MELEWATI REMBAU, MENJEJAKI SEREMBAN, MENYINGGAHI KUALA LUMPUR SERTA MELENCONG KE KUANTAN

BERGERAK KE NEGERI SEMBILAN

Ini adalah sambungan cerita cuti-cuti Melaka pada Cuti Tahun Baru Cina 2018. Boleh rujuk pada link ini untuk membaca cerita sebelumnya.《SARAPAN ROTI CANAI KAYU ARANG

MELAKA, 16 FEBRUARI 2018 - Lebih kurang jam 10 pagi, saya memandu kereta keluar dari Bandar Melaka menuju Negeri Sembilan. Target saya adalah untuk ke Kuala Pilah kerana saya pernah tertarik dengan satu program dalam televisyen mengenai Kuala Pilah. Seperti biasa saya menggunakan google maps untuk membantu saya menjejaki Kuala Pilah. google maps ini telah membawa saya melalui jalan Durian Tunggal. Ketika melalui kawasan ini, saya melihat kiri dan kanan jalan dipenuhi dengan pohon sawit samada yang sudah matang atau pun yang masih baru ditanam.

Hasrat untuk ke Kuala Pilah tidak kesampaian kerana faktor merasakan jalan ke situ agak sunyi dan saya memilih melalui Jalan Rembau, Jalan di atas saya lalui dari Warung Roti Canai Dapur Arang, Bakar Batu melalui Durian Tunggal.

Perjalanan saya ke Melaka pada kali ini memadam prejudis saya terhadap negeri ini yang saya anggap tiada kawasan pertanian kerana saiznya yang kecil. Walhal masih terdapat banyak tanah kosong yang masih belum diusaha atau dimajukan. Jalan yang saya lalui ini agak sunyi, mungkin saya telah memasuki kawasan pedalaman bagi negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Kami juga memasuki pinggir Bandar Tampin, Negeri Sembilan. Walaupun saya tidak memasuki bandar ini sepenuhnya, saya dapat melihat sebuah masjid yang mempunyai seni ukir lama.



Pekan Durian Tunggal, Melaka yang saya lalui yang pada mulanya ingin ke Kuala Pilah

SINGGAH DI GHOMBAU (REMBAU)

Hanya tinggal 30 km sahaja lagi untuk sampai ke Kuala Pilah, saya membatalkan hasrat untuk ke lokasi itu apabila mendapati saya menuju ke kawasan yang semakin sunyi. Takut juga pergi ke tempat asing kemudian perlu menempuhi laluan sunyi. Jadi saya meneruskan pemanduan saya ke arah Rembau dan Seremban. Kami tiba di Rembau lebih kurang jam 11.30 pagi. Saya meletakkan kereta di hadapan lot-lot perkedaian baru. Di situ terdapat sebuah pasaraya yang agak besar serta beberapa buah kedai lagi. Pagi itu ramai juga warga Rembau datang ke situ untuk membeli belah. Kami memasuki sebuah kedai yang menjual eksesori pakaian dan perhiasan diri.

Singgah di Bandar Baru Rembau untuk meninjau-ninjau kawasan sekitar

Kami masuk ke sebuah kedai yang menjual pelbagai aksesori wanita dan kanak-kanak di Bandar Baru Rembau

PUSING-PUSING BANDAR SEREMBAN

Setengah jam singgah di Rembau, kami bergerak semula ke Seremban. Kedudukan Rembau dan Seremban tidaklah begitu jauh. Kami memasuki bandar Seremban buat pertama kali. Saya lihat banyak premis-premis perniagaan dan pejabat kerajaan yang tutup sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina. Jadi saya mengambil keputusan untuk terus bergerak ke Kuala Lumpur menggunakan Lebuhraya PLUS.

SINGGAH DI SOGO

Seperti biasa jika kami menjejak Bandaraya Kuala Lumpur, pastinya akan singgah di Sogo atas permintaan isteri. Tujuannya tak melainkan melihat dan membeli handbag lelong yang dijual di aras bawah komplek s itu. Selain itu kami juga naik di tingkat 7 kerana di tingkat itu juga terdapat barangan yang ditawarkan pada harga diskaun sehingga 70%. Isteri membeli seutas jam tangan buat Wafiy. Selepas itu kami turun dan pergi ke bangunan sebelah iaitu Kompleks Pertama untuk makan tengah hari. Saya mengenakan nasi bawal penyet berharga RM8.50 sen sebagai hidangan tengah hari. Manakala isteri dan anak-anak mengambil menu nasi ayam.


Tiba di Bandaraya Kuala Lumpur pada jam 3.00 petang

MELENCONG KE KUANTAN

Selesai makan tengah hari di Kompleks Pertama Jalan Tunku Abdul Rahman, kami bergegas keluar dari Bandaraya Kuala Lumpur menuju Kuantan. Saya mengambil Jalan Ipoh menuju Batu Caves kemudian masuk ke Jalan Karak. Kami singgah sebentar di Stesen Petronas Karak untuk mengisi minyak dan juga pergi ke tandas. Saya sempat membeli kuih keria berharga RM5 sebungkus kerana tertarik dengan konsep jualan menggunakan food truck. Semasa di Melaka Semalam saya tak sempat membelinya di Gerai Kuih Keria Antarabangsa. Kemudian saya meneruskan perjalanan ke Kuantan melalui Lebuhraya Pantai Timur.

Tiba di Gambang, saya mengambil jalan ke susur keluar LPT1, kemudian menuju jalan ke Bandar Kuantan. Sampai di Taman Tas singgah pula di KFC kerana anak-anak mengadu sudah lapar. Saya membeli 1 bungkus set makan malam (dinner plate). Pada hari itu, suasana di Taman Tas agak sibuk kerana saya dapati banyak kereta parkir di kiri dan kanan jalan sambil membuat bonet belakang kereta, Di dalam bonet tersebut terdapat barang-barang untuk dijual. Barulah saya faham bahawa di situ merupakan tapak jualan bagi car boot sales. Selepas itu saya singgah di Masjid Alkhoiriah Taman Tas untuk solat dan makan KFC yang dibeli tadi.

Singgah solat dan rehat di Masjid Al-Khoiriah Taman Tas, Kuantan pada jam 6.40 petang

Makan nasi lemak yang diberi oleh Hotel Asiatic Melaka pagi tadi masih belum basi (makan di sebuah wakaf dekat masjid)

Menghampiri jam 7.00 malam, saya memandu kereta bergerak ke Bandar Kuantan untuk mencari hotel tempat menginap. Sebenarnya saya mempunyai adik-beradik yang menetap di pinggir Kuantan tetapi oleh kerana ingin merasai pengalaman tidur di Bandar Kuantan jadi saya memilih untuk tidur di hotel. Dua tiga kali saya berpusing-pusing di dalam Bandar Kuantan untuk mencari hotel yang sesuai sehinggalah saya ternampak satu hotel betul-betul terletak di corner lot Jalan Merdeka yang kedudukannya tidak jauh dari Masjid Sultan Ahmad Shah. Hotel yang saya maksudkan ialah The Suraya Hotel. Mujur juga terdapat sebuah bilik kosong yang berharga RM100.00. Harganya lebih murah dari hotel yang saya inap semalam di Melaka.


The Suraya Hotel, Kuantan

Hotel The Suraya yang kami inap terletak di Jalan Merdeka, Kuantan Berdekatan dengan Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan

Bilik deluxe yang kami sewa di Hotel Suraya, Kuantan berharga RM100.00 untuk satu malam


Bergambar di lobi The Suraya Hotel


PASAR MALAM MASJID NEGARA KUANTAN

Selepas semua mandi kami turun ke bawah itu untuk pergi ke pasar malam yang terletak kira-kira 100 meter dari hotel tempat kami menginap. Pasar malam ini beroperasi di kawasan tempat letak kereta Padang MPK. Konsep perniagaan yang saya lihat di pasar malam ini sama seperti Car Boot Sales yang saya lihat di Taman Tas tadi.

Oleh kerana perut kami masih lapar, kami membeli beberapa makanan ringan untuk dimakan di atas Padang MPK. Pasar malam ini agak meriah dengan kehadiran ramai pengunjung. Pemandangannya pun agak cantik kerana berlatarbelakangkan Masjid Sultan Ahmad Shah yang bercahaya kebiruan pada waktu malam.


Melawat Pasar Malam Masjid Negara. Kuantan tidak jauh dengan The Suraya Hotel

Kecur air liur memandang colek buah yang dijual peniaga pasar malam

Pasar Malam Masjid Negara Kuantan ini mirip kepada konsep car boot sales

Setelah puas makan-makan dan jalan-jalan kami bergerak semula ke hotel. Di bangunan sebelah hotel terdapat sebuah dobi layan diri jadi kami mengambil peluang untuk membasuh pakaian yang kotor memandangkan kami tidak tahu bila akan pulang ke rumah. Sejam kemudian pakaian kami siap dicuci dan kami bergegas naik ke bilik hotel untuk tidur.

Basuh pakaian kotor di lobi layan diri sebelum naik semula ke hotel


Bersambung satu episod lagi.........









Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN BEST DI TERENGGANU : NASI LEMAK BAWAH RUMAH (NASI LEMOK WOMOH)

KEM KAIZEN, GUNUNG PULAI, PONTIAN JOHOR

CARA PENJAGAAN IRON PHILIPS STEAM AGAR LEBIH TAHAN LAMA