HUD & SIBLINGS TOUR BAHAGIAN 10 : TAMBANG FERI KE PULAU PANGKOR

JETI LUMUT - JETI PANGKOR (10 KM)

LUMUT, 6 FEBRUARI 2019 - Saya bangun jam 6.00 pagi, rasa panas badan bila isteri menutup aircond bilik. Badan sedikit segar bila dapat tidur dan berehat di bilik. Anak-anak masih tidur di bawah berlapikkan tilam kerana bilik ini hanya mempunyai 1 katil. Saya mandi kemudian solat subuh atas katil. Bila selesai saya turun ke bawah untuk melihat suasana pagi di Pekan Lumut. Sekitar pukul lapan pagi saya naik semula ke bilik kemudian meminta isteri dan anak-anak bersiap untuk ke Pulau Pangkor.

Tiga syarikat feri beroperasi. Beli mana-mana tiket dan boleh naik mana-mana feri. Tiga syarikat ini sudah berkompromi soal penumpang dan tiket

Berjalan kaki dari hotel ke jeti feri yang terletak kira-kira 500 meter

Pukul 8.50 minit pagi, kami bergerak ke Jeti Lumut dengan berjalan kaki. Kereta saya biarkan di situ cuma saya membeli tiket parking selama dua hari berharga RM6.00. Jika saya letak kereta di kawasan milik swasta bayaran yang dikenakan sebanyak RM8.00 ringgit satu hari. 5 minit berjalan kami tiba di Jeti Lumut. Saya membelikan tiket feri 2 dewasa dan 2 kanak-kanak kesemuanya berjumlah RM38.00 (RM14.00 dewasa) dan (RM5.00 bagi kanak-kanak). Tiket tersebut adalah untuk pergi dan balik.

Bergambar ruang legar terminal sebelum membeli tiket feri
Dua tiket dewasa dan dua tiket kanak-kanak yang disarankan oleh jurujual tiket feri untuk saya beli. Dua orang anak saya yang kecil naik percuma

Pada pagi itu agak ramai juga pelancong ingin ke Pulau Pangkor kami terpaksa beratur panjang menunggu giliran. Ini adalah pengalaman pertama bagi Hud Naufal manakala anak-anak yang lain ini adalah kali ketiga. Sebagai seorang bapa sudah tentu saya seronok melihat mereka seronok.

Feri yang membawa penumpang dari Lumut ke Pulau Pangkor

Isteri dan anak-anak menaiki feri

Kami menaiki feri pada 9.17 minit pagi dan feri itu bergerak 10 minit kemudian. Perjalanan dari Jeti Lumut ke Jeti Pangkor makan masa kira-kira 30 minit. Sebenarnya di Pulau Pangkor kita boleh turun di 2 Jeti iaitu Jeti Sungai Pinang kecil dan satu lagi Jeti Pangkor. Kebanyakan penduduk Pulau ini lebih selesa menggunakan Jeti Sungai Pinang kecil. Manakala bagi pelancong lebih gemar turun ke Jeti Pangkor kerana di situ terdapat perkhidmatan sewaan van, kereta dan motosikal.

Isteri dan anak-anak mengambil tempat sejurus masuk ke dalam feri
Kalau naik feri yang company lagi satu boleh naik atas dek dan tengok pemandangan dari atas feri

Kami tiba di di Jeti Pangkor pada jam 9.57 minit pagi. Sebaik tiba kami bergegas ke pusat perniagaan utama Pangkor yang terletak berdekatan dengan Jeti Pangkor ini. Di sini terdapat pelbagai kedai yang menjual pakaian, makanan dan hasil laut. Oleh kerana kami Belum sarapan pada pagi itu kami memilih untuk bersarapan di salah sebuah kedai. Di sini terdapat tiga buah kedai makan. Dua kedai Melayu dan satu kedai berbangsa India.


