HUD & SIBLINGS TOUR BAHAGIAN 6 : DARI PANASNYA PANTAI KE HANGATNYA HUTAN BATU

PORT DICKSON - SELAYANG BARU (107 KM)


Membawa anak-anak melawat KLCC kerana mereka belum pernah datang di situ

PORT DICKSON, 4 FEBRUARI 2019 - Kami keluar dari tapak perkhemahan Pantai Port Dickson pada jam 7.00 petang, Saya menambah bahan api kereta di Stesen Petronas Port Dickson sebanyak RM65.00. Sebelum itu sempat saya membeli keropok dan kentang goreng di Pasar Malam Port Dickson berdekatan dengan pantai tempat saya rehat sebelum itu. Suasana di situ agak meriah dengan kehadiran orang ramai dan bilangan peniaga yang agak ramai. Saya tidak tahu sama ada pasar malam itu hanya beroperasi pada hari tersebut (Hari Isnin) ataupun pada setiap malam. Jadi tidak menjadi masalah kepada pengunjung yang berkhemah di pantai tersebut tidak membawa bekalan makanan kerana ianya boleh dibeli di pasar malam terbabit. Di seberang jalan pantai terbabit juga terdapat beberapa warung termasuklah sebuah warung yang menjual sate.

RAKAMAN SEBELUM BEREDAR : Lewat Petang di Port Dickson

Mengisi minyak di Port Dickson sebagai RM65.00 sebelum itu mengisi petrol di Stesen Petronas Taman Pasir Putih sebanyak RM50.00

Pasar malam di Port Dickson di kiri dan kanan jalan. Saya membeli keropok lekor dan kentang goreng yang masing-masing berharga RM3.00 secawan

Hari sudah hampir senja dan kuasa beteri telefon bimbit pula tinggal 30% dan kuasa di powerbank sudah 0%. Kami perlu segera beredar ke destinasi seterusnya iaitu di Kuala Lumpur. Sehari sebelum itu isteri telah menghubungi anak saudaranya yang tinggal di Selayang Baru meminta alamat dan google locations kerana kami berniat bermalam di situ. Dalam perjalanan itu juga gigi saya terasa sakit. Dua kali isteri memberi ubat gigi sensodyne untuk diletak pada gigi tapi hilang hanya sementara. Lalu saya meminta dicari panadol active 5 yang saya beli buat bekalan. Saya makannya sebanyak dua biji. lebih kurang 15 minit sakit gigi berkurang dan lama-kelamaan hilang setelah panadol itu mula meresap dan bertindak dalam badan. Lepas itu saya sudah boleh memandu dengan tenang.

MENUJU SEREMBAN MEMASUKI LEBUHRAYA KL-SEREMBAN

Saya memandu menuju ke Seremban kerana niat asal tidak mahu melalui tol Plus sebaliknya mahu melalui Jalan Banting, Pantai Morib dan Klang kerana tidak perlu membayar tol tetapi isteri melarang kerana sudah senja menjelang malam. Mahu tidak mahu saya meluncurkan kenderaan ke arah Kuala Lumpur untuk ke rumah anak saudara isteri di Selayang Baru. Sebelum itu saya mahu singgah di KLCC terlebih dahulu untuk mengetik beberapa gambar dahulu. Saya rasa sudah lama tidak melawat KLCC yang kali terakhir pada 2009 sewaktu Wafiy berumur setahun.

KLCC yang dirakam dari dalam kereta
Ramai pelawat dari dalam dan luar negara datang ke KLCC dan kawasan sekitar
Jalan Ampang iaitu di seberang jalan KLCC. Pada masa ini terasa bahang panas mungkin disebabkan oleh pelepasan haba yang diserap bangunan-bangunan Bandaraya Kuala Lumpur pada waktu siang

Hanya gaya begini sahaja dapat memperlihatkan puncak Menara Berkembar KLCC

Saya tiba di KLCC pada jam 8.50 malam. Sewaktu tiba agak ramai juga orang berada di perkarangan KLCC sehinggakan ruang parkir mencapai 3000 lebih kereta. Saya memberhentikan kereta di ruang parkir bas persiaran. Selepas mengambil beberapa gambar, saya terus beredar lagi pun bas persiaran telah membunyikan hon berkali-kali memberi isyarat supaya kami beralih dari ruang letak milik mereka. Saya bergerak menuju Jalan Kucing seterusnya mengambil Jalan Ipoh untuk ke Selayang. Jalan ini agak familiar dengan saya kerana sering menggunakannya sewaktu kerja di Selayang Baru dan menetap di Bandar Sri Damansara pada tahun 2005 hingga 2006. Tapi banyak jalan di kota raya sudah tidak dapat dicam kerana berlaku perubahan yang amat ketara. Terdapat banyak bangunan dan flyover baru hingga menutup rupa jalan dan bangunan yang saya biasa lihat 10 hingga 13 tahun yang lalu.

BERMALAM DI BANDAR BARU SELAYANG

Jam 9.35 minit malam, saya sampai di Flat Bandar Baru Selayang yang disewa oleh anak saudara isteri. Kedudukannya berada di atas bukit berdekatan dengan Pejabat Majlis Perbandaran Selayang dan Stadium Selayang. Kebetulan anak saudara mengambil isterinya yang baru pulang bertugas sebagai jururawat di Hospital Selayang. Kami menumpang tidur di rumahnya pada malam itu. Kemudian kami dan anak-anak membersihkan diri dengan mandi. Setelah solat, kami dihidangkan makan malam berlaukkan ayam kari di masak oleh tuan rumah. Saya mengambil peluang malam itu mengecaj telefon dan power bank untuk bekalan perjalanan hari esok. Malam itu saya tidur agak nyenyak maklumlah hampir 15 jam dalam siri kembara dari Muar - Melaka - Port Dickson - Kuala Lumpur.

Pemandangan dari tingkat 3 flat yang kami inap

Bersyukur kerana ada tempat bermalam untuk kami anak beranak (Flat Bandar Baru Selayang)



Bersambung....




Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA