HUD & SIBLINGS TOUR BAHAGIAN 1 : KE HUJUNG DUNIA (TANJUNG PIAI)

TAMAN KOTA MASAI - TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI (100KM)

PASIR GUDANG, 3 FEBRUARI 2019 - Cuti persekolahan sempena Tahun Baru Cina 2019 tiba lagi.  Tidak seperti tahun-tahun lepas, biasanya jika cuti panjang begini saya tidak melepaskan peluang untuk pulang ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu. Tetapi pada tahun ini saya mengambil keputusan untuk membawa keluarga bercuti di kawasan sekitar Johor dan beberapa buah negeri di Barat Semenanjung. Kembara kali ini saya namakan sebagai Hud & Siblings Tour sempena nama anak kecil saya Hud Naufal.Tujuan penjelajahan ini untuk memberi pengalaman dan pengenalan kepada anak-anak saya kepada sesuatu tempat yang menjadi tumpuan orang, lokasi bersejarah negara dan juga tempat lahir asal keturunan keluarga. Selain itu juga saya ingin memperkenalkan anak-anak saya kepada sanak saudara mereka yang berada di Perak agar hubungan ini tidak terputus jika saya sudah tiada suatu hari nanti.

BERMULANYA PENGEMBARAAN KAMI

Pada 3 Februari 2019 saya dan keluarga bergerak seawal jam 7.00 pagi dari Kota Masai menuju ke Daerah Pontian. Destinasi pilihan saya pada kali ini adalah Tanjung Piai kerana keistimewaan tempat ini merupakan kawasan paling Selatan bagi tanah besar benua Asia.

Bergambar di Pintu Masuk Taman Negara Tanjung Piai

Saya mengisi minyak petrol stesen minyak Taman Pasir Putih sebanyak RM54.00. Seterusnya saya menggunakan Jalan lebuh raya Pasir Gudang ke Nusajaya untuk ke daerah Pontian. Di laluan ini saya perlu menempuhi satu tol tol Bukit Indah yang mana saya perlu membayar RM2.30sen.

Bila tiba di Pekan Kukup, saya berhenti di sebuah kedai makan kecil untuk bersarapan. Di situ saya melihat ramai orang di kalangan bangsa Melayu dan Cina sedang menikmati sarapan pagi. Saya rasa memang utama kedai makan ini ialah roti canai kerana rata-rata langgan di situ memesan roti canai tetapi kami tidak sempat kerana sudah kehabisan.


Bersarapan di Pekan Kukup sebelum ke Taman Negara Tanjung Piai
Rojak ayam dan nasi beriani menu sarapan kami berharga RM19.40 Pekan Kukup (Harga termasuk secawan teh tarik dan dua gelas teh o ais)

Kedudukan Pekan Kukup dengan Tanjung Piai lebih kurang 8 kilometer jaraknya. Pekan Kukup terkenal dengan pintu masuk bagi pelawat negara Indonesia dan Malaysia menggunakan feri untuk pergi kedua-dua negara Jeti Pekan Kukup.

Lepas makan kami terus bergerak ke Taman Negara Tanjung Piai dan tiba di sana kira-kira 15 minit kemudian.

Papan tanda di kiri jalan sebelum memasuki kawasan Taman Negara Tanjung Piai

Papan tanda mengalukan kedatangan pengunjung termasuk kami

Tanjung Piai merupakan sebuah kawasan hutan paya bakau pantai. Jalan menuju ke Taman Negara ini dipenuhi dengan ladang kelapa sawit di kiri dan kanan jalan.  Pada hari ini, ramai juga pelancong yang datang terutamanya yang datang yang datang dengan motosikal berkuasa tinggi secara konvoi.

Tiket masuk dan petunjuk arah Taman Negara Tanjung Piai

Di dalam Taman Negara Tanjung Piai pihak pengurusan telah membina jambatan kayu yang menghubungkan beberapa checkpoint penting antaranya kawasan yang paling Selatan di benua Asia yang mana Di Situ terdapat sebuah glob bumi yang diperbuat daripada besi stainless steel. Di sepanjang Jalan Jambatan ini didirikan beberapa wakaf yang diletakkan info tentang hidupan yang menghuni di kawasan ini serta kepentingan menghargai hutan bakau.1 Bayaran masuk yang dikenakan kepada pengunjung adalah RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak. Jadi saya membayar lebih kurang RM19.00 untuk kami anak beranak. Hud Naufal tidak dikenakan bayaran kerana masih berumur 2 tahun.

Menjejak kaki ke kawasan penghujung selatan Benua Asia

Tugu pernyataan Tanjung Piai sebagai Tanah Paling Selatan Benua Asia
Rangkuman 1 Taman Negara Tanjung Piai

Rangkuman 2 Taman Negara Tanjung Piai

Selepas melawati ke seluruh kawasan serta merakam gambar kami pun beredar dari kawasan tersebut menuju ke Bandar Pontian. Jam pada waktu itu kira-kira 11.10 minit pagi.

Bersambung..........


Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA