TRAVELOGUE 7 : HARI KEEMPAT (MEE KICAP WANTAN KUALA KANGSAR)
LAWATAN KE NEGERI-NEGERI UTARA SEMENANJUNG
Pada 14 Disember 2017 (Khamis), Hari Keempat
Laluan Kuala Kangsar - Kg. Batu Melintang, Jeli (207 km)
Laluan Kuala Kangsar - Kg. Batu Melintang, Jeli (207 km)
Tidur di Ezi Inn sedikit nyenyak berbanding tidur di lain-lain tempat sebelum ini. Mungkin kerana faktor keletihan yang melampau menyebabkan tidur menjadi sedikit berkualiti. Pagi itu saya berasa sedikit segar dan bersemangat untuk meneruskan perjalanan. Tambahan pula graf pengembaraan kami ke arah menurun iaitu kembali ke rumah. Seperti biasa kami bersiap awal untuk bertolak ke Jeli. Selepas mandi dan solat subuh, saya tutun dari hotel lebih awal untuk menambah air ke dalam bateri kereta saya. Selepas menambah air bateri, saya ke kedai mamak yang terletak di 'end lot' bangunan. Saya memesan dua keping roti canai kosong serta secawan air nescafee tarik. Sementara menunggu ahli yang lain siap saya makan sambil melihat gelagat penduduk tempatan di situ.
Setelah setengah jam di kedai itu, sayà bergerak semula ke hotel untuk mengangkat barang-barang turun. Saya menunggu agak lama juga untuk membolehkan semuanya siap. Semasa menunggu kelihatan banyak kenderaan masuk ke kawasan letak kereta hotel dan barulah saya perasan di situ terdapat Jabatan Pendaftaran Negara Kuala Kangsàr dan Pejabat Koperasi yang memiliki hotel itu. Bila isteri serta yang lain turun lebih kurang pukul 7.30 pagi dan menyatakan ingin ke dobi untuk mencuci pakaian kerana semua pakaian telah abis di pakai. Baju saya sendiri pun tinggal satu yang saya pakai untuk hari itu. Selepas menyerahkan kunci kepada penjaga kaunter, kami meneruskan perjalanan sambil memerhati kalau-kalau ternampak kedai dobi layan diri.
Kami menuruti semula jalan yang kami lalu semasa kami datang semalam. Kemudian kami ternampak satu kedai dobi di celah lorong kecil. Di sebelah lorong kecil itu terdapat sebuah hotel kecil. Kedai dobi itu terletak di sebuah bangunan yang terdapat lot-lot kedai kecil yang rata-rata menjalankan perniagaan menjahit pakaian. Mungkin di situ pusat penjahitan pakaian di Bandar Kuala Kangsar. Saya melihat bahagian belakang bangunan dobi ini. Dari jauh saya nampak terpampang tulisan Pasar Besar Kuala Kangsar. Saya sememang berminat dengan pasar. Kehidupan saya dan pasar tidak boleh dipisahkan. Saya seorang anak pasar. Bapa saya berniaga sejak kecil lagi. Pertama kali saya berniaga di pasar pada umur 9 tahun (1984) di Pasar Payang. Waktu itu Pasar Payang berada di bawah Bukit Puteri dan ayah berniaga berteduhkan payung bulat berkain. Sebab itu setiap kali jumpa pasar saya akan berhenti untuk melihatnya. Isteri memasukkan pakaian kami dalam dua mesin basuh berkapasiti 10kg. Masa yang disetkan 25 minit bagi RM4.50.
MEMBELI BUAH DURIAN
Sementara menanti kain siap dibasuh, saya berjalan-jalan di pasar itu. Saya melihat peniaga-peniaga asyik menjual hasil kebun samada mereka menanam sendiri atau dibeli dari pekebun. Ada peniaga menawarkan barang mereka kepada saya. Kalau dekat dengan rumah sudah pasti saya beli kerana kasihankan mereka. Saya sudah merasa peritnya menjadi peniaga atau penjaja kecil. Sedang asyik saya berjalan, saya ternampak satu hilux yang di dalamnya ada buah durian. Lalu saya pergi mendekatinya. Saya tanya peniaga itu tentang harganya. Ternyata durian itu hanya durian kampung biasa yang berharga RM17.00 sekilogram. Harga itu sebenarnya mahal. Di Pasir Gudang harga durian kampung antara RM10.00-15.00 untuk sekilogram. Biarpun mahal, saya tetap membelinya kerana melepaskan hajat sejak dua bulan lalu untuk merasai durian Perak. Saya memilih dua biji durian sederhana kecil berharga RM42.00 setelah ditimbang. Saya meminta peniaga itu mengopeknya.
Setelah itu, saya membawa durian tersebut ke kedai dobi dan kami makan seulas dua seorang. Apabila kain siap dibasuh, kami memerlukan setengah jam lagi untuk proses pengeringan pakaian itu. Kos untuk mengeringkan baju selama setengah jam itu adalah sebanyak RM5.00. Setengah jam kemudian lebih kurang pukul 10.00 pagi, kain telah siap di keringkan. Kami melipat dan memasukkannya ke dalam beg. Setelah semua selesai kami bergerak untuk ke Gerik. Tetapi sebelum itu, kami perlu bersarapan di bandar ini sebelum bergerak.
MAKAN MEE KICAP WANTAN
Menghampiri jalan keluar Kuala Kangsar iaitu simpang empat sebelum jambatan yang kami pergi ke Kg. Sayong semalam terdapat sebuah kedai makan agak ramai orang. Kami berhenti di hujung simpang empat tersebut, lalu melangkah keluar ke kedai makan itu. Jika diperhatikan kedai itu berada di atas tanah yang tinggi sedikit. Di seberang jalan terdapat sebuah masjid india. Di kedai tersebut saya mencuba mee wantan kicap manakala anak-anak ada yang makan nasi lemak dan mee kicap. Mee kicap atau wantan kicap ini disertakan sekali dengan sup seakan-akan steamboat dalam mangkuk kecil. Saya terlupa merakam gambar rupa sebenar menu tersebut. Di sebabkan kedai tersebut ada menyediakan chopsticks, saya dengan eksyennya makan mee wantan kicap tersebut menggunakan chopsticks. Anak sulung saya juga begitu menggunakan chopstick. Sebenarnya itulah pertama kali saya menggunakan benda itu.
Bak kata pepatah pantun dua kerat, gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati. Begitulah saya selepas makan di kedai mee kicap tadi. Saya pun lupa apa nama kedai tersebut. Kami meneruskan perjalanan ke Gerik melalui Kampung Jamuan. Jalan ini merupakan jalan pintas dari Bandar Kuala Kangsar untuk masuk ke jalan utama Kuala Kangsar - Gerik yang jauhnya kira-kira 100 kilometer untuk sampai ke bandar itu. Melalui jalan ini, anda akan merasa tenang dan damai. Di sepanjang jalan ini, kita akan dapat melihat pokok-pokok buah-buahan seperti buah rambutan yang masak ranum. Begitu juga dengan pokok-pokok pisang serta pokok kekabu yang digunakan untuk membuat bantal. Malah saya ternampak ada sebuah kedai yang menjual bantal kekabu dan juga kekabu itu sendiri. Penghujung jalanintas ini adalah Kampung Chuar sebelum anda masuk ke Lebuhraya Kuala Kangsar - Gerik (nama jer lebuhraya tetapi tiada tol)
MELINTASI RNR LENGGONG YANG MISTERI
Sebaik tiba di Kampung Chuar, kita boleh terus masuk ke Lebuhraya K.Kangsar-Gerik. Jalannya lurus dan luas dan kita akan merasa selesa ketika memandu. Sekali-sekala di tepi-tepi jalan akan kita temui peniaga yang menjual buah durian. Namun saya sudah tidak berminat dengan buah tersebut, memadailah setelah memakannya di Bandar Kuala Kangsar tadi. Di pertengahan jalan ini anda akan menemui satu RNR yang sudah lama ditutup. RNR yang dimaksudkan itu adalah RNR Lenggong yang baru-baru ini viral dengan kisah mistik. Kisahnya lebih kurang begini, satu malam seorang lelaki bersama rakannya melalui jalan ini untuk ke Gerik. Oleh kerana jarak jalan ini agak jauh iaitu kira-kira 100km, lelaki ini telah berhenti di RNR Lenggong ini untuk berehat dan makan. Kedudukan RNR Lenggong ini berada di tengah-tengah antara Kuala Kangsar dan Gerik. Beliau dan rakannya telah masuk ke RNR ini dan duduk di kedai makan. Beliau memesan makanan dan minuman. Pada masa yang sama beliau melihat terdapat ramai juga pelanggan yang makan. Tapi semua pelanggan yang makan itu berpakaia putih. Beliau tidak syak apa-apa kerana beranggapan mungkin mereka dari pusat tahfiz atau kebetulan berpakaian sama warna. Selepas makan, beliau bertolak ke Gerik. Sampainya di sana, rakannya di Gerik mempelawanya makan tapi beliau menyatakan sudah makan di RNR Lenggong. Rakannya terkejut lalu memberitahu bahawa RNR itu telah lama ditutup. Sejurus itu, perut beliau mula rasa sakit. Keesokan hari beliau pergi melihat RNR itu dan terkejut kerana laluan masuk telah ditutup serta dihalang oleh bongkah konkrit. Beliau hairan bagaimana keretanya dapat memasuki RNR itu tanpa halangan. Itulah kisahnya.
PEKASAM LENGGONG YANG ENAK
Ok lupakan cerita itu, selepas RNR ini kita akan menyeberangi Jambatan Sultan Nazrin Shah yang cantik. Di Lenggong ini saya tidak melepaskan peluang untuk membeli ikan pekasam sungai. Harga pekasam yang dijual serendah 3 peket RM10.00 mengikut jenis dan saiz ikan. Saya telah membeli enam peket pekasam berharga RM20.00. Sememangnya Lenggong pengeluar ikan pekasam sungai terkenal di negeri Perak. Jika anda ke sini, jangan lupa untuk membelinya sebagai buah tangan untuk sendiri dan untuk sesiapa sahaja. Lenggong juga terkenal dengan tapak arkeologi manusia pra sejarah kerana di sinilah rangka manusia berusia 11,000 tahun ditemui yang dikenali dengan Perak Man.
Selepas membeli pekasam, kami terus bergerak kerana masih ada separuh perjalanan ke Gerik. Sepanjang perjalanan mendekati Bandar Gerik kita akan bertemu beberapa tanah rancangan Felda antaranya Felda Lawin Utara, Felda Lawin Selatan serta Felda Papulut. Bapa saudara saya (adik ibu) tinggal di Felda Papulut tetapi saya tidak mengenali rumah beliau. Lagipun saya belum pasti adakah beliau ada di situ kerana sering kali pulang ke Pulau Pangkor. Orang laut kalau tak nampak laut dalam sebulan boleh pening kepala. Itulah agaknya yang beliau rasa. Kami tak berhenti di Bandar Gerik memandangkan belum rasa keletihan pada tubuh. Bandar Gerik cuma nampak dua baris memanjang sepanjang jalan kurang dari 500 meter. Di Bahagian-bahagian lain bandar ini tidak pernah saya teroka, sebab itu saya mengatakan ianya hanya dua baris. Pernah dahulu dalam tahun tahun 1990-an dan awal tahun 2000 saya datang keadaannya lebih sunyi. Mungkin selepas DS Tajul Rosli Mohd Ghazali yang berasal dari Lenggong menjadi Menteri Besar Perak sekitar tahun 1999 hingga 2008 daerah ini nampak ada kemajuan.
Selepas meninggalkan Bandar Gerik, baru saya perasan kakak ipar membuat call dalam 48 minit yang lalu. Mungkin beliau mahu berhenti di stesen minyak. Jika saya memandu dalam jarak jauh, saya akan telinga saya seolah-olah tidak mendengari benda lain. Malah jika anak-anak bergaduh dan bising dalam kereta tidak saya hirau dan dengar. Saya terus memandu hingga ke bulatan tiga Pengkalan Hulu, Jeli dan Gerik. Saya tersalah masuk jalan ke Pengkalan Hulu, mungkin naluri saya terlalu kuat untuk bertemu Abang Din yang menumpangkan saya bermalam selama 3 hari 2 malam serta membaiki kereta saya dengan upah RM50.00 13 tahun lalu menyebabkan saya lalu di situ. Namun saya patah balik memasuki jalan ke Jeli kerana kami kekurangan masa. Tidak jauh dari bulatan itu, kami masuk ke stesen shell untuk berehat dan membuang air. Saya membeli dua bungkus jambu potong dan sebungkus pauh. Di dalam saya menikmatinya bersama Kuah Rojak Mak Bee yang saya beli di Pekan Rabu.
Oklah..rasa biol kepala setelah empatarian mengarang...stop dulu..
Ada lagi sambungannya...
Penulis menunjukkan kemahiran makan mee wantan kicap menggunakan chopsticks menghasilkan huruf 'X' sedangkan orang yang dah lama guna hanya mampu menghasilkan huruf 'V'
Penulis membeli Sinar Harian pada hari itu. Tidak sangka ada berita misteri RNR Lenggong yang penulis lalui untuk ke Gerik
Penulis sempat membeli 6 peket ikan pekasam sungai berharga RM20.00. Jika anda melalui Lenggong jangan lupa membelinya sebagai buah tangan
Comments
Post a Comment