Berjalan ke pusat perniagaan utama di Pangkor 

Saya memesan 2 mangkuk laksa mee makanan tradisional masyarakat Melayu Pangkor. Manakala anak-anak tiga pinggan nasi berlaukkan ayam ikan kari dan 4 biji fish ball dua gelas teh o ais. Kesemua makanan itu berharga RM31.00.


Singgah makan di sebuah warung berdekatan dengan Jeti Pangkor
Jangan lupa makan Laksa Mee yang hanya terdapat di Pangkor. Ini antara menu wajib keluarga ketika arwah ibu ketika hayatnya kerana beliau berasal dari Pangkor.

Selepas itu kami berjalan di deretan kedai yang jual t-shirt dan hasil laut. Isteri membeli beberapa helai t-shirt Pangkor. Di samping membeli berapa kg ikan bilis yang berharga RM50 satu kilo. Ikan bilis di Pangkor sebenarnya antara ikan bilis yang terbaik di Malaysia kerana keputihan kerapuhannya. Ia juga tidak liat ataupun keras bila digoreng. Ayah saya selalu berulang-alik ke sini bersama ibu tiri membeli ikan bilis dalam kuantiti yang banyak untuk dijual di Kuala Terengganu. Yang paling digemari oleh pembeli Kuala Terengganu ialah ikan bilis mata biru. Jika ayah saya datang boleh juga saya tumpang membeli dengannya pada harga borong (dalam RM40-45 sekilogram).

Kesibukan Pekan Pangkor sewaktu kami tiba

Isteri memilih t-shirt di kedai menjual pakaian di Pekan Pangkor
Isteri menelefon jiran (pengasuh anak) bertanyakan tentang ikan bilis yang mahu dikirimnya

Menjaga anak sementara menunggu isteri membeli ikan bilis
Ismah, Wafiy dan Hud berjalan di foyer kedai yang menjual hasil laut
Adakala anak-anak perlu dijerit ketika memberi arahan, nasihat atau larangan
Ikan bilis yang dibeli oleh kami untuk dibawa pulang ke Kota Masai

Selesai membeli di Pekan Pangkor, saya cuba menghubungi bapa saudara yang tinggal di Sungai Pinang Besar yang terletak 2 km dari Jeti tetapi gagal. Mungkin kerana line coverage sibuk atas faktor pengguna meningkat dengan kehadiran pelancong luar. Nak berjalan kaki kasihan pada anak-anak sebab cuaca agak panas. Saya cuba bertanyakan sewaan motosikal di jeti tetapi ternyata agak mahal. Bayangkan sewa satu hari dikenakan sebanyak RM60.00. Saya bertanyakan seorang remaja perempuan yang menjaga tandas jeti kadar sewa motosikal pada hari biasa. Saya dimaklumkan hari biasa RM40.00 manakala hari cuti umum seperti ini sebanyak RM50.00-60.00. Kemudian saya bertanyakan seorang lelaki yang berdiri di pintu keluar van sewa sama ada beliau ada motosikal untuk disewa atau tidak. Boleh memberitahu sudah habis disewa tetapi menawarkan sebuah kancil untuk disewa pada harga RM80.00 satu hari.


Tiba di Kampung Sungai Pinang Besar jam 12.50 tengah hari bersama kereta kancil yang disewa sebanyak RM80.00 sehari

Rumah kedai Paksu Isa (bapa saudara yang merupakan adik bongsu ibu saya)
Di ruang tamu rumah Paksu

Saya menyewa kancil tersebut kemudianya bergerak ke rumah bapa saudara di Sungai Pinang Besar. Sebelum itu saya mengisi petrol RM10.00 tidak jauh dari Jeti Pangkor. Sebaik tiba di rumah, Paksu Isa menyediakan kami sebuah bilik. Sementara menunggu maksu menyediakan makan tengah hari, kami meronda-ronda kawasan di Pulau Pangkor.


Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA