HUD & SIBLINGS TOUR BAHAGIAN 13 (AKHIR) : WARUNG CENDOL ATOK SUNGAI BESAR

LUMUT - KLANG (242 KM)


Isteri dan Wafiy menikmati Set Talam Bajet yang berharga RM35.00 ketika singgah di Warung Atok Cendol, Sungai Besar, Kuala Selangor

LUMUT, 07 FEBRUARI 2019 - Selepas bergambar di Lumut Waterfront, saya meneruskan perjalanan pada jam 11.25 pagi. Pada mulanya saya mahu singgah di rumah Rafidah Ahmad, rakan sekerja sewaktu beliau mengajar di Kota Masai. Namun pada awal tahun 2016 telah berpindah ke Manjung kerana mengikuti suaminya yang bekerja sebagai Navy TLDM di Lumut. Akibat masalah komunikasi, saya tidak dapat melakukan kunjungan sebaliknya meneruskan perjalanan melalui Jalan Sitiawan - Seberang Perak seterusnya melalui Jalan Sabak Bernam. Cuaca pada ketika ini sangat panas namun bernasib baik kerana jalan di laluan ini tidak sesak.


Saya memilih laluan Jalan Persekutuan Teluk Intan - Kuala Selangor ketika perjalanan pulang ke Johor Bahru

Jarak antara Lumut ke Klang adalah sejauh 242 km mengikut jarak ukuran google maps. Walaupun jalan tidak sesak tetapi kenderaan di jalan raya masih banyak dan sukar untuk menambah kelajuan (bawah 80 km/j) dan memotong kenderaan berat. Permukaan jalan di laluan juga tidak rata akibat kerja-kerja pembesaran dan pemulihan jalan raya. Jadi dalam situasi itu saya memandu secara santai dan berhati-hati walaupun badan sudah letih. Kira-kira 100 km dari titik mula perjalanan dari Lumut saya memberhentikan kenderaan setelah melihat sebuah warung kecil menjual cendol di sebelah kanan jalan. Di situ terpampang sebuah papan tanda berwarna kuning yang memaparkan info Cendol Atok. Warung itu terletak di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, Kuala Selangor.

Papan tanda yang menunjukkan Warung Cendol Atok di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor

Warung Cendol Atok kelihatan seperti warung kampung biasa tetapi menu yang disediakan seperti makanan gred hotel dan tempat eksklusif. Maka tidak hairanlah pelanggan tidak putus-putus datang.

Pada masa itu jam menunjukkan pukul 1.15 minit tengah hari. Kami memesan beberapa menu bajet yang disediakan antaranya ialah Set Talam Bajet berharga RM35.00 ia mengandungi ayam goreng, french fries, coleslaw, kentang putar,  spageti goreng dan cendawan goreng. Kami juga memesan Cendol aiscream, aiskrim coklat, aiskrim jagung serta air root beer aiscream. Semua menu ini keseluruhannya berharga RM49.00. Sebenarnya ada menu istimewa lain yang sering menjadi pilihan pengunjung di sini seperti mee udang, meetball disamping beberapa lagi makanan tradisi penduduk Kuala Selangor serta masakan barat. Saya rasa warung ini agak popular di kawasan ini serta daerah berdekatan memandang ramai pelanggan yang tak putus-putus datang. Jika anda melalui jalan ini, jangan lupa singgah. Harganya pun berpatutan.

Kami memilih set talam bajet berharga RM35.00 sebagai hidangan tengah hari

Cendol yang saya makan berharga RM4.00

Aiskrim yang Ismah makan berharga RM3.00

Aiskrim yang Aimy makan berharga RM3.00 manakala ibunya memesan Root Beer Float berharga RM4.00

Set Talam bajet berharga RM35.00 menjadi juadah tengah hari kami di Warung Cendol Atok

Oklah makanan seperti ini berharga RM35.00. Ketika bertravel lebih baik memesan makanan yang mempunyai set dan harga jika tidak mahu terlebih bajet ketika membayarnya

Selepas makan, kami bergerak semula sambil mencari masjid terdekat untuk singgah solat serta memandikan anak-anak. Lebih kurang 1 km dari Cendol Atok tadi terdapat sebuah masjid yang agak besar di sebelah kiri jalan. Saya masuk ke halaman masjid yang luas itu dan memilih kawasan yang hampir dengan kawasan solat perempuan. Kemudahan yang terdapat di masjid ini amat memudahkan urusan musafir seperti kami seperti solat, mandi dan berehat. Lebih kurang jam 3.00 petang kami bertolak semula melalui jalan-jalan pesisir pantai Sekinchan, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Kapar dan Klang. Bila sampai di Tanjung Karang, saya berhenti di Stesen Minyak Petronas dan mengisi petrol sebanyak RM80.00. Ini adalah pengisian petrol kali ketiga sepanjang travel yang memakan masa 5 hari 4 malam ini.

Masjid Jamek Sungai Besar, Kuala Selangor tempat kami singgah rehat dan solat

Di ruang legar masjid

Beduk kayu yang terdapat di Masjid Jamek Sungai Besar

Sempat bersembang dengan Pakcik berketuruan India Muslim, pekerja atendan pam minyak Stesyen Minyak Petronas Tanjung Karang. Dia seorang yang peramah ketika kami berbual-bual

Hari makin menuju lewat petang, jika waktu masih awal sudah pasti banyak lagi tempat yang akan saya singgah kerana sepanjang laluan ini terpampang papan-papan tanda tempat perlancongan yang menjadi tumpuan warga Lembah Klang. Lebih kurang 5 km sebelum masuk ke Bandar Klang, Hud tak berhenti-henti menangis. Kebiasaannya Hud akan menangis sebab tiga perkara iaitu pertama ketika sakit, kedua ketika lapar dan ketiga ketika dia mengantuk. Jadi saya berhenti di McD membeli bubur ayam untuknya. Lepas dapat makan ternyata Hud berhenti menangis dan menikmati bubur yang disuap oleh mamanya. Tiba di Klang waktu sudah menjejak 5.00 petang. Saya mahu mengambil jalan ke Banting seterusnya Pantai Morib dan bertemu kembali jalan ke Seremban dan Port Dickson sewaktu datang dahulu, tetapi isteri melarangnya kerana hari makin ke senja. Lagi pun tenaga saya semakin berkurang seperti mana kurangnya duit di dalam poket. Setibanya di Klang saya mengambil jalan Setia Alam untuk masuk ke Lebuhraya Plus.


Terperangkap dalam kesesakan ketika berada di Kapar, Selangor

Memasuki Lebuhraya Plus Setia Alam sebaik sahaja menghampiri Bandar Klang. Ingat nak singgah GM Klang tapi terpaksa batalkan hasrat bila menyedari duit kami semakin berkurang

MENGGUNAKAN LEBUHRAYA PLUS UNTUK PULANG KE PASIR GUDANG

Memilih laluan Lebuhraya Plus melalui Tol Setia Alam untuk perjalanan lebih pantas ke Johor Bahru

Sebaik sahaja memasuki Lebuh Raya Plus dari Setia Alam dalam fikiran saya cuma mahu cepat sampai ke rumah. Pada awalnya perjalanan kami lancar. Terdapat beberapa kumpulan Mat Motor menuju ke Seremban dengan memakai tshirt aktiviti ke Pangkor. Ternyata mereka juga baru balik dari sana. Seronok juga kalau dapat menyertai program ride santai seperti itu. Keadaan trafik semakin lama semakin perlahan. Kami cuba untuk berhenti di beberapa RNR dan hentian sebelah tetapi ruang parkirnya penuh. Saya mengagak trafik akan sesak bila kami menghampiri Johor Bahru. Pada pukul 7.15 malam saya berhenti di RNR Pagoh untuk makan-makan dan rehat. Kemudian menyambung perjalanan. Telahan jalan sesak memang betul. Sejak dari Tol Simpang Renggam lagi kenderaan bergerak merangkak-rangkak. Kaki saya pun mula krem. Mata juga mengantuk. Dalam serba lemah itu saya meneruskan pemanduan hingga sampai ke rumah pada jam 11.00 malam untuk mengakhiri travel 5 hari 4 malam kami. Sepanjang tempoh itu, roda kereta saya telah berputar sejauh 1438 km. Manakala kos bahan api (petrol) sebanyak RM195.00.


Berhenti di RNR Pagoh untuk rehat dan makan-makan pada 7.15 petang

Trafik mula sesak dari Simpang Renggam hingga ke Skudai (Jauh tu)

Sebenarnya kami singgah di Hentian Sebelah Simpang Renggam untuk mandi dan solat pada jam 9.15 malam (tapi tidak diceritakan dalam travelog)

sekian...tamat travel kami.

Sila klik link di bawah untuk membaca cerita bahagian sebelumnya.

CERITA BAHAGIAN 12


Terima kasih kerana membaca.......

Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA