yang penulis tidur semalam.


Ahli keluaga penulis berehat seketika sementara menunggu enjin kereta ipar sejuk bagi memeriksa kondisi setelah meter temperature naik secara tiba-tiba.


Lokasi berhampiran Sindiyan Sdn Bhd tempat tempat kami berhenti sementara menunggu enjin kereta sejuk. Di bawah lembah sana terdapat petempatan rumah orang asli yang dibina kerajaan. 


Masjid Jamek Gua Musang


Kedai kosmetik murah di Kuala Krai ( Jalan Bawah Pantai Timur Kuala Krai). Isteri penulis selalu membeli kosmetik di sini kerana dijual pada harga borong. Terdapat banyak produk kecantikan di pasaran dijual dengan harga yang murah. Penulis sendiri membeli 3 bekas pomade untuk anak lelaki pada harga RM3.50 satu.

Ikonik Kuala Krai. Seto (Kelantan), semete (Terengganu), manggis (Kamus Dewan)






Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA